July 09 2025

Ternakan Ketam: Dari Kolam ke Kuali

Ternakan Ketam: Dari Kolam ke Kuali - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Bushral Karim bin Md Yusob

Pengunjung ke Pulau Langkawi yang digelar ‘Permata Kedah’ (The Jewel of Kedah) lazimnya mencari medan selera yang menyediakan hidangan makanan laut untuk menjamu selera. Pulau Langkawi yang dikelilingi lautan masih memiliki hidupan laut yang boleh dijadikan makanan istimewa, walaupun tidak semurah atau semeriah seperti di Sabah. Namun, seperti di mana-mana sahaja, hidupan laut semakin menyusut akibat tangkapan berlebihan dan teknologi penangkapan yang semakin canggih. 

Untuk memastikan kelestarian hidangan makanan laut dapat bertahan dalam jangka masa panjang, perlu ada usaha untuk menternak hidupan laut, sama ada ikan mahupun krustasia. Menternak berbanding menangkap dari sumber liar dapat menjamin bekalan yang berterusan, terutamanya pada musim tengkujuh. Selain itu, hasil ternakan yang segar dapat dihidangkan kepada pelanggan dengan harga yang lebih stabil. 

Inisiatif Ternakan Ketam Nipah di Langkawi

Seorang pemuda yang mahu dikenali sebagai Jan Bolly telah mengusahakan satu kawasan paya bakau dalam zon pasang surut laut untuk ternakan ketam nipah bersama empat orang rakan kongsi. Ladang dan restoran makanan laut yang terletak di Kampung Kelubi, Kubang Badak ini dikenali sebagai The Crab Farm. Persekitaran muara dengan latar belakang laut dan pokok-pokok bakau yang unik menawarkan pengalaman baru kepada pengunjung, terutamanya kanak-kanak. 

Sejarah Penubuhan Crab Farm

Crab Farm bermula pada tahun 2019 apabila Jan Bolly memperoleh sekeping tanah dari Kerajaan Negeri Kedah seluas 2.42 hektar. Di atas tanah inilah Jan Bolly membina dua buah kolam khusus untuk ternakan ketam. Tanah asalnya merupakan hutan paya bakau yang berhampiran dengan laut. 

Lokasi ini amat sesuai untuk ternakan ketam nipah kerana air laut yang tidak tercemar boleh dipam dengan mudah ke dalam kolam pada bila-bila masa. Ketam nipah memerlukan air laut yang bersih dan lumpur paya yang tinggi kandungan bahan organik dengan pH yang sesuai, mirip dengan habitat asalnya, untuk membesar dengan subur dan berkembang biak. 

Pengalaman Jan Bolly dalam Industri Ketam

Jan Bolly telah 20 tahun terlibat dalam aktiviti menangkap ketam untuk dijual sama ada untuk pasaran tempatan atau eksport. Sepanjang penglibatannya turun ke hutan bakau untuk mencari ketam atau berperanan sebagai peraih yang membeli ketam dari pencari tempatan, beliau mendapati usaha mendapatkan ketam liar semakin sukar. 

Penangkap ketam nipah terpaksa merentasi kawasan paya yang penuh bahaya, namun hasil yang diperoleh tidak sepadan dengan usaha yang dicurahkan. Kadang-kala mereka hanya pulang dengan hasil yang cukup untuk membeli petrol untuk kegunaan bot bagi hari berikutnya, tanpa lebihan untuk perbelanjaan keluarga. 

Encik Jan Bolly seorang pemuda yang mengusahakan Restoran Crab Farm, dengan menternak ketam dari kolam ke kuali.

 

Keadaan semakin meruncing apabila perolehan hasil ketam terus menurun, sedangkan permintaan terhadap ketam semakin meningkat ekoran kedatangan pengunjung yang tidak putus-putus ke pulau lagenda ini. Situasi ini menjadi lebih ketara semasa musim cuti atau ketika penganjuran acara penting seperti LIMA dan Tour de Langkawi. 

Permulaan Ternakan Ketam Nipah Secara Komersial

Atas kesedaran inilah, Jan Bolly mula berkira-kira untuk menternak ketam dalam kolam buatan. Pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh sepanjang mencari ketam membuatnya benar- benar memahami persekitaran dan keperluan biologi ketam nipah untuk membiak dan membesar dengan pantas. 

Setelah tiga tahun memerhati dan belajar secara cuba jaya, beliau akhirnya berjaya menghasilkan ketam untuk restorannya. Pengeluaran sendiri ini dapat menjamin bekalan yang berterusan dengan kualiti terbaik.   

Keperluan Bekalan Ketam untuk Industri Pelancongan Langkawi

Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama sememangnya memerlukan restoran makanan laut yang terbaik, dan ketam merupakan pilihan istimewa. Namun, bekalan ketam daripada nelayan tempatan seringkali tidak menentu mengikut perubahan musim. 

Walaupun ada ketikanya ketam banyak di pasaran, namun kebelakangan ini semakin sukar untuk memperoleh bekalan ketam tempatan yang mencukupi. Sebagai seorang yang berpengalaman dalam menangkap ketam liar, Jan Bolly menyedari potensi besar dalam menternak ketam. 

Restorannya bukan sahaja menjadi saluran pemasaran untuk hasil ladang ternakannya, malah turut menjadi tarikan pelancong dengan persekitaran yang unik. Pengunjung masa kini sangat menggemari lokasi yang menarik untuk dijadikan latar belakang fotografi dan dikongsi di media sosial. Bersama empat orang rakan kongsi, mereka bergilir-gilir menguruskan ladang ternakan dan mengoperasikan restoran yang menyediakan pelbagai hidangan berasaskan ketam nipah. 

Pemilihan Tapak

Menurut Jan Bolly, tapak yang sesuai untuk penternakan ketam nipah perlulah berhampiran dengan bekalan air masin yang tidak tercemar dan mempunyai kadar kemasinan yang tepat. Kawasan sebegini biasanya terletak jauh dari kawasan perumahan atau kilang-kilang. Lokasi yang biasa dipilih ialah kawasan muara sungai atau kawasan berhampiran laut yang terpencil. Kawasan berdekatan hutan simpan paya bakau lebih sesuai kerana mempunyai sumber mikroorganisma dan hidupan liar yang subur. Kedudukan tapak kolam juga mesti boleh dikeringkan mengikut keperluan aktiviti penternakan, dan air buangan perlu disalirkan ke kawasan yang jauh dari sumber bekalan air bersih yang akan dipam masuk ke kolam. 

Pembinaan Kolam Penternakan Ketam

Kawasan yang dulunya merupakan hutan bakau dibersihkan, dan kolam dikorek menggunakan   ekskavator yang mampu beroperasi dalam paya berlumpur. Kolam penternakan dibina dengan   kedalaman 0.5-1.5m untuk mengelakkan air menjadi terlalu panas akibat pendedahan cahaya matahari. Kolam juga perlu dilindungi sama ada menggunakan polinet atau daun kelapa yang disusun di atas struktur batang pokok bakau.


Kawasan kolam yang menempatkan ketam untuk membesar sebelum dipindahkan ke kolam kecil untuk dipilih.

 


Air dipam dari laut berhampiran dan dicampur dengan air tawar untuk mendapatkan kadar   kemasinan yang sesuai, iaitu antara 10-30 ppt (kandungan garam dalam gram per 1,000 gram air). Untuk penternakan dalam kolam, biasanya 1-2 ekor ketam memerlukan keluasan satu meter persegi. 

Kesesakan dalam kolam boleh menjejaskan pembesaran ketam dan mungkin menyebabkan kanibalisme, di mana ketam saling memakan antara satu sama lain akibat kepadatan tinggi. Ketam yang berkulit keras cenderung memakan ketam lain yang sedang lembut kerana proses bersalin kulit. 

Pengurusan Kualiti Air dalam Penternakan Ketam

Untuk memastikan air memenuhi sukatan garam yang ditetapkan, alat refractometer atau hydrometer digunakan. Kemasinan kolam disesuaikan dengan menambah kandungan garam atau air tawar ke dalam kolam.

Bagi memastikan pengudaraan yang baik, kincir dan mesin pengudaraan dipasang di permukaan kolam. Kipas kincir akan menggerakkan permukaan air untuk meningkatkan kandungan oksigen terlarut. Arus yang terbentuk juga membantu mengumpulkan sisa makanan dan najis ketam di tengah kolam, memudahkan proses pembersihan apabila diperlukan.

Sumber Benih dan Pemuliharaan Ketam Nipah

Jan Bolly memperoleh benih ketam dengan berhubung terus dengan penangkap ketam nipah tempatan yang mengumpul ketam di hutan paya bakau. Penangkap biasanya menggunakan bubu ketam (dipanggil ‘bento’) berumpan kepala ayam atau ikan baja untuk memerangkap ketam nipah ketika air pasang. 

Bento bertali panjang dilemparkan ke kawasan berpotensi ketika air surut dan dikutip semula ketika air pasang. Hasil tangkapan besar dijual ke restoran, manakala ketam bersaiz kecil dijual kepada penternak seperti Jan Bolly untuk proses pembesaran. 

Bagi memastikan kelestarian ketam nipah, penternak melepaskan sebahagian kecil ternakan kembali ke habitat asal di hutan simpan paya bakau sekitar Langkawi. Ketam yang dibiakkan   secara berterusan dalam kolam cenderung mengecil berbanding baka liar, mungkin disebabkan perbezaan sumber makanan semula jadi. 

Amalan pelepasan semula induk ke hutan bakau membantu mengekalkan genetik ketam nipah   untuk generasi akan datang. 

Penjagaan Ketam Nipah dalam Sistem RAS dan Kolam

Ketam nipah liar yang diperoleh dari nelayan tempatan akan dibesarkan sama ada dalam Sistem RAS atau di dalam kolam. Bagi Sistem RAS (Recirculating Aquaculture Systems), ketam akan ditempatkan dalam peti khas yang disusun secara bertingkat dan dilengkapi sistem paip untuk memastikan air bersih sentiasa mengalir serta bekalan oksigen mencukupi. 

Dalam sistem ini, ketam nipah diletakkan dalam kotak individu dengan air yang mempunyai kadar kemasinan, pH, dan suhu yang sesuai. Setiap kotak turut dilengkapi platform kering untuk ketam bertenggek. 

Ketam diberi makan sekeping kecil ikan baja (trash fish) sebanyak tiga kali sehari. Sistem individu ini berkesan mencegah kanibalisme dan sangat sesuai untuk menghasilkan ketam berkulit lembut. 

Kotak akan diperiksa setiap hari, dan ketam yang sedang bersalin kulit akan dikumpulkan serta   dibekukan dengan segera sebelum kulitnya mengeras. Ketam berkulit lembut ini mendapat harga premium berbanding ketam biasa dan sangat digemari pelancong dari Korea, Jepun, China, dan Singapura. 

Proses Pembesaran Ketam dalam Kolam

Pembesaran ketam dalam kolam memakan masa antara tiga hingga enam bulan untuk mencapai berat 200 hingga 500 gram. Ketam yang mencapai berat maksimum bergantung pada pemakanan berprotein tinggi dan kualiti air yang baik. 

Semasa proses pembesaran, pemberian makanan perlu mengikut jadual yang ketat dengan kawalan intensif untuk mengelakkan serangan pemangsa dan penyakit. Antara binatang perosak yang perlu dikawal termasuk burung, ikan pemangsa, dan biawak. Untuk perlindungan daripada biawak, kolam perlu dipasang jaring dari pukat tiga lapis terpakai di sekelilingnya. 


Sistem RAS adalah untuk ketam-ketam terpilih ditempatkan dalam kotak kuning yang ada pengaliran air secara sistematik, untuk memastikan ketam besar dan berkualiti.

 


Ancaman Penyakit dan Pengawalan dalam Penternakan Ketam

Penyakit yang boleh menyerang ketam termasuk bakteria yang hidup di bawah cengkerang. Bakteria ini membiak akibat sumber air tercemar, terutamanya dari air buangan kolam berpenyakit di sekitarnya. Keadaan ini boleh dielakkan dengan membina kolam di kawasan terpencil dan mengepam air semasa air pasang, di mana kedudukan injap paip air masuk diletakkan jauh di tengah laut. 

Parasit dalam kolam seperti lintah juga merupakan ancaman serius. Untuk mengawalnya, rendaman garam perlu diletakkan di sekitar kawasan kolam. 

Keberkesanan Sistem RAS dalam Penternakan Ketam

Bagi Jan Bolly, penggunaan Sistem RAS (Recirculating Aquaculture Systems) untuk penternakan ketam nipah terbukti paling efektif.

Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan risiko penyakit dan serangan pemangsa secara signifikan, malah hampir menghapuskannya sama sekali. Kaedah ini juga memudahkan proses pengutipan ketam matang, menjimatkan tenaga pekerja, sekaligus menghasilkan ketam berkulit lembut yang bernilai tinggi di pasaran. 

Pemilihan Makanan untuk Ketam Nipah

Ikan merupakan makanan utama ketam. Untuk memastikan ketam tidak terdedah kepada penyakit, ikan yang diberikan hendaklah segar dan dibersihkan terlebih dahulu. 

Jan Bolly memperoleh ikan baja dari nelayan tempatan sebagai makanan ketam nipahnya. Ikan baja merujuk kepada tangkapan bersaiz kecil atau spesies yang kurang popular seperti ikan selangat, tamban, bulu ayam, dan anak kembung yang tidak mempunyai nilai pasaran sebagai ikan konsumsi. Bahagian ikan yang dipotong semasa penyediaan ikan kering juga boleh dijadikan makanan ketam. 

Makanan diberikan setiap tiga hari sekali kerana ketam yang diberi makan berlebihan mudah mati akibat sistem pencernaan yang rosak. 

Perpaipan dalam sistem RAS memastikan air sentiasa bersih.

 

Sebaliknya, jika makanan terlalu sedikit, ia akan menjejaskan berat dan pembesaran ketam. Oleh itu, pemberian makanan perlu diseimbangkan berdasarkan data yang dikumpul dan dianalisis setiap bulan. Sebagai panduan, berat makanan yang diberikan ialah 5-10% daripada berat badan ketam. 

Komitmen terhadap Kualiti Makanan di The Crab Farm

Di The Crab Farm, tiada makanan paket tiruan diberikan kepada ketam nipah bagi mengekalkan kualiti dan rasa semula jadi ketam. Ketam yang diberi makan dedak paket tidak mempunyai rasa umami makanan laut yang sebenar, dan pelanggan dapat mengesan perbezaan ini. Amalan ini mungkin memberi kesan buruk kepada perniagaan dalam jangka masa panjang. 

Aplikasi IoT dalam Penternakan Ketam

Peralatan IoT diperoleh daripada pihak MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi).   Dengan peralatan ini, kawalan kolam boleh dilakukan melalui peranti atau telefon pintar. Alatan seperti pam dan kincir air juga boleh dikawal menggunakan peranti tersebut. 

Teknik Penghasilan Ketam Berkulit Lembut

Kini, tempat khas telah dibina untuk menghasilkan ketam berkulit lembut yang sangat digemari   pelancong dan sentiasa mendapat permintaan tinggi. 

Proses penghasilan ketam berkulit lembut dilakukan secara semula jadi dan memerlukan   pemantauan berterusan. Pemilihan ketam yang tepat amat penting dalam proses ini. 

Ketam berkulit lembut sebenarnya merupakan ketam yang baru sahaja berganti kulit. Pada   peringkat ini, cengkerangnya masih lembut dan keseluruhan badan ketam boleh dimakan. 

Proses berganti kulit berlaku beberapa kali sepanjang hayat ketam, dipengaruhi oleh faktor   nutrisi, suhu air, dan cahaya. 

Untuk menghasilkan ketam kulit lembut, pengusaha perlu memantau kitaran bersalin kulit ketam dengan teliti. Ketam yang sedang bersalin kulit perlu dikutip dan dihentikan proses ini dengan segera melalui pembekuan dalam ais. 

Jika tidak dilakukan dalam tempoh 1-2 jam, cengkerang baru akan mengeras semula. Ketam berkulit lembut kemudiannya digaramkan, dibungkus secara individu, dan dibekukan dengan segera untuk mengekalkan kesegaran dan kualiti. 


Ketam yang telah dipilih diletakkan dalam akuarium di restoran untuk pelancong membuat pilihan.

 


Penyediaaan Hasil Ketam Untuk Pengunjung

Restoran Crab Farm di Kampung Kelubi, Kubang Badak, Langkawi menyediakan pelbagai jenis ketam segar termasuk ketam nipah, ketam renjong, dan ketam mara untuk pengunjung. Ketam-ketam ini diletakkan dalam akuarium khas untuk dipilih oleh pelanggan. Pengunjung bebas memilih ketam mengikut saiz dan keinginan, sama ada ketam biasa atau ketam bertelur. Pelanggan kemudian boleh memilih jenis masakan berdasarkan menu yang disediakan restoran. Restoran turut menyediakan pelbagai masakan sayuran sebagai hidangan sampingan yang boleh dipadankan dengan ketam, sama ada bersama nasi putih mahupun nasi goreng. 

Kesimpulan

Penternakan ketam merupakan perniagaan yang berpotensi memberikan pulangan besar jika   dilaksanakan dengan betul. Kejayaan dalam bidang ini memerlukan komitmen tinggi daripada   pengusaha dan pemilihan baka ketam yang berkualiti. Faktor kritikal termasuk: 

•    Menjaga kualiti air yang bersih dan bebas pencemaran 

•    Memastikan pemakanan ketam mencukupi dan seimbang 

•    Mengamalkan teknik pengurusan dan pengutipan hasil yang betul 

Ilmu dan pengalaman dalam bidang penternakan ketam perlu terus ditambah baik memandangkan permintaan pasaran terhadap produk ini sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag