January 31 2024
oleh: Jamaludin dan Vivian How
Mangga dan bacang sememangnya selalu kita lihat apabila tiba musimnya. Lain pula dengan sejenis mangga yang satu ini memang agak asing di Semenanjung tetapi menjadi kegemaran ramai di Kepulauan Borneo khasnya Sabah dan Sarawak; Bambangan atau Asam Embang dengan nama saintifiknya Mangifera pajang, adalah dari keluarga Anacardiaceae. Antara yang terkenal dalam keluarga ini ialah mangga termasuklah varieti Harumanis yang terkenal di Perlis, mangga Thai seperti Nam Dok Mai, Thong Dam, gajus, bacang, kuinin dan binjai.
Bambangan sememangnya tumbuhan liar dan endemik di Sabah, Sarawak dan Kalimantan. Populariti Bambangan mempengaruhi kehidupan dan budaya masyarakat sekitar yang digambarkan dengan pelbagai nama mengikut etnik. Masyarakat Sabah memanggilnya Bambangan tetapi di Sarawak dalam bahasa Melayu yang dipakai meluas sebagai bahasa perantara antara kumpulan etnik ia dipanggil Asam Embang atau Asam Embawang, manakala etnik Iban memangilnya Mawang.
Bambangan agak lambat berbuah apabila ditanam, mengambil masa antara 10 hingga 15 tahun membuatkan ramai yang tidak berminat menanamnya. Pohon yang dituai buahnya sekarang kebanyakan ditanam oleh generasi lama dahulu, mungkin telah berumur lebih dari 50 tahun. Ada yang sudah mencapai saiz batang sebesar 3 pemeluk orang dewasa.
Seperti keluarga Anacardiacea yang lain, bambangan akan berbunga di awal musim kemarau apabila berlaku kekurangan air dalam tanah (water stress). Generasi lama sudah faham apabila keluarga bacang, termasuk bambangan berbunga, musim kemarau akan berlanjutan. Ia menjadi titik perancangan aktiviti pertanian bagi tahun berikutnya seperti menentukan tarikh menyemai padi diikuti tarikh menuai padi. Segala aktiviti sosial seperti kenduri kahwin misalnya akan berkisar di antara dua tarikh ini. Tanpa pengaruh perubahan iklim yang sentiasa berlaku akhir-akhir ini, bambangan akan berbunga pada bulan Julai/Ogos dan buah akan masak pada hujung tahun.
Buah bambangan yang besar dengan serat yang kasar mungkin agak ganjil bagi yang sudah terbiasa dengan mangga harumanis dan mangga Thai yang lembut, halus dan manis.Tetapi rasa bambangan yang unik dan wangi membuatkan tidak cukup sebiji seorang jika dapat yang cukup masak sempurna rasa masam-manisnya tidak dapat pada keluarga mangga yang lain mengundang nostalgia apalagi kepada masyarakat Borneo yang sudah sedarah sedaging dengan rasanya (aquired taste).
Musim bambangan bermula apabila sebiji dua buah yang masak mula jatuh berguguran dan jatuh dengan jujuhnya dalam tempoh seminggu berikutnya. Dengan pokok setinggi 90 - 180 kaki (30 - 60 meter) dan buah yang gugur sebesar kelapa dengan berat antara 1 - 3 kilogram, siapa yang berani menunggu di bawahnya. Menjadi pantang larang untuk berada lama di bawah pohon bambangan, mungkin cara generasi dahulu mencegah bala ditimpa bambangan gugur.
Kulit Tebal Sehingga Tidak Mungkin Dikupas
Buahnya yang bulat, berwarna perang sama ada mentah atau masak dan kulit yang tebal hingga 1 sentimeter tidak mungkin dapat dikupas seperti mengupas mangga biasa melainkan dituris seakan berpangsa dari tampok tangkai buah membawa ke bawah dan dikopek kulitnya satu persatu mendedahkan isinya oren keemasan. Buahnya yang berserat apabila dipotong melintang memberikan tekstur yang unik, sangat berlainan dari mangga biasa ditambah dengan jus yang bersari seakan kombinasi beberapa buah tropika. Kulit yang tebal juga memungkinkan ia disimpan lama atau boleh dikirim dalam perjalanan yang jauh. Sifat tahan dalam perjalanan lama ini menjadi nilai tambah bagi ekspot bambangan.
Satu hidangan popular yang dipanggil Hinava dihasilkan dari bambangan. Di musim-musim jujuh apabila bambangan tidak habis dimakan dan murah di pasaran, buah yang berlebihan dipotong untuk diambil isinya dan dijeruk bersama parutan bijinya dan garam dalam pasu tanah liat bagi menjadi bekalan untuk menikmati kelazatan bambangan di luar musim. Difahamkan jeruk bambangan dapat bertahan selama setahun tetapi seringkali ianya habis dalam beberapa bulan sahaja kerana kelazatannya. Bagi yang tidak menyukai serat bambangan yang kasar, mereka memerah isi bambangan masak bagi mendapatkan jus dan dibotolkan bagi menikmati khasiat antioksidan di dalamnya sepanjang tahun. Bambangan muda pula distim dengan ikan sungai untuk menjadi menu popular yang dipanggil Pinasakkan.
Nutrisi Bambangan
Buah bambangan mempunyai zat-zat nutrisi yang amat tinggi dengan Vitamin C. Ia amat efektif sebagai agen antioktida. Ia juga mengandungi zat beta-keratin yang tinggi dan ini amat baik untuk keperluan dan pemeliharaan kesihatan mata dan kulit.
Dalam satu kajian perubatan yang dijalankan oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), hasil kajiannya mendapati ekstrak buah bambangan amat berkesan membasmi sel-sel kanser di dalam tubuh badan manusia. Dalam konteks kajian ini, mereka menyasar kajian pada kanser jenis payudara. Menurut kajian, didapati ekstrak buah bambangan dapat membunuh 15% sel-sel kanser dalam masa 24 jam serta 90% dalam 72 jam2.
Susuran penemuan kajian di atas, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut menyertai kajian susulan3 mengekstrakan komponen daripada bahagian isirong biji buah bambangan. Hasil kajian turut mendapati kandungai fitokimia dan antioksida pada biji benih dan isirongnya yang tinggi. Ini menunjukkan potensi pokok bambangan sebagai sumber nutriseutikal antioksidan.
Kesimpulan
Bilangan pokok bambangan kini semakin berkurangan sehingga terancam dan telah disenarikan ke dalam senarai IUCN (International Union for Conservation of Nature and Natural Resources). Buat masa ini, tanaman buah bambangan belum lagi dikomerlisiasikan. Memandangkan buah ini amat berharga dari segi nilai perubatan serta nutrisi makanan, faktor-faktor yang tersenarai boleh menjadi motivasi dan pemangkin kepada para pelabur ladang hutan serta petani dusun untuk mempertimbangkan pelaburan mereka di dalam penanaman pokok bambangan pada skala komersial secara besar-besaran.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.