November 18 2025
Oleh: Bushral Karim Md Yusob
Foto: Cupana Group & Guarana Agriculture
Guarana adalah tanaman baru di Malaysia dan berpotensi untuk memberikan pendapatan tinggi kepada pengusaha, terutamanya penduduk B40. Usaha menanam dan memasarkan tanaman ini adalah atas inisiatif CUPANA GROUP, dan di bawah seliaan syarikat ini, pengusaha boleh memperoleh hasil yang lebih mampan.
Guarana merupakan tanaman yang berasal dari benua Amerika Selatan dan telah digunakan secara meluas di Amerika Utara serta negara-negara Eropah.
Oleh sebab iklim khatulistiwa di negara asalnya sama dengan iklim di Malaysia, tanaman ini berpotensi untuk dijadikan hasil pertanian baharu yang boleh mendatangkan pendapatan lumayan kepada petani, dan secara langsung membawa pulangan pendapatan yang besar kepada negara.
Pasaran global guarana kini bernilai USD 10 bilion pada tahun 2023 dan dijangka berkembang pada kadar 7.8% Kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun (Compound Annual Growth Rate - CAGR) sehingga tahun 2030.
Permintaan yang tinggi wujud di pasaran Amerika Syarikat, Eropah, Jepun, dan Korea, tetapi pasaran di Asia Tenggara, India, China, dan Timur Tengah belum diterokai sepenuhnya.
Penanaman Guarana di Malaysia
Terdapat pelbagai kekangan pada peringkat awal untuk membawa masuk benih guarana ke Malaysia. Namun, setelah melalui pelbagai proses, akhirnya CUPANA GROUP telah berjaya menjadi perintis penanaman guarana.
Setakat ini, tujuh generasi guarana telah dihasilkan dan belum ada laporan penyakit atau gejala yang merosakkan tanaman lain dikesan.
Kerjasama Penyelidikan
Bermula pada tahun 2022, telah wujud memorandum persefahaman dengan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk menjalankan kajian ke atas guarana. Hasil kajian mendapati bahawa tumbuhan ini tidak membawa penyakit atau menyerang tumbuhan lain di Malaysia. Dari situlah bermulanya sejarah penanaman guarana yang sah di Malaysia.
Apakah Guarana?
Guarana (Paullinia cupana) ialah tumbuhan menjalar yang berasal dari Lembangan Amazon, terutamanya di Brazil. Ia telah digunakan secara tradisional oleh masyarakat pribumi kerana sifat perangsangnya, terutamanya disebabkan oleh kandungan kafein yang tinggi. Guarana mengandungi kafein sehingga enam kali ganda lebih tinggi berbanding kopi, sekaligus menjadikannya perangsang semula jadi yang kuat.

Kumpulan Syarikat Cupana
Kumpulan Syarikat CUPANA terdiri daripada CUPANA TRADING (M) SDN. BHD., CUPANA SABAH SDN. BHD., CUPANA SARAWAK SDN. BHD., dan CUPANA VENDING & BEVERAGES SDN. BHD. yang berperanan membantu meningkatkan pendapatan rakyat melalui penanaman guarana secara bersistem.
Fokus dan Inisiatif
CUPANA GROUP memberi tumpuan untuk mengembangkan penanaman guarana secara sah di Malaysia. CUPANA GROUP telah menghasilkan benih tempatan generasi ketujuh bagi memastikan kesinambungan industri. Syarikat ini memainkan peranan dalam mengawal kuantiti dan kualiti pengeluaran, serta memastikan tanaman ini tidak menjejaskan hasil tanaman lain seperti getah dan kelapa sawit. Justeru, mereka menerajui usaha bersepadu bagi memastikan tanaman ini berjaya di negara ini.
Pendekatan dan Bimbingan
Pendekatan syarikat ini adalah untuk memastikan penanam guarana mendapat bimbingan dan bantuan nasihat sepenuhnya. Malah, hasil guarana juga perlu melalui proses pemasaran yang terkawal oleh syarikat ini.
Syarikat-syarikat di bawah CUPANA GROUP membantu meningkatkan pendapatan rakyat melalui program tanaman guarana yang mampu memberikan pendapatan tinggi. Syarikat-syarikat ini memastikan bahawa petani yang terlibat memperoleh manfaat daripada cara menanam, penjagaan, dan hasil keluaran juga dibayar dengan harga yang tinggi.
Melalui usahasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), disahkan bahawa guarana tidak membawa penyakit atau menjejaskan tanaman lain selepas menjalankan kajian metagenomik tanaman guarana sejak tahun 2022.
CUPANA GROUP menjadi pengawal strategi perniagaan dan pemasaran global, serta bertanggungjawab terhadap pengembangan penanaman, pengeluaran, dan edaran produk guarana. CUPANA GROUP memantau penanaman dan pembekalan guarana di seluruh Malaysia.
CUPANA GROUP menyasarkan 13 juta pokok untuk ditanam menjelang tahun 2030, dan akan memasuki pasaran eksport ke China, India, ASEAN, dan Timur Tengah.

Hasil daripada Tanaman Guarana
Guarana menghasilkan kafein yang tinggi dan menjadi bahan utama dalam pengeluaran minuman ringan serta minuman tenaga. Guarana juga boleh digunakan sebagai makanan tambahan untuk meningkatkan tenaga, dan boleh digunakan untuk tujuan rawatan cirit-birit, sakit kepala serta keletihan. Industri kosmetik menggunakan guarana dalam produk seperti krim dan serum kerana potensi kesan anti-penuaan dan peremajaan kulit.
Sejarah Penanaman Guarana di Malaysia
Pada asalnya, Jabatan Pertanian Malaysia telah menghalang pengimportan benih guarana dari negara luar, dan beberapa kajian masih dijalankan untuk menentukan kesesuaian tanaman ini serta tidak menjejaskan tanaman lain. Sehingga ke tarikh ini, arahan yang jelas mengenai larangan membawa masuk benih dari negara luar masih berkuat kuasa.
Perkembangan Semasa Ladang Guarana
Setakat ini, telah wujud banyak ladang di Malaysia yang mengusahakan tanaman ini. Ladang-ladang tersebut terletak di Berapit, Bukit Mertajam, Tangkak Johor, Sabah, dan Sarawak. Semua benih guarana yang ditanam di Malaysia bukan berasal dari luar negara, sebaliknya merupakan benih yang dihasilkan oleh petani di bawah pengelolaan CUPANA GROUP.
Pendekatan ini dapat memastikan hanya benih guarana yang terkawal boleh ditanam, dan penjagaan juga mengikut piawaian yang ditetapkan. Oleh sebab guarana merupakan tanaman lestari, tiada kesan negatif kepada alam sekitar. Tanaman ini tidak boleh diberikan racun rumpai dan racun serangga. Malah, di bawah seliaan yang betul, hanya baja organik yang ditentukan sahaja yang dibenarkan.
Guarana menghasilkan kafein tinggi dan menjadi bahan utama dalam pengeluaran minuman ringan serta minuman tenaga.
Jaminan Pasaran dan Pendapatan
CUPANA GROUP akan membeli hasil daripada ladang dengan harga yang baik. Pendapatan pengusaha adalah terjamin, dan tiada pesaing yang boleh menjejaskan harga pasaran.
Produk-produk berasaskan guarana terus dibangunkan dan beberapa jenama keluaran CUPANA GROUP boleh dirujuk di laman web.
Pasaran Produk Guarana
Sehingga tahun 2030, tumpuan utama CUPANA GROUP adalah untuk menghasilkan buah bagi dijadikan benih. Sasaran penanaman pokok di Malaysia sehingga 2030 melibatkan 434,000 keluarga yang akan menanam 30 pokok setiap keluarga.
Proses untuk membiakkan benih memerlukan masa yang panjang kerana benih yang dicambahkan mengambil masa sehingga tiga bulan untuk bercambah. Benih ini juga tidak semuanya menjadi tumbuhan kerana pokok guarana merupakan tumbuhan lestari yang tidak boleh menerima sebarang baja tinja haiwan dan racun.
Sebaliknya, hanya penggunaan baja dan racun organik keluaran CUPANA GROUP yang boleh digunakan. Kaedah penanaman lestari ini merupakan cara terbaik untuk memastikan alam sekitar tidak menerima pencemaran dan mengekalkan persekitaran yang lebih baik.
Pemprosesan dan Pasaran
Bagi buah-buahan yang tidak dijadikan benih, CUPANA GROUP akan memprosesnya menjadi ekstrak dan mengolahnya menjadi serbuk untuk tujuan eksport kepada negara-negara luar yang memerlukannya sebagai bahan utama minuman tenaga. Potensi pasaran yang meluas di Asia Tenggara, China, India, dan Timur Tengah memberikan peluang yang besar kepada pengeluaran guarana dalam dekad ini.
Proses untuk membiakkan benih memerlukan masa yang panjang kerana benih yang dicambahkan mengambil masa sehingga tiga bulan untuk bercambah.
Pelopor Penanaman Guarana di Malaysia
Pada tahun 2017, Encik Goh Chin Keat mula menanam guarana di kawasan Berapit, Bukit Mertajam dengan hanya 750 pokok.
Dalam tempoh tersebut sehingga sekarang, telah terdapat tujuh kali pengeluaran hasil dengan purata antara 40kg sekilogram hingga mencapai 100kg sekilogram.
Setiap kilogram guarana dijual kepada CUPANA GROUP dengan harga RM60 sekilogram, bermakna pulangan pendapatan Encik Goh adalah memuaskan.
Berdasarkan pengalaman Encik Goh, beliau kini memperoleh lebih RM100,000 setahun hanya dengan menanam guarana. Pulangannya adalah lebih tinggi berbanding kelapa sawit dan getah, sedangkan keluasan tanah yang diperlukan hanyalah tiga ekar sahaja.
Misi CUPANA GROUP
CUPANA GROUP berhasrat untuk melahirkan lebih ramai pengusaha seperti Encik Goh. Adalah menjadi tanggungjawab syarikat untuk pastikan semua yang membeli benih mendapat latihan bagi menjadi pengusaha yang berjaya.
Aktiviti utama CUPANA GROUP memberi tumpuan kepada perladangan, memproses hasil daripada ladang, memberikan nilai tambah dan memasarkan produk yang dihasilkan.
Kejayaan Encik Goh menjadi testimoni kepada usaha memberikan peluang kepada penduduk B40 untuk memperoleh pendapatan lumayan hanya dengan modal dan kawasan pertanian yang kecil.
Kesimpulan
Guarana merupakan tanaman baru yang memberikan pulangan lumayan, dan kaedah penanamannya diselia oleh sebuah syarikat yang khusus mengeluarkan hasil guarana.
Syarikat juga memastikan hasil daripada ladang dikumpul dan dibayar terus kepada penanam guarana. Peluang besar ini memberikan jaminan harga jualan yang baik serta memastikan kemampanan pengeluaran guarana untuk jangka masa panjang.
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.