March 26 2026
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
Selain giat menghasilkan lembu untuk pengeluaran daging, Kedah turut melibatkan diri dalam pengeluaran susu segar. Peranan strategik ini bertujuan meningkatkan tahap sara diri (SSL) dalam pengeluaran susu segar. Tahap SSL bagi susu adalah jauh lebih rendah berbanding SSL untuk daging lembu.
Oleh kerana industri susu memerlukan teknologi yang lebih tinggi serta rangkaian pemasaran yang lebih kompleks, pembangunan usahawan tertumpu kepada usahawan berskala besar yang mempunyai modal kukuh bagi menyediakan fasiliti canggih sesuai dengan keperluan industri serta memenuhi tahap keselamatan minimum yang disyaratkan oleh syarikat pemprosesan bertaraf antarabangsa.
Di Pokok Sena, dalam perjalanan menuju Kuala Nerang, seorang usahawan besar, Dato’ Low Cheng Leong, mengusahakan sebuah ladang tenusu bertaraf antarabangsa dengan menggunakan baka kacukan Friesian (Friesian Cross) dari Australia. Ladang ini menghasilkan purata 1,300 liter susu sehari dan membekalkan sekitar 30,000 liter sebulan kepada Dutch Lady untuk diproses menjadi susu UHT bagi pasaran Malaysia.
Dato’ Low Cheng Leong merupakan usahawan yang tidak asing lagi dalam kalangan petani di Kedah kerana beliau berperanan sebagai pembekal traktor dan rotovator pembajak sawah, selain membekalkan alat ganti serta kepakaran baik pulih jentera. Bergerak di bawah nama SCS Tractor Parts by Sin Choo Seng Machineries Sdn. Bhd., beliau menguasai pasaran traktor bersaiz sederhana dan alat ganti untuk kerja membajak sawah di utara tanah air, terutamanya di kawasan MADA.
Dato’ Low mewarisi kepakaran daripada bapanya, seorang usahawan tani yang bermula dengan mengambil upah membajak sawah di Pokok Sena dan Padang Terap, sebelum berkembang menjadi peniaga yang berjaya. Ladang lembu susu di Pokok Sena merupakan apresiasi beliau kepada kerajaan yang selama ini membuka peluang seluas-luasnya kepada keluarganya.
Susu dibotolkan dan dilabel.
Ladang Tenusu 45 Ekar, 300 Ekor Lembu
Tapak ladang seluas 45 ekar kini menempatkan 300 ekor ternakan lembu tenusu. Projek ini bermula pada tahun 2014 dengan bimbingan daripada Pusat Operasi JPV Jitra sejak tahun 2019. Pada tahun 2021, SCS Dairy Farm menyertai program pembangunan industri tenusu negara dalam skop transformasi usahawan berskala besar dan menerima 100 ekor induk tenusu bunting baka Friesian Cross yang diimport kerajaan dari Australia. SCS turut dibekalkan dengan sebuah tangki penyejuk susu berkapasiti 3,000 liter serta sebuah lori tangki dengan kapasiti 3,000 liter.
Menurut Encik Muhammad Tamim, Pengurus Operasi Ladang, SCS Dairy Farm menghasilkan sekitar 1,200 liter susu sehari yang diperah pada waktu pagi dan petang daripada 90 ekor lembu yang sedang produktif. Selain baka silangan Friesian, terdapat juga silangan Jersey, Shahiwal dan Local Indian Dairy (LID) yang lebih tahan terhadap cuaca panas di Kedah.
Lembu-lembu lain masih dalam tempoh kering (dry), yang berehat sementara menunggu tempoh kelahiran atau yang baru menjalani proses A.I. (Permanian Beradas). Hasil susu antara 30,000 hingga 35,000 liter sebulan dihantar ke pusat jualan di Alor Setar untuk diproses, dibotolkan dan dijual terus kepada pemborong serta pengguna.
Kerja Tenusu Tuntut Kepekaan Tinggi
Encik Muhammad Tamim telah berkhidmat di ladang ini selama 12 tahun. Bermula sebagai pekerja asing dari Bangladesh, beliau dinaikkan pangkat sehingga menjadi pengurus atas dedikasi, amanah dan minatnya yang mendalam dalam penternakan lembu susu. Kini beliau tinggal bersama isteri berbangsa Melayu dan tiga orang anak di dalam kawasan ladang. Beliau sangat berpuas hati dengan kemudahan dan ganjaran yang diberikan oleh Dato’ Low dan berhasrat untuk terus menetap di Malaysia.

Alat pemproses susu segar.
Menurut beliau, bekerja di ladang tenusu bukanlah terlalu sukar tetapi memerlukan kepekaan terhadap setiap perkara yang berlaku. Selain memberi makan dan memerah susu, terdapat pelbagai perkara yang perlu diberi perhatian tanpa mengira masa. Kadangkala lembu melahirkan anak pada tengah malam dan menghadapi kesukaran. Beliau perlu bangun untuk membantu memastikan anak dan ibu selamat. Setiap ekor lembu induk sangat bernilai. Sejak 12 tahun lalu, beliau tidak pernah meninggalkan ladang dalam tempoh yang lama.
Empat Jam Pertama Paling Kritikal
Selain memerah susu dan memberi makan, perhatian perlu diberikan kepada ibu lembu yang baru melahirkan serta anaknya. Tempoh empat jam pertama selepas kelahiran adalah sangat kritikal. Penternak perlu memastikan anak lembu dapat bernafas dengan baik, tubuhnya kering, serta tempat tidurnya sentiasa kering. Anak lembu juga perlu mendapat susu awal yang tinggi kolostrum bagi menguatkan sistem antibodinya. Tali pusat mesti disapu dengan iodin atau antiseptik supaya cepat kering dan tidak dijangkiti kuman.
Pemeriksaan fizikal perlu dilakukan untuk memastikan keadaan anak lembu adalah normal dan tidak mempunyai sebarang kecacatan. Anak lembu perlu diasingkan bersama ibu dan diberikan kolostrum sekurang-kurangnya empat hari pertama serta diperkenalkan kepada makanan pejal (calf starter atau rumput) secara beransur-ansur pada minggu kedua.
Rumput Napier ditanam menggunakan baja dari tinja lembu.
Lembu yang sedang dalam tempoh dry perlu dijaga dengan kebajikan yang tinggi. Lembu-lembu ini diberi makan konsentrat dan rumput napier yang dituai segar dari kawasan penanaman berdekatan. Rumput napier disiram menggunakan air daripada basuhan kandang yang ditakung dalam kolam dan dimendapkan terlebih dahulu. Tinja dan urin dari kandang menghasilkan tuaian rumput napier yang sangat hijau dan subur.
Kira-kira RM6,000 dapat dijimatkan bagi pembelian baja selepas menggunakan baja organik dari kandang. Jerami padi kering juga diberikan sebagai sumber serat serta sebagai alas kandang bagi anak-anak lembu yang baru lahir.
Sokongan Penting daripada DVS Kedah
SCS Dairy Farm menerima banyak bantuan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kedah (DVS Kedah). DVS membekalkan semen beku yang diimport dari Australia atau Amerika Syarikat untuk tujuan A.I. (Artificial Insemination). Bantuan ini sangat penting kerana tanpanya, ladang terpaksa menyimpan beberapa ekor lembu jantan. Selain memerlukan makanan dan ruang khas, lembu jantan sukar dikawal kerana sering mengamuk apabila ‘naik minyak’.
Kadar kejayaan bunting melalui kaedah semula jadi juga lebih rendah dan memerlukan beberapa kali percubaan. Penentuan jantina anak yang bakal lahir juga tidak dapat dipastikan berbanding teknik A.I. yang majoritinya menghasilkan anak betina. Dalam industri tenusu, anak betina amat bernilai kerana berfungsi menggantikan induk serta mengembangkan perniagaan.
DVS Kedah juga melaksanakan program vaksinasi bagi mencegah penyakit FMD (Foot and Mouth Disease).
Encik Mohd Tamim, dari buruh menjadi pengurus di SCS Dairy Farm.
Penyakit ini sangat berbahaya dan boleh berlaku akibat kemasukan lembu dari luar kawasan, terutama melalui lembu seludup yang tidak melalui proses kuarantin. Penyakit ini pernah menyerang Kedah sehingga menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit kepada penternak. FMD pernah dikesan di Langkawi (Ulu Melaka). Antara simptomnya ialah air liur meleleh, lepuh pada mulut dan kuku, serta penurunan selera makan pada haiwan.
Amalan Penternakan Cekap dan Sistematik
DVS Kedah juga menjalankan pemeriksaan kesihatan bagi penyakit Brucellosis dan Tuberculosis untuk memastikan pengeluaran susu yang selamat dan berkualiti tinggi kepada masyarakat pengguna. Selain itu, DVS Kedah turut memberikan khidmat palpasi rektal bagi pemeriksaan kebuntingan di bawah program pembiakan, konsultasi pemakanan, serta pelbagai khidmat nasihat kepada penternak.
Menurut Encik Muhammad Tamim lagi, untuk meningkatkan kualiti ladang, mereka sentiasa merujuk kepada ladang tenusu Farm Fresh di Selama, Perak, iaitu salah satu ladang lembu tenusu utama di Malaysia yang menjalankan penternakan secara moden dan sistematik. Ladang tersebut mempunyai 4,300 ekor lembu tenusu yang turut diimport dari Australia. Sistem penternakan mereka sangat teratur dan cekap. Mereka menggabungkan teknologi moden dengan amalan pengurusan ladang yang baik (Good Animal Husbandry Practices).
Kanak-kanak suka dengan anak lembu comel, produk susu segar dan yogurt keluaran SCS Dairy Farm.
Belajar dari Penternak Belanda
Pemeriksaan kesihatan haiwan dilakukan dengan teliti oleh pasukan veterinar dalaman (in-house vet) bagi program vaksinasi, pemeriksaan berkala dan pengurusan biosekuriti. Pusat pemerahan susu menggunakan sistem automatik yang menjamin kebersihan dan kualiti susu yang dihasilkan. Kawasan padang ragut serta kawasan tanaman hijau diurus dengan baik dan mencukupi untuk keperluan pemakanan ternakan.
DVS Kedah juga pernah menemukan penternak tempatan dengan penternak dari Belanda untuk bertukar pendapat melalui Program F2F (farmer to farmer).
Program ini membantu penternak tempatan meningkatkan hasil pengeluaran lembu tenusu melalui perkongsian ilmu dan pengalaman bersama penternak dari Belanda. Ia tertumpu kepada cara mencapai kelestarian dan keuntungan maksimum serta amalan pengurusan dan pengendalian ternakan yang baik.
Encik Muhammad Tamim berharap masyarakat terus menyokong produk tempatan kerana susu SCS Dairy Farm dijual pada harga yang berbaloi, segar dan berkhasiat.
Susu segar serta produk berasaskan susu lain daripada SCS Dairy Farm boleh didapati di pusat jualan di Lebuhraya Sultan Abdul Halim, antara Tandop dan Simpang Kuala di Alor Setar (dalam premis T-Hotel).
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.