January 03 2024

Populariti Nangka J33 Tiada Tandingan

Populariti Nangka J33 Tiada Tandingan - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

oleh: Jamaludin Mat Rashid

Nangka (Artocarpus heterophyllus Lam) dari famili Moraceae bukanlah tanaman yang asing bagi rakyat Malaysia kerana banyak ditanam di kampung dan juga di taman perumahan. Nangka dipercayai dibawa masuk ke dunia nusantara oleh pedagang-pedagang yang belayar dari bahagian tropika India sejak tahun 1870-an lagi.


Aank benih cantuman nangka J33 boleh dikenalpasti dengan daunnya yang berkilat dan berubah. -FB: Laksamana Nursery

 


Sebagai tumbuhan saka yang serba guna, nangka dapat beradaptasi dengan baik di Kepulauan Melayu dan menjadi sebahagian dari makanan dan mempengaruhi budaya tempatan. Selain India yang dipercayai tempat asalnya, nangka boleh ditemui di Bangladesh, Myanmar, Indo-China, Filipina, Thailand, seluruh Kepulauan Indonesia malah bahagian tropika Australia. 

Selain buah masak yang dimakan segar, nangka muda dijadikan campuran masakan seperti gulai dan masakan menggunakan santan kelapa bersama dengan ikan, ayam mahupun daging. Kayu dari batang dan dahannya yang keras, berwarna kuning kemerahan dan mempunyai urat yang cantik digunakan sebagai sarung dan hulu senjata tajam seperti keris, golok, parang dan peralatan pertanian seperti tenggala dan kereta lembu. Kayunya tidak mudah pecah apabila dilarik dan ditebuk, sesuai untuk pembuatan alat muzik tradisional seperti gendang, kompang dan serunai. Daun nangka selain diberi makan kambing boleh digunakan sebagai pengawet pekasam ikan supaya tidak berulat. 


Jarak tanam yang disyorkan untuk nangka J33 ialah 9m x 9m bagi mendapat densiti 123 pokok per hektar. -FB: Pejabat Pengurusan TKPM Lanchang

 

Berbuah sepanjang tahun menjadikannya filler kepada buah-buahan bermusim lain seperti durian, cempedak dan sebagainya. 

Selain dimakan mentah dan dibuat penganan, jus, jeli dan aiskrim, isi nangka mengkal boleh dijadikan kerepek. Teknologi pemprosesan mutakhir seperti teknik vacuum fry digunakan untuk membuat kerepek atau cip yang mengekalkan rasa dan bau nangka seperti semulajadinya, boleh dijual pada harga yang mahal sehingga RM15 bagi pek 100 gram. 

Jika kita berkunjung ke kampung tradisional, masih terdapat pelbagai jenis nangka yang ditanam dari biji dan tumbuh menjulang tinggi hingga 50 kaki tinggi dengan saiz batang sebesar pemeluk. Pohon nangka yang ditanam generasi terdahulu mungkin berusia 50 tahun ke atas. Oleh kerana faktor ketinggian dan buah yang sangat banyak ia dimanfaatkan sebagai bahan sayuran ‘nangka muda’ yang mendapat permintaan tinggi di pasar tani, pasar malam dan di kalangan pengusaha restoran menu alakampung. Kalau di negeri-negeri utara siapa yang tidak kenal dengan gulai nangka dengan ikan talang kering dan kerabu nangka. Antara varieti nangka kampung yang putiknya dibuat bahan sayuran gulai dan kerabu ialah Nangka Belulang dan Nangka Bubur.

Jabatan Pertanian telah membuat seleksi dan mendaftarkan varieti unggul nangka sejak dahulu lagi. Seleksi dibuat dengan matlamat mendapat kualiti buah yang terbaik, penghasilan yang tinggi dan tahan kepada serangan penyakit dan perosak. Pokok induk yang mempunyai 3 karakter berkenaan dikenalpasti dan diambil bahan tampang untuk pengklonan. Klon yang mengekalkan sifat yang stabil didaftar dan diperkenalkan kepada awam untuk produksi. Dalam banyak-banyak klon yang dipilih hanya 4 klon yang popular dan ditanam luas secara komersial iaitu NS-1 (J31), Mantin (J32), Tekam Yellow (J33) dan Mastura (J37). Klon lain yang turut ditanam pengusaha persendirian ialah Nangka Emas Hong (J34), Nangka Kristal 1 (J135) dan Nangka Kristal 6 (J 136). Tetapi Tekam Yellow (J33) tetap mendahului senarai dari segi populariti, keluasan bertanam dan kemanisan. 


Nangka J33 cepat membesar dan boleh mencapai ketinggian lebih 3 meter dalam masa 6 bulan jika diberi pengairan, pembajaan dan pengurusan yang sewajarnya. -FB: Farah Diba

 


Tekam Yellow (J33) berasal dari Rawang, Selangor dan didaftarkan pada 29 Mac, 2004 dari pokok induk di Felda Sungai Tekam, Pahang. Klon ini paling luas ditanam di antara klon nangka yang ada. J33 paling luas ditanam di Pahang, Johor dan Negeri Sembilan melalui projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM). 

Dibiak dengan Cantuman Mata Tunas

Anak benih nangka termasuk J33 dibiak dengan cara cantuman mata tunas. Jarang orang menanam dari biji benih kecuali untuk digunakan sebagai pokok penanti. Anak benih cantuman nangka J33 boleh dikenalpasti dengan daunnya yang berkilat dan berkubah. Perlu diperhatikan sifat ini ketika membuat pemilihan supaya tidak tertipu. Sifat ini ada pada anak pokok dan pokok dewasa. Harga anak benih cantuman mata tunas adalan antara RM15- RM35 sepokok bergantung kepada umur pokok, saiz polibeg dan kuantiti dibeli. 


Jarak tanam yang disyorkan untuk pokok nangka J33 ialah 9m x 9m bagi mendapat densiti 123 pokok per hektar. Ini adalah penting supaya pokok mendapat cahaya matahari cukup bagi menghasilkan buah berkualiti dengan berat buah sekitar 15 - 18 kilogram sebiji. Saiz ini penting terutama bagi tujuan eksport yang mahukan buah dengan saiz yang seragam. Tanah loam berpasir dengan saliran yang baik sesuai untuk nangka. Tanah perlu diterangi terlebih dahulu dengan jentolak bagi mengeluarkan kayu dan akar-akar pokok bagi mencegah serangan anai-anai pada kelak hari. Kawasan yang hendak ditanam nangka mesti bukan kawasan yang terdedah kepada banjir kerana pokok nangka akan mati jika tenggelam lebih dari 8 jam. Nangka J33 cepat besar dan boleh mencapai ketinggian lebih 3 meter dalam masa 6 bulan.

Pemangkasan bagi membentuk pokok perlu dibuat supaya pencahayaan dan peredaran udara baik serta buah dapat dicapai tangan semasa membungkus dan menuai kelak. J33 berbuah seawal 2.5 hingga 3 tahun selepas ditanam. J33 sangat rajin berbuah dan berproduktiviti tinggi. Penjarangan buah perlu dibuat, hanya putik buah di dahan utama disimpan. Bilangan buah disimpan mengikut kesesuaian bergantung kepada umur dan saiz pokok. 

Buah matang selepas 120 - 140 hari selepas anthesis dan ditandakan pada beg pembalut bagi kemudahan menuai. Puncak pengeluaran buah adalah pada bulan Januari dan Julai namun berubah-ubah mengikut negeri.

Kemanisan Mendahului Klon Lain

Nangka J33 berbentuk oblong dengan duri tajam warna hijau kekuningan yang nampak segar dan menarik. Kemanisannya 27 - 30% Brix, di kategori sangat manis berbanding klon lain. Paling hampir dengannya dari segi kemanisan ialah Mastura (J37) dengan 17 - 18% Brix dan NS-1 (J31) dengan15 - 20% Brix. 

Aroma J33 sangat harum, ranggup, tahan simpan pada suhu biasa sehingga 5 - 10 hari. Kulit buah J33 tidak tebal dan kurang bergetah, sekadar 1 cm sahaja menjadikan nisbah isi dari berat buah keseluruhan ialah 60%. Ini menguntungkan penjual runcit. Tekstur ulas lembut, tidak berair dan rendah fiber dengan warna kuning keemasan yang sangat cantik. Terdapat 18 - 21 ulas dalam sekilogram, bilangan yang sesuai sebagai hidangan koktel buah. 

Harga jualan di ladang semasa ialah antara RM3.50 - RM4.50 mengikut lokasi dan gred. Harga jualan isi nangka J33 antara RM15 - RM18 sekilogram mengikut lokasi. 

Halangan Masalah Pengeluaran

Lalat buah (Bactrocera sp ) menjadi musuh utama nangka J33. Membungkus buah dengan karung plastik supaya lalat buah tidak dapat bertelur didapati sangat berkesan namun memerlukan tenaga buruh yang sangat banyak. Perangkap botol yang diisi racun serangga dan diumpan dengan Methyl eugenol boleh menurunkan populasi lalat buah dengan berkesan dan murah. 

Membungkus buah dengan karung plastik supaya lalat buah tidak dapat bertelur didapati sangat berkesan. -FB: Bryan Midir

 

Penyakit mati rosot oleh bakteria Erwinia carotovora juga mengancam nangka J33 dan dapat dikawal dengan kawalan biosekuriti yang ketat. 

Cendawan angin (Erytricum simoncolor) juga berpotensi menyerang apabila peredaran udara tidak baik akibat tidak dibuat kerja pemangksan dahan. 

Serangga Apriona flavescens merupakan ulat pengorek batang yang mampu menyerang dan boleh diatasi dengan racun serangga sistemik. 

Karat buah juga menyerang dengan kesan warna seperti karat besi pada ulas dengan rasa pahit namun beransur kurang apabila pokok berumur lebih dari 5 tahun dan tinja ayam tidak digunakan selepas berumur 2 tahun. 

Babi hutan dan monyet juga menjadi ancaman dan boleh diatasi dengan memerangkap dan menembak.

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag