August 07 2024
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
Sebagai negara sedang pesat membangun dan pengeluar komoditi berasaskan industri pertanian, Malaysia seharusnya paling bimbang di antara negara-negara di Asia apabila bercakap mengenai perubahan iklim dan kesannya terhadap industri pertanian.
Kebergantungan kepada sumber makanan import terutama beras, daging dan susu dari negara luar dan pertukaran dagangan dengan komoditi pertanian terutama kelapa sawit dan getah, akan memberi ketidakseimbangan perdagangan jika pengeluaran 2 komoditi ini terjejas kesan dari perubahan iklim. Kelapa sawit yang memerlukan taburan hujan yang sekata sepanjang tahun dengan jumlah hujan tahunan 2000 mm akan terjejas teruk apabila cuaca menjadi tidak menentu dengan hujan ataupun kemarau yang ekstrem.
Malaysia yang selama ini bergantung kepada sumber biodiversiti yang unik untuk menarik kedatangan pelancong asing bagi mendapat tukaran asing melalui pelancongan dan demi kesejahteraan penduduknya sendiri akan terjejas secara langsung dengan perubahan cuaca yang tidak dapat diramal lagi. Semuanya telah menjadi tidak menentu.
Kini kita boleh melihat bagaimana hujan turun dengan lebatnya di bulan-bulan yang biasanya tidak berhujan. Corak cuaca juga berubah dengan kepanasan yang membahang. Segala situasi berubah dari jadual untuk petani bercucuk tanam, keadaan arus laut untuk nelayan menangkap ikan hinggalah banjir ‘termenung’ yang tidak surut-surut di kawasan perumahan di bandar-bandar. Kehidupan rakyat menjadi sukar apabila terpaksa berpindah penempatan sementara disebabkan banjir yang datang berkali-kali dalam tempoh setahun.
Kesan Perubahan Cuaca Yang Boleh Dikesan
Perubahan cuaca menjejaskan corak turunnya hujan yang menyebabkan kemarau di sesuatu tempat tetapi berlakunya banjir di tempat yang lain. Beberapa tempat mendapat cuaca sejuk yang tidak pernah berlaku sebelum ini seperti dilaporkan berlaku di Utara Perak dan Kelantan sehingga 18°C manakala cuaca panas membahang dengan suhu maksimum dilaporkan di Chuping, Perlis dengan suhu 40.1 °C.
Perubahan iklim menyebabkan berlaku perubahan tekanan abiotik yang merencat hasil kebanyakan tanaman. Impak negatif yang diberikan kepada hidupan juga disebabkan oleh kemarau, pertambahan suhu dan kemasinan air yang meningkat. Tekanan-tekanan ini mengganggu proses biokimia tumbuhan dan secara langsung mengurangkan hasil.
Pengeluaran hasil kelapa sawit jatuh teruk hasil dari perubahan iklim dengan fenomena ekstrem sama ada kemarau yang teruk (El Nino) atau banjir besar yang memusnahkan (La Nina). Kajian menunjukkan fenomena El Nino di Asia Tenggara yang berlaku pada tahun 2015 -2016 telah memberi impak buruk kepada perladangan sawit.
Sebagai tanaman monosius yang mengeluarkan bunga jantan dan bunga betina pada waktu berlainan pada sesuatu pokok dan dipengaruhi oleh taburan hujan bulanan, kelapa sawit sangat terkesan dengan El Nino. Kesan pengurangan hasil hanya dapat dilihat beberapa tahun kemudian. Tekanan air menyebabkan nisbah pembentukan bunga jantan yang lebih banyak dari bunga betina secara lansung mengurangkan bilangan tandan dan berat tandan buah segar itu sendiri (FFB).
Hasil FFB di Malaysia dilaporkan merosot 20% bagi tempoh 1997-1998 kesan langsung dari gejala El Nino. Hujan bulanan yang kurang dari 150mm sebulan bagi mengganti kadar evapotranfirasi harian berturut-turut selama 2 bulan akan menyebabakan penurunan hasil yang besar. Tekanan faktor persekitaran memberi kesan terhadap pertumbuhan buah dan kualiti FFB yang memberi kesan negatif ekonomi dalam penghasilan minyak sawit.
Malaysia mencatat kenaikan purata suhu permukaan bagi dekad terakhir dari 0.14°C hingga 0.25°C. Kenaikan ini menyebabkan kejadian gelombang panas yang semakin kerap berlaku dengan intensiti yang lebih tinggi.
Sementara itu, kejadian hujan lebat pula semakin kerap berlaku dengan intensiti yang tinggi melebihi dari 20mm sehari, menyebabkan jumlah hujan tahunan meningkat. Akibatnya banjir besar berlaku dengan ketinggian air banjir yang tidak pernah dicatat sebelum ini. Banjir juga berlaku dengan beberapa gelombang dalam masa yang singkat, adakala sehingga 3 kali sebulan.
Asia Tenggara Dianggar Lebih Banyak Banjir Besar
Bank Dunia menganggarkan negara-negara di Asia Tenggara akan menghadapi lebih banyak banjir besar dengan intensiti yang lebih tinggi dalam dekad akan datang dan melibatkan 50% lebih banyak penduduk dari kejadian-kejadian sebelum ini akibat dari pemanasan global. Manakala Global Forest Watch Malaysia menganggarkan Malaysia kehilangan 2.77 juta hektar hutan antara 2002 dan 2021 akibat dari penerangan hutan bagi pelbagai tujuan antaranya untuk pembalakan, membuka ladang baru, membina empangan dan laluan baru lebuhraya. Ini adalah melibatkan 33% dari kawasan yang berpokok dalam tempoh berkenaan. Sebanyak 17% hutan hujan tropika lembab telah lenyap dan tidak akan kembali lagi, majoriti berlaku di Sarawak, Sabah dan Pahang. Dengan hujan lebat dan kerap mengatasi kebiasaan, penerangan hutan yang begitu besar memusnah dan mengganggu mikro klimatik sesuatu kawasan. Spesis-spesis yang sangat sensitif kepada perbezaan suhu dan kelembapan seperti beberapa spesis periuk kera dan orkid didapati menderita dan berada di ambang kepupusan.
Implikasi Ekonomi Akibat Dari Perubahan Iklim
Kebergantungan kepada sektor pertanian dalam menentukan keterjaminan makanan kepada rakyat tidak dapat disangkal lagi. Sama ada makanan dikeluarkan untuk kegunaan dalam negara ataupun komoditi dieksport untuk mendapatkan tukaran asing dan mengimport makanan yang tidak dihasilkan dalam negara. Malaysia belum mencapai tahap sara diri dalam pengeluaran beras dan daging. Tepung perlu diimport 100% begitu juga dengan gula apabila 2 ladang tebu terbesar di Chuping dan Padang Terap ditutup atas alasan yang sangat lemah. Sekurang-kurangnya Malaysia mengeluarkan 10% gula dalam negara bagi kegunaan sendiri dan menjimatkan sedikit tukaran asing.
Antara komoditi eksport yang ada, hanya kelapa sawit menunjukkan masa depan yang cerah biarpun menghadapi kempen anti-kelapa sawit yang hebat di peringkat global. Selain keupayaannya mengeluarkan pelbagai produk yang mampu menakluki rak-rak pasar raya di seluruh dunia, pengiktirafan produk bio-diesel sebagai sumber tenaga baru boleh ganti akan membuka permintaan yang lebih besar terhadap komoditi ini. Malangnya kelapa sawit antara tanaman paling terkesan dengan perubahan iklim kerana ia sangat sensitif terhadap kemarau dan hujan yang berlebihan.
Kesan langsung mungkin disebabkan oleh perubahan dalam kenaikan suhu harian, paras karbon dioksida dalam udara dan taburan hujan tahunan. Simptom kerosakan mungkin ditunjukkan dengan naiknya nisbah bunga jantan yang tinggi di peringkat sederhana dan menjadi serius dengan bunga betina menjadi kering dan gugur dengan banyak. Kesan ini timbul dari kesan kemarau yang berlaku kira-kira dua tahun yang lalu.
Tanaman bijirin sangat terkesan terhadap perubahan suhu. Walaupun mendapat pengairan yang cukup dari sistem pengairan, jumlah air yang diambil oleh pokok mungkin terjejas kerana kadar pengewapan yang tinggi. Suhu yang tinggi juga membuatkan stoma di daun tertutup secara semula jadi bagi mengurangkan kehilangan air, pada masa yang sama mengurangkan kadar serapan karbon dioksida seterusnya mengganggu proses fotosintesis. Pembentukan biji padi tidak efektif menjadikannya tidak bernas dan mengurangkan hasil secara keseluruhan. Bank Dunia menganggar kejadian kemarau dan banjir besar di kawasan penanaman padi utama di Malaysia mampu menyebabkan kekurangan hasil sehingga 60%.
Pemanasan global menyebabkan pencairan ais di kutub dan menaikan paras air laut di seluruh dunia. Banyak kawasan di tepi pantai dan kawasan lembangan sungai yang rendah tidak akan selamat lagi untuk didiami.
Air Pasang Besar Membanjiri Pekan Kecil
Di Malaysia, masalah ini mula menggugat penduduk apabila berlakunya fenomena air pasang besar yang membanjiri kediaman dan pekan kecil di tepi laut. Ianya tidak pernah berlaku sebelum tahun 2000. Kini sudah ada gejala yang digelar “banjir termenung” yang menenggelamkan kawasan perumahan berbulan-bulan kerana air hujan di daratan tidak dapat dialir ke laut kerana paras yang sama.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.