October 23 2024
Oleh: Wizilla Janti Joshua
Ternakan udang merupakan salah satu industri akuakultur yang terbesar di Malaysia. Industri ini memainkan peranan utama dalam membekalkan sumber makanan di seluruh Malaysia, menyumbang kepada ekonomi negara dan juga menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat. Ia juga mempunyai potensi sebagai produk eksport ke luar negara dengan nilai komoditi yang tinggi di pasaran antarabangsa.
Perkembangan ternakan udang di Malaysia adalah selari dengan permintaan pasaran semasa dan pertumbuhan dari segi bilangan penternak atau pengusaha adalah semakin meningkat. Statistik daripada Jabatan Perikanan Malaysia pada tahun 2022 menunjukkan pengeluaran akuakultur udang air tawar adalah sebanyak 263.3 tan metrik manakala bagi udang marin adalah sebanyak 54,910.6 tan metrik.
Untuk peratusan komoditi pula, ternakan udang air tawar telah menyumbangkan sebanyak 0.06% manakala ternakan udang marin pula ialah 9.57%.
Beberapa pusat pengeluaran benih udang dan udang galah di bawah Jabatan Perikanan telah diwujudkan di seluruh Malaysia, termasuklah di Kedah, Perak dan Sarawak. Pusat-pusat ini akan menghasilkan benih udang air tawar dan udang marin dan membekalkannya kepada para penternak tempatan sebagai salah satu inisiatif kerajaan untuk membantu industri ini.
Namun, penurunan dari segi harga dapat diperhatikan bagi pasaran udang. Sebagai contoh, harga purata tahunan udang putih (saiz 40 hingga 61 ekor sekilogram) keluaran tempatan dan dijual di pasar raya segar seperti Lotus menunjukkan tren yang menurun dari RM35.99/kg pada tahun 2022 ke RM33.62/kg pada tahun 2023 dan selanjutnya ke RM32.92/kg pada tahun 2024. Perbezaan harga ini mungkin berkait rapat dengan bekalan yang ada di pasaran dan jenis pasaran udang. Apakah status pasaran yang dapat disimpulkan berdasarkan keadaan ini?
Udang Import 'Kacau' Pasaran
Menurut pandangan Presiden Persatuan Kemajuan Akuakultur Malaysia (MADA), Encik Benedict Lim, udang putih atau udang Vanamei (Litopenaeus vannamei) merupakan spesis udang yang paling banyak diternak di Malaysia. Pada pandangan beliau, Malaysia telah mengimport udang yang diternak daripada negara-negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam.
Situasi ini meningkatkan penawaran bekalan udang dalam pasaran di Malaysia yang bersaing dengan udang keluaran tempatan. Keadaan menjadi lebih buruk apabila tiada kawalan harga mengikut gred tertentu. Bagi Benedict Lim, secara logiknya harga udang tidak sepatutnya ditetapkan pada suatu harga siling kerana kos untuk penternakan udang adalah tinggi dan mampu merugikan para penternak tempatan.
Harga jualan udang putih di pasar raya dan pasar segar tempatan adalah bermula dari RM37.90 per kilogram. Setiap kilogram udang putih untuk harga yang dinyatakan adalah bagi saiz 20 sehingga 30 ekor udang sekilogram. Perbezaan harga ini mungkin dipengaruhi oleh kos operasi bagi setiap saiz udang dan juga kawalan kualiti udang yang dipasarkan.
Selain itu, Encik Benedict juga berpendapat bahawa kualiti udang import adalah tidak setanding dengan udang ternakan di Malaysia kerana kawalan kualiti adalah terhadap udang yang diimport tidak ketat. Beliau berharap pihak kerajaan dapat memainkan peranan tegas untuk mengawal kemasukan serta kualiti udang yang dibawa masuk ke pasaran Malaysia supaya tidak menjejaskan permintaan terhadap udang ternakan keluaran tempatan.
Menurut Encik Benedict lagi, persaingan pasaran udang ternakan tempatan dengan udang import sememangnya telah wujud sejak beberapa tahun lalu. Dari kaca mata MADA, para penternak haruslah mempunyai daya saing yang tinggi dan perlulah mempunyai inovasi dalam memasarkan udang ternakan tempatan.
Encik Benedict turut menyuarakan pandangan bahawa para penternak perlu membuka mata dan minda dengan lebih luas dan mempunyai strategi pemasaran yang bukan sahaja berfokus kepada pasaran tempatan tetapi harus menembusi pasaran global seperti China dan Amerika Syarikat. MADA mempunyai platform pasaran untuk menghubungkan para penternak dalam memasarkan produk seperti benih udang dan udang tuaian di antara komuniti para penternak seluruh Malaysia.
Selain itu, MADA juga telah membina jaringan pasaran antarabangsa termasuk China. Usaha untuk mengukuhkan lagi aktiviti pemasaran dan promosi udang keluaran Malaysia sedang dipergiatkan bagi membantu para penternak menembusi pasaran eksport.
Cabaran-cabaran dan Penyelesaian
Beberapa cabaran yang dialami oleh industri ternakan udang di Malaysia telah dikongsikan oleh Encik Benedict. Ini termasuklah isu mengenai penyakit udang. Dalam hal ini, MADA telah bekerjasama dengan beberapa universiti tempatan seperti UPM, UMT dan UMS dalam membantu para penternak untuk menangani cabaran ini. Program seminar juga turut diadakan dari masa ke masa untuk memberikan kesedaran dan perkongsian ilmu mengenai penyakit udang dan kepentingan biosekuriti kepada para penternak.
Selain itu, MADA turut bekerjasama dengan Jabatan Perikanan Malaysia untuk membantu membasmi kolam ternakan yang dijangkiti penyakit. Menurut Encik Benedict lagi, MADA akan menghubungkan para penternak udang dengan pihak Jabatan Perikanan tempatan sekiranya berlaku wabak penyakit udang menyerang kolam udang ternakan. Kawalan akses yang ketat akan diambil sekiranya kolam ternakan dijangkiti penyakit dan pemerhatian berkala turut akan dilakukan untuk kolam-kolam ternakan yang ada di sekitar kawasan jangkitan.
Di samping itu, cabaran perubahan cuaca juga menganggu aktiviti penternakan udang. Pihak MADA juga mengamalkan sifat keterbukaan dengan memberi khidmat nasihat kepada para penternak dan membuka ruang perkongsian di antara penternak udang melalui saluran komunikasi sosial seperti kumpulan WhatsApp. Encik Benedict berkongsi situasi musim hujan yang bermula baru-baru ini telah menjejaskan para penternak udang marin. Ini adalah kerana hujan yang berterusan telah menurunkan tahap kemasinan air dan juga pH kolam ternakan udang marin. Pemerhatian khusus haruslah diambil untuk memastikan kualiti air adalah pada tahap yang optimum.
Terdapat kekangan dari segi teknologi dan modal dalam aktiviti penternakan di kalangan para penternak udang. Menurut Encik Benedict, bantuan modal adalah terhad untuk penternakan udang dan kebiasaannya, pihak Jabatan Perikanan hanya akan memberi bantuan dari segi bekalan benih udang. Dari segi teknologi pula, beliau menceritakan bahawa terdapat aktiviti penyelidikan telah dilakukan oleh para penyelidik tempatan dari badan kerajaan dan juga univerisiti tempatan, tetapi ia hanyalah berfokus kepada skala makmal dan belum lagi dipraktikkan ke kolam ternakan.
Salah satu teknologi yang telah memasuki industri ternakan udang ialah sistem IoT (Internet of Things). Ia adalah satu sistem yang membantu para penternak udang untuk memantau keadaan kualiti air ternakan. Akan tetapi, sistem ini memerlukan kos yang tinggi dan tidak semua penternak udang mampu melabur untuknya melainkan kerajaan dapat membantu.
Menurut Encik Benedict, isu kelestarian dan pematuhan kepada peraturan alam sekitar dalam kalangan para penternak udang di Malaysia bukanlah masalah yang besar. Ini adalah kerana kebanyakan para penternak udang mempunyai tahap kesedaran yang tinggi terhadap pematuhan peraturan alam sekitar terutamanya dalam pengurusan kolam buangan melalui rawatan yang khusus.
Hasil daripada pelbagai inisiatif badan kerajaan dan bukan kerajaan untuk mendidik para penternak telah menyumbang kepada kesedaran ini. Lebih-lebih lagi, banyak kolam ternakan udang di Malaysia telah mendapat Pensijilan myGAP dan ini mengukuhkan lagi kebolehpasaran hasil udang ternakan dari segi keselamatan makanan.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.