October 13 2025
Oleh: Bushral Karim Md Yusob
Menempuh era persaraan daripada tugas hakiki membolehkan seseorang mempraktikkan bidang yang digemari tetapi tidak mampu dilakukan ketika masih berkhidmat. Begitulah yang berlaku kepada Encik Hamdan Ahmad Sapli, seorang pesara tentera laut yang telah memulakan pertanian di perkarangan rumah sejak tahun 2010. Antara tumpuan utama beliau adalah mengeluarkan dan membekalkan anak-anak ayam baka Ayam Penelur kepada penternak yang ingin memelihara ayam secara kecil-kecilan untuk keperluan makan keluarga dan menjual lebihan hasil telur bagi menjana pendapatan tambahan.
Projek pertanian mikro di perkarangan rumah oleh pesara tentera ini sangat menarik dan boleh dilawati di Kitchen Garden, Batu 10 Lekir, dalam Daerah Manjung, Perak.
Berkat kesabaran dan ketabahan, beliau turut berjaya membiakkan sendiri baka ayam Dual-Fungsi jenis Rhode Island Red (RIR), Australorp dan Ayam Arab.
Encik Hamdan juga memasarkan baka ayam penelur komersial seperti Lohmann Brown F1 dan Coral. Selain mengeluarkan dan memasarkan anak ayam daripada baka terpilih, beliau juga memanfaatkan kawasan di sekeliling rumah dengan pelbagai tumbuhan, sayuran dan herba untuk sara diri serta mengadakan kursus Pertanian Bandar dan Ayam Penelur Teknik Rumahan khas untuk bakal petani, usahawan dan pesara yang berminat mendalami selok-belok ternakan ayam penelur dan pertanian bandar.
Semasa penulis menemubual Encik Hamdan, beliau telah berkongsi proses menyediakan baka-baka ayam penelur yang sesuai untuk diternak di kawasan persekitaran rumah serta contoh reban ayam yang tidak menjejaskan alam sekitar.
Pemilihan baka ayam penelur yang sesuai amat penting bagi memastikan produktiviti optimum serta daya tahan ayam terhadap cuaca dan penyakit.
Encik Hamdan berkongsi cara untuk menentukan baka ayam yang dapat menghasilkan telur yang banyak, tahan terhadap perubahan cuaca dan rintang kepada penyakit.
Beliau turut berkongsi ilmu memilih gred telur yang terbaik bagi tujuan penetasan. Beliau menunjukkan inkubator yang dibelinya dengan harga RM3,300 bagi membolehkan pengeluaran anak-anak ayam sama ada untuk kegunaan sendiri mahupun untuk dijual.
Ayam yang memiliki daya tahan penyakit tinggi dapat mengurangkan kos rawatan serta menurunkan kadar kematian ternakan.
Terdapat 8 reban yang disediakan oleh beliau berukuran 5’x10’, 4’x8’, 4’x12’ dan 5’x16’ yang boleh menempatkan 20–50 ekor ayam matang dan sedia untuk bertelur.
Beliau melengkapkan setiap reban ayam dengan tangga ayam, tempat untuk dedak ayam dan bekas minuman.
Tempat ayam bertelur direka khas bagi memudahkan proses mengutip hasil. Sebagai panduan kasar, seekor ayam penelur memerlukan ruang reban seluas 1.5 kaki persegi.
Oleh kerana beliau mengusahakan ternakan ayam di kawasan perumahan, bilangan ayam perlu berada di bawah 499 ekor pada satu-satu masa. Jumlah ini perlu disahkan oleh pihak veterinar sebelum mendapat kelulusan daripada Majlis Kerajaan Tempatan.
Untuk pemakanan ayam, beliau memberikan dedak yang dibeli daripada pengeluar makanan ayam komersial selain memberikan daun ketum ayam yang ditanam. Pemberian daun ketum ayam dan daun-daun tumbuhan lain dapat mengurangkan kos makanan ayam.
Faktor-Faktor Pemilihan Baka Ayam Penelur
Encik Hamdan mencadangkan agar penternak memilih baka ayam penelur yang baik, iaitu yang mampu bertelur dalam jumlah yang banyak dan konsisten.
Ayam juga perlu tahan terhadap serangan penyakit kerana ayam yang mempunyai daya tahan tinggi dapat mengurangkan kos rawatan dan kadar kematian ternakan. Faktor cuaca di Malaysia yang beriklim panas dan lembap juga perlu diambil kira. Baka ayam yang dipilih mestilah tahan haba iklim Malaysia.
Aspek pemakanan perlu mengambil kira kadar penggunaan makanan cekap untuk menjimatkan kos operasi ternakan ayam.
Baka Ayam Penelur Terbaik di Malaysia
Berikut adalah senarai baka ayam yang boleh dihasilkan oleh Encik Hamdan dan boleh dibeli daripadanya, tetapi perlu membuat tempahan terlebih dahulu.
1. Ayam Lohmann Brown F1
Ayam Lohmann adalah antara baka ayam penelur paling popular, khususnya di Asia Tenggara, kerana kemampuannya menghasilkan telur dalam jumlah yang tinggi. Ayam Lohmann berasal dari Jerman dan merupakan antara baka ayam penelur yang popular di dunia.Ia dibawa ke Asia pada pertengahan abad ke-19 dan kemudian dikembangkan untuk memenuhi keperluan makanan asas masyarakat tempatan.
Lohmann Brown terkenal dengan sifatnya yang jinak; boleh dibelai dan agak manja, sesuai untuk para penternak yang ingin melibatkan ahli keluarga dalam membantu rutin harian penjagaannya.
Hasil telur ayam kutipan harian hanya dari ternakan di sekeliling rumah.
Di Malaysia, ayam Lohmann lebih sesuai untuk penternakan komersial dalam sistem reban tertutup kerana keupayaannya bertelur secara konsisten dalam persekitaran terkawal.
Baka ini kurang tahan terhadap cuaca panas yang melampau. Sistem pengudaraan yang baik dan pemakanan yang berkualiti penting bagi memastikan pengeluaran telur yang optimum.
Ayam Lohmann mampu menghasilkan 300-320 biji telur setahun dan menghasilkan telur bersaiz sederhana hingga besar dengan kulit berwarna coklat. Kadar penggunaan makanan ayam ini juga cekap. Ayam ini tahan terhadap pelbagai penyakit.
2. Ayam Rhode Island Red
Ayam Rhode Island Red berasal dari sebuah kepulauan di Amerika Syarikat dan mula dikembangkan pada abad ke-19 di Massachusetts. Ia merupakan hasil kacukan beberapa baka seperti Brown Leghorn dan Malay Chicken untuk menghasilkan ayam yang tahan lasak dan mempunyai kadar pengeluaran telur yang tinggi.
Baka ayam ini berwarna merah gelap dengan ekor hitam. Bersifat jinak tetapi agak aktif dan mudah menyesuaikan diri. Berat badan sekitar 2.2 hingga 3.0 kg untuk ayam betina dan 3.1 hingga 4.0 kg untuk ayam jantan.
Kelebihan ayam ini adalah keupayaannya menghasilkan sekitar 250 hingga 300 biji telur coklat setahun. Ayam ini sesuai untuk sistem penternakan terbuka dan tertutup, serta mempunyai daya tahan tinggi terhadap penyakit biasa.
Ayam ini juga sesuai dijadikan ayam pedaging. Kelemahan ayam ini adalah pertumbuhannya yang agak perlahan berbanding baka lain jika diternak menggunakan teknik bateri. Untuk memastikan Rhode Island Red terus aktif bertelur, ia perlu diberikan makanan yang berkualiti. Oleh kerana sifatnya yang agak aktif, ayam ini memerlukan ruang untuk bergerak.
Di Malaysia, baka ini sering menjadi pilihan penternak kecil dan sederhana kerana kemampuannya bertahan dalam pelbagai keadaan cuaca serta daya tahan penyakit yang baik.
En Hamdan menjunjukkan pengiktirafan daripada Jabatan Pertanian Negeri Perak atas usaha menjayakan pertanian bandar.
3. Ayam Australorp
Ayam dual-fungsi baka Australorp berasal dari Australia dan merupakan baka yang dikembangkan daripada ayam Orpington dari England.
Tujuan utama pembiakannya adalah untuk menghasilkan ayam penelur yang lebih cekap dan tahan lasak. Baka ini menjadi terkenal kerana rekod pengeluaran telur yang sangat tinggi tanpa perlu rangsangan cahaya tambahan pada tahun 1857.
Rekod ayam ini menunjukkan ia mampu bertelur sehingga 364 biji dalam setahun, dicatatkan pada pertengahan abad ke-18. Ia menghasilkan telur berwarna coklat cerah dan bersaiz sederhana.
Baka jenis ini jinak dan sesuai untuk pelbagai sistem penternakan. Ia juga mempunyai ketahanan tinggi terhadap penyakit.
Kelemahan ayam ini adalah saiznya yang lebih besar, yang memerlukan lebih banyak makanan. Untuk mencapai potensi hasil yang tinggi, ia perlu diberikan makanan berkualiti tinggi.
4. Ayam Arab
Ayam Arab dipercayai berasal dari Timur Tengah, khususnya dari Mesir dan Arab Saudi. Ayam ini juga merupakan baka pertama yang direkodkan dalam buku pada tahun 500 Masihi yang mencatatkan penemuan baka ini di sebelah barat Sungai Nil, di Kaherah, Mesir.
Baka ini kemudiannya dibawa ke beberapa negara lain, termasuk Indonesia dan Malaysia, di mana ia menjadi popular dalam kalangan penternak kecil-kecilan.
Walaupun dinamakan "Ayam Arab", ia bukan ayam asli dari Semenanjung Arab sepenuhnya tetapi lebih kepada baka ayam kampung yang telah bersilang baka dengan ayam tempatan dan mengalami pemilihan genetik untuk meningkatkan pengeluaran telur.
Saiz ayam adalah sederhana, antara 1.2 hingga 2.0 kg. Ayam ini mudah dikenali dengan bulunya yang putih diselitkan dengan warna hitam atau warna bulu keemasan. Ia dapat menghasilkan antara 230 hingga 270 biji telur setahun. Warna kulit telur adalah putih dan bersaiz sederhana kecil.
Cara Memilih Baka Ayam Penelur yang Sesuai
Daripada semua baka yang disenaraikan, penternak perlu menentukan sistem yang sesuai untuk digunakan kerana baka ayam penelur yang sesuai bergantung pada jenis sistem ternakan yang ingin dijalankan.
Penternak komersial yang memilih reban tertutup sesuai memilih baka Lohmann atau Ayam Arab kerana produktiviti dan kualiti telur baka-baka ini adalah lebih baik bagi pasaran tempatan.
Bagi yang ingin menternak secara bebas atau organik, baka seperti Rhode Island Red atau Australorp lebih sesuai kerana daya tahan yang baik. Bagi yang ingin mengurangkan kos makanan, pilihlah Ayam Arab.
Debunga yang dihasilkan oleh tumbuhan ini menjadi sumber untuk madu kelulut yang beliau usahakan.
Tip Menjaga Ayam Penelur
Untuk memastikan hasil yang optimum, penjagaan yang baik adalah penting, termasuk memastikan pemakanan seimbang, pengurusan ladang ternakan yang baik, konsisten dalam memberikan vaksinasi dan rawatan, mengurangkan tekanan kepada ayam serta menyediakan pencahayaan yang mencukupi.
Aspek kebersihan ladang juga perlu diberi perhatian termasuk sistem saliran yang baik serta memastikan kepadatan ayam yang sesuai dalam reban.
Untuk memelihara ayam penelur, terdapat sasaran berat yang mesti dicapai bagi memastikan ayam mula menghasilkan telur pada masa yang tepat.
Jika berat ayam tidak dapat dicapai dalam tempoh tersebut, kemungkinan akan berlaku kelewatan mula bertelur atau ayam mungkin terbantut yang boleh menyebabkan pembaziran masa walaupun telah mencapai usia 19 minggu.
Pemberian jenis dedak mengikut umur mesti dipatuhi seperti Dedak Halus (Starter Mesh) pada umur 1–4 minggu, Dedak Grower (5–14 minggu) dan Dedak Penelur (15 minggu ke atas).
Kesilapan yang sering dilakukan oleh penternak hobi dan penternak kecil-kecilan ialah memberikan dedak ayam daging kepada ayam penelur yang dibeli di kedai runcit dari peringkat anak hingga peringkat bertelur, menyebabkan ayam menjadi gemuk dan hanya menghasilkan sedikit telur.
Dedak premium mempunyai kadar nutrien dan vitamin yang penting dan tepat bagi pembesaran ayam dan penghasilan telur.
Risiko memberi dedak murah/ekonomi, atau dedak bukan unggas (seperti dedak ruminan atau dedak ikan) adalah ayam tidak mendapat cukup nutrien penting yang sangat diperlukan.
Kekurangan protein menyebabkan ayam akan mematuk sesama sendiri, manakala kekurangan kalsium menyebabkan ayam akan makan telurnya sendiri. Kekurangan vitamin penting pula akan menyebabkan ayam stres, hilang selera makan, monyok, lemah antibodi atau lumpuh, serta berakhir dengan kematian.
Pemberian vitamin juga memainkan peranan penting dalam proses tumbesaran ayam dan gred telur ayam. Vitamin yang perlu diberikan termasuk VP 1000 (dua kali seminggu) dan Vita Stress (tiga hari sekali).
Pelbagai sayuran yang diusahakan di kawasan rumah.
Rutin pemberian bahan berubat semula jadi organik seperti memberi ayam makan bawang putih mentah serta minuman KuTeHa (Kunyit, Temu, Halia) juga dapat membantu menguatkan antibodi ayam sebagai persediaan sekiranya diserang penyakit.
Menurut Encik Borhan, kadar bancuhan jangan terlalu pekat dan mesti ikut rujukan pada label setiap jenis vitamin. Bancuhan yang terlalu pekat akan menyebabkan ayam cirit-birit, murung serta hilang selera makan akibat sakit perut yang boleh membawa kepada kematian.
Bagi ubat-ubatan, hanya air biasa perlu diberikan pada waktu pagi dan petang. Penternak harus sentiasa peka terhadap setiap perubahan sifat ayam dan memberikan rawatan segera sekiranya terdapat gejala yang dikhuatiri berkaitan penyakit atau stres.
Kesimpulan
Pemilihan baka ayam penelur yang sesuai sangat penting untuk memastikan kejayaan dalam penternakan. Baka seperti Lohmann Brown, Rhode Island Red, Australorp dan Ayam Arab masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri bergantung pada sistem ternakan yang ingin dijalankan.
Ada pelbagai cabaran yang perlu ditempuh. Encik Hamdan telah menghadapi pelbagai cabaran dalam menjaga anak ayam, memastikan pemakanan yang sesuai dan menyesuaikan tempat peliharaan di kawasan rumah kediamannya.
Dengan penjagaan yang baik serta pemakanan seimbang, Encik Hamdan menyatakan bahawa penternakan ayam penelur boleh menjadi sumber pendapatan yang lumayan dan berdaya maju di Malaysia, asalkan konsisten dan cekal menghadapi cabaran.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.