August 02 2024
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
Harumanis (MA 128) telah dianggap sebagai primadona buah di negeri Perlis. Ikon negeri ini dipopularkan sehingga menjadi oleh-oleh jikalau berkunjung ke sana. Harumanis masak dengan jujuh sekitar April-Mei setiap tahun, kini sudah boleh diperolehi seawal Mac hingga Jun hasil dari tindakan bagi memanjangkan musimnya.
Di luar musim berbuah, pelbagai produk hiliran berasaskan Harumanis boleh diperolehi berupa kordial, jus sedia diminum hinggalah kepada kek dan bun yang menggunakan puri Harumanis.
Bermula dengan ladang nukleus Harumanis di Bukit Bintang, Sungai Batu Pahat seluas 750 hektar sebagai pusat rujukan teknologi perladangan Harumanis dan pusat pengeluaran, kini Perlis mempunyai 2,000 hektar tanaman Harumanis. Terdiri dari ladang besar milik persendirian dan koperasi hinggalah kepada petani kecil yang menanam di pinggir rumah, Perlis mampu memasarkan Harumanis secara dalam talian sehingga permintaan lebih besar dari penawaran. Teknik ini sangat unik dan belum dapat dijayakan dengan tanaman lain termasuklah buah popular seperti durian. Hubungan pasaran dari kebun terus kepada pembeli memendekkan rantaian pemasaran dan mewujudkan suasana menang-menang antara penjual dan pembeli. Namun harga mangga Harumanis premium mampu mencapai RM60 per kilogram berbanding mangga Thailand yang diimport masuk hanya dijual dengan harga RM6 per kilogram.
Demam menanam Harumanis di kalangan petani telah mengubahkan segala pohon mangga yang ada terutama dari varieti Sala dan mangga kampung kepada Harumanis dengan teknik cantuman sisi (side grafting) menggunakan scion Harumanis. Teknik cantuman pokok dewasa ini bukanlah baru kerana digunakan dengan meluas bagi tanaman durian. Teknik cantuman ini juga pernah digunakan dengan jayanya oleh petani Thailand bagi menukar ladang mangga varieti Namdokmai kepada Namdokmai Si Thong apabila pasaran eksportnya memerlukan varieti terkini yang lebih menarik dan bersaiz besar. Malaysia ada menanam beberapa varieti mangga lain seluas 10,000 hektar. Selain Harumanis, varieti Chokanan banyak ditanam di Melaka, Johor, Perak dan Kedah untuk pasaran lokal dan sedikit dieksport ke Singapura. Varieti lain temasuklan varieti Golek/ Foo Fatt, Mas Muda, Intan Shafinaz, Maha 64 dan Sala.
Berikutan dengan kejayaan Perlis mempelopori tanaman mangga Harumanis, negeri-negeri lain turut mengambil tempiasnya. Jiran terdekatnya Kedah turut berkempen menanam Harumanis dengan menjenamakan mangganya dengan nama Harumanis D’Aman. Suasana saling menonjolkan kekuatan masing-masing menimbulkan apa yang digelar ‘Perang Harumanis di Utara’ antara keduadua Menteri Besarnya. Namun apa yang berlaku hanyalah ribut dalam cawan bagi mendapatkan perhatian rakyat untuk menanam mangga Harumanis.
Latar Belakang Tanaman Mangga
Mangga (Mangifera indica) juga dipanggil mempelam, pauh, manggo atau makmuang (Thai). Nama Latinnya Mangifera indica membawa maksud pokok yang menghasilkan mangga dan berasal dari India. Bukti saintifik menunjukkan asal usul mangga bukan hanya dari India tetapi bertaburan di seluruh Asia Tenggara. Terdapat banyak spesis endemik kepada sesuatu kawasan terutama di kawasan sekarang ini dikenali sebagai Indo-Burma (Malaysia - Thailand – Kemboja / Vietnam). Di Semenanjung Malaysia terdapat spesis mangga lokal yang dinamakan Bacang / Macang (M. foetida), Asam Kumbang (M. quadrifida) dan Binjai (M.caesia) manakala di Kepulauan Borneo terkenal dengan Bambangan (Mangifera pajang), kesemuanya dari famili Anacardiaceae.
Asal Usul
Tiada bukti bertulis menunjukkan bila tanaman mangga mula didomestik tetapi mangga banyak disebut dalam tulisan-tulisan mengenai kebudayaan India sejak 5000 tahun dahulu, lalu masyarakat menganggap tanaman ini berasal dari sana. Dengan pergerakan manusia dalam aktiviti perdagangan, penaklukan dan penyebaran agama buah mangga dibawa bersama sebagai makanan dalam pelayaran dan biji benihnya disebarkan di seluruh dunia dari Asia ke Timur Tengah, Afrika Timur, Amerika Selatan dan Benua Australia. Bijinya yang mudah tumbuh dan membawa baka sama seperti induknya (true to type) telah meyebarkan tanaman mangga ke hampir separuh dari bahagian dunia dari negaranegara tropika hinggalah ke zon semi-tropika. Di Amerika Syarikat, mangga ditanam di Selatan California dan Selatan Florida sejak tahun 1833 lagi dan memberi hasil yang baik di sana.
Keadaan Penanaman Mangga
Kini mangga dianggap sebagai tanaman makanan dan tanaman ekonomi jenis buah yang kelima terpenting di Asia dan ditanam di lebih dari 90 negara di dunia. Keboleh survivalnya dan menyesuaikan dengan persekitaran baru menyebabkan ia ditanam di berbilang negara sebagai buah-buahan pelengkap kepada makanan seharian dalam membekal vitamin C dan vitamin A, antioksidan yang penting dalan diet seharian. Dengan hasilnya yang banyak, dapat beradaptasi di tanah yang marginal dan dapat bertahan lama selepas dituai bagi mengharungi perjalanan ke pasaran, mangga dipilih sebagai tanaman ekonomi yang penting. Statistik terkini menunjukkan Thailand mendahului carta sebagai pengeluar terbesar mangga diikuti oleh India, China, Australia, Indonesia, Pakistan, Filipina dan Mexico.
Mangga di Dusun Tradisional
Pohon mangga dan bacang di kampung boleh mencapai sehingga 60 kaki tinggi dengan lebar batang mencapai 2 - 3 pemeluk lelaki dewasa.
Kebanyakan jenis ini ditanam atau tumbuh sendiri dari biji yang dibawa oleh haiwan. Pokokpokok gergasi ini boleh mencapai umur sehingga 90 tahun melewati beberapa generasi pemiliknya. Berbuah dengan banyak sehingga mampu membekal buah bagi seluruh kampung. Buah dibiarkan masak dan gugur sendiri apabila ranum. Menjadi kegemaran kanak-kanak di kampung berebut-rebut mengutip mangga yang gugur di awal pagi atau apabila angin bertiup kencang.
Mangga kampung adalah dari jenis Mempelam Bemban, Mempelam Air dan Pauh Hutan. Bacang pula dari jenis Macang Geluk yang berbuah sangat besar, Macang Lada dan Kuinin. Ada juga yang rendah pokoknya dan berbuah kecil dan bergugus-gugus dipanggil Mempelam Telur atau Pauh Ringan. Jenis ini biasanya dibuat jeruk atau dimakan mentah dengan sambal colek. Biji dari buah yang masak digunakan sebagai pohon penanti dengan dibuat cantuman mata tunas dari varieti popular seperti Harumanis, Chokanan ataupun Namdokmai Si Thong.
Kebanyakan mangga kampung di dusun tradisional telah ditebang bagi menjual kayunya yang dibuat hiasan rumah seperti vas atau bagi menggantikan dengan tanaman durian, cempedak ataupun petai yang mempunyai lebih nilai komersial.
Rangsangan Untuk Berbunga
Musim kemarau yang bakal mendatang boleh dikesan dengan berbunganya pohon mangga. Defisit air lebih dari sebulan biasanya dapat merangsang pembungaan tetapi bergantung kepada paras air bawah tanah sesuatu kawasan. Kebanyakan mangga berbunga berwarna putihkuning tetapi ada juga yang berbunga ungu terutama bagi jenis mangga tradisi seperti Bacang atau Kuinin. Bunga-bunga kecil yang memenuhi tangkai bunga ada yang mempunyai dua jantina manakala yang lain hanyalah bunga jantan.
Kini mangga yang ditanam secara ladang dirangsang untuk berbunga menggunakan kimia seperti Paclobutrazol (penggalak pertumbuhan/growth regulator), Potassium nitrate (penggalak bunga) dan Ethephon (penggalak pertumbuhan). Masyarakat lama menggunakan tarikh mangga berbunga sebagai kalendar bagi menentukan musim menanam padi bagi tahun berikutnya. Bunga yang berjambak-jambak memenuhi seluruh kanopi pokok kelihatan seperti disaluti salji, dihurungi oleh lebah dan kelulut yang menjadi serangga pendebungaannya.
Walaupun berbunga lebat belum menentukan pembuahan banyak. Serangan kulat hawar bunga Colletotrichum gloeospoides, kulapuk hitam Meliola mangiferae, antraknos dan serangga pemakan bunga boleh menyerang bunga dan mempengaruhi faktor kelekatan buah. Ada varieti yang berbuah beberapa biji bagi setangkai bunga tetapi varieti Harumanis (MA 128) misalnya memang berbuah sebiji bagi setangkai bunga. Faktor ini secara langsung mempengaruhi hasil bagi tiap varieti.
Industri Tanaman Mangga di Dunia
India
Mangga adalah ‘King of Fruits’ di India. Sebakul mangga masak yang dibungkus rapi adalah gestur tanda persahabatan, setia kawan dan tanda hubungan perniagaan yang akrab bagi masyarakat di sana seperti sekuntum ros merah-hati di hari Valentine bagi jejaka. India menguasai sekitar 50% pasaran dunia, bertukar-tukar tempat dengan Thailand sebagai peneraju nombor wahid. Eksport mangga India menyumbang peratusan yang besar bagi GDP negara dengan nilai USD lebih dari 4 bilion.
Pada tahun 2022, India mengeksport 22 juta tan metrik mangga ke Eropah dan Timur Tengah. Uttar Pradesh menjadi negeri pengeluar mangga utama di India dengan pengeluaran sebanyak 25%. Keadaan panas dan lembap, taburan hujan sepanjang tahun dan tanah alluvial yang subur sangat sesuai untuk pengeluaran mangga.
Uttar Pradesh yang mendapat jolokan sebagai ‘Mango Bowl of India’ telah menanam mangga berabad-abad lamanya dan menjadi tempat kelahiran varieti unggul mangga India yang digemari pengguna antarabangsa seperti Dasheri, Langra Chausa dan Amarpali. Reliance pula merupakan sebuah syarikat terbesar dalam eksport mangga dari India ke pasaran dunia antaranya Eropah dan Timur Tengah.
Ia patut dipuji kerana bermula dalam agro-bisnes dengan mengadakan kios-kios runcit, membimbing petani dalam pengurusan ladang dan menyediakan bantuan modal kepada petani kecil. Matlamatnya adalah menyediakan hubungan menang-menang antara petani di ladang dan pengguna di seluruh dunia. Program pemasaran ekstensifnya ke pasaran ‘orang kaya’ di Eropah dan Timur Tengah mendapat permintaan yang sangat baik bagi mangga premium varieti Alphonso dan Kesar yang terkenal di Maharashtra, India seperti Harumanis di Perlis. Permintaan yang baik dan menguntungkan telah menarik Reliance melabur USD 30 juta bagi fasiliti pusat pengumpulan, pengredan, ripening chambers, pembungkusan dan kempen pemasaran.
Thailand
Thailand menjadi juara baru pengeluar terbesar mangga, bersaing dengan India dan Australia. Ia berada pada kedudukan terbaik bagi membekal mangga sepanjang tahun kerana berada di kawasan sub-tropika dan negara yang luas untuk daerah-daerah silih berganti mengeluarkan mangga. Varieti utamanya untuk eksport, Namdokmai Si Thong sangat manis, beraroma bunga tropika yang unik, kulit yang licin dan berwarna kuning keemasan yang dapat menarik minat pembeli. Tanaman mangga yang sangat menyukai cuaca panas untuk berproduksi dengan baik membuatkan musim mangga di Thailand bermula dari bulan Februari hingga Julai, selari dengan musim kering di sana.
Bulan-bulan lain pula, mangga dihasilkan di daerah yang mempunyai musim yang bertentangan. Di awal musim, mangga akan dituai di Phitsanulok, Pichit dan Udon. Apabila musim berubah pada bulan Jun, mangga di Chiengmai dan Chiegrai pula akan mulai masak. Di penghujung tahun kawasan yang lebih ke selatan akan mula menuai mangga seperti di Prachuap, Nakhon Rachasitma dan Chaiyaphoom.
Australia
Ladang mangga Australia berpusat di Queensland mengeluarkan sekitar 22,000 metrik tan setahun atau 45% pengeluaran Australia. Daerah pengeluarannya di Mareeba & Dimbulah (55%), Bowen & Burdeken (33%) dan Tengah & Selatan Queensland (11%). Mendapat jolokan ‘The Sunshine State’ ia dianugerah dengan tanah yang pamah, luas dan cahaya matahari sepanjang tahun.
Berada di hemisfera selatan menjadi satu kelebihan kerana dapat mengeluarkan buah pada musim yang bertentangan dengan pengeluar di hemisfera utara.
Pengeluaran setiap tahun akan bermula di utara Queensland pada bulan Oktober dan akan turun hingga ke selatan berakhir pada bulan April. Antara varieti utama yang dikeluarkan ialah Kensington Pride, B74 (Jenama CALYPSO), R2E2 dan Honey Gold.
Filipina
Pengeluaran mangga di Filipina adalah sebanyak 596,000 metrik tan pada tahun 2022. Mangga varieti Carabao menyumbang sebanyak 83% dari keseluruhan produksi. 85% pengeluaran adalahuntuk pasaran eksport di mana 2.5 juta petani kecil bergantung hidup kepadanya.
Carabao mempunyai nisbah isi dengan biji yang tinggi, rasa yang sangat unik, manis dan aroma berempah, tidak berserat dan cair di mulut yang membuat peminat teringat-ingat.
Jenis yang berbuah di awal musim, mula melimpahi pasaran bermula dari Mei hingga Jun setiap tahun. Masa terbaik untuk memetik ialah apabila pangkal bahu buahnya menunjukkan cahaya warna kuning, masa terbaik untuk dinikmati apabila kuning sepenuhnya dari bahu hingga ke hujung buah.
Mangga Carabao mempunyai biji benih jenis polyembrionik, bermaksud dengan memilih tunas dari biji benih yang sedang bercambah dengan tepat, pokok yang bersifat persis.
Malaysia
Industri mangga di Malaysia diterajui oleh beberapa varieti seperti Harumanis, Chokanan, Intan Shafinas/Nam Dok Mai, Golek/Foo Fatt, Sala dan Mas Muda. Pada 2012 keluasan tanaman mangga telah mencapai sekitar 3000 hektar hasil penanaman varieti Chokanan/Melaka Delight di Melaka, Perak dan Kedah. Ini adalah projek penanaman bagi pemulihan tanah terbiar di bawah Jabatan Pertanian.
Peningkatan harga kelapa sawit dan ‘Demam Musang King/Duri Hitam’ juga menyebabkan banyak ladang mempelam ditukar kepada dua tanaman ini. Namun dengan permintaan yang hebat dan harga yang premium bagi mangga Harumanis Perlis, keluasan varieti ini meningkat sehingga 2,000 hektar sehingga 2023. Di Kedah juga sedang giat menanam Harumanis, kini sudah mencapai 100 hektar dengan sokongan Menteri Besarnya sendiri sehingga mencetuskan ‘Perang Harumanis di Utara’ (Agrimag Jun, 2024).
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.