August 26 2024

Penyakit Harumanis

Penyakit Harumanis - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Jamaludin Mat Rashid

Cabaran mengusahakan projek tanaman buah-buahan tidak dapat tidak, terpaksa berhadapan dengan serangan penyakit bawaan kulat, serangga perosak hinggalah oleh haiwan liar seperti kera dan babi hutan. Begitu juga dengan tanaman mangga Harumanis. Dikira lebih sukar berbanding tanaman mangga varieti lain yang lebih tahan terhadap penyakit dan kurang kejadian IFR, suatu situasi kerosakan tisu bukan disebabkan oleh patogen dan serangga tetapi ketidakseimbangan beberapa nutrien tertentu.

Penyakit-penyakit harumanis boleh dibahagikan seperti berikut:

 1. Reput Buah Dalaman/Insidious Fruit Rot (IFR)

Penyakit ini bukanlah disebabkan oleh sebarang agen pembawa penyakit seperti bakteria dan virus ataupun serangga tetapi disebabkan oleh masalah fisiologi dalaman berupa tisu yang tidak normal di dalam buah disebabkan oleh gangguan berpunca dari kekurangan beberapa nutrien tertentu. Antara nutrien yang didapati memberi kesan langsung kepada kejadian IFR ialah unsur kalsium (Ca), Nitrogen (N), dan Kalium (K). Nisbah keseimbangan antara unsur-unsur inilah yang memberi gangguan fisiologi dalam buah. Keadaan ini mengganggu kualiti dan rasa buah. Pengurusan ladang dengan kawalan bersepadu dan langkahlangkah pencegahan agronomi seperti kawalan keasidan tanah dengan pengapuran, analisa nutrien tanah dan pembetulan kadar baja, semburan foliar dengan kalsium, prunning pada masa yang tepat, kawalan pengairan dan penuaian awal/tepat masa dapat mengawal IFR. 

Kejadian IFR dikesan berlaku seawal 10 minggu ketika buah masih di pokok. Terdapat 4 tahap perkembangan IFR dengan skor 0 - 4. Pada skor 0 buah tiada sebarang simptom dengan kualiti terbaik. Pada skor 1 buah yang diserang IFR akan mempunyai bintik-bintik jingga atau hitam pada buah yang dibelah memanjang. Pada skor 2 bintik-bintik jingga atau hitam menjadil lebih jelas. Pada skor 3, isi buah pada bahagian paruh (apek) menjadi reput dan kualiti buah terjejas. Pada skor 4 buah menjadi lembik berair dengan warna coklat dan bau fermentasi. 

Mangga memerlukan pH tanah pada nilai 5.5 hingga 6.5. Keadaan pH pada nilai ini dapat dicapai melalui kerja-kerja pengapuran dengan Dolomite atau kalsium karbonat bagi meningkatkan kandungan kalsium. Jumlah kapur yang diperlukan bergantung pada paras pH terkini dan jenis tanah. Pengapuran boleh dibuat pada sebulan sebelum permulaan program pembajaan dan sebaik sahaja lepas tuai kerana tindak balas kapur dengan tanah mengambil masa. Keasidan berlebihan di bawah pH 5 akan menyebabkan kedapatan beberapa unsur terganggu walaupun pembajaan yang cukup telah dibuat. Dengan pH yang sesuai kedapatan unsur terutama kalsium akan cukup dan dapat mengurangkan kebarangkalian terjadinya IFR. Kalsium juga dapat diberikan melalui semburan foliar pada kadar 2% kalsium setiap minggu bermula dari minggu keempat hingga minggu kelapan selepas terbentuk putik buah. 


Insidious Fruit Rot (IFR)

 


Pohon mangga Harumanis memerlukan keadaan kering selama sebulan bagi merangsangnya untuk berbunga. Walaupun begitu, pengairan diperlukan apabila 70% buah mencapai saiz 2-4 cm garis pusat bagi meningkatkan peratus kelekatan buah dan perkembangan buah yang berkualiti. Air boleh diberi tiap 3-4 hari sekali juga tiada hujan menggunakan pengairan renjis atau sistem parit sehingga mencapai field capacity dari peringkat putik hingga minggu kelapan. Pengairan yang cukup dapat membantu resapan pokok ke atas (up-take) nutrien-nutrien penting termasuk kalsium bagi mencegah kejadian IFR. 

Tidak terdapat simptom atau tanda-tanda yang jelas untuk dijadikan panduan mengesan IFR pada bahagian luar buah yang dituai untuk pasaran. Hanya situasi lembut pada bahagian bawah buah (apek) berhampiran biji akan memberi petunjuk kemungkinan ada IFR. Jika dijentik antara bahu buah, tengah buah dan apek akan memberi gema yang berlainan. Petunjuk ini digunakan oleh beberapa petani untuk membuat QC semasa seleksi dan pengredan Harumanis. Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) sedang membina prototip mesin untuk mengesan IFR menggunakan pengesanan gelombang. 

Kejadian IFR pada varieti Harumanis merupakan penghalang utama untuknya dipasarkan dengan lebih luas di dalam negara malah lebih kritikal jika untuk pasaran luar negara. Difahamkan terdapat banyak pertanyaan perniagaan (business enquiry) dari Jepun dan Korea Selatan untuk membeli Harumanis dengan harga terbaik tetapi hanya menjadi impian sehingga satu mesin yang efektif mengesan IFR dan serangga di dalam Harumanis dapat dicipta. 

2. Jangkitan Kulat

Jangkitan kulat kerap berlaku apabila berlaku perubahan cuaca terutama apabila cuaca panas diikuti oleh hujan yang tiba-tiba. Pemerhatian yang cekap dapat mengesan serangan kulat dan diambil tindakan sebelum ianya menjadi gejala yang membawa kerugian. Ianya bolehlah dibincangkan seperti berikut: 

a. Antraknos (Colletotrichum gleosporides)

Simptom antraknos berlaku di daun, jambak bunga dan buah. Tanda-tanda bintik coklat pada daun akan bertukar menjadi hitam dan tisu mati sehingga berlubang. Jangkitan pada bunga akan membentuk tompok coklat pada jambak bunga, perlahan-lahan akan bertukar menjadi hitam dan gugur sebelum putik buah terbentuk atau putik buah yang sudah terbentuk akan gugur menyebabkan hilang potensi membentuk buah dan seterusnya mengurangkan hasil. 


Kesan serangga penghisap cairan daun.

 


Bercak daun/ Antraknos

 


Apatah lagi bagi varieti Harumanis yang lekat hanya sebiji bagi setangkai bunga. Jika gugur hanya tangkai kosong yang tinggal. Pada peringkat pembentukan buah, buah yang dijangkiti menunjukkan tanda hitam pada buah muda atau matang. Kesan antraknos akan mengurangkan gred buah seterusnya mengurangkan potensi petani untuk mendapat pendapatan yang lebih baik.

b. Jelaga Hitam Mangga (Meliola mangifera

Jangkitan jelaga hitam berpunca dari parasit seperti lelompat mangga, scale, coccidia dan mealybug yang menghasilkan sejenis cecair seakan madu yang menjadi media untuk fungus ini berkembang. Simptom serangan kulat ini ialah selaput hitam seakan baldu yang terbentuk di permukaan daun. Pada keadaan yang serius seluruh pokok kelihatan hitam kerana diselaputi oleh kulat ini. Pada musim kering daun yang dijangkiti menjadi kering dan bergulung, tidak dapat menjalankan fotosintesis dan membekal makanan kepada pokok untuk menghasilkan buah. 

c. Pink Disease (Cortitium salmonicolor)

Ini adalah penyakit yang sangat dibimbangi oleh penanam Harumanis kerana dapat menyerang dahan-dahan pokok dan boleh menyebabkan kehilangan pokok atau pokok langsung tidak menghasilkan buah. Bermula dengan munculnya tanda-tanda putih pada celah-celah cabang diikuti dengan bebenang warna merah jambu yang menyelaputi dahan dan ranting hingga menyebabkannya mati.

d. Reput Hujung Batang (Botryodiplodia theobromae)

Masalah ini berlaku ketika operasi lepas tuai apabila suhu dan kelembapan tinggi dan tidak dikawal dengan baik. Hujung buah akan diselaputi oleh satu selaput hitam. Tisu buah menjadi lembut dan berair. Buah akan rosak dan tidak boleh dimakan lagi dalam tempoh 3 - 14 hari. 

3. Serangan Serangga Perosak

Terdapat pelbagai penyakit yang menyerang bahagian-bahagian tanaman mangga seperti daun muda pada bahagian pucuk, daun tua, bunga, putik buah, buah matang, pengorek batang dan dahan. Antara yang memberi kesan ekonomi yang serius ialah: 

a. Lalat Buah (Bactocera papayae. B. carambolae)

Terdapat tidak kurang dari 5 spesis lalat buah yang menyerang mangga Harumanis. Serangga berupa seperti lalat rumah tetapi berwarna kuning kemerahan ini dari famili Tephritidae dan order Diptera. Lalat buah dewasa mempunyai tempoh hidup hanya 5 hari tetapi memberi masalah dengan bertelur di bawah kulit buah Harumanis dan menetas 2- 3 hari kemudian. 

Larva akan makan isi buah membentuk terowong dengan meninggalkan tahi berwarna coklat menjadikan buah Harumanis rosak dan berulat. Serangan lalat buah akan fokus kepada buah yang hampir masak, kira-kira 8 -10 minggu dari putik buah terbentuk. Serangan teruk akan membuatkan buah gugur dari tangkai 7 hari kemudian tanpa dituai. Jika tidak dipungut dan dibakar, larva dalam buah akan menetas menjadi dewasa, melengkapkan kitaran hidupnya selama 30 hari dan membuat serangan baru. 


Jelaga Hitam

 


Serangga pengorek batang

 


Jika tidak diputus kitaran hidupnya, populasi lalat buah akan berganda dan menjadi wabak yang serius. Hanya dengan membungkus pada masa yang tepat dapat mengatasi masalah lalat buah. Pada ketika membuat grading apabila kertas pembungkus dibuka masih perlu diawasi kerana lalat buah akan tetap menyerang terutama di pusat pengumpulan dan pengredan yang berhampiran ladang.

b. Kutu Thrips (Haplothrips pictipes, Selenothrips rubrocinctus)

Thrips akan menyerang dengan mengikis lapisan permukaan daun dan menghisap cairan daun sebagai makanannya. Ia juga akan menyerang bunga membuatkannya rosak dan tidak berputik. Serangan pada putik akan meninggalkan parut pada buah matang dan merendahkan gred dan nilai ekonomi. Daun yang diserang akan berkerekot dan pertumbuhan akan terbantut. 



Pembungkusan mengelak lalat buah.

 



Pemangkasan dengan membolehkan cahaya matahari dapat masuk ke semua bahagian tanaman boleh mengurangkan tempat persembunyian thrips. Tekanan air tinggi mampu menembak thrips. Penggunaan kad pelekat dapat menganggarkan populasi, buat semburan kimia juga ada wabak dikesan. 

c. Kumbang Penebuk Buah (Sternochetus frigidus)

Bagi Kumbang Penebuk Buah atau Mango Pulp Weevil, induknya akan bertelur pada permukaan putik buah berumur 4-5 minggu. Larva yang menetas akan mengorek masuk ke dalam buah dan makan tisu buah membentuk terowong dan akan keluar dari buah apabila menjadi dewasa lalu meninggalkan lubang yang besar. 

Jika buah dibelah akan terdapat beberapa peringkat umur larva di dalam buah. Pencegahan hanya dengan membalut dengan plastik pembungkus selepas disembur racun serangga.

d. Lelompat Daun (Idioscopus clypealis, I. nitidulus

Lelompat daun dewasa dan nim akan menghisap cairan sel dari pucuk, daun dan bunga Harumanis membuatnya mati dan gugur ke tanah. Lelompat daun juga akan merembes cairan seperti madu yang akan dijangkiti oleh kulapuk hitam. 

Serangan akan menyebabkan pokok muda terbantut pertumbuhan dan pokok dewasa tidak mengeluarkan hasil kerana pendebungaan yang tidak sempurna. Kawalan lelompat daun dapat dibuat dengan kerja-kerja mencantas pada bahagian apek pokok dengan membentuk bahagian tengah yang terbuka (open center). 

Cahaya matahari yang tembus ke kawasan ranting dapat mengurangkan serangan lelompat daun. Perangkap cahaya di waktu malam dapat mengurangkan populasi. Semburan racun kimia dengan bahan aktif Cypermethrin, Imidacloprid dan Thiamethoxam secara bergilir-gilir dapat mengawal serangan.

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag