May 02 2025

Penyediaan Makanan Untuk Ternakan Kambing

Penyediaan Makanan Untuk Ternakan Kambing - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Bushral Karim Md Yusob

Ramai penternak kambing pada masa ini tidak lagi mempunyai kawasan luas untuk rumput. Sebaliknya, mereka lebih cenderung untuk menternak kambing dalam kandang dan membekalkan makanan setiap hari sepanjang hayat haiwan peliharaan. 

Pemakanan kambing yang sempurna memerlukan perhatian khusus untuk memastikan makanan seimbang dan berkualiti. Kambing memerlukan makanan yang boleh   memberikan pertumbuhan optimum tanpa membebankan kos penternak. 

Oleh itu, mencari alternatif makanan yang lebih murah dan mudah diperoleh adalah langkah bijak bagi menjamin kelangsungan perniagaan penternakan. 

Membekalkan Makanan Kambing Secara Konvensional

Penternak kambing yang ingin mendapatkan pulangan yang baik daripada ternakan mereka akan menggembleng tenaga untuk mendapatkan rumput atau tumbuhan tanpa mengeluarkan modal untuk membeli dedak. Dua puluh tahun yang lalu, penternak hanya melepaskan kambing untuk   mencari makanan sendiri di kawasan berhampiran kediaman atau sekitar kandang. 


Bekalan rumput napier yang ditanam sendiri adalah sumber makanan murah.

 


Namun, kebelakangan ini, kawasan untuk kambing bebas bergerak semakin terhad dan boleh   menimbulkan gangguan kepada penduduk setempat. Oleh itu, penternak perlu mendapatkan bekalan rumput dan membawanya balik ke kandang untuk diberikan kepada kambing. Penternak juga perlu memberikan dedak dan campuran lain untuk memastikan makanan seimbang kepada kambing. 

Rumput Napier

Penternak yang mempunyai kawasan luas boleh menanam rumput Napier untuk memudahkan   perolehan bekalan rumput. Rumput ini boleh dipotong dan diberikan terus kepada kambing. Adalah lebih baik jika rumput dicincang halus   untuk mengelakkan pembaziran dan memudahkan pencernaan. Seekor kambing dewasa memerlukan antara 5-8 kg rumput segar sehari. 

Rumput Napier, juga dikenali sebagai “rumput   gajah” atau “rumput Afrika”, popular di Malaysia kerana pertumbuhannya yang pantas, hasil tinggi, dan nilai nutrien yang sesuai untuk kambing. Rumput Napier mampu menghasilkan 50-70 tan biomass segar per hektar setahun. Kandungan protein kasarnya adalah 8-12%, dan lebih tinggi   jika dipotong muda. Serat kasarnya 25-30%   sesuai untuk kesihatan pencernaan kambing, dan kaya dengan mineral seperti kalsium, fosforus, dan magnesium. 

Rumput Napier boleh tumbuh dalam pelbagai   jenis tanah, termasuk tanah laterit dan berpasir. Ia tahan kemarau sederhana dan cepat pulih selepas musim kering. Kos untuk menanamnya juga rendah kerana tidak memerlukan pembajaan dan racun perosak. Rumput ini ditanam menggunakan keratan batang dan tidak menggunakan biji benih. Sistem akarnya juga boleh menstabilkan tanah dan mengurangkan hakisan. Rumput ini memerlukan saliran air yang baik kerana kawasan yang bertakung akan   menyebabkan akar mereput. 

Bekalan rumput Napier menyediakan protein dan serat untuk menyokong pertumbuhan otot dan kesihatan kambing. Pengeluaran susu juga boleh meningkat antara 10-15%. Serat kasar daripada rumput Napier membantu mencegah kembung   perut dan memperbaiki proses pencernaan. Penternak yang menanam sendiri rumput Napier boleh menjimatkan kos sehingga 50% daripada kos makanan pekat. 

Kandungan Makanan Kambing

Penternak juga boleh menyediakan makanan sendiri dengan formula tertentu berdasarkan   maklumat yang diperoleh. Campuran makanan perlu dilengkapkan dengan protein, karbohidrat, lemak, serat, vitamin, dan mineral. Protein diperlukan untuk pertumbuhan dan otot,   karbohidrat untuk keperluan tenaga, lemak untuk keperluan tenaga dan kesihatan kulit serta bulu, serat untuk pencernaan yang baik, dan mineral serta vitamin untuk mengelakkan kekurangan zat dan penyakit. 

Sumber Perolehan Makanan Alternatif Selain Daripada Rumput

Untuk memenuhi keperluan ini, penternak yang ingin menghasilkan makanan sendiri boleh mendapatkan bahan dari sumber alternatif seperti jerami padi, kulit kacang soya, batang jagung, dan daun ubi kayu. Rumput Napier juga sesuai sebagai bahan makanan utama. 

Sisa makanan dan produk industri tempatan seperti dedak padi, hampas kelapa, hampas tebu, dan roti terbuang juga boleh dicampurkan untuk memberi makanan alternatif. Buah-buahan seperti pisang dan kulitnya, buah betik dan daunnya, serta   kekacang hijau dan kacang tanah juga boleh   dicampurkan jika boleh diperoleh. 

Formula Makanan Alternatif

Untuk memastikan keseimbangan nutrisi, campuran makanan alternatif perlu mencampurkan bahan- bahan seperti jerami padi, dedak padi, ampas   kelapa, dan daun ubi kayu. Untuk campuran   rumput dan kekacang, bolehlah dicampurkan   rumput Napier, daun petai belalang, kulit kacang soya, dan ampas tebu. 

Pemberian makanan alternatif perlu dibuat secara berperingkat bagi membolehkan kambing   menyesuaikan diri dan mengelakkan masalah pencernaan. 

Tips untuk Menjimatkan Kos Makanan

Penternak yang ingin mengurangkan kos   pemakanan kambing boleh mengambil   pendekatan dengan menanam rumput dan daun-daunan sendiri, menyimpan dan memproses sisa pertanian, menggunakan sumber tempatan, dan memberi makanan tambahan secara berkala. 

Makanan Kambing untuk Tujuan Penggemukan 

Terdapat penternak yang menetapkan tempoh   penternakan tidak melebihi setahun, dan dalam tempoh tersebut, kambing perlu digemukkan untuk mendapatkan harga jualan yang lebih tinggi. Untuk mencapai tujuan tersebut, penternak perlu   menentukan makanan yang sesuai, kos yang berpatutan, dan dalam tempoh tertentu, boleh menghasilkan kambing yang lebih berat dan mendapatkan harga yang lebih baik. 

Keberhasilan penggemukan bergantung kepada   jenis makanan yang disediakan. Nutrisi seimbang antara tenaga, protein, serat, dan vitamin boleh membantu proses ini. Antara bahan utama yang perlu disediakan adalah rumput atau legum segar, sisa pertanian, dan konsentrat. Makanan seperti   jagung mempunyai sumber karbohidrat tinggi. Dedak gandum atau beras juga mengandungi   protein dan serat yang sesuai untuk penggemukan. 

Nutrisi Asas Kambing

Kambing memerlukan protein untuk pertumbuhan dan pembentukan otot, karbohidrat untuk sumber tenaga, lemak untuk keperluan tenaga dan   kesihatan kulit serta bulu ternakan, serat untuk sistem pencernaan yang baik, dan mineral serta   vitamin untuk mengelakkan kekurangan zat dan penyakit. 

Sumber protein boleh diperoleh daripada hampas soya, bungkil kelapa atau kelapa sawit, dan ampas tahu atau tempe. Molases juga perlu dicampurkan untuk kandungan gula dalam makanan. Mineral seperti kalsium, fosforus, dan garam beriodin   membantu menguatkan tulang dan sistem saraf   serta mengawal keseimbangan elektrolit. Vitamin   A, D, dan E diperlukan untuk memperbaiki imuniti dan mencegah stres. 

Minuman juga penting untuk kambing. Air bersih perlu disediakan sepanjang masa. Kekurangan air boleh merencatkan metabolisme. Suhu air perlulah tidak terlalu panas atau terlalu sejuk untuk   mengurangkan stres.


Bekalan dedak adalah sumber makanan yang seimbang diberikan kepada ternakan.

 


Makanan Kambing untuk Meningkatkan Pengeluaran Susu

Untuk penternakan kambing tenusu, matlamat   utama makanan kambing adalah untuk pastikan metabolisme tubuh yang baik, menghasilkan susu yang lebih banyak, dan menjaga kesihatan   reproduktif. Penternak kambing tenusu perlu   memastikan nutrisi kambing setiap fasa, dari kecil, pertumbuhan, hingga semasa laktasi, diberikan   perhatian. 

Dengan memastikan adanya rumput dan legum   segar, bijirin seperti jagung atau gandum, atau bungkil kacang soya, penternak boleh memastikan keseimbangan pemakanan. Biasanya, pelet komersial di pasaran boleh membantu kambing menghasilkan susu yang lebih tinggi. 

Tumpuan pada peringkat kebuntingan adalah meningkatkan pemberian protein antara 12-14% dan tenaga ditambah pada peringkat akhir   kebuntingan. 

Semasa laktasi, perlu diberikan makanan yang memberikan tenaga dengan   memberikan 1.5 kg pelet sehari bersama rumput berkualiti. Peringkat laktasi adalah masa makanan diberi 3-4 kali sehari untuk mengelakkan stres pencernaan. 

Kaedah Menyediakan Campuran Makanan

Terdapat penternak yang menyediakan silaj   dengan mencampurkan pelbagai rumput, daun   kelapa sawit, daun dan hampas tebu, serta pelbagai jenis tumbuhan yang boleh diperoleh dari kawasan setempat. Silaj boleh dihasilkan dengan   mendapatkan sumber rumput atau tumbuhan yang sesuai dan perlu dicincang halus antara 2-5 cm. 

Kemudian, campurkan dengan molases (5%   daripada berat) untuk mempercepatkan proses   fermentasi. Padatkan bahan-bahan yang dicincang dalam silo plastik atau tong kedap udara, dan   simpan selama 3-4 minggu sebelum digunakan. Silaj yang disediakan boleh disimpan sehingga 2 tahun. 


Batang rumput napier yang mudah ditanam dengan memacakkan di kawasan lapang.

 


Dengan cara memperoleh sumber makanan   daripada sumber berhampiran, kos makanan   kambing boleh dikurangkan. Namun, perolehan   dedak komersial masih diperlukan kerana   penyediaan makanan sediaan sendiri mungkin   masih tidak mencukupi. 

Cabaran Menyediakan Makanan Kambing

Bagi penternak kambing, cabaran besar adalah penyediaan makanan, terutamanya jika bekalan makanan pelet perlu dibeli. Kos 50 kg untuk satu kampit adalah sekitar RM30, yang boleh memberi makan 10 ekor kambing dalam masa seminggu. 

Untuk mengatasi masalah kos pemakanan, sumber tempatan seperti sisa pertanian, daun kelapa sawit, atau rumput yang terdapat di kawasan setempat boleh digunakan. Penternak juga boleh mengusahakan penanaman rumput Napier. Namun, penternak masih perlu membawa balik rumput ke kandang, terutamanya bagi ternakan yang diletakkan di kandang. 

Elakkan berlakunya keracunan makanan, terutamanya daripada sumber makanan daripada tumbuhan beracun seperti rebung buluh mentah atau daun ubi kayu tanpa diproses. Dalam   menyediakan makanan, penternak juga perlu memastikan tempat makanan dan minuman   sentiasa bersih untuk mengelakkan jangkitan penyakit. 

Kesimpulan

Pemakanan yang dirancang rapi bukan sahaja menjamin kesejahteraan kambing tetapi juga boleh meningkatkan hasil ternakan yang baik. Dengan menggabungkan makanan kasar, pekat, dan suplemen secara seimbang, penternak boleh mencapai produktiviti maksimum sambil   mengurangkan kos operasi. Pelaburan dalam pengetahuan nutrisi dan pengurusan makanan   yang baik pasti memberikan pulangan jangka panjang dalam industri kambing tenusu. 

Dengan pendekatan saintifik dan praktikal, penternak berpotensi untuk bersaing di pasaran global, memenuhi permintaan terhadap hasil keluaran daging dan susu kambing yang semakin meningkat dengan pertambahan penduduk dan kesedaran tentang manfaat daging dan susu   kambing.

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag