February 18 2026
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
Memilih baka itik penelur menentukan kejayaan dalam usaha pengeluaran telur itik sama ada untuk dijual segar mahupun untuk pengeluaran telur masin. Silap memilih baka, itik akan makan banyak tetapi telurnya kurang. Apatah lagi di zaman apabila harga makanan ternakan semahal makanan penternaknya. Habiskan sedikit masa untuk mencari pembekal anak itik baka tulen (purebreed) sebelum terjun ke bidang yang mencabar ini.
Jika menggunakan baka tulen, bukan sahaja telur boleh dijual malah anak itik dari DOC hingga induk muda boleh dijual sebagai sumber pendapatan. Ada beberapa pertimbangan perlu dibuat:
Pengeluaran berbanding kebolehan mengeram:
Sesetengah baka seperti Indian Runner tidak mengeram, tetapi ada baka yang ingin mengeram menyebabkan beberapa hari ia tidak bertelur. Ini mengurangkan kadar pengeluaran telur. Jika ingin menetaskan telur bagi baka yang mengeram, inkubator tidak diperlukan. Ini sesuai untuk penternak kecil di kawasan yang tiada bekalan elektrik.
Jika memerlukan pengeluaran telur yang sekata, baka tidak mengeram menjadi pilihan terbaik.
Baka dwi-fungsi:
Baka seperti Pekin dan Muscovy memberi hasil terbaik untuk daging dan juga bertelur banyak, tetapi baka seperti Khaki Campbell bertelur lebih banyak namun rendah kualiti sebagai itik pedaging. Baka seperti Ancona dan Indian Runner menghasilkan telur yang berwarna biru kehijauan, krim dan putih. Pengguna biasanya lebih menyukai telur berwarna putih atau sedikit berwarna.
Baka-baka Terbaik Untuk Itik Penelur
1. Khaki Campbell

Digelar sebagai "pemaisuri" dalam kalangan itik penelur, itik Khaki Campbell menghasilkan telur yang besar dan berwarna putih. Ia sangat mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu dan pandai mencari makan sendiri sekiranya dilepaskan bebas. Campbell merupakan baka domestik yang berasal dari England, dibangunkan pada awal abad ke-20 hasil kacukan beberapa baka itik seperti Mallard, Rouen, dan Runner di Gloucestershire. Baka Khaki Campbell telah berjaya dihasilkan pada tahun 1901 melalui proses penyilangan antara baka Campbell dengan baka Khaki.
Pengeluaran telurnya mencecah 300 biji setahun, mengatasi kebanyakan ayam penelur yang produktif. Dengan persekitaran yang sesuai, pengeluaran mingguannya akan meningkat lagi. Khaki Campbell mencapai kematangan apabila berumur 7 bulan.
Ia jarang mempunyai naluri untuk mengeram, jadi ia terus bertelur, yang menjelaskan mengapa baka ini menghasilkan telur yang begitu banyak.
Penghasilan anak itik (DOC) bagi baka ini boleh dilakukan dengan menggunakan inkubator atau memberikan telurnya kepada ibu ayam untuk dikeram, yang mengambil masa antara 23 hingga 28 hari.

2. Welsh Harlequin
Welsh Harlequin merupakan itik penelur yang sangat produktif dan menghasilkan telur yang besar. Ia sesuai untuk sistem ternakan lepas bebas di kawasan yang luas dan hanya dikurung pada waktu malam. Baka ini berasal dari Wales, United Kingdom. Itik Welsh Harlequin mempunyai postur yang menegak dan mampu menghasilkan lebih daripada 300 biji telur setahun. Warna telurnya adalah putih, krim, atau biru bergantung pada strain. Baka ini ditemui hasil mutasi dalam kawanan itik Khaki Campbell, dan kemudiannya dibiakkan secara terpilih untuk menghasilkan baka yang stabil.
Berat itik Welsh Harlequin adalah antara 2 hingga 2.5 kilogram. Itik betina mempunyai paruh berwarna hitam dan kaki berwarna coklat. Bulunya hampir serupa dengan itik Mallard, tetapi bahagian belakangnya dihiasi dengan bintik-bintik berwarna putih salji. Pada peringkat anak itik (DOC), pemilihan jantina dapat dilakukan dengan ketepatan hampir 90% dengan memerhatikan warna paruh. Itik betina mempunyai paruh yang berwarna cerah dan terdapat titik hitam di hujungnya.
Penghasilan telurnya mengatasi ayam penelur yang terbaik. Ada juga dalam kalangan baka ini yang mempunyai naluri untuk mengeram.
Pasangan yang baik mampu menghasilkan anak tanpa campur tangan penternak, menjadikannya sesuai untuk penternakan berskala kecil. Ia juga sesuai dijadikan haiwan kesayangan kerana sifatnya yang tenang.
Pengeluaran telurnya adalah antara 100 hingga 200 biji setahun, dan dagingnya pula cukup besar untuk dihidangkan. Itik ini bersifat jinak, tidak terbang, dan mampu meneroka kawasan kebun sambil membantu membasmi siput dan serangga.
Libidonya adalah tinggi, oleh itu elakkan menyimpan lebih daripada seekor itik jantan dalam sekawan itik betina.

3. Indian Runner
Itik Indian Runner mudah dikenali kerana keanehan gaya jalannya yang lucu menyerupai penguin. Selain penampilannya yang menarik, ia juga merupakan pengeluar telur yang sangat produktif. Ia telah tiba di United Kingdom dari Indonesia atau Tanah Melayu sejak tahun 1850-an lagi. Kehadirannya mungkin lebih lama, berdasarkan ukiran-ukiran kuno di kuil-kuil yang menggambarkan bentuknya.
Ia mungkin merupakan moyang kepada itik-itik gembala yang terdapat di Indochina. Indian Runner telah menghasilkan beberapa baka itik penelur lain yang produktif seperti Khaki Campbell melalui persilangan dengan itik Mallard. Mereka tidak terlalu bising dan bergerak dalam kawasan yang luas untuk memburu perosak tanaman seperti serangga dan siput.
Baka Indian Runner mempunyai beberapa variasi warna seperti putih, hitam, kelabu, dan coklat. Itik Indian Runner betina mampu bertelur antara 180 hingga 250 biji setahun. Telurnya bersaiz sederhana dan berwarna putih atau biru cair setelah mencapai umur 5 hingga 6 bulan.

4. Magpie
Itik Magpie mempunyai warna hitam dan putih yang menyerupai burung murai, dan berasal dari baka domestik British.
Ia mampu menghasilkan antara 220 hingga 290 biji telur setahun, dengan warna telur putih, biru atau kehijauan.
Warna hitam pada bulunya akan semakin pudar apabila usia meningkat.Berat itik Magpie jantan sekitar 2.5 hingga 3.2 kilogram, manakala betina antara 2.0 hingga 2.7 kilogram. Postur badannya tegak sekitar 35 darjah, dengan leher panjang, dada tebal dan belakang lebar. Paruhnya berwarna kuning ketika muda dan berubah warna apabila dewasa.
Itik Magpie terkenal sebagai itik penelur yang rajin serta menghasilkan daging yang memuaskan. Ia juga bersifat jinak dan sesuai dipelihara sebagai haiwan kesayangan, walaupun kelihatan sentiasa berwaspada dan gemar merayau.

5. Ancona
Ancona ialah itik penelur produktif yang mampu menghasilkan antara 210 hingga 280 biji telur setahun. Telurnya besar dan biasanya berwarna putih, walaupun ada strain yang bertelur krim atau biru. Itik ini jarang mengeram, maka pembiakan memerlukan inkubator atau induk angkat.
Asal usulnya tidak jelas sama ada dari United Kingdom atau Amerika. Ancona bersaiz sederhana dengan berat 2.3 hingga 2.9 kilogram, serta memiliki bulu bercorak tompokan tidak sekata pada latar putih.
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.