September 19 2024

Harumanis (Malaysia) Vs Namdokmai (Thailand)

Harumanis (Malaysia) Vs Namdokmai (Thailand) - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Jamaludin Mat Rashid

Faktor cita rasa merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi permintaan pengguna terhadap sesuatu produk. Ia mungkin dipengaruhi oleh faktor nilai sesuatu masyarakat, pengalaman lalu, pengaruh orang sekeliling. Tidak kurang juga nilai yang diletakkan oleh pemasar bagi produknya. 

Varieti sesuatu produk buah-buahan mempengaruhi permintaan pengguna dari nilai yang ditawarkan melibatkan warna, bentuk dan nilai yang dipersif oleh pengguna akibat dari kempen pemasaran. Masyarakat Malaysia misalnya melihat buah-buahan iklim sejuk atau buah import lebih berkualiti berbanding buah-buahan tempatan. Dalam situasi lain masyarakat Thailand pula menyukai isi durian yang lebih keras atau mengkal berbanding masyarakat Malaysia yang menyukai isi durian yang masak ranum atau agak lembik. 

Faktor-faktor begini sering dimanipulasi oleh pemasar untuk kepentingan perniagaan mereka. Suatu yang menarik jika kita bincangkan bagaimana varieti mangga Harumanis begitu popular di Malaysia tetapi varieti mangga Namdokmai sangat diminati di Thailand hingga menjadi varieti eksport yang sangat besar jumlahnya.

Harumanis (MA 128) didaftarkan oleh Jabatan Pertanian (JP) pada tahun 1971 dan mula diperkenalkan kepada negeri-negeri di utara selepas itu. Pegawai Pengembangan Jabatan Pertanian telah memperkenalkan varieti unggul ini kepada petani di Kedah dan Perlis sebagai percubaan dan pembelajaran. Turut ditanam di pusat-pusat penyelidikan pertanian dan pejabat pentadbiran MADA. 

Pada tahun 1980-an, Jabatan Pertanian bersama FAMA Negeri Perlis telah membuat pelancaran besar-besaran menjadikan Harumanis sebagai ikon dan produk utama bagi petani di Perlis. Penanaman secara luas sekitar 750 hektar sebagai ladang nukleus di Bukit Bintang, Sungai Batu Pahat menjadi contoh kepada petani bagaimana Harumanis boleh dikomersialkan. 

Dengan keluasan mangga Harumanis Perlis hanya sebanyak 2,000 hektar, permintaan dalam negara masih belum terpenuhi. Ada dilaporkan terdapat permintaan yang besar dengan harga yang lumayan dari Jepun dan Korea Selatan, ianya belum dapat direalisasikan. 

Namdokmai mula dikenali di Thailand pada tahun 2009, bermula dengan Namdokmai biasa dan diikuti oleh Namdokmai Si Thong beberapa tahun kemudian. Namdokmai mula mendapat pasaran di Jepun walaupun terpaksa menghadapi sekatan yang berat. Masyarakat Jepun sangat memandang tinggi aspek kualiti dan sanggup membayar harga yang tinggi. Mangga Miyazaki keluaran dalam negeri Jepun merupakan mangga yang termahal di dunia. Namdokmai telah mendapat permintaan yang tinggi di Korea Selatan kemudiannya. 

Kebangkitan ekonomi China pada masa ini menjadikannya pasaran terbesar mangga Thailand bersama-sama buah-buahan lain seperti durian. Hubungan darat yang baik telah menjadikan proses mengeksport ke China menjadi cekap dan murah. Kini Namdokmai Thailand mendapat permintaan tinggi di dunia, termasuk pasaran Malaysia dan Singapura. Dengan keluasan tanaman mangga di Thailand sebanyak 500k hektar, 90% adalah mangga Namdokmai, nilai pasaran mangga mereka ke pasaran dunia melebihi USD 100 juta setahun. 

Malaysia ada menanam beberapa varieti mangga lain dalam 10,000 hektar tanaman mangganya. Selain Harumanis, varieti Chokanan banyak ditanam di Melaka, Johor, Perak dan Kedah untuk pasaran lokal dan sedikit dieksport ke Singapura. Varieti lain temasuklan varieti Golek/Foo Fatt, Mas Muda, Intan Shafinaz, Maha 64 dan Sala. Namun demam durian Musang King dan Duri Hitam membuatkan petani menukarkan tanaman mangga kepada durian. 


Harumanis yang berisi jingga kemerahan yang tebal sesuai untuk daya penarik bagi koktel. Foto:FB Mat Lee 


Kebanyakan mangga dalam negeri diproses menjadi jeruk, bahan rojak dan buah potong. Hanya sedikit dijual sebagai buah masak kecuali Harumanis Perlis, kerana varieti Thai yang masuk jauh lebih berkualiti dan murah dari produk tempatan. Mangga yang dipanggil Harumanis Kemboja yang diimport masuk sejak 4 tahun lalu dijual runcit dengan harga RM 2 - 4 per kilogram. Buahnya besar, warna oren yang cantik, berbiji nipis dan rasa yang setimpal dengan harganya. 


Thailand menumpukan 90% tanaman mangganya dengan varieti Namdokmai Si Thong. Varieti lain bagi pasaran tempatan ialah Chokanan, Kiew Savoey, Nang Mangwan, Thong Dam dan Falan. Kebanyakannya masak pada nilai kemanisan 15 -16 Brix tetapi Namdokmai mempunyai nilai kemanisan 17-20% dengan komestik yang sangat menarik berwarna kuning keemasan sementara yang lain sama ada berwarna hijau, kuning air ataupun kemerah-merahan. 

Warna Kulit/Aroma/Warna isi

Warna kulit Harumanis yang berwarna hijau walaupun telah masak merupakan faktor penolak jika bertanding di rak pameran antara varieti terkini yang kuning dan merah. Aroma Harumanis sangat tersendiri dan merupakan aroma yang dipersif oleh pengguna apabila mengingati mangga. Warna isi yang jingga kemerahan yang tebal sesuai untuk daya penarik bagi koktel. Harumanis juga mempunyai kandungan fiber larut yang tinggi menjadikannya cair di dalam mulut. 

Permintaan tinggi berbanding penawaran, pasaran domestik belum dapat dipenuhi. Ada pertanyaan antarabangsa tetapi QC belum bersedia untuk bersaing di pasaran global kerana masalah Insidious Fruit Rot (IFR). Isi Namdokmai juga sangat halus dengan serat larutair seperti sutera. Aromanya pula lebih kepada gabungan aroma tropika seakan aroma teratai dan bunga-bunga liar seperti cempaka dan ilang-ilang. Rasa mangganya pekat seperti yang dipersif oleh pengguna. Isi juga tebal untuk dijadikan koktel yang mewah. Mendapat permintaan tinggi bagi pengguna antarabangsa mengalahkan India yang sekian lama menguasai pasaran mangga antarabangsa. 

Kemanisan/Peratus Brix

Saiz buah Harumanis yang besar di antara 350-600g per biji. Antara buah yang terbesar bagi mangga komersial. Isi yang tebal menjadikan ia digemari ramai terutama sebagai buah pencuci mulut di hotel. Ia boleh dibelah dengan kulit dan dipulas separuh pusingan bagi mempamerkan isi yang tebal berwarna jingga keemasan. Purata kemanisan pula antara 18 ke 23% Brix menjadikannya antara yang termanis di peringkat dunia. Walaupun begitu pasaran dunia memerlukan peratus Brix yang lebih rendah terutama bagi pasaran Eropah yang memerlukan sedikit kemasaman dalam diet buah-buahan mereka berbanding pasaran Asia yang beranggapan lebih manis, lebih bagus. 


Namdokmai mempunyai kemanisan 17 - 20% Brix dengan berat 250 - 550g per buah.

 


Namdokmai mempunyai kemanisan 17 - 20% Brix dengan berat 250 - 550g per buah. Harumanis 350 - 600g paling besar bagi varieti eksport. Lainlain varieti Thailand hanyalah sekitar 150 ke 250g sebiji dengan biji yang lebih besar atau setara dengan Namdokmai. Kemanisan Namdokmai cukup untuk kehendak kualiti pasaran antarabangsa. Di negaranya Namdokmai dimakan dengan pulut, juadah kebangsaan yang sangat popular bagi negara pengeluar dan pengguna beras pulut tertinggi di dunia itu. 

Penyakit

Harumanis sensitif kepada ketidakseimbangan makro dan mikro nutrien. Ia menyebabkan Insidious Fruit Rot (IFR) yang tidak boleh dikesan dari luar. Keadaan isi buah yang benyai akibat IFR menyebabkan buah tidak boleh dikonsumsi. 

Belum ada mesin yang boleh mengesan masalah ini dengan jitu menyebabkan kemungkinan untuk mengeksport buah ini sangat tipis. Namdokmai tidak dilaporkan mengalami masalah ini dengan serius. Namdokmai dieksport tanpa maklumbalas negatif dari pasaran global. 

Induksi Pembungaan

Penggunaan potassium nitrat secara semburan bagi merangsang pembungaan bunga perlu dibuat pada daun tua. Ini bermakna semburan perlu dibuat pada masa yang spesifik. Kemahiran yang tinggi diperlukan bagi kerja merangsang pembungaan bagi mendapat hasil yang terbaik. 

Namdokmai perlu dirangsang untuk berbunga pada daun semi matang hingga matang. Terdapat masa yang panjang untuk dibuat semburan bagi jangkaan masa hadapan apabila ia ingin dituai mengikut keperluan pasaran, kemahiran yang rendah sudah memadai untuk menilai apabila semburan boleh dibuat.

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag