October 22 2025
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
Industri tanaman durian tiba-tiba menjadi fajar kekayaan baru bagi rakyat tani Malaysia apabila pasaran China terbuka hasil permintaan tinggi yang mendadak di sana. Pasaran yang terlalu besar dan tidak mungkin dipenuhi oleh Malaysia sahaja telah pun dimanfaatkan oleh Thailand dan Vietnam yang terlebih dahulu mendapat lampu hijau untuk mengeksport durian segar ke sana, tetapi masih belum terlambat untuk kita dengan beberapa kelebihan untuk bersaing yang ada.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjangkakan eksport durian ke luar negara akan meningkat kepada lebih daripada RM1.5 bilion kerana permintaan yang sangat menggalakkan dari China, selain pasaran sedia ada di Singapura dan Hong Kong serta pasaran baru seperti Taiwan, Australia, dan Kanada.
Angka ini berdasarkan peningkatan sebanyak 256.3% dalam tempoh lima tahun dari 2018 (RM321.2 juta) hingga 2022 (RM1.14 bilion).
Kenaikan drastik ini menggambarkan pentingnya durian sebagai komoditi agro-makanan bernilai tinggi, umpama 'lombong emas baru' untuk usahawan berasaskan pertanian berkembang ke peringkat antarabangsa.
Ramai melihatnya sebagai peluang baru setelah bergantung kepada kelapa sawit sekian lama. Selain membawa tukaran asing yang besar untuk negara, pengusaha berasaskan pertanian di pelbagai peringkat, sama ada petani kecil mahupun estet besar, dapat menikmatinya.
Penglibatan Bumiputera dalam Industri Durian
Hanya jaringan pemasaran dan pusat pengumpulan yang lebih sistematik perlu diwujudkan bagi mengawal kualiti dan pematuhan terhadap syarat-syarat eksport yang ketat.
Seruan menteri di KPKM untuk lebih ramai bumiputera terlibat dengan peluang kekayaan baru ini adalah tepat pada masanya.
Walaupun baru menyumbang 5% kepada industri dari segi keluasan bertanam, bilangan mereka yang terlibat dalam penanaman durian adalah sangat ramai, daripada yang hanya mempunyai satu atau dua pokok di sekitar rumah hingga yang mengusahakan 30 hingga 50 pokok.
Ini berdasarkan penjualan anak benih durian di tapak semaian, di ekspo pertanian, dan penjualan secara dalam talian yang sangat menggalakkan.
Gelombang Permintaan untuk Benih Tanaman
Pengusaha benih tanaman sedang menikmati gelombang jualan yang sangat memberangsangkan, bermula dari era COVID-19 dengan tanaman hiasan dan berlanjutan hingga kini dengan tanaman buah-buahan, terutama durian dan buah-buahan baru seperti avokado, abiu, anggur, dan keluarga sitrus (limau).
Jualan benih durian biasanya meningkat pada musim durian, mungkin kerana semangat yang timbul ketika menikmati raja buah itu.
Pemerhatian melalui Facebook mendapati sudah ramai yang berjaya membuahkan durian yang ditanam di perkarangan rumah dalam taman perumahan walaupun tanahnya diratakan (cut and fill) dengan varieti unik seperti Monthong dengan pokok yang kecil dan berbuah rendah.
Promosi Varieti Unggul untuk Penanaman Skala Kecil Gelombang massa yang berminat dengan tanaman durian seharusnya digunakan oleh agensi pertanian seperti Jabatan Pertanian (JP) untuk berkempen bagi masyarakat menanam hanya beberapa varieti berkualiti, rintang penyakit, berkanopi kompak dengan kadar survival yang tinggi di kawasan perumahan.
Varieti yang pasti hidup dan berbuah seperti D99, Channe, Ri6 (Vietnam), dan Monthong mungkin dapat dipertimbangkan walaupun luar daripada varieti eksport utama.
Keluaran skala kecil pada peringkat petani akan menjadi besar apabila dikeluarkan oleh ramai orang, cukup untuk memenuhi pasaran tempatan dengan harga yang mampu dibeli oleh golongan marhaen.
Pemangkasan membentuk pokok dilakukan secara berjadual sejak mula ditanam bagi mendapatkan pokok yang padat seperti amalan dalam tanaman mangga dan sitrus.
Ini dapat dipadankan dengan pengeluaran baja organik buatan sendiri hasil daripada kotoran haiwan penternakan ayam dan kambing di tepi rumah.
Pengeluaran kecil durian memungkinkan setiap buah dapat dipantau, dibungkus atau dipasang geruk dawai bagi mengelakkan daripada ditebuk tupai, yang tidak mungkin dapat dilakukan oleh estet besar.
Baja percuma daripada fermentasi tinja ayam dan kambing dapat menjimatkan kos. Dengan harga durian yang mahal tetapi kos pengeluaran yang kecil, pendapatan sampingan tahunan rakyat sangatlah menggiurkan tanpa melibatkan belanja kerajaan yang besar.
Aliran Musim dan Harga Durian 2025
Musim durian 2025 bermula pada bulan Mei dengan keluarnya durian Pulau Pinang, terutama di Balik Pulau yang terkenal dengan durian premiumnya.
Berbuah pada awal musim dengan kualiti premium membuatkan petani di sana senyum hingga ke telinga, menjadi tumpuan connoisseur durian dari dalam dan luar negara sejauh Singapura, Taiwan, China, dan Indonesia dengan harga yang super premium.
Menjelang Julai, pengeluaran durian mencapai kemuncak. Perjalanan dari Perlis hingga ke Johor mendapati gerai durian di pinggir jalan tumbuh bagai cendawan selepas hujan, tertumpu di Perak.
Harga jatuh menjunam serendah RM4/kg bagi durian kampung. Harga Musang King yang masak dan gugur dari pokok (tree dropped) di tepi jalan di Jeneri, Sik boleh didapati dengan harga borong serendah RM15/kg dan durian kampung premium RM7/kg. Harga naik sedikit pada bulan Ogos sebelum musim utama tamat.
Faktor Penjunan Harga dan Persaingan Import
Pengeluaran yang berlebihan pada kemuncak musim menyebabkan harga jatuh. Ini berpunca daripada pengeluaran dusun kecil yang tidak dibuat pengairan secara berkala dan tidak dibuat kawalan tarikh pembungaan.
Bunga yang keluar daripada tindak balas cuaca muncul pada tarikh yang sama bagi semua dusun, menyebabkan durian gugur pada bulan yang hampir sama 100 hingga 120 hari kemudian mengikut varieti, selalunya bermula dengan durian kampung dan diakhiri dengan Bantal Mas/Monthong.
Peminat durian boleh menikmati durian premium dengan harga yang lebih munasabah melalui makan durian secara buffet di dusun dan pakej dalam talian yang dihantar ke rumah.
Memburukkan lagi keadaan, harga juga jatuh akibat masuknya durian dari Thailand yang dijual seolaholah durian tempatan dengan varieti yang sama (Udang Merah/Phuangmanee, D99/Kop, Tembaga/ Musang King, Bantal Mas/Monthong) melalui pintu sempadan Betong/Pengkalan Hulu.
Musim durian di Betong hingga Narathiwat yang berada di sebalik Banjaran Bintang yang memisahkan antara dua negara hampir sama dengan daerah Sik, Baling, dan Gerik. Apabila harga jatuh di sana, negeri-negeri di utara menjadi lokasi lambakan, terutama apabila musim di sana berlaku 2 hingga 4 minggu lebih awal.
Pemasaran Langsung dan Pelancongan Durian
Kaedah pemasaran terus kepada pengguna yang memintas peraih/orang tengah melalui hebahan media sosial telah memungkinkan durian premium dijual dengan harga yang lebih rendah.
Peminat durian boleh menikmati durian premium dengan harga yang lebih munasabah melalui makan durian secara buffet di dusun dan pakej dalam talian yang dihantar ke rumah.
Beberapa dusun menawarkan pakej homestay dan makan durian sehingga puas dari pokok dengan buah-buahan lain seperti manggis, rambutan, langsat/dokong, dan buah-buahan eksotik (avokado, abiu, longan). Mereka mendapat pengunjung sejauh China, Singapura, dan Australia, selain pengunjung tempatan.
Harga dan Permintaan Durian Musim 2025
Musang King pada musim 2025 ditawarkan pada harga RM25-40/kg (suatu masa dulu RM90-120/kg) menjadi buruan utama kerana rasanya yang manis berlemak dan sedikit rasa pahit, diikuti dengan Duri Hitam yang lebih lembut umpama keju, cair di mulut, ditawarkan pada RM40-60/kg kerana masih kurang bekalan dan mula memenuhi permintaan eksport.
Durian kampung premium dan biasa sesuai untuk yang meminati pakej ekonomi dan memburu permata tersembunyi jika pandai memilih, boleh didapati pada harga RM7-16/kg.
Durian bukan klon ini lebih diminati oleh mereka yang lebih sukakan kejutan dari segi warna dan rasa. Varieti langka (rare) seperti Tupai King dan Jack Sparrow (D216, asal Kedah) ditawarkan pada harga RM120-180/kg, manakala varieti popular seperti D168 (Hajah Hasmah), D24, dan Tekka (Musang Queen) ditawarkan pada harga sekitar RM30/kg.
Faktor Pertumbuhan Pasaran
Industri durian Malaysia menjadi rujukan dan dicemburui oleh sekurang-kurangnya tiga negara jiran seperti Vietnam, Thailand, dan Indonesia. Walaupun dua daripadanya mendahului mengeksport durian ke China, pasaran terbesar durian di dunia setakat ini, kehadiran durian segar Malaysia mengubah persepsi pengguna terhadap durian.
Mereka melihat durian dari sudut yang berbeza, bukan sekadar buah yang isinya seperti mentega berada dalam kulit keras yang berduri, kadang-kadang dimakan dengan rasa seperti makan kentang separuh masak, tetapi buah yang beraroma harum semula jadi, lembut seadanya, manis, lemak, dan lazat seperti makan coklat premium yang mahal tetapi memiliki ciri-ciri makanan yang menyihatkan.
Ia menjadi kegilaan baru lahir daripada kegilaan hanya sekadar makan durian tetapi pergi ke tahap yang lebih tinggi.
Media sosial menjadi viral, penuh dengan muat naik kenikmatan makan durian dari Malaysia, dikongsi berjuta-juta kali dalam seminit.
Kelebihan Daya Saing Durian Malaysia
Menurut Encik Eric @ Teoh Seng Koon, pemilik Dusun Durian Eric @ Gurun serta tuan punya pokok induk varieti Jack Sparrow (D216), durian Malaysia istimewa kerana masak di pokok dan gugur secara semula jadi, bukan dipetik secara serentak seperti di Thailand dan Vietnam.
Ini menjadikan durian Malaysia yang masuk ke China masak sempurna dan isinya terfermentasi secara semula jadi di dalam kulit, memberi citarasa durian pada tahap maksimum. Ia dihantar ke China dalam keadaan segar tanpa sebarang racun perosak dan bahan pengawet dengan kargo udara dan tiba ke tangan pengguna untuk dinikmati dalam tempoh 24 jam.
Ini terbukti apabila durian Malaysia dapat dibuka dan pecah sempurna mengikut pangsa-pangsanya berbanding durian negara jiran yang terpaksa ditebuk. Sebaliknya, durian Thailand dan Vietnam dipetik pada 80-85% matang di pokok secara serentak walaupun sebenarnya buah pada sepokok durian mempunyai tahap kematangan yang sangat berbeza.
Jika dibiarkan gugur sendiri, buah pertama gugur dengan buah terakhir gugur akan berbeza selang waktu antara tiga hingga empat minggu.
Ini menjadikan durian Malaysia pilihan utama penggemarnya tanpa mempersoalkan faktor harga. Pertumbuhan ekonomi yang pesat di China menjadikan pengguna di sana mempunyai daya beli yang tinggi dan mampu membayar harga yang setimpal bagi durian berkualiti premium.
Selain dimakan segar, durian menjadi trending sebagai perisa dalam kulinari terkini, apa saja resipi mahu diletakkan durian daripada aiskrim hinggalah ke kueh bulan.
Jika dibiarkan gugur sendiri, buah pertama gugur dengan buah terakhir gugur akan berbeza selang waktu antara tiga hingga empat minggu.
Kepentingan Prasarana dan Sokongan Kerajaan
Prasarana pelabuhan, perkapalan, dan kargo udara yang cekap membantu durian sampai ke ceruk rantau dunia walaupun terpaksa melangkau lautan tanpa mengorbankan kualiti.
Penglibatan kerajaan membuka pasaran baru melalui ekspo perdagangan sangat membantu pengeksport melancarkan kerenah birokrasi yang akan memakan belanja besar jika dibuat secara persendirian.
Industri Durian di Vietnam
Vietnam masih giat memburu kekayaan baru melalui eksport durian, mensasarkan nilai eksport USD5 bilion bagi tahun 2025. Perkembangan industri durian di Vietnam membangun dengan pesat, dibantu oleh sikap petaninya yang sangat rajin, inovatif, dan mabuk kerja mengalahkan orang Thai dan kaum Cina di Malaysia.
Kerajaannya juga sangat menyokong projek pertanian yang berorientasikan eksport. Hanya dalam tempoh tiga bulan, nilai eksport durian meningkat daripada USD400 juta (2021) kepada USD3.3 bilion (2024) menjadikan durian berada di carta teratas eksport buah-buahannya.
Permintaan eksport yang tinggi dengan harga terbaik pernah diperoleh, petaninya bekerja siang dan malam meningkatkan pengeluaran bagi merebut 'lombong emas' terbaik yang muncul dalam abad ini. Habis dusun rambutan, mangga, dan buah naga ditebang dan diganti dengan tanaman durian biarpun berada di luar kawasan utama yang sesuai ditanam durian.
Pelbagai kaedah digunakan untuk meningkatkan produktiviti, kadang-kadang tidak begitu mesra pengguna.
Teknik Penanaman Agresif dan Cabaran
Petani Vietnam menggunakan pelbagai teknik yang agresif bagi memenuhi permintaan terhadap durian dengan segera semenjak memperoleh permit eksport durian segar ke China pada tahun 2022. Petani Vietnam menggunakan paclobutrazol atau zat pengatur tumbuh (ZPT) untuk mengatur fasa vegetatif dan fasa generatif menjadikan pokok tidak tumbuh meliar.
Pemangkasan membentuk pokok dilakukan secara berjadual sejak mula ditanam bagi mendapatkan pokok yang padat seperti amalan dalam tanaman mangga dan sitrus.
Mereka menanam pada jarak 7 x 7 meter bagi mendapatkan 30% lebih pokok daripada sistem 10 x 10 meter yang kita amalkan bagi mendapat pulangan pelaburan seawal mungkin.
Pokok penanti bagi cantuman mata tunas juga digunakan bersaiz lengan dewasa bagi memudahkan mencantum, disemai dalam planter beg besar di semaian dan akan cepat besar apabila ditanam di ladang kerana perakaran yang banyak.
Masalah Pencemaran dan Pengawasan Kualiti
Akibat daripada keghairahan yang tidak mampu dibendung, bala menimpa. Kawalan import China mengesan sisa baki racun makhluk perosak yang tinggi dalam beberapa konsainan. Kemasukan durian dikawal ketat dan dibuat pemeriksaan 100%.
Akibatnya, pada awal 2025 jumlah eksport jauh 74% jika dibandingkan pada tempoh yang sama bagi tahun 2024. Situasi ini perlu diambil iktibar oleh petani durian Malaysia supaya bersikap jujur dan mematuhi peraturan penggunaan racun makhluk perosak.
Varieti Durian Vietnam dan Daya Saing
Vietnam mengeksport varieti utamanya Ri6 (disebut Ri Sau) yang merupakan ikon duriannya yang merupakan persilangan semula jadi tempatan, sekali pandang tidak jauh bezanya dengan Monthong.
Mereka juga mengeksport varieti Monthong tulen yang berasal dari Thailand. Ri6 berasal dari Delta Mekong, tempat durian mula ditanam di sini. Isi buahnya kuning cerah, tebal, dan kering - sesuai dengan citarasa orang Thai dan Indocina yang suka makan durian mengkal/keras, tidak seperti orang Malaysia yang suka durian masak (lembik). Rasanya manis dengan aroma yang sederhana dan biji yang kesat. Ia tidak mudah pecah dan sesuai menempuh perjalanan yang panjang untuk dipasarkan.
Prestasi pokok durian juga diganggu oleh pelbagai penyakit, mungkin kerana lebih sejuk dan basah.
Prestasi Varieti Malaysia di Vietnam
Golongan petani muda Vietnam telah mula memproduksi varieti Musang King yang diklon daripada Musang King Malaysia. Namun, pandangan beberapa pelawat ke sana mendapati prestasinya tidak sebaik di Malaysia kerana masalah buah tidak masak sekata dan pengisian pangsa tidak penuh (Gred B ke bawah).
Prestasi pokok juga diganggu oleh pelbagai penyakit, mungkin kerana lebih sejuk dan basah. Sehingga mereka menjumpai persilangan tempatan yang tahan penyakit dan berbuah cantik, Malaysia masih mempunyai kelebihan bersaing dengan varieti Musang King dan Duri Hitam. Vietnam juga mengeluarkan varieti Dona 99 dan Khong Vi.
Industri Durian di Thailand
Industri durian di Thailand telah mencapai tahap tepu dan tidak banyak berubah, tetapi kehadiran Malaysia dan Vietnam mencabar kedudukannya sebagai pengeksport nombor satu. Malaysia mempunyai kelebihan varieti premium untuk bersaing, dan Vietnam menggandakan pengeluaran dengan pesat menggunakan varieti yang hampir sama dengannya.
Daerah Chanthaburi menjadi pusat utama pengeluaran durian, diikuti oleh beberapa pusat pertumbuhan baru terutama di bahagian selatan, tempat asal durian. Petani Thai di tiga wilayah selatan seperti Narathiwat, Yala, dan Pattani banyak menanam varieti durian Malaysia, terutama Musang King dan Duri Hitam.
Kini mereka diburu peraih dari Bangkok untuk mendapat bekalan bagi eksport ke China. Kadangkadang mereka menembusi hingga ke Gerik, Perak, malah hingga ke Pahang untuk membeli dua varieti utama ini jika permintaan besar.
Prestasi Pengeluaran Musim 2025
Musim 2025 agak merosot bagi pengeluaran durian Thailand berikutan cuaca yang berubah, terutama di timur laut dan selatan negaranya.
Cuaca yang luar biasa mengubah pembungaan dan kelekatan buah. Walaupun pengeluaran didapati meningkat, jumlah buah yang boleh dieksport menurun dengan drastik, menghampiri 50% sahaja.
Industri durian di Thailand telah mencapai tahap tepu dan tidak banyak berubah, tetapi kehadiran Malaysia dan Vietnam mencabar kedudukannya sebagai pengeksport nombor satu.
Akibat kelembapan yang tinggi menjelang musim menuai, separuh daripada buah yang boleh dipetik dijangkiti penyakit reput buah, bentuk tidak normal, dan buah masak separuh.
Buah yang tidak mencapai gred eksport terpaksa diproses dan disejukbeku untuk dieksport sebagai pulpa.
Kualiti yang menurun ini menyebabkan harga di peringkat kilang sejukbeku turun ke THB3040/kg daripada kebiasaannya THB60-70/kg supaya pembeli antarabangsa tidak lari ke pembekal baru di Malaysia.
Kesimpulan
Persaingan dalam perniagaan eksport durian ke pasaran antarabangsa agak sengit. Peluang Malaysia untuk memenuhi permintaan pasaran yang lukratif dan sangat besar ini sangat cerah walaupun turut diintai oleh dua negara yang terlebih dahulu mendapat pengesahan untuk eksport, iaitu Thailand sebagai perintis dan Vietnam yang begitu pesat menggandakan pengeluaran.
Kelebihan Daya Saing Malaysia
Malaysia mempunyai sedikit kelebihan untuk bersaing walaupun bukan perintis kerana terkenal mengeluarkan produk yang selamat, manakala dua pesaing lagi mempunyai sejarah pencemaran sisa baki racun yang tinggi dalam produk pertaniannya.
Varieti baru yang berkualiti juga mendapat sambutan hangat di Ekspo Perdagangan di luar negara yang ditaja oleh kerajaan. Kemudahan pengangkutan yang cekap seperti perkhidmatan kargo udara menjamin pengguna mendapat produk yang berkualiti dan selamat.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.