July 07 2025

Tiram Sungai Merbok: Faedah Ekonomu & Kelestarian HPL

Tiram Sungai Merbok: Faedah Ekonomu & Kelestarian HPL - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Jamaludin Mat Rashid

Kuala Sungai Merbok, yang membentang dari Jambatan Semeling hingga ke Tanjung Dawai, menawarkan pengalaman menakjubkan melalui hutan paya bakau berusia ratusan tahun seluas 3,100 hektar. 

Kawasan ini mempamerkan pemandangan unik dengan latar belakang pokok bakau pelbagai spesies, menjadikannya syurga bagi pencinta alam, pemerhati burung, dan peminat fotografi. 

Pada musim tertentu, ribuan burung hijrah singgah di sini untuk menghindari musim sejuk di hemisfera utara. 

Sungai Merbok mengalir perlahan melalui Pulau Tiga, Teluk Bayu, dan Tanjung Dawai sebelum bertemu laut lepas. Keunikan hutan paya bakau ini terletak pada kepadatan spesies bakau tertinggi di dunia — 40 spesies daripada 60 spesies yang wujud secara global. Lokasinya yang hanya 8 km dari pusat bandar Sungai Petani menjadikannya salah satu daripada sedikit hutan paya bakau yang terletak di dalam kawasan bandar. 

Paksu Redzuan: Usahawan Ternakan Tiram di Hutan Simpan Sungai Merbok

Di Pengkalan Sungai Batu, kira-kira 4 kilometer dari jalan utama Semeling ke Bujang, penulis   berkesempatan bertemu dengan Muhammad Redzuan Ishak atau lebih mesra disapa Paksu,   seorang pengusaha ternakan tiram (Crassostrea sp.) yang bersemangat dalam berkongsi pengetahuan tentang tiram dan ekosistem bakau. 


Muhammad Redzuan Ishak @ Paksu telah 13 tahun menternak tiram di Sungai Merbok.

 


Projek Ternakan Tiram dengan Bimbingan USM

Projek ternakan tiram Paksu Redzuan terletak di pinggir Hutan Simpan Sungai Merbok dan mendapat bimbingan daripada Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau memanfaatkan sungai   dalam hutan simpan bakau yang masih terpelihara untuk menternak tiga spesies tiram: 

1. C. (manggala) saidi (dikenali sebagai Tiram Putih dari Sungai Muar). 

2. C. belcheri (dari Pantai Barat Semenanjung). 

3. C. iredalei (Tiram Slipper dari Pantai Timur). 

Kerjasama dengan Akademik dan Cabaran Industri

Selama 13 tahun, Paksu Redzuan bekerjasama   dengan Prof. Aileen Tan Shau Hwai, pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai (Cemacs) USM, dalam menyelaraskan penyelidikan universiti dengan keperluan komuniti pesisir. Walaupun ramai yang pernah mencuba ternakan tiram, hanya Paksu yang masih bertahan kerana: 

•    Pertumbuhan tiram yang perlahan (boleh dijual selepas setahun). 

•    Harga jualan yang berbaloi dengan usaha dan kesabaran yang dicurahkan. 

Pengalaman Menikmati Tiram Segar dari Ternakan Paksu Redzuan

Penulis berkesempatan merasai ketiga-tiga spesies tiram yang diternak oleh Paksu Redzuan, segar terus dari sangkar. Tiram ini ternyata jauh lebih lazat berbanding yang pernah penulis nikmati di Kho Yo, Songkhla. Keistimewaan rasa ini mungkin berpunca daripada kaedah ternakan Paksu Redzuan yang dijalankan di sungai berair mengalir, bersih, dan terletak di tengah-tengah hutan simpan bakau yang masih asli. 


Hutan Paya Laut Sungai Merbok menjadi sebahagian dari Jerai Geopark.

 


Yang lebih menarik, setiap spesies tiram ini mempunyai rasa dan warna yang berbeza,   menawarkan pengalaman gastronomi yang unik. Tiram ternakan ini bukan sahaja enak dimakan, malah sangat berkhasiat, terutama untuk wanita kerana dipercayai mampu membantu mengekalkan keremajaan kulit dan memperbaiki sistem reproduksi. 

Harga Berpatutan dan Saluran Pemasaran

Paksu Redzuan menawarkan tiram ternakannya pada harga yang sangat berpatutan, iaitu antara RM6 hingga RM12 sebiji mengikut saiz. Harga ini jauh lebih rendah berbanding restoran makanan laut di bandar besar, apatah lagi jika dibandingkan dengan restoran sushi. Tiram ini dihidangkan segar dengan hirisan lemon dan sos khas ciptaan Maksu, isteri Paksu yang juga bertindak sebagai tukang masak di restoran mereka. 

Restoran makanan laut yang diusahakan Paksu berfungsi sebagai saluran utama memasarkan tiram ternakan, selain diedarkan kepada restoran makanan laut lain di sekitar bandar sehingga ke Pulau Pinang. Lokasi strategik sangkar ternakan tiramnya yang terletak di pinggir bandar Sungai Petani memudahkan pelanggan untuk mengunjungi restoran terapung miliknya. 

Inisiatif Pendidikan dan Pemuliharaan

Paksu turut mengendalikan sebuah hub pendidikan dan galeri pameran yang dibina oleh NGO dengan kerjasama Jabatan Hutan Kedah. Galeri ini menempati sebuah rumah kayu tradisional lama yang dipindahkan khas ke lokasi tersebut. 

Fasiliti ini bertujuan memberikan pendidikan mengenai hutan bakau kepada pengunjung, terutamanya pelajar sekolah dan universiti. Di sini dipamerkan pelbagai spesimen yang berkaitan dengan ekologi Hutan Paya Laut serta hidupan yang bergantung kepada ekosistem unik ini. Melalui inisiatif ini, Paksu berharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan memelihara hutan paya bakau.

Tapak Semaian dan Pemuliharaan Spesies Bakau Terancam

Yang paling menarik perhatian ialah tapak semaian yang mempamerkan koleksi spesies bakau dan tumbuhan paya laut untuk tujuan pameran dan pembiakan. Beberapa spesies bakau seperti Bakau Minyak (Rhizophora apiculata), Bakau Kurap (Rhizophora mucronata), serta herba renek yang hampir pupus dipamerkan dan dibiakkan di sini. Buah bakau yang matang dan gugur akan dikutip dan disemai dalam polibeg untuk memastikan kelangsungan spesies-spesies ini. 


Antara spesies bakau dan tumbuhan endemik HPL Sungai Merbok yang disemai Paksu.

 


Tiram yang siap dicuci dan sedia untuk dijual.

 


Tumbuhan-tumbuhan ini merupakan spesies endemik lembangan Sungai Merbok yang memiliki sekitar 40 spesies bakau daripada 60 spesies yang wujud di seluruh dunia. Namun, beberapa spesies semakin sukar ditemui kerana pokok induk yang memerlukan masa lama untuk berbuah telah ditebang oleh manusia yang meneroka hutan untuk tujuan pembangunan kediaman dan pertanian. 

Spesies Terancam dan Kepentingan Ekologinya

Apabila anak benih telah stabil dan subur di dalam nurseri, ia akan diperkenalkan semula ke hutan bakau Sungai Merbok. Antara spesies yang dahulunya banyak terdapat di sini tetapi kini semakin sukar ditemui termasuk: 

•    Berus Mata Buaya (Bruguiera hainesii) yang mempunyai daun besar berwarna hijau mengkilat menyerupai daun manggis 

•    Teruntum Merah (Lumnitzera littorea

•    Teruntum Putih (L. racemosa


Paksu menunjukkan sistem raga untuk menternak tiram.

 


Pokok teruntum yang tergolong dalam keluarga beluntas ini amat penting untuk dikekalkan   populasinya kerana getahnya yang boleh mencegah kegatalan kulit dan digunakan untuk merawat penyakit Herpes. Kayunya yang sangat keras turut digunakan untuk membuat pemegang alat pertanian dan peralatan menangkap ikan. 

Kepelbagaian Biologi dan Falsafah Pemuliharaan

Hutan paya bakau Sungai Merbok menyimpan pelbagai spesies gastropoda (siput), bivalve (kerang), serta pelbagai jenis ikan, udang dan ketam. Bagi Paksu Redzuan, usaha memelihara dan mengembangkan hutan bakau ini sama pentingnya dengan menjaga dusun buah-buahan atau sawah padi, kerana semuanya bertujuan untuk menyediakan sumber makanan kepada umat manusia. 

Kunjungan Pelajar Antarabangsa dan Aktiviti Khidmat Sosial

Semasa kunjungan penulis, Paksu Redzuan sedang menerima kunjungan sekumpulan pelajar dari Sekolah Antarabangsa Dalat yang datang untuk menjalankan aktiviti khidmat sosial. Pelajar-pelajar ini berasal dari pelbagai negara seperti Amerika Syarikat, Belgium, dan Brazil, yang menetap di Malaysia kerana mengikuti ibu bapa mereka yang berkhidmat di pelbagai kedutaan asing. Mereka mengunjungi Paksu untuk memberikan kelas tuisyen percuma kepada kanak-kanak komuniti sekitar Pengkalan Batu. 


Tiram siap dikukus bersama sos khas dan lemon. Tiram sangat baik bagi wanita untuk kesihatan kulit dan sistem reproduksi.

 


Sejak program ini dilaksanakan, banyak kanak-kanak tempatan berusia sekitar 7 tahun telah   menunjukkan peningkatan yang ketara dalam penguasaan Bahasa Inggeris, dengan kebanyakan mereka kini mampu bertutur dengan fasih. 

Sistem Penternakan Tiram dan Ikan Berkualiti Tinggi 

Dalam operasi penternakan tiramnya, Paksu Redzuan menggunakan sistem sangkar plastik   yang digantung dengan tali nilon ke dalam air dari struktur kayu yang telah dirawat khas. Struktur ini dibina di atas rumah rakit yang menggunakan pelampung daripada tong plastik berkapasiti 200 liter. 

Selain ruang untuk menggantung sangkar plastik berisi tiram, Paksu juga menyediakan sangkar khas untuk menternak beberapa spesies ikan bernilai tinggi seperti kerapu dan siakap. Benih kerapu diperoleh melalui kaedah memancing di sekitar kawasan paya bakau. 

Ikan-ikan dari sangkar ternakan di Sungai Merbok mendapat harga premium kerana diternak dalam air sungai yang sentiasa mengalir dan diberi makan anak-anak ikan serta udang. Kaedah ini menghasilkan ikan yang sedap seakan-akan ikan liar dari laut. Paksu Redzuan menangkap sendiri anak-anak ikan seperti seperti Bunga Air, Bulu Ayam dan udang putih menggunakan alat pompang yang dipasang di tengah sungai. Alat berbentuk kerucut seperti stoking gergasi ini berfungsi menangkap anak ikan yang hanyut mengikut arus air pasang. 


 


Ketika musim tertentu apabila tiada anak ikan, Paksu terpaksa membeli ikan kembung bersaiz   kecil dari nelayan laut. Ikan siakap dan kerapu yang diternak ini khusus untuk hidangan di restorannya, dengan kualiti rasa yang terbukti sehingga ramai pelanggan yang datang berulang kali sambil membawa lebih banyak rakan. 

Cabaran dalam Penternakan Tiram

Menurut Paksu Redzuan, menternak tiram bukan untuk mereka yang berhati lembut dan tidak sabar. Sebiji tiram mengambil masa tujuh bulan hingga   setahun sebelum boleh dijual, bermula dari benih sebesar satu inci. Oleh kerana tiram hanya memakan plankton yang ditapis dari dalam air melalui insang, kebersihan air merupakan faktor paling mustahak. Sedikit pencemaran air hasil daripada buangan kilang atau sisa air domestik akan mematikan plankton, dan seterusnya membunuh tiram. 

Perubahan paras air ketika berlakunya pasang surut mestilah antara satu hingga satu setengah meter sahaja. Kadar kemasinan air juga penting kerana tiram memerlukan saliniti antara 15 hingga 32 ppt untuk tumbuh subur. Benih tiram akan mati apabila berlaku perubahan saliniti secara mendadak, terutamanya ketika hujan lebat di hulu sungai menyebabkan air menjadi tawar hingga ke muara. Walaupun begitu, tiram dewasa masih mampu bertahan hidup selama beberapa hari sekiranya air menjadi tawar (0 saliniti). 


Paksu sentiasa mendapat kunjungan tetamu dari dalam dan luar negara.

 


Proses Penternakan dan Penjagaan Tiram

Secara semula jadi, tiram memerlukan substrat keras untuk melekat. Di Thailand, mereka   melekatkan benih tiram pada kepingan konkrit kecil supaya persembahan di meja hidangan   menjadi lebih menarik. 

Menurut Paksu, benih-benih yang diletakkan dalam bakul mesti diangkat dari air dan diserakkan supaya anak-anak tiram tidak melekat antara satu sama lain dan kelihatan cantik untuk dijual. Anak-anak tiram juga perlu dibersihkan daripada siput-siput lain, teritip, rumpai, dan kelodak yang menjadi pesaing dalam merebut plankton dan ruang untuk membesar. 

Pam berkuasa tinggi digunakan untuk menanggalkan musuh yang menempel, dilakukan sekali sebulan. Ketam juga merupakan musuh semula jadi dan perlu dicegah. Setiap rakit boleh digantung dengan sekitar 1,000 bakul yang masing-masing berisi 50 biji tiram. Tahap survival tiram sangat tinggi, mencapai antara 80 hingga 90 peratus. 

Penuaian dan Pasaran Tiram

Tiram boleh dijual apabila mencapai saiz 5-6 inci setelah diternak selama 7-12 bulan. Perlu   dipastikan tiram benar-benar matang dan isinya menjadi kenyal bagi mendapatkan rasa yang   optimum. Tiram yang matang dikumpulkan dan dicuci kulitnya satu persatu menggunakan berus supaya kelihatan cemerlang. 


Buah bakau dipungut untuk disemai demi kelestarian hutan bakau Sungai Merbok.

 


Bagi kegunaan tiram mentah, ia dilalukan di bawah mesin cahaya lampau ungu selama 48 jam untuk membunuh bakteria yang boleh menyebabkan cirit-birit bagi mereka yang alah. Tiram juga boleh dikukus bagi mereka yang tidak gemar makanan mentah. 

Untuk hidangan dua orang, Paksu Redzuan mengenakan caj RM30 bagi lima ekor tiram yang siap dikukus berserta potongan lemon, bawang goreng, dan sos istimewa buatan sendiri - sangat berbaloi dan mampu dinikmati semua orang. Ingat nak makan tiram, ingat Tiram Sungai Merbok.

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag