November 20 2023
oleh: Jamaludin Mat Rashid
Tidak ramai orang sanggup mengajar dan tidak ramai juga anak muda sanggup belajar secara informal, lebih lagi dalam industri yang kotor dan bermandi peluh. Tetapi lain pula yang berlaku antara En. Hud selaku mentor dengan anak didiknya Paksu.
Sudah 5 tahun hubungan ini berlangsung dengan amat baik.
Untuk berkongsi cerita, wartawan Agrimag sempat menemuramah pengalaman dan pandangan mereka dalam intergrasi ternak dan tanaman.
En. Hud telah berkecimpung dalam industri ternakan sejak berusia 20an lagi apabila mewarisi sekawan kerbau peninggalan aruah neneknya. Sejak dari itu dunia ternakan menjadi sebahagian dari hidupnya. Walaupun pada zaman mudanya beliau melihat ramai rakan sebaya berhijrah ke Pulau Pinang untuk bekerja di sektor perkilangan, En. Hud menjadi penunggu setia kampung bermain dengan ternakan, bersawah dan berdusun. Keputusan yang dibuat pada masa itu ternyata tidak salah sama sekali, malah kawan-kawan yang dulunya berhijrah ke bandar kini kembali menjadi petani kerana tidak tahan dengan kos kehidupan di bandar yang tinggi dan gaya hidup yang menekan. Kini, En. Hud boleh berbangga dengan integrasi pertaniannya yang menggabungkan ternakan, sayur-sayuran dan dusun buah-buahan menjadi contoh dan tempat rujukan mengenai pertanian bagi masyarakat setempat.
Bisnes utama En. Hud sekarang ini ialah sebagai pembekal daging karkas secara borong. Harga pasaran karkas sekarang ialah RM29 per kilogram. Peruncit akan datang membeli di ladangnya untuk dijual semula secara runcit seawal pukul 5 pagi. Jadi beliau terpaksa mula sembelih, melapah dan memotong bersama 3 pekerja tetap seawal pukul 2 pagi bagi selesaikan penyediaan 5 ke 6 ekor lembu setiap hari. Begitulah rutin hariannya setiap hari tidak kira hujan atau pun panas. Bagi bulan Ramadan dan Hari Raya, bilangan ini akan bertambah hingga mencapai 20 ekor pada malam raya. Menjelang Raya Korban lembu hidup pula yang dicari pembeli. Saban tahun beliau dapat menjual sekitar 200 ke 300 ekor lembu bagi ibadah ini.
Dapat Bekalan Lembu dari Negeri Lain
Bagi menampung permintaan yang tinggi terhadap daging tempatan, En. Hud terpaksa mencari bekalan lembu hingga ke Kelantan dan Pahang melalui wakil-wakil beliannya. Jika tiada halangan kemasukan lembu dari Thailand, beliau lebih selesa membuat belian dari pengimport yang banyak beroperasi di sekitar Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Padang Besar di Perlis. Banyak pemain industri di sini dengan stok yang tidak pernah putus kecuali kalau ada sekatan kemasukan oleh kerana penyakit berjangkit ternakan.
Menurut En. Hud, untuk membeli lembu hidup perlu pengetahuan dan pengalaman selain hubungan baik dengan pengimport. Oleh kerana belian adalah secara timbang hidup, ada pembekal lembu hidup yang tidak bertanggungjawab sanggup memberi minum campuran molases dan air garam yang banyak untuk menaikkan berat lembu.
Berharap Dapat Bantuan Kerajaan dan Institusi Kewangan
Menurut pandangan En. Hud, kerajaan perlu campur tangan dengan lebih mendalam dalam sjual beli ternakan di sempadan demi kelangsungan industri ternakan negara. Beliau bercadang pusat lelongan lembu boleh dibuat seperti di negara jiran dan negara maju. Ini dapat menjamin hak-hak pengguna dan kawalan mutu dapat dilaksanakan dengan lebih ketat.
Bagi penternakan, En Hud mencadangkan kerajaan mengimport lembu muda dan menjual kepada penternak dengan harga subsidi bagi tujuan penggemukkan melalui kaedah feed-lot. Dengan cara ini subsidi kerajaan sampai kepada penternak yang tepat dan terhindar dari penyelewengan. Agrobank juga diharap dapat memberi pinjaman modal yang bersesuaian mengikut sais projek dan mempermudahkan proses untuk kelulusan.
En. Azwan Najmi atau lebih dikenali dengan panggilan Paksu adalah seorang usahawan muda yang mendapat tunjuk ajar secara hands-on dengan En. Hud. Selain menternak lembu, Paksu mengusahakan kebun cili kulai, tanaman jagung manis dan tanaman timun.
Paksu pernah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi tetapi memilih untuk menjadi penternak lembu dan penanam sayur bagi menurut naluri keusahawanannya yang lebih suka bekerja sendiri dari menjadi pekerja. Selain menjual lembu hidup hasil dari proses penggemukkan secara intensif, beliau juga menjadi peraih sayur-sayuran, pisang, jagung dan buah-buahan petani setempat dan menjual semula di Bukit Mertajam, Pulau Pinang menggunakan van 1 tan. Beliau juga menanam napier Pakcong 1 bagi kegunaan sendiri dan menjual lebihannya sama ada secara segar mahupun selepas dibuat silaj.
Memandang Baik Masa Depan Industri Ternakan
Menurut Paksu, permintaan bagi produk napier siap potong dan silaj sangat tinggi hingga tidak cukup bekalan. Beliau ada menanam jagung bagi mendapatkan daun dan batang jagung untuk membuat silaj selain jagung manis yang sangat hangat di pasaran. Paksu mencadangkan usahawan muda yang baru hendak memasuki industri ternakan bermula dengan membekal rumput napier untuk mengumpul modal sambil menternak secara kecil-kecilan sama ada kambing atau pun lembu.
Paksu melihat industri ternakan lembu pedaging sangat cerah kerana permintaan yang sangat tinggi dan harga daging yang terus naik saban tahun. Beliau ingin melihat lebih banyak baka eksotik diperkenalkan di pasaran bagi menarik minat orang muda untuk menternak. Sambutan orang ramai terhadap lembu superbreed atau lembu ‘sado’ memang sangat baik dinilai dari sambutan pelawat ke gerai JPV semasa pameran hasil pertanian anjuran kerajaan negeri dan jabatan kerajaan di Alor Setar baru-baru ini.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.