March 19 2026

Penternak Kecil Wagyu Tempatan Mampukah Menguntungkan?

Penternak Kecil Wagyu Tempatan Mampukah Menguntungkan? - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Bushral Karim Md Yusob

Apabila disebut tentang daging Wagyu, ramai membayangkan ladang besar di Jepun atau Australia, teknologi canggih, modal berjuta-juta ringgit dan pasaran eksklusif. Hakikatnya, persepsi ini sering menyebabkan penternak kecil beranggapan bahawa Wagyu adalah sesuatu yang “terlalu jauh” untuk dicapai. 

Namun, dalma beberapa tahun kebelakangan ini, landskap penternakan Wagyu mula berubah. Di Malaysia, semakin ramai penternak kecil dan sederhana mula mencuba pengeluaran Wagyu tempatan — bukan sebagai Wagyu gred A5 seperti di Jepun, tetapi sebagai Wagyu silang berkualiti tinggi yang lebih sesuai dengan iklim, kemampuan modal dan pasaran tempatan. 

Memahami Realiti Wagyu Tempatan

Dalam perenggan berikut, akan dibincangkan sama ada Wagyu sesuai untuk penternak kecil, bagaimana untuk memulakannya serta cabaran sebenar yang dihadapi di lapangan. Perkara pertama yang perlu difahami oleh penternak kecil ialah Wagyu tempatan tidak sama dengan Wagyu Jepun tulen. 

Wagyu tempatan lazimnya merujuk kepada Wagyu silang, genetik Wagyu yang diimport, atau ternakan tempatan yang diurus menggunakan sistem separa intensif. 

Malah, Wagyu silang selalunya lebih tahan terhadap cuaca tropika yang panas, lebih mudah diurus dan lebih sesuai untuk sistem penternakan berskala kecil. 

Apa yang lebih penting ialah penghasilan marbling yang lebih baik berbanding lembu daging biasa, bukan sekadar mengejar label semata-mata. 

Siapakah Penternak Kecil Wagyu?

Penternak kecil Wagyu biasanya memelihara antara 5 hingga 50 ekor lembu, menggunakan tanah milik sendiri atau tanah sewaan. Ternakan ini diusahakan sama ada sebagai pendapatan sampingan atau bagi meningkatkan pendapatan keluarga, dan pengurusannya biasanya tidak melibatkan tenaga profesional luar secara tetap. 

Antara kelebihan penternak kecil ialah, penjagaan yang lebih teliti terhadap setiap ekor ternakan, kawalan stres haiwan yang lebih mudah, fleksibiliti dalam penyediaan sistem pemakanan. 

Walau bagaimanapun, perusahaan ternakan berskala kecil turut berdepan beberapa kekangan seperti modal yang terhad, akses kepada pasaran premium yang terbatas serta kurang pendedahan terhadap aspek teknikal penternakan Wagyu. 

Memilih Sistem yang Sesuai 

Penternak kecil tidak perlu meniru model ladang berskala besar. Sistem yang realistik dan bersesuaian dengan kemampuan modal serta tenaga kerja adalah lebih penting. Secara umumnya, terdapat dua sistem utama yang boleh dipilih, iaitu sistem pembiakan (breeding) atau sistem penggemukan (fattening)

Dalam sistem pembiakan, penternak menyimpan induk Wagyu silang dan menjual anak lembu kepada pengusaha lain. Kaedah ini memerlukan modal permulaan yang lebih terkawal serta memberi pulangan secara berperingkat dalam jangka masa panjang. 

Bagi sistem penggemukan (fattening) pula, penternak membeli anak Wagyu silang dan menternaknya selama 28 hingga 32 bulan sebelum dijual. Kaedah ini berpotensi memberikan keuntungan yang lebih tinggi, namun kos operasi seperti makanan dan penjagaan juga lebih besar. 

Bagi penternak kecil, kombinasi sistem pembiakan dan penggemukan secara kecil-kecilan adalah pilihan yang paling selamat. 

Genetik Wagyu: Tidak Boleh Dipandang Ringan

Ramai penternak kecil terperangkap dalam kesilapan biasa, iaitu terlalu fokus kepada “Wagyu tulen” tanpa memahami keperluan sebenar sistem ternakan tempatan. Penternak kecil perlu memahami bahawa kacukan Wagyu dan Brahman lebih tahan terhadap cuaca panas. 

Kacukan Wagyu dengan baka Kedah-Kelantan pula lebih sesuai beradaptasi dengan keadaan ternakan tempatan. Manakala, kacukan Wagyu dan Angus berpotensi menghasilkan marbling yang lebih baik. 

Oleh itu, perkara yang paling penting ialah memastikan ternakan Wagyu tempatan mempunyai rekod genetik yang jelas, sumber semen yang sah serta mengelakkan sebarang “dakwaan Wagyu” tanpa bukti. 

Berdasarkan rekod yang diamalkan di ladang ternakan, Colla Cattle Farming misalnya memastikan setiap lembu wagyu mempunyai sijil lahir dan direkodkan dengan baik bagi menjamin ketulenan wagyu yang dihasilkan. 

Dalam industri ini, kejujuran dalam pemasaran adalah jauh lebih penting daripada sekadar menggunakan nama besar. 

Pemakanan: Kunci Keuntungan dan Kualiti

Pemakanan merupakan komponen kos terbesar dalam ternakan Wagyu. Kesilapan biasa dalam kalangan penternak kecil ialah terlalu bergantung kepada dedak yang mahal serta meniru sepenuhnya kaedah pemakanan ladang berskala besar. 

Selain itu, ada penternak yang tidak mengambil kira kos pengeluaran bagi setiap kilogram berat lembu hidup. Semakin tinggi kos ini, semakin susut keuntungan yang akan diperolehi. 

Strategi yang lebih sesuai untuk penternak kecil ialah memanfaatkan sumber makanan tempatan dan mengawal ransum secara lebih fleksibel. 

Pendekatan yang praktikal termasuk menanam rumput Napier sendiri, menyediakan silaj secara kendiri serta mencampurkan dedak tempatan mengikut keperluan nutrisi. 


(Foto: Colla Cattle Farming facebook)

 


Sisa pertanian seperti hampas kelapa sawit juga boleh digunakan bagi mengurangkan kebergantungan kepada dedak berharga tinggi. 

Matlamat utama penternak kecil ialah memastikan pertambahan berat yang konsisten, pembentukan lemak intramuskular yang baik serta kawalan kos makanan yang berkesan. 

Pengurusan Stres Faktor Penting

Salah satu faktor paling penting dalam penternakan Wagyu ialah pengurusan stres. Wagyu sangat sensitif terhadap tekanan persekitaran. Untuk berjaya dalam aspek ini, penternak tidak boleh menempatkan ternakan secara terlalu padat. 

Interaksi yang lebih kerap dan persekitaran kandang yang tenang, sejuk serta jauh daripada gangguan luar amat membantu dalam mengurangkan stres.

Amalan mudah tetapi berkesan termasuk mengelakkan daripada menjerit atau memukul ternakan, mengawal pergerakan dengan lebih perlahan serta memastikan jadual pemakanan yang konsisten setiap hari. 

Lembu yang kurang mengalami stres cenderung menghasilkan daging yang lebih lembut, tahap pH yang stabil serta marbling yang lebih sekata. 

Tempoh Penternakan Ujian Kesabaran 

Wagyu bukanlah projek “cepat kaya”. Tempoh ternakan yang realistik adalah antara 28 hingga 36 bulan. Modal pusingan juga mengambil masa yang lebih panjang sebelum pulangan dapat dinikmati. Oleh itu, perancangan aliran tunai yang mencukupi dan terkawal amat penting.

Penternak kecil disarankan untuk mengekalkan ternakan lain seperti lembu biasa atau kambing sebagai sumber pendapatan sokongan. Elakkan meletakkan semua modal hanya pada Wagyu semata-mata. Sistem ternakan perlu dibangunkan secara berperingkat dan memerlukan tempoh yang panjang sebelum kejayaan sebenar dapat dilihat. 

Kesabaran adalah modal tersembunyi dalam wagyu.

Penyembelihan dan Pemprosesan

Lembu Wagyu tidak boleh disembelih secara biasa seperti lembu komersial lain. Antara kesilapan yang sering dilakukan penternak ialah menjalankan penyembelihan di lokasi yang tidak sesuai, tanpa kawalan suhu yang betul serta proses pemotongan yang tidak mengikut piawaian dan dilakukan secara kasar. 

Penternak kecil perlu bekerjasama dengan rumah sembelih yang bertauliah, memahami asas proses penyejukan (chilling) serta mengetahui nilai setiap potongan daging. Wagyu tidak dijual sebagai “daging sekilogram” semata-mata, tetapi dipasarkan mengikut potongan premium dan kehendak pelanggan. 

Jual Nilai, Bukan Banding Jepun

Penternak kecil tidak perlu bersaing secara langsung dengan Wagyu Jepun. Strategi pemasaran yang lebih bijak ialah memberi tumpuan kepada konsep “Wagyu tempatan premium”, menerangkan proses penternakan secara telus serta menunjukkan komitmen dalam menghasilkan produk premium. 

Saluran pemasaran yang sesuai termasuk restoran premium tempatan, kedai bekalan daging khusus, jualan terus kepada pelanggan serta promosi melalui media sosial. Pengguna masa kini lebih menghargai penceritaan, kepercayaan yang wujud dan konsistensi dalam penghasilan produk berkualiti. 


Lembu yang kurang mengalami stres cenderung menghasilkan daging yang lebih lembut. (Foto: Colla Cattle Farming facebook)

 


Cabaran Sebenar di Lapangan

Antara cabaran utama termasuk kos makanan yang tidak stabil, kekurangan kepakaran tempatan, kekeliruan istilah “Wagyu” serta persaingan dengan daging import. Namun di sebalik cabaran tersebut, penternak kecil masih berpeluang memenuhi permintaan terhadap daging premium serta mendapatkan sokongan latihan dan teknologi. 

Pihak Colla Cattle Farming telah melalui proses ini dan bersedia memberikan khidmat sokongan kepada penternak yang berminat. Pengguna juga semakin sedar tentang kewujudan daging Wagyu tempatan dan mula menghargai nilai tambah yang ditawarkan. 

Berdasarkan pengalaman Colla Cattle Farm, cabaran besar ialah memastikan penjagaan ternakan dilakukan dengan rapi, yang memerlukan tenaga kerja tempatan terlatih untuk mengurus rutin harian. 

Lebih ramai individu berkemahiran khusus diperlukan, dan masyarakat juga perlu didedahkan kepada perbezaan kualiti antara Wagyu dan lembu daging biasa. 

Masa Depan Wagyu untuk Penternak Kecil

Wagyu tempatan bukan lagi sekadar mimpi. Dengan pengurusan kos yang bijak, skala ternakan yang realistik, kejujuran dalam pemasaran, serta kerjasama yang baik antara penternak, pengalaman dan ilmu dapat dikongsi bersama untuk kemajuan industry ini. Penternak yang ingin merebut peluang ini perlu bersedia menjadi pembekal yang khusus, membina jenama sendiri dan bersama-sama mewujudkan ekosistem Wagyu tempatan yang mampan. 

Bukan Sekadar Mungkin Tetapi Berpotensi 

Wagyu bukan untuk semua orang. Namun, bagi penternak kecil yang sabar, teliti dan bersedia untuk terus belajar, Wagyu boleh menjadi projek jangka panjang yang berbaloi. 

Ia bukanlah tentang mengejar status, tetapi membina nilai, kualiti dan kelestarian dalam industri penternakan tempatan. 

Dan mungkin suatu hari nanti, apabila orang menyebut Wagyu, mereka tidak lagi bertanya, “Import dari mana?”, sebaliknya berkata dengan bangga: “Ini Wagyu tempatan, hasil penternak kecil Malaysia.”

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag