December 06 2023

Penggunaan Dron Dalan Industri Padi

Penggunaan Dron Dalan Industri Padi - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

oleh: Jamaludin Mat Rashid

Penduduk dunia dijangka akan berkembang menjadi hampir 10 bilion menjelang tahun 2050. Ini memberi tekanan hebat kepada bekalan bijirin utama dunia terutamanya beras. Dengan keluasan tanaman tidak bertambah malah menyusut akibat dari permintaan kepada kawasan kediaman, peningkatan hasil melalui penggunaan teknologi baru hanyalah satu-satunya jalan penyelesaian. 

Antara kaedah mekanisasi ladang terkini yang boleh membantu meningkatkan hasil pertanian dalam kemelut kurangnya bekalan makanan dan tenaga kerja di ladang ialah teknologi dron ataupun UAVs (Unmanned Aerial Vehicles). UAVs atau dron pada mulanya direka untuk kegunaan dalam bidang ketenteraan. Sifatnya yang kecil dan tidak berpemandu membuatkan ia boleh meresap masuk jauh ke dalam kawasan musuh tanpa dikesan. Dari sana maklumat-maklumat mengenai kedudukan musuh, peralatan dan aktiviti musuh dihantar pulang bagi membantu proses membuat keputusan dalam operasi perang terbuka. Dron boleh membuat perjalanan sangat jauh seperti dilaporkan baru-baru ini, dron dari China ditembak jatuh di Amerika Syarikat. Tidak kurang hebatnya perbalahan antara Ukraine dan Rusia melibatkan serangan menggunakan teknologi dron. 

Dron juga digunakan secara meluas dalam kerja-kerja mencari dan meyelamat, pemantauan keselamatan, pemetaan, ukurtanah dan fotografi.

Kini pertanian adalah bidang kedua memanfaatkan teknologi dron selepas bidang pembinaan. Teknologi dron mula digunakan untuk membantu petani sekitar tahun 2000 lagi. Antara terawal mempelopori teknologi dron dalam bidang pertanian ialah Universiti Sains Pertanian Swedish pada tahun 1991. Penyelidik di universiti ini menggunakan sistem GPS bagi melakukan pertanian tepat dan mengaplikasi penggunaannya dengan teknologi dron. 

Industri dron diramalkan akan berkembang dari AS$1.2 bilion pada tahun 2019 kepada AS$4.8 bilion menjelang tahun 2024. Perkembangan ini selari dengan perkembangan teknologi pertanian tepat (presicion agriculture) dan penggunaan AI (artificial inteligent).

Dron Sayap Mati Vs Dron Rotor Berbilang 

Terdapat 2 jenis dron: dron dengan sayap mati (fixed wing) dan dron rotor berbilang (quadcopter, multi rotor). Dron sayap mati lebih sesuai untuk kerja-kerja tinggi dalam kawasan yang luas seperti pemetaan, ukur tanah dan mengesan penyakit serta perosak. Ia tidak boleh membawa beban yang berat, terhad kepada kamera dan peralatan khas. Manakala dron multi rotor boleh membawa beban yang lebih berat untuk kerja-kerja menyembur racun, menabur benih. Keupayaan multi rotor untuk berhenti di udara digunakan untuk mengambil gambar lebih dekat dan pada kawasan yang lebih kecil. 

Oleh kerana multi rotor mempunya bahagian yang lebih komplek, ia terdedah kepada kerosakan dan lebih terdedah untuk jatuh terhempas. Multi rotor juga mengeluar bunyi bising dan tidak sesuai digunakan untuk ternakan yang sensitif kepada bunyi seperti ayam dan ungas lain.

Tutup Peluang Kerja yang Tidak Kejar Teknologi Terkini

Akhir-akhir ini jika kita melalui mana-mana kawasan jelapang padi sama ada MADA , KADA dan lainnya pada awal pagi pasti dapat melihat dron terbang mundur-mandir menjalankan kerja. Sawah padi tidak semeriah dahulu dengan petani yang ramai tetapi kedengaran dengungan kipas dron yang terbang rendah setinggi 4 - 5 meter dari paras bumi. Yang kelihatan hanyalah truk 4X4 yang menempatkan jurupandu yang mengawal dron dari bawah dengan alat kawal jarak jauh. 

Pesawah memasukkan cecair racun ke dalam bekasnya di dron. - Foto: agrihijau.com

 

Setelah berulang alik beberapa kali dron akan berhenti untuk mengisi semula baja atau racun yang disembur. Selepas 2 -3 isian semula, bateri juga perlu ditukar. Selepas itu dron terbang lagi menjalankan kerja mengikut kawasan yang telah diprogram dan ditandai dalam software yang digunakan menggunakan teknologi GPS (Global Positioning System). GPS beroperasi dengan bantuan satelit yang berorbit di angkasa. 

Jelas ini adalah sesuatu yang baru bagi petani. Hanya petani yang mengikuti latihan dapat melakukan kerja berkemahiran tinggi seperti ini. Peluang kerja baharu diwujudkan tetapi pada masa yang sama menutup beberapa peluang kerja bagi petani yang tidak mampu mengejar teknologi terkini dalam industri padi. 

Adaptasi teknologi dron dalam industri tanaman padi di Malaysia bolehlah dianggap masih baru, bermula dengan aktif sekitar 4 tahun yang lalu. Sebelum itu dron hanyalah dimainkan sekadar hobi untuk mengambil gambar dan video.

 

Kerja-kerja yang Boleh Dibuat Dalam Tanaman Padi

1.     Kerja Menyembur Racun Rumpai, Racun Serangga, Pereputan Jerami, Racun Siput

Majoriti kerja penyelenggaraan tanaman padi adalah kerja meyembur (sraying) menggunakan pam galas (knapsack sprayer) berkapasiti 20 liter ke atas. Selain berat dan terpaksa berjalan dalam lumpur yang dalam, kerja meyembur racun sangat merbahaya kepada kesihatan. Walaupun menggunakan pakaian yang sesuai dan penutup hidung, pekerja masih terdedah kepada bahaya racun. Ramai yang sakit akibat dari kerosakan organ penting. Teknologi dron adalah altenatif yang tepat. Malah kerja-kerja awal dijalankan dengan dron di sini adalah kerja-kerja meyembur. 

Dengan menggunakan dron jenis multi-rotor, kerja meyembur racun rumpai secara karpet (carpet spraying) sangat kos efektif dan menjimatkan masa. Racun dan air juga dapat dijimatkan. Kipas atau rotor dron dapat menekan semburan ke tanah, meyebabkan sebaran yang sekata. 

Bagi semburan racun serangga, kedudukan rotor yang betul akan membuka pokok padi supaya racun boleh menembusi setiap sentimeter persegi daun dan batang pokok bagi mendapat kawalan terbaik.

2.     Menabur Biji Benih Dan Sulam

Umum mengetahui kerja pertanian adalah intensif buruh dan memakan masa yang panjang.

Antara yang sukar ialah menyemai atau menabur benih. Padi benih perlu diangkut ke sawah selepas direndam dan dibuat rawatan benih. Dari point terakhir lori boleh masuk, benih perlu dipikul ke tengah sawah sebelum ditabur dengan penebar benih (broadcaster). Kerja ini menjadi lebih mudah jika menggunakan ‘heavy-lift drone’. Dron yang heavyduty ini boleh mengangkat beban yang lebih berat dan menjatuhkan benih pada jarak barisan dan jarak antara pokok yang dikehendaki bagi mendapatkan kepadatan yang optimum. Dron boleh diterbangkan ke lori yang menanti di tepi jalan untuk pengisian semula. Kerja menjadi cepat dan mengurangkan beban kerja. 

Selepas benih bercambah, dron yang mempunyai sensor dapat mengesan kawasan yang tidak ditumbuhi padi. Ini mungkin kerana terdapat air bertakung masa benih ditabur, dimakan burung atau dirosaki oleh ketam dan siput gondang. Dron akan menjatuhkan benih gantian sebagai kerja sulam. Kerja ini dapat menjamin populasi optimum pokok padi dan menyumbang kepada peningkatan hasil.

3.     Membaja, Mengapur

Kerja-kerja membaja telah bertukar dari baja konvensional yang berbutir kepada baja cairan. Ini untuk memanfaatkan penggunaan dron. Sebelum ini kerja-kerja menabur baja secara manual sangat membebankan. Ini adalah salah satu faktor kenapa anak muda tidak mahu bersawah. Sama seperti menabur benih, malah pada bilangan beg baja yang jauh lebih besar, masalah membawa masuk baja ke sawah adalah masalah utama. Bukan semua petak sawah berhampiran jalan. Dengan dron semuanya selesai. Baja-baja tambahan dan vitamin pokok juga dapat disembur dengan kos efektif, tepat ke atas pokok dan cepat. 

4.     Kawalan Air

Dron terkini yang lebih canggih mempunyai alat mengesan kelembaban dan keperluan air tanaman. Oleh kerana air adalah penentu hasil padi, keupayaan mengesan kekurangan air adalah kunci mendapat hasil yang baik. Adalah mustahil untuk mengesan dalam kawasan yang luas secara manual. Dengan satu penerbangan dron, maklumat boleh diterima di telefon android. Di Amerika semenjak 2020 lagi sudah ada syarikat yang menawarkan khidmat ini dengan kadar bayaran yang rendah. 

5.     Mengesan Tahap Kesuburan Tanah, Kekurangan Unsur Utama, Serangan Penyakit dan Serangga

Penggunaan beberapa teknologi imej, dron yang diterbangkan dapat mengesan tahap kesuburan tanah dan kekurangan unsur yang diperlukan pokok. Jika dahulu sampel daun perlu diambil dan dibawa ke makmal untuk cerakinan kekurangan NPK dan trace element, kini dari gambar warna daun tanaman padi yang diambil oleh dron dapat mengesan sebarang kekurangan unsur (deficiency). Maklumat ini digunakan untuk pemetaan dan tindakan untuk mengatasinya dapat diambil. 

Bagi pengesanan serangan serangga dan penyakit teknik imejan juga boleh digunakan. Tanaman yang diserang penyakit akan mengeluarkan perubahan warna. Malah dikatakan teknik ini boleh mengesan penyakit dan serangan serangga seminggu lebih awal dari simtom yang dapat dilihat oleh mata kasar. Dengan itu tindakan lebih awal boleh diambil dan meminima kerugian dari sudut ekonomi.

Halangan Penggunaan Teknologi Dron Dalam Industri Padi

1.     Takut hilang pekerjaan

Petani malah kerajaan juga takut penggunaan dron dapat merampas pekerjaan yang selama ini dibuat secara konvensional. Pekerja yang hilang pekerjaan akan merusuh dan menggugat kestabilan politik. Sebenarnya penggunaan teknologi yang efektif akan mengurangkan kos tetapi meningkatkan hasil.

Kemakmuran ini akan dinikmati bersama. Pekerja boleh dilatih dengan kemahiran yang lebih tinggi dan disalurkan kepada bidang lain yang lebih memerlukan , apalah lagi dengan kekurangan tenaga kerja kini. 


Dengan satu penerbangan dron, maklumat boleh diterima di telefon android. - Foto: Bicara Drone Padi

 

2.     Kekurangan pengetahuan dan latihan

Petani industri padi bimbang dan takut dengan perkara baru. Teknik kerja luar dari normal yang pernah mereka lakukan pasti menimbulkan sifat prejudis. Keadaan ini dapat diatasi dengan pemerhatian, pengetahuan dan latihan. Beberapa institusi latihan telah pun mengajar teknikal dan pengoperasian teknologi dron seperti KISMEC dan kolej komuniti. 

3.     Kos permulaan yang mahal

Kos permulaan bagi teknologi baru sememangnya mahal tetapi akan turun dengan drastik selepas berakhir fasa penciptaan dan penyelidikan. Kini sudah boleh didapati dron murah dari China dan negara ketiga. Juruteknik tempatan juga telah membuat modifikasi kepada dron custom made bagi meningkatkan keupayaan dron seperti membawa kapasiti muatan yang lebih besar dan penerbangan yang lebih cekap. Perpindahan teknologi dan R&D tempatan bakal menghasilkan dron keluaran tempatan yang sesuai dengan kerja-kerja sawah tempatan pada harga yang lebih rendah berbanding barang impot. Pinjaman bank dan fasiliti kewangan kerajaan dapat merancak pertumbuhan penggunaan dron di kalangan pesawah.




If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag