June 14 2024

Industri Sawit M'sia Menuju Era Baru

Industri Sawit M'sia Menuju Era Baru - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Jamaludin Mat Rashid

Industri kelapa sawit menjadi gergasi hitam dalam sektor pertanian dunia akhir-akhir ini apabila berada di antara kepentingan ekonomi dan kemampanan alam sekitar. Industri sawit telah menjadi enjin pertumbuhan ekonomi Malaysia, Indonesia dan beberapa lagi negara pengeluar. Ia menjadi sumber pendapatan kepada berjuta-juta rakyat miskin di negara berkenaan. Di Malaysia, 2 juta ornag bergantung kepada industri sawit sebagai mata pencarian termasuk peneroka-peneroka dan pekebun kecil di rancangan FELDA, FELCRA dan RISDA. Minyak sawit mentah (MSM) menjadi asas kepada pelbagai produk untuk penduduk dunia dari bahan makanan hingga kepada produk industri, dari minyak masak hingga produk farmaseutikal seperti tokotrienol.

Malaysia menjadi pengeluar utama MSM sejak tahun 1960-an lagi sehingga diambil alih oleh Indonesia yang mendahului carta dengan syer pasaran dunia sebanyak 43%. Kini, Malaysia menyumbang sebanyak 18.5 juta tan metrik setahun, kira-kira 23% pengeluaran dunia. Dengan keluasan 5.7 juta hektar ladang, sebanyak 73% ladang adalah milik syarikat   besar dan 27% lagi milik 450 ribu pekebun kecil yang bertaburan dari Perlis hingga ke Sabah. Bagi tahun 2023, industri sawit memberi sumbangan 2.97% kepada KDNK dengan nilai eksport hampir RM95 bilion. 

Perlu Beri Tumpuan Kepada Pekebun Kecil

Penghasilan ladang syarikat besar sangat produktif. Mereka menghasilkan buah tandan segar (FFB) di antara 21 hingga 26 metrik tan sehektar setahun. Manakala pekebun kecil hanya mengeluarkan sekitar 12 metrik tan sehektar setahun. Dalam usaha untuk meningkatkan penghasilan negara dengan kadar segera, memberi tumpuan kepada pekebun kecil untuk memenuhi kelompongan yang wujud adalah tindakan yang paling realistik.

Tidak perlu membuka kawasan baru dengan menerangi hutan dan memberi kesan kepada alam sekitar. Kerajaan berhasrat untuk mewujudkan sinergi antara syarikat besar dan pekebun kecil bagi menggunakan kepakaran mengurus yang ada bagi menaikkan hasil ladang 27% kawasan yang dikuasai oleh pekebun kecil. 

Kesan penaklukan industri sawit bukan hanya dapat dilihat dari ribuan produk berasaskan sawit yang melimpahi rak-rak pasar raya di seluruh dunia tetapi ia menjangkau jauh ke dalam hutan hujan tropika yang berfungsi sebagai rumah bagi ribuan biodiversiti alam: penduduk asli di hutan, spesis flora dan fauna yang terancam kepupusan dan haiwan liar, sesetengah spesis hanya tinggal ratusan ekor sahaja di dunia. Penggondolan hutan hujan tropika untuk penanaman sawit juga dituduh menjadi punca perubahan suhu dunia. Hanya kawalan bagi memastikan pengeluaran sawit yang mampan dan hasil minyak sawit yang bernutrisi tinggi dapat memastikan situasi menang-menang dapat dicapai. Dengan memilih produk sawit dari sumber yang mampan, syarikat pengeluar dan masyarakat akan dapat meyumbang kepada planet yang sihat dan piawaian industri yang bertanggungjawab.

Sijil MSPO Menggalak Amalan Pengurusan Baik

Usaha untuk mengeluarkan minyak sawit yang mampan telah mencapai satu tahap yang membanggakan kini. Pengusaha dengan garis panduan dan undang-undang yang dikuatkuasakan oleh kerajaan berjaya membendung kerosakan kepada alam sekitar, memulihara hidupan liar dan layanan yang lebih adil kepada tenaga buruh. Kerajaan telah memastikan perkara asas melibatkan buruh dipatuhi seperti tangga gaji minimum, kemudahan tempat tinggal yang selesa (Piawaian Perumahan, Tempat Tinggal dan Kemudahan Pekerja - Akta 446) dan memastikan tiada perdagangan manusia serta buruh paksa. Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (Malaysian Sustainable Palm Oil - MSPO) misalnya dapat membendung pencerobohan hutan, menggalakkan amalan pengurusan yang   baik, melindungi masyarakat setempat dan melindungi perkara-perkara bagi kepentingan generasi akan datang. Pengiktirafan ini diberikan kepada ladang, pekebun kecil dan kilang pemprosesan minyak sawit. 

Usaha negara kita untuk mengeluarkan minyak sawit yang mampan telah mencapai satu tahap yang membanggakan kini. Foto: BASF

 

Industri sawit kini tidak dapat berkembang dengan pesat akibat dari pertumbuhan ekonomi dunia yang lembab kesan dari ketegangan geopolitik seperti krisis Rusia -Ukraine dan perang Israel -Palestine. Selain perang di dua kawasan ini, masalah   perkapalan di Laut Merah akibat dari gangguan pemberontak Houthi dari Yaman mengganggu pengangkutan bahan perdagangan termasuk minyak sawit mentah ke negara pembeli seperti Amerika Syarikat, Eropah, Timur Tengah dan negara-negara Afrika memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi. Eksport minyak sawit mentah Malaysia pada tahun 2023 didapati menurun berbanding tahun 2022 akibat dari ketegangan geopolitik dunia. 

Trade Barrier Membawa Kesan Besar

Produk sawit sering kali dihalang dari menembusi pasaran yang lebih luas dengan trade barrier oleh blok perdagangan negara-negara seperti Kesatuan Eropah (EU) atas desakan badan bukan kerajaan (NGO) mereka. Ini kononnya bagi melindungi   petani-petani mereka yang mengeluarkan hasil pertanian untuk penghasilan minyak sayuran seperti jagung, soya, bunga matahari, kanola dan lain-lain. Mereka cemburu kerana sawit didapati mudah memenangi pasaran minyak sayuran yang mereka kuasai selama ini. Minyak sawit menang dalam menguasai syer pasaran berdasarkan faktor harga yang jauh lebih murah dan ia serba boleh dalam pemprosesan makanan seperti tahan pada suhu yang tinggi dan mengandungi khasiat pemakanan seperti Vitamin E dan antioksidan tanpa lemak tepu (trans-fats). Sebagai tanaman perennial iklim tropika yang produktif sepanjang tahun, sawit sangat cekap dari segi kos (cost effective) berbanding tanaman setahun mereka yang mempunyai masa bercucuk tanam yang sangat terhad dan putaran hayat yang singkat (perlu membuat penyediaan tanah dan menanam setiap tahun) berbanding sawit yang mempunyai crop cycle sehingga 25 tahun. Setiap hektar sawit mampu mengeluarkan 3.5 mt minyak per hektar setahun berbanding bunga matahari 0.8 mt dan 0.5 mt sahaja bagi kacang soya. Sawit mampu menawarkan harga yang sangat kompetitif hasil dari kos pengeluaran yang rendah dan hasil yang tinggi. 

Sebagai tindak balas untuk memenangi pasaran, mereka menggunakan aktivis alam sekitar untuk mengadakan kempen anti penebangan hutan hujan tropika bagi membuka ladang sawit. Video disebarkan di kalangan pelajar sekolah bagaimana orang utan terancam kepupusan apabila hutan ditebang untuk penanaman kelapa sawit. Para penyelidik mereka diupah untuk mengeluarkan hasil penyelidikan yang berat sebelah. Sawit dituduh sebagai saturated tropical fat yang sangat jahat untuk kesihatan sehingga boleh menyempitkan salur darah dan menyebabkan jantung tersumbat Mereka menyembunyikan fakta kelapa sawit mempunyai tokotrienol/vitamin E dan antioksidan yang tinggi dan baik untuk kesihatan. Suatu ketika kempen anti sawit ini telah memuncak sehingga mempengaruhi pengeluar bahan makanan siap proses supaya mencetak logo No Palm Oil pada pembungkus dengan ikrar yang menjamin produk mereka tidak mengandungi lemak tropika yang kononnya membahayakan kesihatan. 

Terpaksa Mematuhi Peraturan EUDR

Negara pengeluar utama seperti Malaysia dan Indonesia memberi maklumat balas semula terhadap serangan kempen antiminyak sawit dengan mengeluarkan maklumat penyelidikan yang kontra dengan dapatan penyelidik mereka seperti kandungan minyak sawit yang tinggi dengan tokotrienol (vitamin E). Hanya sawit dan bran beras antara tumbuh-tumbuhan didapati dapat mengeluarkan tokotrienol dengan kos yang efektif. Tokotrienol adalah antioksidan yang didapati sangat efektif bagi membina daya imunisasi badan,   anti-kanser dan antihipertensi. 

Namun begitu, kerajaan negara-negara pengeluar minyak sawit bersetuju untuk mematuhi Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR). Dengan pematuhan ini akan terbentuk suatu standard di mana semua minyak sawit di pasaran dunia adalah terbukti dikeluarkan tanpa mengorbankan biodiversiti alam sekitar di negara masing-masing, bersifat mampan, berkualiti dan toyyib. Selepas tahun 2020, kerajaan akan memastikan tiada lagi ladang kelapa sawit dibuka dengan mengorbankan hutan hujan tropika, bukan menggunakan buruh hasil dari perdagangan manusia dan mematuhi syarat-syarat piawaian buruh antarabangsa.

10% Minyak + 90% Biojisim

Pokok sawit hanya menghasilkan 10% minyak dan 90% lagi adalah biojisim. Di kilang pemprosesan buah tandan segar (FFB) kepada minyak sawit mentah (MSM), beberapa bahan dihasilkan seperti tandan buah kosong (EFB), sabut/fiber, tempurung/ shell dan palm kernel cake (PKC). Selain PKC yang sangat laris dijual untuk makanan ternakan terutamanya lembu yang diternak secara feed-lot, bahan lain terutama tempurung yang mempunyai nilai pembakaran yang tinggi (high calorific value) dikitar ke dalam dandang bagi menjana tenaga elektrik. Setiap kilang sawit secara purata menghasilkan tenaga elektrik dengan nilai RM4.5 juta setahun. Ianya merupakan sumber tenaga yang sangat cekap dan bersih, tiada sesuatu pun dibazirkan. Selain dari itu biodisel, bahan binaan dalam industri perkayuan dan komponen industri automobil juga dapat dihasilkan.

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag