July 10 2025

Ternakan Ikan Sangkar Sedia Ikan Segar untuk Pelancong

Ternakan Ikan Sangkar Sedia Ikan Segar untuk Pelancong - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Bushral Karim bin Md Yusob

Sekiranya berpeluang mengunjungi Pulau Langkawi, jangan lepaskan   peluang untuk melawat ternakan ikan dalam sangkar dan menikmati ikan segar terus dari laut ke kuali. Pelancong boleh mencuba aktiviti memancing, menjelajah sekitar pulau, atau melawat kawasan ternakan ikan dalam sangkar. 

Pulau Langkawi bukan sahaja terkenal sebagai destinasi pelancongan, malah turut berkembang sebagai pusat industri perikanan yang penting. 

Nelayan di pulau ini telah memperoleh pendapatan tambahan melalui ternakan ikan dalam sangkar sambil terus berperanan sebagai pembekal ikan untuk pasaran negara. Aktiviti ini memberikan impak besar kepada ekonomi tempatan. 

Kisah Kejayaan Nelayan Tempatan

Salah seorang nelayan di sini, yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Yusof, telah mendapat manfaat daripada menternak ikan dalam sangkar. Beliau berjaya menghasilkan sumber makanan laut berkualiti tinggi, sekaligus menyumbang kepada ekonomi komuniti nelayan di Langkawi. Beliau juga aktif dalam Persatuan komuniti Nelayan Tanjung Rhu dan mengusahakan pelbagai aktiviti sesuai untuk nelayan tempatan. 

Lokasi Utama Ternakan Ikan dalam Sangkar di Langkawi

Pulau Langkawi memiliki keistimewaan sebagai lokasi yang sesuai untuk ternakan ikan dalam   sangkar kerana kedudukannya yang jauh dari kawasan pencemaran, laut yang tenang, dan   terlindung dari angin kencang. 

Kawasan utama ternakan ikan sangkar terletak di Bukit Malut, Tanjung Rhu, Kubang Badak, Teluk Yu, Pulau Tuba, dan Pulau Dayang Bunting. 

Pengalaman Pelancongan di Kawasan Ternakan Ikan

Kawasan ternakan ikan ini terletak di Tanjung Rhu yang merupakan perairan jernih dengan   pemandangan bukit-bukau hijau dan laut biru yang memukau. Pengunjung dapat menikmati   ketenangan alam sekitar sambil menyaksikan aktiviti harian nelayan dan penternak ikan. 

Beberapa kawasan ternakan menawarkan pakej lawatan yang membolehkan pelancong melawat sangkar penternakan ikan, termasuk hidangan di restoran khas. Aktiviti ternakan ikan dalam sangkar ini bukan sahaja meningkatkan pendapatan melalui penjualan ikan, malah turut menyemarakkan industri pelancongan. Pendekatan serampang dua mata ini telah berjaya meningkatkan pendapatan nelayan di Langkawi. 


En. Yusof adalah seorang berperanan penting dalam Persatuan Komuniti Nelayan dan merupakan salah seorang pengusaha ternakan ikan dalam sangkar.

 


Pengenalan Ternakan Ikan dalam Sangkar

Ternakan ikan dalam sangkar merujuk kepada aktiviti memelihara ikan dalam struktur berangka yang diletakkan di laut, sungai atau tasik. Di Langkawi, kebanyakan sangkar dibina di kawasan perairan terlindung seperti teluk dan muara sungai yang tenang. 

Sangkar ikan dibina menggunakan tong drum PVC sebagai pelampung dengan struktur kayu, nibung atau buluh betung sebagai tiang dan pelantar. Rangka berbentuk segi empat dipasangkan dengan jaring nilon yang direndam ke dalam air untuk ditempatkan ikan. Struktur ini biasanya ditempatkan di kawasan air cetek atau sederhana dalam. 

Spesies Ikan yang Diternak

Antara jenis ikan popular yang diternak dalam sangkar termasuk: 

•    Siakap (Lates calcarifer) 

•    Kerapu (Epinephelus spp.) 

•    Jenahak (Lutjanus johnii) 

•    Ikan merah 

Cabaran Pasaran Ikan dan Permulaan Ternakan Sangkar

Pasaran ikan yang tidak menentu telah menggugat kehidupan nelayan di Langkawi. 

Menurut Encik Yusof, terdapat masa-masa tertentu ketika tangkapan ikan melimpah tetapi mereka gagal memasarkannya kerana keterbatasan logistik penghantaran, terutama ke luar Langkawi. 

Pasaran tempatan yang kecil menyebabkan berlakunya lambakan ikan ketika musim tangkapan yang baik. 

Ikan berkualiti tinggi yang bernilai mahal di tanah besar tidak mendapat harga sewajarnya di Langkawi, malah kadang-kadang tidak laku langsung sehingga terpaksa dijadikan ikan baja untuk makanan ketam nipah atau ikan dalam sangkar terapung. 

Atas kesedaran ini, Encik Yusof memulakan penternakan ikan dalam sangkar sejak 20 tahun lalu. Dengan kaedah ini, nelayan dapat: 

•    Menternak ikan yang belum mencapai saiz pasaran 

•    Menyimpan ikan yang gagal dijual 

•    Tidak perlu tergesa-gesa menjual hasil tangkapan 

•    Membiarkan ikan membesar sehingga mencapai gred lebih tinggi 


Restoran atas pelantar ikan juga menyediakan ketam segar kepada pelancung, dan akan dimasak.

 


Ikan hanya akan dijual ketika harga baik, biasanya semasa musim tengkujuh ketika tangkapan nelayan merosot. Harga menjadi lebih tinggi apabila pembeli dari Hong Kong dan Thailand datang dengan kapal berteknologi akuarium canggih untuk membeli ikan hidup, terutama kerapu. Fenomena ini biasa berlaku 1-2 bulan sebelum Tahun Baru Cina. 

Dengan melibatkan diri dalam aktiviti ternakan ikan dalam sangkar, Encik Yusof berkongsi beberapa manfaat yang diperoleh: 

•    Memperoleh pendapatan tambahan 

•    Mengurangkan risiko tangkapan kosong 

•    Mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan 

•    Memperkasakan usahawan mikro 

•    Memberi nilai tambah kepada aktiviti pelancongan dengan membekalkan ikan segar kepada restoran makanan laut 

Pendapatan Tambahan yang Stabil

Salah satu manfaat utama ternakan ikan dalam sangkar ialah ia memberikan sumber pendapatan yang lebih stabil berbanding menangkap ikan di laut. 

Penangkapan ikan bergantung kepada musim dan keadaan cuaca, manakala ternakan dalam sangkar boleh dijalankan sepanjang tahun. 

Seorang nelayan yang berjaya mampu menguruskan 10-20 buah sangkar boleh menghasilkan pendapatan antara RM3,000 hingga RM10,000 sebulan, bergantung kepada jenis ikan dan saiz semasa dipasarkan. 

Encik Yusof telah berjaya membina 24 unit sangkar berukuran 20’ x 20’. Setiap sangkar boleh   menempatkan sehingga 400 ekor ikan. Ikan akan ditangkap apabila diperlukan, terutamanya bagi memenuhi keperluan restoran yang disediakan di atas pelantar bersebelahan dengan sangkar ikannya. 

Pengurangan Risiko Tangkapan Kosong

Pengalaman Encik Yusof sebagai nelayan sering menghadapi risiko pulang dengan tangan kosong akibat faktor seperti cuaca buruk, stok ikan di laut yang berkurangan atau kerosakan bot. Berdasarkan kesedaran ini, beliau menumpukan perhatian kepada ternakan ikan dalam sangkar. Dengan ternakan sangkar, risiko ini dapat dikurangkan kerana ikan dipelihara dalam persekitaran terkawal dan diberi makanan secara konsisten. 

Penciptaan Pelbagai Sumber Pekerjaan

Ternakan ikan dalam sangkar bukan sahaja melibatkan nelayan, tetapi turut mewujudkan   peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor termasuk: 

•    Pembekalan anak benih 

•    Pengeluaran makanan ikan 

•    Pembinaan sangkar 

•    Perkhidmatan pengangkutan 

•    Aktiviti pemasaran 

Keluarga nelayan juga boleh menyertai aktiviti ini sebagai usaha ekonomi keluarga. Penglibatan anak remaja dan kaum wanita sebagai tenaga kerja tambahan berupaya memperkasa ekonomi masyarakat nelayan setempat. 


Pelbagai jenis ikan boleh dipilih oleh pelancong, dan terus dimasak.

 


Peningkatan Status Usahawan Mikro

Ramai nelayan tradisional di Langkawi telah berjaya mengubah status mereka daripada pekerja harian kepada usahawan akuakultur. Dengan bantuan latihan dan modal permulaan, mereka kini mampu menguruskan sangkar ikan secara profesional termasuk mengendalikan kos operasi, menjaga kesihatan ikan, serta merancang strategi pemasaran. Beberapa koperasi nelayan telah ditubuhkan untuk memudahkan akses kepada pinjaman mikro dan sokongan teknikal yang diperlukan. 

Integrasi dengan Industri Pelancongan

Langkawi yang menjadi tumpuan pelancong tempatan dan antarabangsa menyediakan peluang besar kepada nelayan untuk memasarkan produk mereka secara langsung kepada pengguna. 

Konsep inovatif seperti “seafood farm-to-table” dan pakej lawatan ladang sangkar semakin mendapat sambutan. 

Pendekatan ini bukan sekadar meningkatkan pendapatan usahawan, malah membina hubungan terus antara pengeluar dan pengguna akhir. 

Di kawasan Tanjung Rhu sahaja, terdapat lebih daripada 100 buah bot yang boleh membawa   pelancong setiap hari. 

Dengan anggaran setiap bot mampu mengangkut 10 penumpang dan melakukan sehingga tiga kali lawatan sehari, aktiviti ini memberikan pulangan ekonomi yang berbaloi kepada pengusaha dan komuniti setempat. 

Salah seorang pembantu memberikan makanan kepada ikan dalam sangkar.

 

Pembinaan dan Reka Bentuk Sangkar Ikan

Sangkar ikan menggunakan tong drum PVC berukuran 100 atau 200 liter yang dicantumkan   untuk dijadikan pelampung. 

Proses pemasangan tong dilakukan di kawasan darat terlebih dahulu. Setelah pelampung siap dibentuk, ia akan ditunda menggunakan bot ke lokasi penempatan sangkar. Setiap petak sangkar berukuran 10’ x 10’ dipasang dengan jaring yang membentuk kelambu ke dalam laut sedalam kira- kira 5 kaki. 

Di atas pelampung dipasang papan yang berfungsi sebagai laluan untuk pengunjung dan nelayan berpijak. Papan ini menutupi semua tong drum dan membentuk laluan pejalan kaki yang selamat. 

Dalam sangkar ini ditempatkan ikan yang hendak diternak, dengan pengasingan mengikut spesies dan saiz yang seragam. 

Ikan yang ditangkap di laut lepas menggunakan bubu tetapi tidak berjaya dijual atau masih   kecil akan diletakkan dalam sangkar untuk proses penggemukan sehingga mencapai saiz yang sesuai untuk dipasarkan. 

Rutin Penjagaan Ikan Sangkar

Penternak ikan sangkar menjalankan rutin harian yang meliputi memberi makan, memantau   kesihatan ikan, membaiki jaring yang rosak ditumbuhi berangas, dan memastikan kebersihan keseluruhan pelantar.  


Kawasan laut terlindung di Pulau Langkawi amat sesuai untuk menempatkan sangkar ikan dan di sana terdapat restoran untuk pengunjung.

 


Makanan ikan diperolehi daripada hasil ikan kecil yang ditangkap oleh nelayan tempatan. Ikan yang tidak memiliki nilai komersial dibeli secara borong dari nelayan yang pulang dari memukat di laut. 

Encik Yusof mengumpulkan ikan-ikan terbuang setiap hari di pelantar ikan dan membawanya ke sangkar untuk dipilih dan dipotong kepada saiz yang sesuai sebagai makanan ikan sangkar.   

Potongan ikan ditebar ke dalam petak-petak sangkar ikan mengikut kadar yang sesuai   berdasarkan jenis ikan, umur, dan saiz. 

Kesihatan ikan dipantau dengan memerhatikan tanda-tanda ikan yang tidak aktif dan kurang   berebut makanan. 

Ikan yang sakit biasanya berada di tengah antara paras air di atas dan dasar jaring. 

Ikan yang sakit dipindahkan untuk dibersihkan; pengalaman menunjukkan bahawa pemandian   dengan air tawar membantu menghapuskan serangan hama. Selepas rawatan, ikan dipulihkan ke dalam sangkar dengan keberkesanan yang tinggi. 

Kerja-kerja memeriksa jaring dilakukan secara berterusan untuk memastikan jaring yang bocor dibaiki dengan segera sebelum menjadi lebih besar. 

Papan-papan pejalan kaki yang rosak juga diperbaiki untuk memastikan keselamatan penggunaan.

Kebersihan pelantar sangat penting untuk mengelakkan pencemaran yang boleh membahayakan ikan yang dipelihara. Tindakan segera diambil untuk membersihkan kawasan daripada kotoran luar yang masuk.

"Pengalaman Menarik dan Bermakna"

Ramai pelancong melawat ke sangkar ternakan ikan untuk melihat cara ikan diberi makan, memahami teknik pembiakan ikan dalam sangkar, serta mengetahui cabaran yang dihadapi oleh penternak. 

Banyak pelantar membenarkan pelancong memberi makan ikan secara langsung. Aktiviti di atas sangkar ternakan ikan merupakan pengalaman menarik, terutama untuk kanak-kanak. 

Aktiviti bergambar di atas pelantar yang berlatarbelakangkan pulau-pulau pelbagai bentuk dan laut yang biru juga merupakan sesuatu yang meninggalkan kenangan kepada pelancong. 

Kebanyakan pelantar ternakan ikan juga dibina dengan restoran yang boleh terus menyediakan makanan kepada pengunjung. 

Bergantung kepada pakej yang dipilih, pelancong akan dihidangkan dengan makanan, dan ikan-ikan yang dimasak adalah terus diperoleh dari sangkar dan masih segar untuk dimasak.

Pelbagai menu pilihan tempatan boleh dipesan dan makan di pelantar adalah satu pengalaman yang menarik. 


Papan untuk pejalan kaki di letakkan di atas pelantar untuk memberi laluan kepada pengunjung.

 


Cabaran dan Langkah Pembaikan

Walaupun potensi besar ternakan ikan dalam   sangkar telah terbukti, terdapat juga beberapa cabaran yang perlu diberi perhatian: 

•    Penyakit Ikan dan Kematian Besar-besaran: Jika pengurusan biosekuriti lemah, penyakit seperti Vibriosis atau serangan parasit boleh menyebabkan kematian dalam kumpulan yang besar sekaligus. 

•    Pencemaran Persekitaran: Najis ikan dan sisa makanan boleh menyebabkan pencemaran sekiranya tidak dikawal,   terutama di kawasan yang mempunyai banyak sangkar. 

•    Persaingan Pasaran dan Harga Turun Naik: Apabila bekalan terlalu banyak dalam satu masa, harga ikan boleh jatuh mendadak. 

•    Modal Permulaan Tinggi: Kos membina sangkar dan menyediakan bot untuk pelancong memerlukan modal yang besar. Jika dibuat pinjaman bank, servis kewangan yang perlu ditanggung juga tinggi. 

Cadangan Penambahbaikan oleh En. Yusof

En. Yusof adalah Pengerusi Komuniti Penternak Ikan Sangkar di Tanjung Rhu. 

Beliau mencadangkan beberapa pembaikan boleh dilakukan, termasuk memberikan latihan   berterusan kepada pengusaha tentang kesihatan ikan dan teknik ternakan ikan moden. 


Aktiviti membelai ikan secara dekat juga satu keistimewaan kepada pelancong.

 


Penggunaan teknologi IoT boleh memudahkan pemantauan keadaan air, kandungan oksigen, suhu dan cuaca secara berterusan atas talian. 

Beliau juga percaya bahawa bantuan daripada pihak kerajaan dalam bentuk geran boleh   membantu. 

Jaringan pemasaran ikan di luar Langkawi perlu lebih cekap dan luas. Usahasama antara penternak membolehkan cadangan dan pelaksanaan untuk kepentingan bersama dapat diambil tindakan. 

Beliau juga berkongsi ilmu yang diperolehi bukan sekadar dalam Malaysia tetapi juga dari Thailand, penting kepada pengusaha. 

Prospek Industri Akuakultur di Langkawi

Industri akuakultur laut, khususnya ternakan ikan dalam sangkar, berpotensi menjadi sektor ekonomi utama Langkawi selepas pelancongan. 

Dengan penerapan teknologi moden, pengurusan mampan dan kesedaran alam sekitar, aktiviti ini mampu dilaksanakan tanpa menjejaskan ekosistem pesisir pantai dan marin. 

Penekanan perlu diberikan kepada pendidikan generasi muda tentang potensi akuakultur sebagai kerjaya moden. 

Melalui kerjasama strategik dengan institusi pendidikan dan agensi kerajaan, pelajar boleh didedahkan kepada aspek profesional ternakan ikan sejak di bangku sekolah lagi.

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag