June 17 2025

Laktok: Makanan Segar Dari Lautan

Laktok: Makanan Segar Dari Lautan - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Bushral Karim bin Md Yusob

Bayangkan menikmati sepinggan ulam segar dengan rasa laut yang halus di lidah, rangup pada setiap gigitan, dan penuh khasiat tersembunyi dalam bentuk kecil seperti gugusan buah anggur hijau. 

Itulah laktok - rumpai laut yang semakin mendapat perhatian dalam dunia makanan sihat dan industri bio-ekonomi. 

Dikenali sebagai green caviar atau  "umi-budō" di Jepun, laktok kini bukan sahaja menjadi pilihan di meja makan, malah semakin popular di pasaran antarabangsa sebagai produk bernilai tinggi. 

Laktok merupakan sejenis rumpai laut daripada keluarga Caulerpa, secara saintifik dikenali sebagai Caulerpa lentillifera. Ia tumbuh secara semula jadi di kawasan tropika termasuk Malaysia, Filipina, Indonesia dan Jepun. Dengan bentuk unik menyerupai manik-manik hijau berkilau, laktok menarik perhatian bukan sahaja kerana penampilannya yang istimewa, tetapi juga kandungan nutrisinya yang luar biasa. 

Di Malaysia, khususnya di Sabah dan beberapa kawasan pesisir Sarawak, laktok telah lama menjadi sebahagian daripada hidangan tradisional. Kini, ia mula dikenali sebagai "emas hijau" yang berpotensi meningkatkan taraf ekonomi komuniti pesisir pantai. 

Rahsia Khasiat Laktok

Laktok bukan sekadar ulam biasa. Ia padat dengan nutrien seperti protein tumbuhan, serat, vitamin A, B dan C serta mineral penting seperti kalsium, zat besi dan magnesium. 

Malah, ia mengandungi asid lemak Omega-3 dan antioksidan yang bermanfaat untuk kesihatan jantung, otak dan kulit. 

En Lan Bolly mengusahakan laktok dalam kolam, menunjukkan hasil laktok yang diperolehi.

 


Manfaat Kesihatan Laktok

Kajian saintifik telah membuktikan bahawa   pengambilan laktok secara berkala boleh: 

•    Membantu mengawal tekanan darah 

•    Mengurangkan risiko penyakit jantung 

•    Meningkatkan sistem imun 

•    Memperbaiki fungsi penghadaman dan kesihatan usus 

Oleh kerana pelbagai khasiatnya, laktok turut digunakan secara meluas dalam industri kesihatan dan kosmetik sebagai bahan aktif yang berharga.

Cara Menikmati dan Pelbagai Kegunaan Laktok

Sewaktu berkunjung ke Pulau Langkawi, penulis telah berpeluang bertemu dengan seorang   pengusaha laktok yang sedang memetik laktok dari kolam percambahan dan menyediakan salad yang disertakan dengan sambal untuk dinikmati. 

Di Langkawi, laktok sering dinikmati secara mentah sebagai ulam, dihidangkan bersama sambal limau atau cuka bercili yang menyegarkan. Rasanya yang ringan dengan sentuhan masin dan tekstur unik yang meletup halus di mulut menjadikannya   hidangan istimewa. 

Sementara itu, di peringkat antarabangsa, laktok telah diolah menjadi pelbagai hidangan seperti sushi yang segar, salad yang berkhasiat, malah   dijadikan makanan ringan yang sihat. 


Penjagaan dalam kolam memerlukan pengaliran air bersih sepanjang masa.

 


Kini, laktok telah berkembang menjadi bahan   utama dalam pelbagai produk seperti serbuk   minuman berkhasiat, jus kesihatan, krim muka   penjagaan kulit, dan kapsul makanan tambahan. Malah, potensi laktok dalam industri farmaseutikal sedang giat dikaji untuk dimanfaatkan dalam   produk-produk kesihatan yang lebih khusus. 

Perkembangan Industri Percambahan Laktok di Malaysia

Industri laktok di Malaysia masih berada di   peringkat awal pembangunan. Encik Lan, seorang pengusaha laktok di Langkawi, baru mula   mengusahakan penanaman laktok khusus untuk   kegunaan restorannya sendiri. 

Laktok merupakan rumpai laut yang hanya tumbuh di kawasan laut dengan air bersih dan kandungan nutrien yang sesuai. Untuk memastikan kualiti dan kesegaran laktok terjaga, Encik Lan menanamnya dalam kolam konkrit buatan yang dilengkapi sistem pengudaraan oksigen dan pengaliran air menggunakan pam. Kaedah ini membolehkan laktok sentiasa segar dan air dalam keadaan bersih. 

Benih laktok masih diimport dari Sabah, Thailand, atau Vietnam. Benih yang diperoleh dibiarkan bercambah dalam kolam konkrit, di mana laktok akan terus berkembang dan boleh dituai secara berterusan selepas mencapai kematangan. 


Kolam buatan ini tempat laktok bercambah, sebelum diambil untuk dijual.

 


Kepentingan Industri Laktok kepada Malaysia

Walaupun laktok bukan makanan ruji, ia berpotensi menjadi makanan tambahan bernilai tinggi yang menyumbang kepada sumber makanan segar dan sihat untuk rakyat Malaysia, sekaligus   mengurangkan pengambilan makanan buatan yang kurang berkhasiat. 

Malaysia memiliki garis pantai yang luas dengan persekitaran laut yang sesuai untuk penternakan laktok. Melalui kaedah akuakultur sama ada secara terbuka di laut atau sistem tertutup di darat, laktok boleh dituai dalam tempoh 1-2 bulan,  menjadikannya antara komoditi akuakultur paling cepat memberikan pulangan. 

Potensi Pasaran Laktok

Laktok berpotensi dipasarkan secara tempatan dan dieksport. Bagi pasaran tempatan, Lan Bolly sebagai pengusaha membekalkan laktok kepada hotel dan restoran sekitar Langkawi, selain   menggunakannya sebagai bahan utama di restoran miliknya. 

Untuk pasaran eksport, permintaan tinggi diterima dari Jepun, Korea, dan beberapa negara Eropah. Namun, disebabkan skala pengeluaran yang masih kecil, beliau terpaksa menumpukan perhatian kepada pasaran tempatan terlebih dahulu. 


Salad laktok yang dihidangkan dengan campuran bawang dan tomato amat menyelerakan.

 


Cabaran dalam Industri Laktok

Sebagai pengusaha kecil, cabaran utama yang   dihadapi ialah kekurangan pendedahan kepada teknik moden penjagaan laktok, kemungkinan kerana bilangan pengusaha laktok di Langkawi masih terhad. Encik Lan terpaksa mempelajari sendiri daripada pengusaha luar, terutamanya dari Sabah. Untuk mengembangkan perusahaan ini, industri memerlukan pensijilan khas bagi mengawal mutu dan menjamin keselamatan pengguna. Namun, sehingga kini masih tiada pensijilan khusus untuk produk laktok. 

Cabaran lain termasuk memastikan kestabilan pengeluaran bagi memenuhi permintaan pasaran. Rangkaian pengedaran laktok belum cukup tersusun rapi, yang boleh menimbulkan masalah sekiranya berlaku lebihan atau kekurangan pengeluaran. Memandangkan laktok memerlukan penjagaan rapi untuk mengekalkan kesegarannya, kutipan   berlebihan yang tidak dapat dijual akan menjejaskan pendapatan harian pengusaha. 

Kesimpulan: Kecil-Kecil Cili Api

Siapa sangka gugusan kecil berwarna hijau yang tumbuh tenang di dasar laut ini menyimpan nilai ekonomi yang begitu tinggi. Laktok kini bukan   sekadar hidangan tradisional, tetapi berpotensi menjadi permata dalam industri bio-ekonomi moden. 

Dengan kerjasama erat antara komuniti tempatan, penyelidik marin, dan pihak berkuasa, laktok berpotensi menjadi salah satu produk eksport agro-maritim utama Malaysia. Siapa tahu, mungkin suatu hari nanti jenama laktok tempatan akan mendunia seperti kejayaan durian Musang King.

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag