February 12 2025

Pengeluaran Bunga Matahari Agro Pelancongan

Pengeluaran Bunga Matahari Agro Pelancongan - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Bushral Karim Md Yusob

Industri bunga matahari di Malaysia atau nama saintifik Heliantus Annus merupakan sektor yang sedang berkembang dan mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada ekonomi negara. 

Agro pelancongan merupakan satu daripada cabang tarikan untuk mengusahakan ladang bunga matahari. 

Bunga matahari popular sebagai pokok hiasan, dan sebuah ladang yang terletak jauh di Daerah Bagan Datuk telah membuka jalan untuk dijadikan sebuah tarikan pelancong di sebuah kawasan yang sebelum ini adalah terpinggir dari segi pembangunan. 

Ladang Bunga Matahari Di Sungai   Burung, Bagan Datuk adalah   sebuah tarikan baru untuk pelancong. Kawasan seluas 0.8 hektar di daerah bersejarah Bagan Datuk yang dahulunya terpisah dari daerah lain di Negeri Perak. Tetapi semenjak adanya Jambatan Sultan Nazrin, Pekan Bagan Datuk telah membuka laluan kepada lebih ramai pelancong. 

Ladang Bunga   Matahari ini menjadi tumpuan pelancong melihat kecantikan sebuah taman yang dilengkapi dengan kincir air, replika bunga matahari, jambatan kayu, kolam buatan, buaian dan wakaf di atas air. Dalam kawasan ini terdapat 2,000 pokok bunga matahari untuk dilihat di samping berpeluang memberi makan ikan dan itik. 

Bayaran tiket untuk masuk ke ladang adalah   munasabah antara RM5 hingga RM13 seorang, dan pelancong dapat merakamkan kecantikan   pemandangan dan dapat melihat aktiviti-aktiviti   berkaitan dengan penanaman dan penjagaan ladang dan dapat juga membeli hasil keluaran terus dari ladang. 


Sejarah Ladang Bunga Matahari

Pemilik ladang En. Khor Weng Kiang memulakan penanaman bunga matahari setahun yang lalu bersama kakaknya dan lima orang kawan,  selepas mendapati minat pelancong untuk bergambar   dengan pokok bunga matahari yang ditanam di tepi jalan menghala ke ladang beliau. Beliau lalu menyediakan kawasan khas di ladang untuk tujuan fotografi, di samping meneruskan aktiviti penanaman dan pemasaran bagi memenuhi keperluan pasaran. 

Potensi Hasil Daripada Pelancong

Sekiranya diusahakan secara besaran,  pendapatan yang boleh diperolehi daripada penanaman bunga matahari termasuklah minyak bunga matahari, biji bunga untuk makanan ringan.  

Ladang untuk tujuan menarik pelancong  berpotensi mendapat   perolehan daripada jualan bunga hiasan dan jualan tiket untuk masuk ke kawasan ladang. 

Bergantung kepada kemudahan yang disediakan, pengusaha boleh mengenakan bayaran tiket untuk masuk ke kawasan ladang dengan bayaran antara RM5 hingga RM20 seorang. 

Selain daripada bayaran untuk tiket, pengusaha boleh juga menjual bunga yang   dipotong, cenderamata dan makanan. 

Di ladang bunga matahari Bagan Sungai Burung   disediakan kemudahan seperti kincir angin, dan buaian khas untuk bergambar. Tasik tasik buatan juga membolehkan pelancong bergambar kenangan. 


Proses Penanaman dan Penjagaan

Sebagai seorang petani bunga matahari, proses dari penanaman hingga pengeluaran memerlukan   perancangan, pengurusan yang rapi, dan pelaksanaan langkah demi langkah. Berikut adalah panduan lengkap untuk menanam bunga matahari: 

Langkah pertama adalah untuk memilih lokasi yang sesuai untuk ladang bunga matahari. Lokasi   perlulah menerima cahaya matahari antara 6-8 jam sehari, dan kawasan yang dipilih juga bebas daripada banjir. Sistem pengairan yang sesuai juga perlu   disediakan. 

Proses menanam bermula dengan   menggemburkan tanah dengan bajak atau cangkul dan pH tanah hendaklah dipastikan berada antara 6.0 hingga 7.5. Sekiranya tanah terlalu berasid, perlulah ditambah dengan kapur. Baja organik dan kompos juga ditambahkan untuk meningkatkan   kesuburan tanah. 

Pemilihan benih untuk ditanam hendaklah   memenuhi keperluan untuk hasil minyak yang   tinggi, atau untuk makanan ringan, atau untuk   tujuan hiasan. Benih yang berkualiti dipilih   berdasarkan kepada keperluan ini. 

Untuk hasil minyak, boleh memilih varieti Peredovik. Untuk makanan ringan varieti Royal Hybrid boleh   dicadangkan, dan untuk tujuan hiasan boleh   gunakan varieti Autumn Beauty. Benih yang dipilih juga perlulah berkualiti tinggi dan bebas daripada penyakit.

Benih yang telah dipilih akan ditanam antara dalam barisan di atas batas disediakan. Jarak antara pokok adalah 30 cm antara pokok, dan 60 cm antara   barisan. Benih di tanam pada kedalaman 2.5 hingga 5 cm di dalam tanah. Selepas di tanam, ianya perlu disiram untuk percambahan benih. Untuk   mengelakkan kelembapan berlebihan, benih   sebaiknya di tanam pada musim kemarau.   Kelembapan berlebihan boleh menyebabkan   penyakit. 

Proses penjagaan adalah berterusan dengan   menyiram secara konsisten terutamanya   di peringkat percambahan dan di awal   pertumbuhan. Apabila bunga mulai berkembang, aktiviti menyiram perlu dikurangkan untuk   mengelakkan reput akar. 

Pelawat boleh juga membeli tanaman hiasan lain yang turut dijual.

 


Pembajaan dalam bentuk kompos atau baja   sebatian NPK juga dilakukan. Baja bertujuan untuk pertumbuhan daun dan batang, membentuk sistem akar yang kuat dan pembentukan bunga, dan untuk meningkatkan kualiti biji dan daya tahan terhadap penyakit. 

Kawalan rumpai perlulah dilakukan untuk   memastikan pokok bunga matahari tidak perlu   bersaing untuk mendapatkan nutrien dan cahaya. Untuk menghalang burung, ulat dan dan  kumbang, perlulah ada kawalan serangga dan penggunaan   racun serangga organik. 

Bunga matahari juga boleh diserang penyakit.   Penyakit downy mildew adalah disebabkan oleh kelembapan berlebihan dan untuk atasi masalah ini, perlulah menanam benih yang boleh menahan penyakit. 

Proses Pembungaan dan Penuaian

Penuaian bunga boleh dibuat selepas 8 atau   12 minggu. Pada tahap ini, tanaman perlu dijaga rapi untuk memastikan hasil yang berkualiti. Apabila kelopak bunga mulai gugur, dan bahagian belakang kepala bunga berubah menjadi coklat kekuningan, biji mudah untuk tanggal apabila digosok. 

Untuk menuai, kepala bungan dipotong sepanjang 10 hingga 15 cm. Keseluruhan jangkamasa daripada menanam hingga menuai adalah di antara 90 hingga 120 hari bergantung kepada varieti yang diguna dan juga keadaan cuaca. 

Cabaran Menanam dan Menjaga Bunga

Seperti tanaman lain, pengusaha ladang bunga   matahari perlulah menghadapi ancaman serangga perosak, penyakit dan keadaan cuaca yang tidak menentu. 

Perosak termasuk juga serangan burung pipit dan murai yang akan memakan biji bunga yang hampir matang. Serangga seperti ulat dan dan kumbang akan menyerang daun dan bunga yang boleh   menghalang tumbesaran tanaman. 

Untuk mengatasi masalah serangan burung, perlulah dipasang jaring pelindung atau orang-orangan dan untuk mengatasi masalah serangga, perlulah disembur racun   serangga organik, atau memperkenalkan pemangsa semula jadi untuk makan serangga perosak. 

Cabaran lain untuk dihadapi adalah penyakit yang disebabkan oleh kulat, boleh mengakibatkan daun menguning dan bunga gagal berkembang. Untuk atasi masalah penyakit, perlulah menggunakan   varieti bunga yang tahan penyakit dan ladang perlu sentiasa bersih. 

Bukan mudah menanam dan menjaga bunga matahari sehingga berbunga.

 


Kos menyediakan ladang bunga matahari juga   adalah tinggi olehkerana perlu membiayai kos benih yang berkualiti, kos pengairan dan baja dan kos   penjagaan ladang. 

Cuaca yang tidak menentu juga merupakan satu cabaran besar. Hujan dan Ribut boleh musnahkan tanaman, dan hujan berpanjangan juga boleh   menjejaskan pengeluaran bunga dan kemarau yang panjang boleh menyebabkan kekurangan air yang boleh menghasilkan biji yang kecil dan hasil yang rendah. 

Masa Hadapan Penanaman Bunga Matahari

Peluang masih luas untuk usaha menanam bunga matahari di Malaysia Penanaman bunga matahari di Malaysia semakin mendapat perhatian sebagai salah satu tanaman bernilai tinggi. Dengan iklim tropika yang sesuai, tanah yang subur, dan   permintaan yang kian meningkat, tanaman ini   berpotensi menjadi industri yang menguntungkan. 

Permintaan pasaran untuk bunga matahari adalah stabil bagi keguaan mendapatkan minyak bunga matahari, atau untuk makanan ringan biji   bunga matahari. Sebagai sebuah negara yang mengeksport minyak kelapa sawit, Malaysia juga boleh memperluaskan pasaran minyak tumbuhan dengan memasukkan minyak bunga matahari ke dalam portfolio eksport. 


Bunga matahari sangat berpotensi sebagai industri hiasan atau agro-pelancongan. Di Ladang Sungai   Burung ini, ramai pelancong terhibur dengan keindahan lanskapnya yang sesuai untuk aktiviti   fotografi dan rekreasi. Bunga matahari juga boleh dibuat hiasan kerana bunga potong boleh diguna sebagai gubahan untuk majlis perkahwinan,   upacara korporat dan hiasan rumah. 

Tempoh menanam hingga memperolehi hasil juga adalah cepat, iaitu antara 90 hingga 120 hari, adalah satu kelebihan untuk mengusahakan tanaman ini. Malaysia mempunyai potensi untuk mengeksport bunga matahari ke Jepun, Korea dan China   kerana permintaan untuk minyak, makanan ringan dan bungan potong  di negara berkenaan adalah tinggi.

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag