October 31 2023

Barramundi Group Singapura Henti Pengeluaran Ikan Komersial

Barramundi Group Singapura Henti Pengeluaran Ikan Komersial - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Dengan jangkitan scales drop disease virus (SDDV) yang ditemui di ladang akuakultur yang terletak di Selat Johor, Barramundi Group di Singapura terpaksa menghentikan penternakan ikan barramundi secara komersial. 

SDDV atau lebih dikenali dengan nama penyakit sisik tanggal akan mengakibatkan banyak ikan yang dijangkiti mengalami hakisan sisik, sisik tanggal dan juga gejala lain. 

Virus ini juga mampu membunuh lebih dari setengah pen barramundi yang diternak oleh Barramundi Group Singapura.

Barramundi Group merupakan pengeluar ikan barramundi atau ikan siakap terbesar di Australia, Singapura dan juga Brunei. Penternakan ikan dalam sangkar di persisiran laut yang dilakukan oleh syarikat Barramundi Group ini menghasilkan ikan barramundi yang berkualiti tinggi dan bertaraf premium. 

Namun pada pertengahan tahun ini, Barramundi Group di Singapura terpaksa menghentikan penternakan ikan barramundi secara komersial gara-gara jangkitan scales drop disease virus (SDDV) yang ditemui di ladang akuakultur Barramundi Group Singapura yang terletak di Selat Johor.

Penyakit Sisik Tanggal 

Memetik laporan The Star, Agensi Makanan Singapura (SFA) memaklumkan bahawa ladang ternakan ikan barramundi Singapura yang terletak di Selat Johor ini dilaporkan terdapat tanda-tanda ikan ternakan dijangkiti dengan SDDV atau lebih dikenali dengan nama penyakit sisik tanggal. 

Penyakit sisik tanggal ini akan mengakibatkan banyak ikan yang dijangkiti mengalami hakisan sisik, sisik tanggal dan juga gejala lain. 

Berdasarkan kajian pada 2021, virus SDDV ini didapati menyerang ikan barramundi dan juga ikan tuna jenis sirip kuning. Untuk makluman, virus yang tular ini berlaku secara semula jadi dan masalah ini sering terjadi di Singapura dan sebahagian Asia Tenggara.


Virus ini juga mampu membunuh lebih dari setengah barramundi yang diternak oleh Barramundi Group Singpura. 

Berdasarkan laporan tahunan kewangan Barramundi Group pada tahun 2022, yang dikeluarkan pada 23 Jun, menyatakan ternakan ikan barramundi di tapak ladang laut Singapura yang terletak di Pulau Semakau, Pulau Senang dan Pulau St John terpaksa dihentikan seketika sehingga vaksin penyakit ini ditemui dengan mengikut etika bagi menjaga kebajikan haiwan. 

Alami Kerugian Besar 

Laporan yang dikeluarkan oleh Barramundi Group pada bulan Februari tahun ini menyatakan bahawa penyakit sisik tanggal (SDDV) ini tular di tapak ladang laut di Pulau Semakau pada Disember 2021. 

Tapak laut berkenaan menyebabkan kadar kematian ikan barramundi yang tertinggi di antara ternakan ikan di ladang laut yang lain. Malah ia berlanjutan sehingga suku pertama tahun 2022, di mana tapak ladang laut berkenaan kembali diternak pada akhir tahun. 

Barramundi Group juga memberi respon di mana penularan virus tersebut menyebabkan kadar kematian ikan ternakan yang besar dan membuatkan syarikat pengeluar ikan barramundi terbesar ini mengalami kerugian di tapak ladang Singapura dengan jumlah kerugian sebanyak RM147.87 juta pada tahun 2022. 

Brunei Jadi Tapak Pengeluaran Dan Eksport 

Meskipun Barramundi Group menghadapi krisis penularan jangkitan virus di tapak ladang laut di Singapura, pengeluar ikan siakap terbesar dunia ini tetap memberi fokus terhadap projek akuakultur ternakan ikan sangkar air laut ini. 

Menurut kenyataan dalam laporan pada tahun 2022, ladang laut di Brunei akan menjadi tapak bagi pengeluaran dan penuaian ternakan yang kemudian ikan-ikan berkenaan akan diproses dan dieksport ke Singapura dan pasaran antarabangsa. 

Singapura Fokus Teknologi Akuakultur 

Kesan penularan penyakit sisik tanggal atau scales drop disease virus (SDDV) ini membuatkan Barramundi Group menjadikan tapak ladang di Singapura untuk memberi fokus kepada penggunaan keupayaan teknologi akuakultur seperti penghasilan vaksin dan terapeutik, vetarinar dan kesihatan haiwan, kajian dan penghasilan induk ikan bagi tujuan pembiakan dan juga memberi fokus penghasilan bekalan anak ikan yang berkualiti tinggi. 

Singapura menjadikan Pulau St John sebagai pusat fasiliti Agensi Makanan Singapura (SFA) bagi operasi penetasan, penjagaan dan bekalan anak ikan. Anak-anak ikan yang tersebut kemudian dihantar ke pusat penyelidikan dan juga ke ladang ikan tempatan. 

Kempen Khidmat Kesihatan Haiwan Akuatik 

Ketua saintis Pusat Inovasi Akuakultur Politeknik Temasek, Saravanan Padmanabhan berkata meski ikan barramundi dijangkiti tetapi ia masih selamat untuk makan selagi sisik ikan dibuang dan ikan dimasak sepenuhnya. 

Bagi meningkat kesihatan penternakan ikan, Agensi Makanan Singapura (SFA) melancarkan Kempen Khidmat Kesihatan Haiwan Akuatik pada suku ketiga tahun 2023. Menerusi kempen ini, penternak ladang laut dapat mengakses dengan agensi konsultan yang ditaja berserta informasi berkaitan penyiasatan terhadap penyakit akuatik pada empat tahun hadapan. 

Penyelidikan Vaksin Bagi Melawan SDDV 

Menurut Agensi Makanan Singapura (SFA), penyakit sisik tanggal atau scales drop disease virus (SDDV) ini pertama kali dijelaskan dalam penternakan ikan secara rasmi pada tahun 2011. Sebelum penyakit sisik tanggal dikenal pasti pada tahun 2015 sebagai patogen yang menyebabkan penyakit, terdapat laporan menunjukan ikan siakap Asia gejala sisik tanggal di negara jiran sejak tahun 1992. 

Pengarah penyelidikan kesihatan ikan bagi syarikat Uvaxx (merupakan anak syarikat Barramundi Group) Dr Sunita, mengatakan bahawa pada peringkat awalnya, penghasilan vaksin hanya dilakukan pada lapan tahun lalu setelah virus berkenaan dikenalpasti oleh firma farmasi. 

Sejak 2021, Agensi Makanan Singapura (SFA) telah membiayai syarikat Uvaxx dan Agensi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star) bagi menghasilkan vaksin menentang virus yang menyerang ikan siakap atau barramundi ini. 

Pengetua Saintis di A*Star, Profesor Ren Ee Chee mendedahkan kajian menunjukkan ujikaji imunisasi dapat dilihat pada peringkat awal sama ada vaksin yang dihasilkan dapat melindungi spesies ikan. 

Penghasilan vaksin ikan ini juga melibatkan pelbagai pihak, di mana Makmal Penyakit Berjangkit A*Star berkerjasama dengan Singapore Immunology Network bagi ujikaji akan datang. Tambahan lagi, Barramundi Group juga berkerjasama dengan konglomerat kesihatan haiwan bagi mencuba calon vaksin yang berpotensi di Singapura.


Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag