December 06 2024
Oleh: Wizilla Janti Joshua
Rezeki dari laut datang daripada pelbagai bentuk. Setiap hasil laut mempunyai keunikan dan khasiatnya yang tersendiri. Salah satu daripada hasil laut yang bernilai dan mempunyai pasaran tinggi ialah pundi renang ikan.
Ia mempunyai pasaran yang tinggi di Hong Kong dan juga China selain daripada produk lauk lain seperti timun laut dan abalon. Pundi renang ikan juga turut dikenali sebagai limpa ikan atau “fish maw”. Ia membawa simbol kekayaan dan penghormatan dalam kalangan masyarakat Cina.
Secara tradisionalnya, pundi renang ikan yang telah dikeringkan selalu dijadikan sebagai buah tangan yang berharga dan dihidangkan semasa sambutan keramaian. Kini, ia turut dijadikan sebagai bahan utama untuk kecantikan kerana mengandungi kolagen yang tinggi.
Pundi renang ikan juga digunakan sebagai produk perubatan dalam perubatan tradisional Cina terutamanya semasa fasa pemulihan selepas pembedahan. Namun, pundi renang ikan ini mempunyai pelbagai gred dan diperolehi daripada pelbagai jenis spesis ikan.
Pundi renang ikan terusan atau turut dikenali sebagai gelama tirusan dan nama saintifiknya Bahaba polykladiskos telah dikenal pasti sebagai salah satu produk yang amat berharga dan mampu mencecah harga sehingga ribuan sekilogram. Ikan terusan ini merupakan keluarga ikan Sciaenidae dan boleh dijumpai di kawasan Asia Tenggara sehingga ke kawasan Utara Australia. Habitatnya pada umum merupakan kawasan muara sungai atau kawasan air payau.
Saiz Ikan Terusan Boleh Sebesar 2m
Ikan terusan juga dikenali dengan keunikan pundi renang yang mampu menghasilkan bunyi yang kuat dan bergema. Menurut para penyelidik dari Indonesia, ikan ini mampu mencapai saiz sebesar 2 meter dan seluruh badannya dilitupi oleh sisik termasuklah bahagian kepala. Fungsi utama pundi renang adalah sebagai organ pengapungan dan ia terletak di dalam rongga badan ikan. Ia membolehkan ikan untuk mengekalkan kedalaman semasa berenang tanpa terapung ke permukaan air atau tengelam dan boleh mengembang dan mengempis pada masa yang sama.
Proses utama yang dilakukan sebelum menjual pundi renang ikan terusan ialah mengeringkannya terlebih dahulu. Selain itu, ia memerlukan penyimpanan yang sesuai untuk mengekalkan kualitinya. Fizikal luaran pundi renang ikan terusan yang telah dikeringkan adalah berbeza dengan produk makanan laut kering yang lain dan ia kelihatan seperti lapisan perut ikan besar dan berwarna keputihan atau krim kekuningan mengikut gred.
Sangat Berguna dalam Operasi Perubatan
Di antara faktor yang mempengaruhi nilai tinggi pundi ikan terusan ialah kegunaannya dalam bidang perubatan, selain daripada perubatan tradisional Cina, ia boleh diproses khas dan berdasarkan cirinya yang anjal, nipis dan mempunyai daya lentur yang tinggi, ia boleh dijadikan sebagai benang berkualiti tinggi dalam operasi perubatan.
Selain itu, ia mempunyai sumber kolagen yang tinggi dan memberi manfaat yang baik terutamanya bagi kecantikan dan kesihatan kulit. Ini membuka ruang kepada kegunaannya dalam bidang kosmetik dan produk kecantikan.
129 Gram Bernilai RM70,000
Menurut informasi yang dikongsikan oleh Perikanan Darat Sarawak, spesis ikan ini boleh dijumpai di hampir semua muara sungai di Sarawak dan ikan ini boleh didapati dalam musim tertentu. Fakta menarik yang turut dikongsikan ialah ikan terusan jantan mempunyai nilai yang lebih tinggi berbanding dengan betina.
Terdapat seorang nelayan di Sarawak yang telah berjaya menangkap ikan ini dan mendapatkan pundi renang seberat 129 gram dan bernilai RM70,000. Ini menjadikannya sebagai salah satu sasaran tangkapan para nelayan.
Menurut penyelidik dari Universiti Tun Hussein Onn, populasi ikan terusan di Semenanjung Malaysia dilaporkan dijumpai di muara sungai Muar baru- baru ini dan ia belum pernah dijumpai di kawasan lain di perairan Semenanjung Malaysia sebelum ini.
Menurut Encik Kairul, seorang penggiat aktif dalam pengkajian pelbagai spesis ikan di Sarawak, kajian terperinci berkenaan spesis ikan Terusan ini masih baharu terutama dari segi populasi setempat, pembenihan serta pembiakannya. Setakat ini penyelidikan awal hanyalah berfokus kepada biologi spesis ini sahaja.
Tambahan pula, beliau turut berkongsi bahawa sudah ada percubaan awal oleh para Penternak tempatan untuk membesarkan spesis ikan Terusan ini dengan sistem ternakan tangki. Anak-anak ikan bersaiz 100 hingga 150 gm digunakan untuk tujuan pembesaran yang mana anak-anak ikan ini diperolehi daripada para nelayan tempatan di kawasan Tanjung Manis, Sarawak. Cabaran utama para nelayan adalah dari segi kaedah tangkapan serta faktor cuaca dan parameter air.
Spesis Ikan Terusan ini adalah Ikan bermusim, ia hanya didapati pada sesuatu masa tertentu sahaja. Di antara isu panas yang membelenggu para nelayan kecil adalah wujudnya kelompok tertentu yang menggunakan kapal serta pukat hanyut gergasi dalam pemburuan spesis ini di dalam sungai-sungai.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.