February 20 2026
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
Dunia pertanian kini beralih arah kepada asas bagaimana ia bermula dahulu, iaitu mengeluarkan sendiri makanan secara kecil-kecilan tetapi produknya beraneka ragam. Jika pertanian moden memberi tumpuan kepada suatu jenis usaha yang dijalankan secara besar-besaran, kini lebih ekonomik jika dijalankan secara kecil-kecilan dan sara diri.
Isu jaminan makanan memberi kesedaran kepada ramai orang untuk mula mengeluarkan bahan makanan sendiri, bermula daripada sumber karbohidrat seperti beras dan ubi, sumber protein seperti telur, ikan, dan ayam, hinggalah kepada sayur-sayuran dan buah-buahan sebagai sumber vitamin.
Di era di mana sumber buruh menjadi komoditi yang langka, sumber buruh keluarga dapat meminimumkan kos pengeluaran. Penggunaan ruang di sekitar rumah sendiri dan kejiranan pula dapat menjimatkan tempat serta menjamin kebersihan dan keselamatan sumber makanan.
Kepentingan Baka Tradisional dan Lestari
Apabila ingin hidup seperti nenek moyang dahulu, timbullah keperluan untuk mencari kembali benih tanaman dan baka ternakan yang digunakan oleh masyarakat pada zaman tersebut kerana kecekapan mereka memanfaatkan sumber alam yang terhad. Kehidupan moden telah melupakan teknik bertani secara kuno seperti pertanian lestari atau regeneratif; malah baka-baka ternakan yang produktif, efisien, tahan penyakit dan mudah diurus juga semakin lenyap ditelan zaman apabila digantikan oleh hibrid baharu yang tidak stabil.
Baka unggas eksotik asli (pure breed), misalnya, memberikan faedah ekonomi yang sangat tinggi melalui penghasilan telur dan daging yang banyak berbanding usaha yang dicurahkan secara sampingan.
Kini, hasil daripada unggas berbaka eksotik mendapat harga premium kerana dikategorikan sebagai produk niche yang mempunyai citarasa tersendiri, bersifat organik dan lazat. Bagi penternak, usaha berskala kecil ini mampu memberikan pulangan yang besar serta mempunyai segmen pasaran yang tersendiri.
Ayam eksotik memberi hasil yang tinggi seperti bertelur dengan banyak atau menghasilkan daging maksimum dalam tempoh singkat.
Jenis Unggas Bernilai Tinggi
Empat jenis usaha yang dijangka memberi pulangan yang lumayan dan bakal mendapat pasaran terbaik ialah:
•Ayam Piru (Turkey)
•Ayam Baka Asli (Purebred Chickens)
•Itik Indian Runner (Indian Runner Ducks)
•Ayam Api-api (Guinea Fowls)
Keempat-empat bidang yang dicadangkan ini adalah berdasarkan ketahanan mereka terhadap cuaca yang kerap berubah, kebolehan mencerna makanan yang murah, serta mampu mencari makanan sendiri (free range).
Ia juga memberi hasil yang tinggi seperti bertelur dengan banyak atau menghasilkan daging maksimum dalam tempoh singkat. Paling mustahak, ia pasti mendapat pasaran premium kerana produk-produk ini dimakan oleh semua pelanggan pelbagai bangsa dan agama.
Kecekapan Pengeluaran dan Kos Makanan
Ayam eksotik baka asli misalnya mampu bertelur 350 hingga 250 biji telur setahun, berbanding ayam kampung asli yang hanya menghasilkan 20 hingga 30 biji telur setahun. Itik baka Indian Runner atau Nila/Muscovy mampu mencapai berat sesuai sembelih (0.9 - 1.2 kg) dalam tempoh 2 bulan dengan makanan yang dibuat menggunakan bahan murah seperti sisa pertanian atau tanaman yang ditanam sendiri (Jagung Pulut, Keladi Bunting, Azolla, Ubi Kayu).
Azolla boleh dibiakkan dalam terusan atau kolam ternakan ikan, jagung jenis keras (pulut) boleh ditanam dalam kawasan kecil hingga 6 pusingan setahun tanpa mengira cuaca. Ubi kayu boleh ditanam di perimeter kebun sebagai pagar tanpa penjagaan rumit, selain daunnya juga boleh dimakan oleh ayam.
Industri penternakan unggas eksotik juga mampu mengembangkan industri pengeluaran bahan makanan ternakan seperti keladi bunting.
Permintaan Pasaran dan Harga Premium
Oleh kerana ternakan unggas eksotik sukar diperoleh, ia mendapat harga yang sangat premium dan dicari oleh pengusaha restoran makanan eksotik. Ayam baka Hainan dan Betong mendapat permintaan yang sangat tinggi terutamanya di Tahun Baru Cina, selain permintaan tetap daripada pengusaha nasi ayam pada hari-hari biasa.
Pada musim perayaan Krismas dan Deepavali, kerap kali muncul di media bagaimana petani biasa yang mengusahakan ayam piru di belakang rumah dengan makanan daripada sisa nasi restoran berdekatan mendapat keuntungan puluhan ribu ringgit hanya dengan menjual sekandang ternakannya, seolah-olah seperti menjual beberapa ekor lembu sado.
Rantaian Sokongan Industri Ternakan
Industri penternakan unggas eksotik juga mampu mengembangkan industri pengeluaran bahan makanan ternakan seperti tanaman jagung bijirin, tanaman ubi kayu, napier, azola, duckweed, dan keladi bunting. Jagung bijirin jenis keras (bukan sweetcorn) mampu memberi hasil tinggi dengan pembajaan dan pengairan minimum. Varieti Madura dari Indonesia mampu beradaptasi di tanah yang sangat marginal.
Biarpun berbuah kecil dan rendah, ia mampu memberi hasil setiap 2 bulan sekali. Varieti Thai dari daerah kering di sana memberi hasil dan kesan yang sama. Jagung bijirin mudah ditanam dan memerlukan pembajakan tanah yang minimum (minimum tillage). Azola mampu dihasilkan dengan cepat (berkembang berganda dalam tempoh 48 jam) di kolam ikan atau di tali air awam di kawasan padi (MADA, KEMUBU) dengan kos yang sangat kecil.
Keladi Bunting (Water Hyacinth) boleh dituai di tasik dan longkang yang tercemar. Selain boleh diproses menjadi makanan ternakan dengan teknik fermentasi, tuaian berkalanya dapat menjaga permukaan tasik dan longkang daripada tersumbat. Keladi bunting sangat sesuai untuk ternakan itik Nila/Muscovy yang tinjanya dimanfaatkan untuk makanan ikan pemakan tumbuhan seperti kap, kelah, dan lampam jawa. Hanya bina reban di atas kolam, kerja memberi makan ikan berjalan secara automatik.
Ayam baka eksotik ialah ayam import yang telah diaklimatisasi dan dibiakkan bagi meningkatkan produktiviti penternak.
1. Ayam Baka Asli
Ayam baka eksotik ialah ayam yang berasal dari luar negara yang diperkenalkan kepada petani melalui program pengimportan oleh orang persendirian dan agensi kerajaan.
Ayam ini sama ada dari baka asli mahupun hibrid yang mengalami proses aklimatisasi dan dibiakkan bagi membantu penternak mendapat baka yang lebih produktif berbanding ayam tempatan yang kecil, malas bertelur, dan tercemar bakanya oleh ayam hutan. Ayam baka asli ini cepat besar, mempunyai nisbah pertukaran dedak kepada daging yang baik, petelur yang rajin, serta mempunyai kecantikan yang tersendiri sebagai ayam hiasan atau haiwan kesayangan.
Di negara asalnya, induk ayam ini diasingkan bagi menjamin ketulenan bakanya untuk memelihara genetiknya yang khas, tahan penyakit, dan kecekapan pengeluaran hasilnya sama ada telur mahupun dagingnya.
Pemilihan baka dapat ditentukan dengan matlamat asal penternak sama ada untuk mendapatkan telur, daging, atau kedua-duanya. Ayam untuk mendapatkan telur biasanya disilangkan antara baka asli yang rajin bertelur dengan baka bertubuh kecilyang tahan penyakit bagi mendapat ayam penelur yang bertubuh kecil, bertelur besar, dan rajin bertelur. Pedaging pula biasanya ayam muda jantan daripada beberapa baka yang bertubuh sasa, cepat matang, dan cekap dalam nisbah pertukaran makanan (feed conversion ratio).
Strategi Penternak Kecil
Bagi penternak kecil, memadai memilih baka dwifungsi yang mampu menghasilkan telur yang banyak dan memberi hasil daging daripada ayam jantan muda. Hanya beberapa ayam jantan disimpan sebagai pembaka bagi menjimatkan makanan. Nisbah ayam jantan kepada ayam betina yang cekap untuk pembiakan adalah 1 jantan kepada 8–10 betina. Kandang untuk penghasilan telur sahaja tidak memerlukan ayam jantan pembaka.
Ladang pengeluar telur memilih baka yang terjamin penghasilannya dan ayam mudah diurus seperti Hy-Line (cepat bertelur, telur warna coklat 300–320 biji setahun), ISA Brown (sangat lasak, bertelur sangat rajin 320–340 biji setahun), Lohman Brown (tempoh bertelur yang lama dan konsisten), dan Leghorn (bertubuh mungil tetapi bertelur warna putih yang banyak, 280–300 biji setahun).
Baka Dwi-fungsi (Untuk Telur dan Daging)
Kuroiler: Baka dwi-fungsi yang sangat sesuai untuk sistem separa intensif atau sistem lepas bebas. Baka ini tidak memilih makanan, mampu makan sisa pertanian seperti sisa bijirin lepas tuai yang tumpah, menjadikannya sesuai untuk penternak kecil di desa. Ia cepat besar dan mampu bertelur 180–200 biji setahun.
Sasso: Terdapat beberapa jenis Sasso dengan kelainan pada warna bulunya. Ia adalah baka dwi-fungsi yang sangat lasak, tahan penyakit, mempunyai nisbah pertukaran makanan terbaik, serta berimbang antara fungsi penelur dan pedaging. Ia bertelur sebanyak 200–240 biji setahun.
Rhode Island Red: Baka dwi-fungsi klasik yang sangat terkenal lasak, produktif, tahan penyakit, dan mudah beradaptasi dengan persekitaran.
Plymouth Rock & Light Sussex: Baka dwi-fungsi ini terkenal sangat tenang, mempunyai kecantikan yang tersendiri, dan menawarkan prestasi terbaik sama ada untuk telur ataupun daging.
Untuk mencapai prestasi terbaik, ayam baka asli perlu diberi perhatian khusus walaupun mempunyai karakter sesuai diternak secara separa intensif atau lepas bebas. Pengurusan yang baik mestilah diberikan dari aspek kualiti makanan, bekalan air minum sepanjang hari, reban yang selamat terutamanya pada waktu malam, dan program vaksinasi. Harga makanan dan harga anak ayam (DOC) yang tinggi tidak sepatutnya menjadi halangan. Inovasi dalam penghasilan makanan sendiri secara fermentasi menggunakan bahan tempatan boleh dilakukan dengan bahan tempatan percuma seperti ubi kayu, azola, dan keladi bunting.
Penghasilan anak ayam DOC boleh dilakukan sendiri kerana baka asli bukan hibrid yang perlu dibeli setiap kali memasukkan anak ayam. Malah, terdapat induk yang mampu mengeram sendiri atau menggunakan induk angkat ayam kampung asli tanpa perlu membeli inkubator.
Penternakan ayam piru sesuai sebagai usaha sampingan, namun berpotensi berkembang menjadi perniagaan besar berikutan permintaan dan harga yang baik.
2. Ayam Piru
Menternak ayam piru di kawasan tropika agak janggal dan mencabar kerana ia adalah haiwan liar dari kawasan sejuk yang dijinakkan sejak berabad-abad dulu. Pengurusan yang cekap harus diterapkan bagi mengelakkan kelembapan tinggi, stres haba, dan jangkitan penyakit.
Namun, setelah penyesuaian berabad-abad lamanya sejak zaman kolonial, ayam piru dapat beradaptasi dan berkembang biak di sini dengan baik. Baka tempatan atau silang baka antara baka tempatan dan baka import mempunyai toleransi terhadap cuaca tropika.
Baka berbulu putih biasanya lebih tahan terhadap stres haba berbanding baka berbulu hitam atau kelabu. Reka bentuk reban perlu diubahsuai bagi menangani masalah stres haba, kelembapan tinggi ketika hujan, peredaran udara, dan pemindahan tinja bagi meminimumkan pembebasan gas ammonia.
Skala Usaha dan Potensi Perniagaan
Usaha menternak ayam piru sesuai dilakukan secara kecil-kecilan sebagai usaha sampingan, tetapi dengan permintaan yang tinggi dan harga yang baik, ia boleh menjadi satu perniagaan yang besar. Ia boleh dimulakan dengan membeli beberapa induk jantan dan betina dan mula menghasilkan anak DOC sendiri apabila ia mula bertelur.
Permintaan terhadap bekalan ayam piru memuncak ketika perayaan Krismas dan Deepavali. Kaum India terutamanya sangat bijak menilai kualiti ayam piru dan memasaknya untuk perayaan besar mereka bagi dimakan oleh seisi keluarga. Mereka lebih memilih ayam piru tempatan yang hidup dan bakal disembelih sendiri berbanding ayam piru sejuk beku yang diimport dari luar negara.
Permintaan dan Tingkah Laku Pasaran
Sebulan sebelum menjelang dua perayaan besar itu, kelihatan peraih berbondong-bondong dari pasar mengunjungi kawasan penternakan ayam piru. Jika di utara tanah air, kawasan sekitar Tasik Gelugor dan Kepala Batas, Pulau Pinang menjadi tumpuan peraih dari sejauh Perlis mahupun Ipoh dan Lembah Kelang untuk datang tawar-menawar bagi membeli ayam piru secara borong.
Biasanya mereka memborong habis satu reban kerana mampu memberi harga terbaik dan disukai oleh penternak kerana dapat memulakan ternakan baru secara serentak dua bulan kemudian bagi pasaran tahun berikutnya.
Tempoh dua bulan itu digunakan untuk mencuci reban dan membasmi kuman menggunakan teknik "bom" iaitu menggunakan kristal kalium permanganat bersama formalin.
Kesesuaian Pasaran Tempatan
Semua baka ayam piru yang ada sekarang berasal daripada ayam turki liar dari Amerika Utara. Baka paling popular diternak untuk tujuan komersial ialah Broad-Breasted White. Terdapat juga baka Broad-Breasted Bronze yang hampir sama dari segi saiz dan karakternya tetapi kurang popular kerana pasaran di luar negara lebih menggemari ayam piru berbulu putih, namun masalah ini tidak timbul bagi pasaran Asia buat masa ini.
Menternak ayam piru di kawasan tropika agak janggal dan mencabar kerana ia adalah haiwan liar dari kawasan sejuk yang dijinakkan sejak berabad-abad dulu.
Terdapat banyak lagi baka ayam piru dari luar negara, antaranya Bourbon Red, Holland White, Narragansett, Bronze, dan Royal Palm.
Sesetengahnya adalah baka ayam piru hiasan yang lebih lambat membesar dan memberi kualiti daging yang rendah. Jika menternak untuk penghasilan daging, baka komersial pedaging haruslah dipilih, bukan baka hiasan atau silang baka antara keduanya. Usaha menternak ayam piru sangat menguntungkan dan mudah dijual jika diternak di kawasan yang mempunyai ramai komuniti India dan bandar-bandar besar.
Usaha ini lebih berdaya maju jika menggunakan bahan makanan ternakan yang diolah daripada rumpai liar, hasil pertanian yang rosak, sayur-sayuran terbuang dari pasar, dan sisa-sisa makanan dari gerai dan restoran.
3. Itik Indian Runner
Jika anda melihat itik yang aneh kerana berlari seperti kartun penguin, tidak salah lagi, itulah itik Indian Runner. Dinamakan begitu kerana berasal dari Asia Tenggara (Indo-Malaya) dan suka berlari ke sana ke mari dalam kumpulannya.
Ciri Unik dan Tarikan Rekreasi
Kanak-kanak paling suka mengejarnya dan itik ini kelihatan seronok dibuat begitu. Apabila berhenti dikejar, mereka akan berpatah balik seolah-olah minta dikejar lagi. Bagi zoo mini, taman rekreasi berkonsep keluarga, dan chalet desa, itik ini adalah satu kemestian untuk dimiliki dalam kumpulan yang besar kerana ia tidak pernah gagal untuk menarik perhatian dan menghiburkan pengunjung.
Itik ini telah lama wujud, mungkin sejak 2000 tahun dahulu di sekitar Asia Tenggara. Ukiran-ukiran kuno yang ditemui di Jawa dan Indochina mengabadikan imej itik ini.
Peranan dalam Pertanian Lestari
Sejak ratusan tahun dahulu, penduduk di Indonesia dan India mengembala itik jenis ini di sawah seperti mengembala kambing bagi mengutip sisa bijirin yang tumpah selepas musim menuai, biji-biji rumpai, siput, dan larva serangga. Mereka menggunakan buluh panjang yang diikat dengan cebisan kain panjang bagi mengawal itik supaya tidak tersasar daripada kumpulannya. Menjelang malam, itik akan dihalau dan dikurung dalam reban yang dibuat daripada buluh atau tembok batu bagi mencegahnya daripada diserang pemangsa.
Itik Indian Runner terkenal dengan sifatnya yang sangat rajin bertelur walaupun dengan pemberian makanan yang kurang berkualiti dan dalam jumlah yang minima. Ia mendapat bekalan protein dengan memakan siput liar, larva serangga, dan haiwan kecil, sehingga menjadi pest control (kawalan perosak) yang sangat efektif.
Ia digunakan dengan meluas bagi tujuan ini dalam pertanian regeneratif atau lestari. Hanya dengan beberapa ekor induk, telur yang banyak boleh ditetas sendiri bagi mengembangkan populasinya agar bekerja dengan berkesan, selain menjadi sumber protein murah bagi keluarga penternak di luar bandar.
Produktiviti Telur dan Ciri Anak Itik
Pergerakan dalam kawasan yang luas dan pemakanan kebanyakan tumbuhan hijau dapat mengawal rumpai secara semula jadi, manakala taburan tinjanya ke seluruh kebun menyuburkan tanah dengan meningkatkan kandungan bahan organik dan populasi organisma tanah. Penternakan itik Indian Runner memerlukan ia dilepaskan bebas dalam kawasan yang luas. Jika dikurung, ia akan membuat bising seolah-olah memprotes dan minta dilepaskan untuk berlari.
Itik Indian Runner terkenal dengan sifatnya yang sangat rajin bertelur walaupun dengan pemberian makanan yang kurang berkualiti dan dalam jumlah yang minima.
Itik Indian Runner adalah penelur yang sangat produktif. Baka daripada strain terbaik mampu menghasilkan sehingga 250 biji telur setahun. Telurnya berwarna putih bersih, dan lebih besar sedikit daripada telur ayam. Induknya tidak mengasuh anak seperti ayam kampung, tetapi anak-anaknya sangat lasak sebaik sahaja keluar daripada alat pengeram dan tahan sejuk sehingga tidak perlu diberi lampu pemanas. Walaupun tidak boleh terbang, Indian Runner mampu melompat keluar daripada kurungan setinggi satu meter jika lapar.
Pemilihan Baka dan Sumber Pembekal
Jika memilih ternakan muda yang ingin dijadikan baka, pilihlah yang berkaki tegap dan dapat berlari sempurna daripada pembiak baka yang mempunyai induk dengan sejarah pengeluaran telur yang banyak dan diternak secara lepas bebas supaya anak-anak turut mempunyai deria mencari makan sendiri di alam (foraging ability).
Pembekal DOC dan induk Indian Runner boleh dicari melalui Facebook Azhar Abdul Rahman dari Padang Serai, Kedah dan Atok Farm dari Nilai, Negeri Sembilan. Jika ingin berdikari dengan pengeluaran makanan sendiri, itik IndianRunner adalah antara pilihan terbaik sebagai penghasil sumber protein.
4. Ayam Mutiara (Guinea Fowl)
Ayam mutiara, juga dipanggil ayam api-api, berasal daripada burung liar benua Afrika yang dijinakkan sejak berabad-abad dahulu. Penternak ayam mutiara (Guinea fowl) menyukai unggas ini kerana ia sangat lasak dan mampu mencari makan sendiri sehingga 90 peratus keperluannya jika dilepaskan bebas (foraging). Ia menjadi agen kawalan serangga yang paling berkesan kerana memakan semua jenis serangga daripada anai-anai sehingga sebesar kumbang tanduk.
Bukan setakat pada peringkat dewasa, malah tanah digali untuk mendapatkan larva dan telurnya sekali. Selain sebagai pembasmi serangga, ayam mutiara turut membekalkan daging yang lazat, yang lebih hampir kepada rasa burung berbanding rasa ayam. Telurnya lebih kental terutamanya pada bahagian kuning, dan sudah popular dimakan bersama madu lebah sebagai jamu semula jadi terutamanya dalam kalangan warga emas untuk vitaliti.
Sifat Perlindungan dan Cabaran Penternakan
Ayam mutiara juga mempunyai sifat melindungi teritorinya dengan berani. Tidak hairanlah ia juga berfungsi sebagai ‘penjaga’ di kebun seperti itik angsa ataupun anjing. Jika bercampur bersama ayam kampung, mungkin memberi masalah kerana ayam jantan juga mempunyai naluri mempertahankan wilayah dan kumpulan ayam betinanya.
Selain sebagai pembasmi serangga, ayam mutiara turut membekalkan daging yang lazat, yang lebih hampir kepada rasa burung berbanding rasa ayam.
Kemungkinan kedua-duanya bergaduh adalah sangat tinggi. Ayam mutiara juga agak vokal apabila terkejut atau diganggu, menjadikannya kurang sesuai diternak di kejiranan yang padat.
Kawasan pergerakannya untuk mencari makanan juga agak luas, kadang-kadang masuk ke kebun sebelah yang mungkin menimbulkan masalah jika pemiliknya tidak menyukai haiwan tersebut.
Ayam mutiara juga mampu terbang tinggi. Ada kejadian ia naik ke pokok sawit dan tidak turun- turun akibat 'merajuk' dengan tuannya yang membuat suntikan vaksin. Sejak daripada itu, setiap kali van Jabatan Veterinar menghampiri ladang, semua ayam mutiara berada di atas pokok sawit, dan hanya turun keesokan paginya untuk makan dan minum.
Kesimpulan dan Kriteria Pemilihan
Penulis mencadangkan empat projek yang melibatkan unggas. Mungkin ada lagi unggas yang berpotensi mengikut perkembangan pada masa hadapan. Walau bagaimanapun, untuk survival di zaman mencabar ini, apa pun usaha mestilah melibatkan ternakan yang mempunyai toleransi terhadap cuaca ekstrem, mempunyai kadar kemandirian yang tinggi, mampu hidup dengan bahan makanan yang murah, dan dapat diterbitkan daripada sumber alam yang murah. Faktor terpenting yang terakhir ialah ia pasti dapat dipasarkan dengan keuntungan yang setimpal dengan usaha!
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.