May 06 2025
Oleh: Bushral Karim Md Yusob
Iklim tropika Malaysia yang menerima hujan lebat dan kadangkala mengalami kemarau adalah faktor utama dalam reka bentuk kandang kambing. Kandang kambing boleh dibina tanpa kos yang terlalu tinggi untuk memastikan kambing terlindung daripada panas, hujan, dan serangan binatang pemangsa. Kawasan yang mudah mengalami banjir perlu dielakkan, dan kawasan yang terlalu terdedah kepada kepanasan juga boleh menimbulkan tekanan kepada kehidupan kambing.
Kandang Kambing Untuk Penternak Kecilan
Faktor yang membantutkan ternakan kambing di Malaysia adalah kos pembinaan kandang yang tinggi, terutamanya jika penternakan dilakukan secara besar-besaran. Namun, penternak kecil boleh membina kandang menggunakan kayu terpakai dengan keluasan yang sesuai berdasarkan bilangan kambing yang akan diternak.
Ruang untuk membina kandang perlu di kawasan yang agak lapang dan jauh dari kediaman penduduk setempat. Hal ini kerana kandang akan mengeluarkan bau dan pencemaran yang boleh mengganggu masyarakat setempat. Pastikan saliran dari kandang juga tidak menjejaskan sistem saliran dan tidak menjadi lopak yang mengumpulkan buangan najis.
Ciri-ciri Kandang Kambing
Kandang kambing adalah tempat untuk menempatkan kambing dari peringkat kecil hingga cukup dewasa untuk dijual. Ia adalah tempat kambing berteduh, dan kambing juga perlu bebas bergerak dan keluar dari kandang untuk mencari makanan. Ada penternak yang menyediakan ruang makan berterusan untuk kambing dalam kandang, tetapi kambing yang sihat masih perlu dibiarkan keluar dari kandang dari semasa ke semasa. Keselesaan kambing tinggal di kandang ini boleh membantu meningkatkan hasil keluaran.
Ciri utama kandang kambing adalah adanya pencahayaan yang cukup, pengudaraan yang baik, tidak dimasuki air, dan terlindung dari serangan haiwan. Kandang perlulah mudah dijaga dan dicuci setiap masa. Pengumpulan najis juga penting untuk mengawal pembiakan kuman, bakteria, cacing, dan kulat. Kawalan ini penting untuk menjaga kesihatan kambing semasa tempoh ternakan.
Kandang kambing juga boleh mengasingkan ibu dan anak selepas lahir, menyediakan ruang untuk kambing yang sakit, dan mempunyai kawasan bebas untuk kambing yang sudah matang dan dewasa.
Susun Atur Kandang
Kedudukan kandang perlu bertentangan dengan arah terbit dan terbenam matahari.
Matahari akan memberikan pencahayaan dan suhu yang cukup untuk mengeringkan kandang, tetapi cahaya matahari tidak boleh terus menyinar ke kandang. Kepanasan pada waktu pagi dan petang boleh menyebabkan kambing menjadi tidak selesa dan mengganggu kesihatan serta pembesaran kambing.
Struktur Kandang
Struktur biasa kandang adalah daripada kayu, tetapi boleh juga menggunakan tiang konkrit atau besi, bergantung pada keupayaan modal penternak. Ukuran ketinggian kandang perlu mengambil kira ketinggian tiang kandang, yang sekurang-kurangnya 5 kaki dari aras tanah, ruang kandang setinggi 8 kaki, dan ruang bumbung setinggi sekurang-kurangnya 4 kaki. Ruang bawah kandang boleh dimasuki untuk kerja-kerja pencucian najis, dan perlu ada sistem saliran yang baik untuk menghalang pembentukan lopak yang mengumpulkan air. Keluasan kandang adalah antara 8–15 m² untuk seekor kambing.
Bumbung Kandang
Bumbung daripada dek keluli, atap rumbia, atau kepingan zink adalah biasa digunakan. Perbezaan tentulah dari segi kos. Bahkan, perolehan atap rumbia melibatkan kos yang tinggi. Kepingan dek keluli mungkin paling sesuai kerana harganya sederhana dan kepanasan dalam kandang tidak memberikan tekanan kepada haiwan. Untuk kerangka struktur bumbung, besi lembut bergalvani lebih sesuai berbanding kayu yang sukar diperoleh dan harganya tinggi. Kayu juga, jika tidak dirawat, boleh mereput dan tidak tahan lama.
Lantai Kandang
Terdapat dua pilihan untuk lantai kandang: sama ada lantai konkrit bertetulang atau kepingan papan. Untuk lantai konkrit yang tebal 4 inci, kos pembinaannya tinggi dan struktur bangunan menjadi lebih berat, melibatkan tambahan kos untuk asas bangunan. Biasanya, lantai daripada kepingan papan 8 mm tebal dengan ruang 10–15 mm antara kepingan digunakan untuk memudahkan kerja mencuci najis kambing. Pilihan lain adalah kayu beloti berukuran 2”x1” dengan ruang 10 mm antara kayu untuk memudahkan pengaliran najis ke ruang bawah kandang.
Ruang Pengumpulan Najis di Bawah Kandang
Biasanya, ruang di bawah kandang adalah tanah asal yang tidak lembap, dan ada saliran supaya air tidak bertakung. Meletakkan pasir di bawah kandang memudahkan najis diasingkan. Kecerunan lantai 2 darjah membolehkan pembersihan mudah dilakukan. Ruang bawah kandang perlu sentiasa bersih. Kerja mencuci bawah kandang adalah rutin bagi penternak. Najis yang dibersihkan boleh dikumpul untuk digunakan sebagai baja, atau ada penternak yang menukarkannya menjadi baja organik untuk tumbuhan.
Tangga Kandang
Sekiranya kambing perlu dilepaskan setiap hari, tangga menjadi penting untuk kambing turun naik ke kandang. Kecerunan tangga hendaklah 30 darjah dari mendatar untuk memudahkan kambing naik ke kandang. Tangga perlulah dibina daripada papan atau kayu dan tiada celahan di tangga untuk keselamatan naik turun kambing.
Pagar Kawasan Ternakan
Kawasan ragut yang baik perlulah dipagar dengan jaring keluli setinggi 5 kaki. Pagar boleh mengawal kambing daripada keluar dari kawasan ragut dan menghalang pemangsa seperti anjing liar daripada memasuki kawasan ragut. Kawasan ragut yang luas diperlukan kerana setiap ekor kambing memerlukan ruang ragut 10 m², dan perlu sentiasa ada bekalan rumput untuk kambing meragut. Setiap hari, perlu ada kawasan untuk kambing meragut. Sudah tentu, penternakan terbuka memerlukan kawasan yang luas, dan keadaan ini menghadkan penternak di Malaysia untuk mengamalkan ternakan terbuka.
Kos Kandang dan Ladang Ragut
Faktor utama yang menghalang penternakan kambing adalah keperluan padang ragut dan kos kandang yang tinggi. Kebanyakan penternak memilih untuk mengurung kambing dan memberikan makanan dalam dulang khas dalam kandang. Rumput diperoleh oleh penternak dari kawasan luar, dan tentunya diberikan dedak makanan kambing untuk mengatasi masalah mendapatkan rumput secara berterusan.
Kesimpulan
Kos permulaan terbesar bagi ternakan kambing adalah membina kandang. Untuk kandang yang lebih praktikal, boleh menggunakan kayu terbuang yang boleh diperoleh dengan harga murah. Yang paling utama, kandang perlu ditempatkan di lokasi yang sesuai supaya kering dan mudah dibersihkan.
Kandang menjadi tempat tinggal kambing, dan penjagaan yang baik boleh mempengaruhi pembesaran kambing serta menghasilkan kualiti yang baik. Aspek pembinaan, seperti panjang, lebar, dan tinggi, menentukan bilangan kambing yang boleh diletakkan di kandang.
Tumpuan utama pembinaan kandang adalah meminimumkan kos pembinaan tetapi menyediakan tempat yang sesuai untuk pembiakan kambing. Selain daripada cabaran pemakanan, penjagaan kesihatan, dan penjualan kambing, kawalan ke atas kos pembinaan kandang adalah permulaan yang perlu diberi perhatian.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.