August 06 2026
Oleh: Nik Shukry Ramli
Ketika kenalan se usianya memilih untuk berehat, pesara yang juga mantan Tok Empat Kampung Lebak, Temerloh, Pahang, Shahuddin Bachik, 73, membuktikan sektor pertanian boleh menjadi terapi untuk dirinya. Selain itu, aktiviti berkebun juga dapat memberi hasil lumayan jika dilakukan dengan sistematik. Projek tanaman rambutan varieti Anak Sekolah telah diusahakan sejak tahun 2020. Encik Shahuddin bukan sahaja menjadi pengeluar buah-buahan tempatan, malah berjaya mewujudkan destinasi agro-pelancongan baharu di daerah Temerloh.
Pada peringkat awal, Shahuddin hanya bercadang membangunkan kebun serbaneka di kawasan itu. Namun, atas nasihat teknikal daripada Pejabat Pertanian Daerah Temerloh, beliau mengalihkan fokus sepenuhnya kepada penanaman rambutan varieti 'Anak Sekolah'.
Klon ini dipilih berdasarkan beberapa kriteria premium. Anak sekolah mempunyai si buah yang tebal dan manis. Bijinya mudah tanggal (lekang) tanpa meninggalkan selaput biji pada isi yang biasanyanya dipanggil dengan istilah ‘lekang lembut’. Selaput biji dipercayai akan menyebabkan batuk. Saiz buahnya sebesar rambutan lainnya tetapi isinya lebih besar kerana mempunyai kulit yang nipis. Namun ia jarang mengalami pecah kulit menjelang masak.
Kebun seluas satu ekar dengan 60 pokok rambutan Anak Sekolah menjadi tumpuan bukan sahaja dalam kalangan penduduk setempat, tapi turut menarik kunjungan penggemar rambutan dari daerah berdekatan.
Buahnya pada tangkai dalam kluster yang kompak. Hanya 2 hingga 3 tangkai sahaja akan memberi bilangan sekitar 100 biji membuatnya mudah dirangkai dan digantung di gerai pinggir jalan atau dipetik sendiri oleh pelawat dusun.
Apabila mula masak ia memberi warna merah yang sangat seragam tetapi bulu-buluya masih kehijauan. Sifat ini menjadikan ia kelihatan segar walaupun telah beberapa hari dipetik. Ini membuatnya mempunyai daya tahan di rak jualan yang lama dan menarik minat pembeli.
Asal Usul Varieti Rambutan Anak Sekolah
Varieti ini berasal dan Lan Suan, antara Surat Thani dan Chumphon di Thailand. Ia dibawa masuk dan ditanam di Malaysia terutama di negeri-negeri utara Semenanjung seawal tahun 1990-an kerana kualitinya yang sangat baik berbanding varieti lokal yang ada pada masa itu.
Menawarkan konsep 'Petik, Timbang, Bayar' jelas memberi kepuasan kepada pengunjung kebun diusahakan Shahuddin Bachik yang terletak di Kampung Lebak, dekat Temerloh.
Kadang-kala ia berbuah pada luar musim terutama di Kedah dan Perlis yang mempunyai 2 kemuncak kemarau yang meransangnya untuk berbunga. Sayangnya sifat ini tidak di manfaatkan bagi pengeluaran luar musim untuk mendapat harga premium.
Di Thailand ia di panggil Ngok Rong Rien yang membawa maksud ‘rambutan rumah sekolah’. Ia dipercayai mulanya ditemui dalam kawasan sekolah, kerana kualitinya ia diklonkan dan berkembang dengan pantas di Selatan Thailand hingga membawanya ke kawasan tengah yang turut ditanam durian dan manggis.
Kebetulan ia mempunyai bulu-bulu yang masih hijau dan kelihatan segar walaupun telah masak, analogi bagi murid sekolah. Varieti ini juga boleh dimakan sebaik sahaja berubah menjadi kuning dengan rasa yang sangat manis dan lemak menjadikannya dapat bertahan lama di pokok sebelum habis dituai.
Cabaran dan Daya Tahan
Membangunkan kebun seluas satu ekar dengan 60 batang pokok bukanlah tugas mudah. Shahuddin mengakui tahun-tahun awal dipenuhi dengan cabaran fizikal dan alam semulajadi.
"Peringkat awal memang mencabar. Cuaca panas dan serangan penyakit memperlahankan tumbesaran pokok. "Apabila mula berbuah, gangguan daripada haiwan perosak seperti kera, tupai, dan beruk menjadi rutin yang perlu dihadapi," ujarnya Hasil kesabaran tersebut, sebanyak 50 pokok kini hidup subur dan mula mengeluarkan hasil konsisten selepas tiga tahun ditanam.
Inovasi Konsep 'Petik Sendiri' Bagi memberikan nilai tambah kepada pengunjung, Shahuddin memperkenalkan konsep 'Petik, Timbang, dan Bayar'. Pendekatan ini membolehkan orang ramai merasai pengalaman unik memetik buah terus dari dahan, sekali gus menikmati suasana kedamaian kampung.
Buah rambutan Anak Sekolah hidup subur hasil kerjasama rapat antara Shahuddin Bachik dan petugas dari Jabatan Pertanian Daerah Temerloh dan mengeluarkan hasil yang memuaskan setiap musim.
Shahuddin Bachik melakukan pemeriksaan secara berjadual untuk setiap pokok ditanam dalam kawasan kebun diusahakan bagi memastikan kualiti buah terjamin.
Tahun Pertama:
Pembukaan kebun secara percuma sebagai strategi pengenalan dan amalan bersedekah.
Tahun Kedua:
Jualan bermula pada harga kompetitif RM4.00 sekilogram, jauh lebih rendah berbanding harga pasaran semasa. Strategi ini terbukti berkesan apabila kebun beliau kini menjadi tumpuan keluarga dari sekitar Temerloh yang ingin memberikan pendedahan aktiviti luar kepada anak-anak.
Inspirasi Pertanian Lestari
Projek ini bukan sekadar aktiviti ekonomi individu, tetapi berpotensi diangkat sebagai produk agro-pelancongan komuniti. Shahuddin berharap usaha ini menjadi inspirasi kepada masyarakat, khususnya golongan warga emas, untuk kekal produktif.
Beliau turut merakamkan penghargaan tinggi kepada Pejabat Pertanian Daerah Temerloh atas bimbingan teknikal dan sokongan berterusan yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan projek ini. Shahuddin berharap usaha ini menjadi inspirasi kepada masyarakat, khususnya golongan warga emas, untuk kekal produktif.
Beliau turut merakamkan penghargaan tinggi kepada Pejabat Pertanian Daerah Temerloh atas bimbingan teknikal dan sokongan berterusan yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan projek ini.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.