September 02 2026

Cabaran Alam Bukan Penghalang Ternak Ikan

Cabaran Alam Bukan Penghalang Ternak Ikan - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Nik Sukry Ramli

 Di Kampung Kelola, deretan sangkar ikan terapung menjadi bukti kegigihan seorang pengusaha tempatan, Amizi Abd Hamid, 47 tahun, dalam membangunkan empayar akuakulturnya. 

Bermula dengan hanya 12 buah sangkar pada awal tahun 2023, Amizi kini mampu berbangga apabila operasinya berkembang pesat kepada 50 buah sangkar. Usaha yang pada mulanya sekadar percubaan untuk melihat potensi sungai tersebut kini menjadi perniagaan yang serius dan sistematik. 


Amizi Abd Hamid mengusahakan 50 ikan sangkar pelbagai spesies, termasuk kategori premium di Kampung Kelola, dekat Jerantut, Pahang. 


Patin Jerantut Tembusi Pasaran KL

Dalam menguruskan operasi harian, Amizi dibantu oleh dua pekerja, iaitu Abd Basit Satar dan Mohd Danial Al Imran Hashim, serta anak sulungnya, Muhamad Alif Ridhwan, 15 tahun. 

Menurut Amizi, fokus utamanya adalah ternakan ikan patin (80 peratus) dan tilapia (20 peratus) yang sentiasa mendapat permintaan tinggi. Kualiti ikan dari sangkarnya amat dititikberatkan melalui penjagaan pemakanan dengan menggunakan makanan pelet berkualiti tinggi. 

"Hasil ternakan saya bukan sahaja memenuhi permintaan penduduk sekitar Jerantut, malah mendapat tempat di restoran-restoran di Kuala Lumpur. Ikan sungai segar ini menjadi pilihan kerana rasanya yang enak dan kualiti isinya yang terjaga," katanya. 


Dibantu anaknya, Muhamad Alif Ridhwan, 17, Amizi sering memastikan ikan sangkar diusahakannya itu mempunyai kualiti yang baik sebelum dipasarkan.

 


Kelah "Raja Sungai" Jadi Tarikan Utama

Selain ikan komersial, keunikan perusahaan Amizi terletak pada usahanya memelihara pelbagai spesies ikan sungai liar. Beliau memperuntukkan dua sangkar khusus untuk ikan liar seperti patin buah, lawang, baung dan jelawat. Turut diternak ialah spesies ikan yang bernilai tinggi di pasaran seperti kerai, susur arus, kelabau, jengkua, dan tongsan. 

Malah, satu sangkar khas disediakan untuk ikan kelah, yang dikenali sebagai 'Raja Sungai'. Amizi memulakan ternakan kelah dengan membeli 2,000 ekor anak ikan dari Ulu Terengganu yang kini membesar dengan baik. Walaupun harganya mencecah 'harga kayangan', namun peminat tegar ikan ini sanggup datang terus ke sangkar untuk memilih sendiri bekalan mereka. 

Amizi bagaimanapun mengakui bidang ini menuntutkesabaran yang tinggi kerana perlu berdepan dengan gangguan haiwan liar seperti memerang, selain faktor alam seperti perubahan kualiti air yang mendadak serta paras air sungai yang tidak menentu ketika musim banjir atau kemarau. 

"Kadang-kadang air berubah secara mengejut, sama ada air besar atau surut. Faktor ini mampu menyebabkan kadar kematian ikan mencecah 70 hingga 75 peratus," jelasnya. 


Terdapat 50 sangkar milik Amizi Abd Hamid di Sungai Pahang, dekat Kampung Kelola, Jerantut menjadi 'rumah' kepada ikan kategori premium seperti Kelah, Kerai dan Patin Buah. 


Tujuh Bulan untuk Hasil Berkualiti

Secara teknikal, setiap sangkar berukuran 3 x 3 meter diisi dengan 2,000 ekor anak ikan secara berperingkat bagi memastikan bekalan sentiasa ada sepanjang tahun. Ikan-ikan ini biasanya mengambil masa tujuh hingga lapan bulan untuk mencapai berat matang iaitu antara 1.2 kilogram hingga 1.5 kilogram seekor. 

Bagi Amizi, Sungai Pahang adalah ladang rezeki yang luas. Kecekalan beliau membuktikan bahawa melalui pengurusan yang sistematik dan minat yang mendalam, sektor akuakultur bukan sahaja mampu menjana pendapatan yang mampan, malah meningkatkan taraf hidup komuniti luar bandar.

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag