October 24 2023
oleh: Mas Idayu
Apabila menyebut tentang industri penternakan haiwan, pasti yang terlintas di kepala adalah penternak yang membiakkan haiwan ternakan dari kecil sehingga dewasa untuk jualan.
Akan tetapi terdapat satu lagi cabang perniagaan dalam bidang ini iaitu ‘trading’ haiwan ternakan, di mana pengusaha haiwan ternakan memborong haiwan ternakan yang telah matang dalam kuantiti yang banyak lalu dijual ke pasaran tempatan.
Menyentuh tentang bidang penternakan haiwan, penulis berpeluang menemubual seorang pengusaha lembu dan kambing trader yang berjaya iaitu Mohamed Sharrif bin Shir Mohamed.
Mengenali pemilik ladang ternakan lembu dan kambing Syafi Nature Farm ini, Mohamed Sharrif berkongsi tentang pengalaman beliau sebagai pengusaha lembu dan kambing ‘trader’ bersama Agrimag bagi sisipan edisi kali ini.
Menyelongkar serba sedikit tentang latar belakang pemilik ladang lembu dan kambing ‘trading’ ini, Mohamed Sharrif berkongsi pengalaman beliau sebelum beralih arah dalam dunia agrikultur ini.
Anak kelahiran Selangor di usia muda, beliau memilih untuk bekerja sendiri dalam bidang pengangkutan selepas tamat persekolahan. Namun kerjaya tersebut tidak bertahan lama kerana beliau terlibat dengan kemalangan dan mengalami masalah kesihatan pada tahun 2007.
Berikutan itu, beliau hilang sumber pendapatan dan mengalami masalah kewangan dan dari situ beliau cuba mencari alternatif lain untuk menjana pendapatan.
Bermula Dengan Jual Susu Lembu
Pada tahun 2007 itu juga, ayah kepada Mohamed Sharrif, Shir Mohamed membuka ladang lembu dan memiliki beberapa ekor lembu susu. Dengan pembukaan ladang lembu tersebut, ayah Mohamed Sharrif mencadangkan agar beliau bekerja bersama ayahnya dengan menjual susu lembu. Dari situ sedikit sebanyak hasil jualan susu lembu yang dilakukan menjadi sumber pendapatan buat Mohamed Sharrif.
Selepas 5 tahun, ladang lembu milik ayah Mohamed Sharrif diambil alih oleh abang ipar beliau selepas pemergian arwah ayahnya Shir Mohamed.
Meski ladang berkenaan diambil alih oleh abang iparnya iaitu Dr. Mohd Shafi, namun dek kekakangan masa dan sibuk mengurus perniagaan sendiri, abang iparnya berkongsi pandangan dan bertanya sama ada Mohamed Sharrif dapat menguruskan ladang tersebut.
Mohamed Sharrif kemudiannya memberanikan diri menyahut cabaran dan menggalas tugas dengan mengurus ladang lembu berkenaan.
Sambutan Pasaran Baik Menggalakkan Penubuhan
Dari situ, Mohamed Sharrif terus terjun dalam bidang pengurusan ladang dan mempelajari selok-belok dunia penternakan haiwan melalui khidmat nasihat serta tunjuk ajar dari rakan perniagaan seindustri dan juga menerusi hasil usaha carian ilmu secara peribadi.
Dengan 20 ekor lembu susu dan 100 ekor lembu jantan berserta modal yang sedikit, Mohamed Sharrif mula berjinak-jinak menjual lembu-lembu yang diternak sebagai trader lembu.
Bersembang lebih lanjut, Mohamed Sharrif berkata dengan menerusi kejayaan menjual 100 ekor lembu semasa Hari Raya Haji dan melihat lembu ternakan beliau mendapat sambutan serta permintaan yang tinggi di kalangan pembeli, membuatkan beliau ingin serius dalam bidang penternakan sebagai trader lembu tempatan.
Setelah mengurus ladang lembu dan disuntik dengan semangat hasil jualan 100 ekor lembu semasa Hari Raya Haji, Mohamed Sharrif kemudian memutuskan untuk memberi sepenuh fokus dan tenaga bagi mengurus ladang lembu tersebut.
Setelah berbincang dan berkongsi pendapat bersama abang ipar beliau, Mohamed Sharrif berjaya mengambil alih ladang tersebut dengan persetujuan dari abang iparnya.
Manakala abang ipar beliau pula terus fokus mengusahakan perniagaan chapatti yang dilakukannya. Lalu pada tahun 2013, Mohamed Sharrif menubuhkan syarikat Syafi Nature Farm dan sekaligus nama syarikat tersebut menjadi nama ladang yang diusahakan Mohamed Sharrif sehingga kini.
Berbual lebih lanjut, Mohamed Sharrif mendedahkan nama Syafi dipilih bersempena nama abang ipar beliau yang juga merupakan salah seorang pengasas awal bersama Mohamed Sharrif dalam membangunkan syarikat penternakan ini.
Menurut Mohamed Sharrif juga, semasa di peringkat awal, abang ipar beliau juga turut melabur modal bagi membangunkan syarikat penternakan dengan lebih serius.
Tidak Mohon Sebarang Dana
Sepanjang perjalanan Mohamed Sharrif dalam membangunkan ladang ternakan ini, beliau bergerak sendiri tanpa memohon sebarang dana dari mana-mana badan organisasi mahupun persatuan. Kini ladang Syafi Nature Farm merupakan milik sepenuh Mohamed Sharrif dan ia juga merupakan perniagaan keluarga bersama.
Pejam celik kini Syafi Nature Farm telah 11 tahun bertapak sebagai pemborong dan pembekal lembu dan kambing tempatan. Meneroka lebih dalam bersama pengusaha ladang ternakan berusia 43 tahun ini, semenjak tahun 2022 Mohamed Sharrif berjaya memiliki dua ladang dengan menyewa tanah yang luas dan dijadikan sebagai ladang ternakan Syafi Nature Farm.
Ladang pertama yang dibuka dan disewa oleh Mohamed Sharrif adalah di Serendah, Hulu Selangor, yang mana ladang di Serendah ini kini menjadi fokus untuk pusat jualan haiwan ternakan.
Manakala ladang kedua pula beliau memilih Rasa yang terletak Kuala Kubu jadikan markas untuk pusat kuarantin haiwan ternakan yang dibeli dari luar dan dalam negara. Menerusi ladang kedua di Rasa ini juga, beliau memantau tahap kesihatan lembu ternakan yang dibawa masuk untuk jualan.
Menerus perbualan bersama pemilik ladang Syafi Nature Farm ini, Mohamed Sharrif juga mendedahkan keluasan bagi setiap satu ladang ternakan yang dimiliki beliau adalah seluas 3 ekar. Menurut Mohamed Sharrif lagi, dengan keluasan ladang yang dimiliki ia mampu memuatkan 500 – 600 ekor kambing dan lebih kurang 700 – 750 ekor lembu jantan dalam satu masa bagi ladang ternakan di Serendah.
Manakala kapasiti ladang di Rasa pula boleh memuatkan lebih kurang 530 ekor lembu dalam satu masa. Menyoal lebih lanjut tentang haiwan ternakan dan jenis baka yang dimiliki beliau, Mohamed Sharrif berkongsi serba sedikit perihal mengenai haiwan ternakannya.
Pemilik ladang Syafi Nature Farm ini mendedahkan beliau memiliki beberapa jenis ekor lembu yang terdiri dari baka Brahman, KK Cross dan baka jenis lembu Sado. Manakala bagi kambing pula, Mohamed Sharrif memiliki kambing baka jenis Boer, Burma dan Biri-biri.
Berbual lebih lanjut, menurut Mohamed Sharrif lagi untuk mendapatkan bekalan haiwan ternakan yang baik dan bermutu, beliau membeli lembu dan kambing dari pengusaha haiwan ternakan tempatan dan juga dari negara luar seperti Australia dan juga Thailand.
900 Lembu Dijual untuk Kurban Dan Akikah
Sebagai seorang penternak lembu dan kambing trader, Mohamed Sharrif tidak hanya menjual lembu dan kambing ternakan untuk jualan secara borong kepada umum dan jualan daging semasa Hari Raya Aidilfitri. Pengusaha ladang Syafi Nature Farm ini juga memfokuskan jualan haiwan ternakan beliau dalam pasaran kurban dan akikah tanah air.
Memulakan perusahaan haiwan ternakan secara serius setelah melihat terdapat peluang dan pulangan yang besar dalam pasaran musim kurban dan akikah pada 11 tahun lalu, membuatkan Mohamed Sharrif teguh berdiri dalam industri penternakan tanah air.
Dan akhirnya percaturan yang dibuat pada peringkat awal penglibatan beliau dalam industri trader haiwan ternakan membuahkan hasil yang lebih manis apabila pada tahun 2023 tahun ini, haiwan ternakan beliau mendapat permintaan lembu yang sangat tinggi ketika musim kurban lalu di mana lebih kurang 900 ekor lembu berjaya dijual.
Menurut Mohamed Sharrif, berdasarkan laporan pembelian haiwan ternakan beliau meningkat sebanyak 30 peratus tahun ini.
Menurut pemilik Syafi Nature Farm ini lagi, permintaan lembu dan kambing semasa musim kurban dan akikah pada tahun 2022 lalu juga sangat memberangsangkan di mana ladang Syafi Nature Farm berjaya menjual lebih kurang 650 ekor lembu ternakan.
Persediaan Awal Resepi Kejayaan
Mencungkil rahsia kejayaan pemilik Syafi Nature Farm dalam mengendalikan perniagaannya dalam dunia penternakan trader haiwan ini. Mohamed Sharrif berkongsi sedikit faktor kejayaan beliau, di mana setiap kali selesai jualan lembu dan kambing semasa musim kurban dan akikah.
Ladang beliau akan berehat selama dua bulan dari sebarang aktiviti jualan dan terus mencari pembekal lembu dan kambing dari pengusaha haiwan ternakan tempatan sekitar Pahang, Perak serta dari negara luar seperti Thailand dan juga Australia.
Lembu dan kambing yang dibeli kemudiannya disimpan di ladang selama 9 – 10 bulan, sepanjang tempoh berkenaan Syafi Nature Farm menjaga tahap kesihatan dan memantau keadaan haiwan ternakan agar sentiasa dalam keadaan baik, bermutu dan berkualiti tinggi sebelum dijual untuk musim kurban dan akikah pada tahun seterusnya. Bukan itu saja, berpegang teguh dengan konsep “buat satu benda sampai berjaya”. Mohamed Sharrif memandang jauh tentang perusahaan yang dilakukan beliau.
Meski telah lalui banyak cabaran sepanjang bergelar usahawan dan menjadi trader haiwan ternakan, Mohamed Sharrif percaya dengan bergerak secara perlahan tetapi dalam masa yang sama mengekalkan kestabilan perniagaan yang diusahakan dapat membuatkan perusahan yang dilakukan dapat bertahan lama dan maju ke depan.
Tangani 101 Cabaran
Menyentuh pula aspek masalah atau cabaran yang dilalui Mohamed Sharrif sepanjang berkecimpung dalam industri penternakan haiwan ini. Beliau berkongsi sedikit pengalaman yang telah dilaluinya dalam berdepan dengan seratus satu cabaran sebagai pengusaha ladang haiwan.
Menurut Mohamed Sharrif, mengusahakan perniagaan melibatkan haiwan ternakan pastinya tidak mudah dan banyak faktor perlu diambil kira. Antara cabaran atau masalah yang pernah dilalui beliau adalah masalah kekurangan pekerja kerana tidak ramai yang mampu bertahan untuk bekerja dalam tempoh yang lama.
Apatah lagi bekerja di ladang haiwan merupakan tugas yang mencabar dan memerlukan kesabaran dan minat yang mendalam jika ingin berjaya dan kekal dalam bidang tersebut.
Masalah Kesihatan Ternakan Sering Berlaku
Selain menghadapi masalah pekerja, beliau juga berdepan dengan masalah kesihatan haiwan antaranya adalah penyakit kuku mulut pada lembu yang sering berlaku semasa musim hujan, masalah lembu tertekan, perut kembung, sakit kaki, penyakit tuberculosis (TB) dan penyakit brucella. Bagi menangani masalah yang dihadapi, pemilik ladang Syafi Nature Farm ini memanggil pegawai kesihatan haiwan untuk melakukan pemeriksaan dan juga bagi mendapatkan vaksin.
Bukan itu saja, bagi mengekalkan tahap kesihatan lembu yang baik pengusaha ladang ini juga mengambil kira faktor kebersihan. Kandang haiwan ternakan di mana Mohamed Harrif memandikan lembu dan juga membuat spray mati kuman sebanyak dua atau tiga kali.
Meski banyak cabaran yang dihadapi sepanjang mengusahakan Syafi Nature Farm ini, Mohamed Sharrif tangani setiap masalah dengan solusi dan alternatif yang boleh di guna pakai oleh beliau.
Ingin Miliki Rumah Sembelihan
Bertanya soal perancangan beliau di masa akan datang pula, Mohamed Sharrif berhasrat ingin memiliki rumah sembelihan berdaftar di masa akan datang.
Dengan adanya rumah sembelihan sendiri, ia akan memudahkan dan melancarkan urusan jual beli haiwan ternakan terutamanya dalam menguruskan penyembelihan lembu dan kambing semasa musim perayaan.
Apatah lagi beliau ingin menjadikan tanah yang baru dibeli di Rasa, menjadi lokasi rumah penyembelihan yang ingin dibina kelak.
“Kita Kuli KitaLah Bos”
Sebelum bersurai, penulis sempat meminta Mohamed Sharrif untuk berkongsi sedikit katakata semangat dan nasihat terutama buat golongan muda yang ingin menjadi usahawan dan penternak haiwan seperti diri beliau.
Mohamed Sharrif mendedahkan untuk melibatkan diri dengan industri penternakan adalah dengan bermula dari kecil-kecilan dan perlu tahu bidang tersebut memerlukan kita tahu dengan jelas mengenai bidang yang ingin diceburi.
Selain itu, setiap individu perlulah bermula dari bawah dan harus tahu apa yang mereka sendiri mahukan.
Bukan itu saja, Mohamed Sharrif juga mengatakan dengan meletak konsep “KitaLah kuli kitalah bos” dalam mengurus segala perihaha berkaitan ladang atau perusahaan yang dilakukan.
Apatah lagi jika bidang ini dilakukan dengan baik ia dapat menjana pendapatan yang lumayan dan menjadi sumber kerjaya sepanjang hayat dan boleh diwariskan kepada ahli keluarga sebagai legasi untuk generasi seterusnya.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.