September 17 2025
Demi meningkatkan hasil padi, penyelidikan yang berterusan untuk mendapatkan varieti baru terus dijalankan oleh agensi kerajaan, universiti, dan syarikat swasta. Varieti padi baru Clearfield MR CL3 dan MR CL4 dihasilkan melalui kerjasama strategik antara MARDI dan BASF. Kedua-dua varieti ini dibangunkan bagi mengatasi masalah padi angin dan rumpai yang menjadi isu besar bagi pesawah di seluruh negara.
Masalah Padi Angin
Padi angin ialah sejenis rumpai yang menyerupai padi biasa tetapi mempunyai sifat yang kebiasaanya lebih tinggi dan biji padinya muda lerai. Biji padinya juga bewarna merah di bahagian dalam. Ia tumbuh liar di sawah bersama padi yang petani tanam dan boleh mengurangkan hasil kerana ia bersaing untuk mendapatkan nutrien, Cahaya matahari dan ruang. Sekian lama, padi angin terus berevolusi dan menjadi semakin sukar untuk dikawal.
Cabaran Pengawalan Padi Angin
Kebanyakan racun rumpai direka untuk bersifat selektif, iaitu membunuh rumpai jenis lain tanpa menjejaskan tanaman padi. Namun, dalam kes padi angin, racun rumpai tidak berkesan kerana ia berasal daripada spesies yang sama dengan padi yang ditanam. Padi angin matang lebih awal daripada padi biasa, dan biji-bijinya mudah gugur serta bercambah semula, menjadi cabaran besar pada musim berikutnya. Masalah ini semakin merebak tahun demi tahun sehingga menjadi bencana yang sukar dikawal oleh petani.
Penyebaran Padi Angin Melalui Jentera Pertanian
Keadaan menjadi lebih buruk apabila padi angin turut disebarkan melalui tayar rantai jentera menuai dan traktor yang bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain. Hal ini mempercepatkan penyebarannya dan menjadikan pengawalan semakin sukar.
Kerjasama MARDI dan BASF dalam Penghasilan Varieti Padi Tahan
Kerjasama antara MARDI dan BASF yang telah berlangsung selama lebih daripada 20 tahun menyelidik dan mengambil tindakan proaktif untuk menghasilkan varieti padi yang tahan terhadap bahan aktif tertentu. Bahan aktif ini mampu mengawal padi angin dan rumpai lain tetapi bersifat selektif bagi varieti yang dicipta seperti MR CL3 dan MR CL4.
Sifat selektif ini menjadi kelebihan utama dalam pemasaran input pertanian oleh syarikat seperti BASF, sekaligus membantu petani melaksanakan tanggungjawab menghasilkan makanan untuk manusia sejagat selaras dengan tagline BASF – The Biggest Job On Earth.
Kesinambungan Kejayaan Varieti Padi Clearfield
Penghasilan MR CL3 dan MR CL4 merupakan lanjutan daripada kejayaan penerbitan varieti padi MRCL 1 dan MRCL 2 sebelum ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, telah merasmikan pelancaran varieti MRCL3 dan MRCL4 pada Julai 2025 dalam usaha meningkatkan kadar sara diri beras negara yang masih sekitar 65% serta meningkatkan pendapatan petani.
Keistimewaan Varieti Baru
Menurut pemerhatian YB Menteri, dua varieti ini memiliki ketinggian yang sangat rendah, yang dapat mengurangkan risiko rebah sehingga memudahkan penuaian menggunakan jentera. Selain itu, buahnya yang tersembunyi di dalam daun dapat mengurangkan risiko serangan perosak.
Padi varieti Clearfield MR CL3 dan MR CL4 matang dalam tempoh 99 hari dan 102 hari selepas biji benih ditabur. Tempoh matang yang singkat ini menyokong matlamat pengeluaran padi sehingga 5 musim dalam tempoh 2 tahun (Ala-Sekinjan) dan pelaksanaan SMART Sawah Berskala Besar, berbanding amalan sedia ada iaitu 2 musim setahun di kebanyakan kawasan jelapang padi negara.
Potensi Hasil dan Ketahanan Penyakit
Varieti baru ini mempunyai potensi hasil melebihi 7 metrik tan per hektar. Selain itu, ia turut menunjukkan ketahanan terhadap penyakit karah daun dan karah tangkai (Pyricularia oryzae).
Sistem Pengeluaran Clearfield BASF untuk Kejayaan Varieti Baru
Bagi menjamin kejayaan penggunaan varieti padi Clearfield MR CL3 dan MR CL4, BASF & MARDI telah merangka sistem pengkomersialan yang dipanggil Sistem Pengeluaran Clearfield BASF.
Dalam sistem ini, petani perlu menggunakan varieti tersebut bersama-sama racun rumpai khas jenama Trek dengan bahan aktif (a.i) imidazolinone serta mengikuti langkah-langkah tindakan yang disyorkan untuk membasmi masalah padi angin dan mengekalkan kelestarian teknologi.
Hanya varieti MR CL3 dan MR CL4 yang mempunyai kerintangan terhadap bahan aktif imidazolinone. Kesilapan menggunakan racun ini bersama varieti lain boleh menyebabkan kerosakan teruk pada tanaman. Oleh itu, pemantauan di peringkat petani perlu dilaksanakan dengan teliti.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.