March 20 2025
Oleh: Bushral Karim Md Yusob
Pengeluaran cendawan tanpa menggunakan dedak dan tanpa proses kukusan merupakan pendekatan baru yang semakin menarik perhatian.
Selain Encik Ayob Hashim, perintis kaedah ini, lima orang pengusaha lain telah dihubungi untuk mendapatkan maklum balas serta mengenal pasti cabaran yang dihadapi.
Langkah ini adalah permulaan kepada usaha untuk meningkatkan khidmat bantuan teknikal serta mencari jalan penyelesaian bagi masalah yang mungkin timbul.
1. Puan Maznah Abdul Wahab dari Gemas
Puan Maznah berasal dari Gemas, Negeri Sembilan, dan telah berkecimpung dalam penanaman cendawan selama lebih tiga tahun. Pada mulanya, beliau menggunakan kaedah bongkah yang dikukus sebelum beralih kepada kaedah SuperbGrow pada September 2024.
Hasil pengeluaran menggunakan kaedah ini lebih memuaskan. Dengan modal sekitar RM1,500, beliau berjaya menghasilkan 4,000 bongkah. Sehingga kini, kaedah SuperbGrow telah menghasilkan 35 kg cendawan daripada 200 bongkah.
Cabaran utama beliau adalah mendapatkan habuk kayu dalam kuantiti besar serta menyediakan bongkah tanpa bantuan mesin. Walau bagaimanapun, pemasaran bukanlah masalah kerana permintaan cendawan yang tinggi. Puan Maznah turut memasarkan hasil cendawannya di pasar tani Gemencheh setiap pagi Ahad.
2. Puan Zuraanita binti Mohamed dari Kota Tinggi
Puan Zuraanita, bekas kakitangan swasta, memulakan tanaman cendawan pada tahun 2022 dengan menggunakan kaedah konvensional sebelum beralih kepada kaedah SuperbGrow pada tahun 2023. Beliau juga menggunakan sistem “micro misting” untuk menstabilkan suhu di rak cendawan, dan hasilnya lebih memuaskan.
Sebelum menggunakan kaedah ini, hasil cendawan banyak rosak akibat serangan kulat hijau. Beliau melabur sebanyak RM10,000 untuk membina bangsal cendawan dan memasang sistem “micro misting.” Cendawan yang dihasilkan mudah dipasarkan secara atas talian serta dijual kepada individu dan peniaga cendawan goreng.
3. Encik Aksah Abu Bakar dari Bachok
Encik Aksah memulakan penanaman cendawan menggunakan kaedah SuperbGrow pada November 2023. Dengan modal minimum sebanyak RM1,000, beliau menyediakan bangsal berukuran 10’ x 15’.
Kaedah ini berjaya mengatasi masalah serangan kulat hijau, dengan syarat semua proses penyediaan bongkah diikuti dengan teliti. Habuk kayu berkualiti, plastik pembungkusan yang baik, serta kawalan suhu dan kelembapan adalah faktor penting yang ditekankan beliau.
Pemasaran hasil cendawan dilakukan melalui WhatsApp dan Facebook, dan permintaan yang t inggi memastikan produk beliau sentiasa laris.
4. Puan Norliza Hamzah dari Nibong Tebal
Puan Norliza memulakan penanaman cendawan pada 1 Februari 2021 setelah perniagaan pasar malamnya terjejas akibat pandemik Covid-19. Rumah tinggal di belakang kediamannya telah diubahsuai oleh suaminya menjadi bangsal cendawan.
Pada 1 Jun 2022, beliau menerima bantuan daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bandar Baharu untuk membina rumah cendawan baru. Pada awalnya, beliau mendapatkan bongkah daripada pengusaha tempatan sebelum beralih kepada kaedah SuperbGrow pada Disember 2024.
Kini, beliau sedang menyiapkan 1,000 bongkah dan turut menyediakan kemudahan untuk sesi latihan penanaman cendawan SuperbGrow, yang diadakan pada 25 Disember 2024.
5. En. Farizan Asyraf dari Seri Iskandar
En. Farizan Asyraf pernah terlibat dengan penanaman cendawan secara konvensional tahun 2010. Beliau membantu bapanya yang telah memperolehi pinjaman bank pertanian digunakan untuk membina bangsal cendawan, dan modal untuk membeli bongkah. Bongkah diperolehi dari seorang pengeluar di Temoh, Perak. Bangsal cendawan juga dilengkapi dengan sistem ‘misting’ yang mengawal suhu dan kelembapan.
Bongkah perlu dibeli pada masa itu, kerana beliau tidak mempunyai alatan lengkap untuk mengukus bongkah dan proses menanam cendawan juga pada masa itu perlu dibuat dalam bilik yang disteril. Pada masa itu, pengeluar bongkah ada kelengkapan, dan proses menanam benih cendawan ke dalam bongkah perlu dilakukan dengan teliti.
Pada mulanya perolehan hasil cendawan adalah baik, tetapi selepas dua pusingan kutipan, hasil cendawan merosot. Puncanya adalah kurangnya kawalan ke atas serangan kulat dan penyakit. Sungguhpun proses pembersihan dilakukan setiap kali kutipan, penyakit dan kulat perosak membantutkan hasil.
Akibat dari masalah kulat dan penyakit, pulangan kaedah konvensional pengeluaran cendawan tidak begitu memuaskan. Tahun 2023 beliau mengikuti perkembangan penggunaan SuperbGrow dan berminat semula dengan industri cendawan. Beliau berharap dengan kaedah baru yang diperkenalkan dapat mengatasi masalah penanaman cendawan kaedah konvensional.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.