April 24 2025
Oleh: Bushral Karim Md Yusob
Sumber makanan negara perlu ditambahkan demi memenuhi keperluan penduduk Malaysia yang semakin meningkat. Sumber makanan bukan sekadar makanan ruji seperti beras, tetapi juga keperluan sayuran dan yang penting adalah keperluan protein.
Keperluan protein ini diperoleh daripada sumber daging seperti ayam, lembu, dan kambing. Bekalan daging tempatan, sama ada daging lembu atau ayam, hanya mampu menampung 20% keperluan negara. Jadi, 80% import terus meninggalkan kesan kepada imbangan dagangan.
Apakah usaha yang dilakukan untuk memenuhi keperluan daging tempatan? Sudah tentu, aspek ternakan lembu dan kambing perlu ditingkatkan. Walaupun ladang ternakan yang luas sukar ditemui di negara ini, usaha kecil-kecilan daripada penternak tempatan perlu dihargai.
Artikel ini menjurus kepada usaha penternak kambing untuk menghasilkan daging dan tenusu.
Persediaan Minda
Penternak yang telah ditemui menekankan pentingnya minat yang mendalam untuk menternak kambing. Dari awal menyediakan kandang hingga ke peringkat penjualan, penternak perlu memberi sepenuh tumpuan, dan banyak cabaran perlu diatasi sendiri untuk menjimatkan kos penternakan. Pendekatan terbaik untuk seseorang memulakan ternakan kambing adalah dengan mempelajari secara praktikal kaedah penternakan daripada penternak yang telah berjaya.
Bukan sekadar teori menternak, tetapi juga menjalani latihan secara amali di ladang ternakan untuk mengetahui dengan terperinci proses menjaga kebersihan kandang, mendapatkan makanan, mengatur pemberian makanan dan minuman, mengawal penyakit kambing, dan memilih kambing yang sesuai untuk dijual.
Persediaan Modal
Modal terbesar untuk menternak kambing adalah pembinaan kandang dan membeli anak-anak kambing. Untuk membina kandang yang tidak memerlukan kos tinggi, dapatkan sumber kayu terbuang daripada rumah usang atau bahan buangan tempatan dengan harga yang murah. Encik Syazrul dari Tanjung Piandang, misalnya, telah membeli rumah terbuang dari Kodiang, Kedah, dengan harga RM2,000 dan membawanya balik ke kampung halaman.
Beliau mendapatkan khidmat seseorang untuk memasang semula rumah tersebut sebagai kandang. Kandang beliau telah digunakan sejak tahun 2020 dan telah beberapa kali menghasilkan jualan kambing.
Untuk membina kandang yang sempurna dengan bahan binaan baru, kosnya boleh mencecah antara RM10,000 hingga RM50,000. Penternak yang mempunyai modal mungkin akan melaburkan sejumlah ini, tetapi tidak ramai penternak mampu menghabiskan modal besar melainkan melalui saluran bantuan daripada pihak kerajaan atau pemodal lain.
Lokasi Ternakan
Lokasi yang sesuai perlu ada kawasan lapang, bekalan air bersih, dan akses jalan yang baik untuk memudahkan pengangkutan dan pemasaran. Lokasi yang berhampiran dengan kediaman boleh menjejaskan persekitaran, jadi sebaiknya tentukan kesesuaian lokasi dengan penduduk setempat bagi memastikan pembinaan kandang dipersetujui.
Kawasan lapang yang luas untuk mendapatkan rumput atau bekalan makanan kambing mungkin sukar ditemui, tetapi penternak boleh memilih untuk menternak secara tertutup di mana kambing akan dibela berterusan dalam kandang, dan makanan serta minuman diberikan sepanjang masa.
Sekiranya terdapat kawasan luas untuk membolehkan kambing dibiarkan bebas bergerak, pastikan disediakan pagar yang boleh mengawal pergerakan kambing daripada keluar atau menghalang pemangsa luar daripada memasuki kawasan ternakan.
Kandang Kambing
Kandang dibina untuk melindungi haiwan daripada cuaca buruk dan pemangsa. Kandang perlu mempunyai ventilasi yang baik, lantai yang sesuai, dan ruang mencukupi untuk haiwan bergerak dan berehat.
Ventilasi yang baik adalah untuk memastikan udara segar dan mengelakkan persekitaran yang boleh membawa penyakit. Kandang yang baik perlu mempunyai lantai daripada simen atau kayu yang mudah dicuci. Lantai perlu diletakkan pada ketinggian yang sesuai untuk memudahkan kerja-kerja pembersihan di bawah kandang.
Memilih Baka
Penternak perlu menentukan baka yang dipilih berdasarkan keutamaan ternakan. Apakah tujuan menternak kambing? Sama ada untuk menjual kambing sebagai daging atau untuk mendapatkan susu kambing. Baka yang dipilih perlu tahan dengan cuaca Khatulistiwa di Malaysia yang panas dan lembap. Kos pengurusan menyediakan makanan juga berbeza antara baka-baka ini, dan ketersediaan pasaran serta permintaan tinggi untuk baka tertentu perlu dipertimbangkan.
Tidak semua baka kambing sesuai dengan persekitaran ini. Baka kambing yang dipilih perlu mempunyai ketahanan terhadap penyakit, mampu menghasilkan daging atau susu walaupun dalam cuaca panas dan lembap.
Beberapa baka popular untuk kambing di Malaysia termasuklah kambing Boer, Kambing Kacang, Jamnapari, Saanen, Anglo Nubian, Kambing Kampung, dan Kambing Savanna.
1. Kambing Boer adalah sesuai untuk pengeluaran daging. Badannya besar dan berotot, boleh mencapai 110-135 kg untuk kambing jantan, dan betina pula antara 90-100 kg. Kambing ini mudah dikenali melalui warna putih pada badan dan coklat kemerahan. Anak kambing cepat membesar dan boleh mencapai 30-40 kg dalam masa 6 bulan. Kambing ini mudah diurus dan sesuai untuk penternakan intensif atau separa intensif. Kambing ini mempunyai nilai pasaran tinggi untuk daging dan tahan terhadap parasit kulit serta penyakit bawaan vektor seperti kutu.
2. Kambing Kacang berasal dari Asia Tenggara (Malaysia dan Indonesia). Kegunaan utamanya adalah untuk daging. Kambing ini bersaiz kecil hingga sederhana, dengan berat jantan antara 25-40kg dan betina antara 20-35kg. Badan kambing yang pendek sesuai untuk meragut rumput di kawasan berbukit atau semak. Terdapat pelbagai warna termasuk hitam, coklat, atau kombinasi putih. Kambing jenis Kacang boleh beranak 2-3 kali dalam dua tahun dan memberi pulangan yang tinggi. Kambing Kacang secara tradisionalnya sering dipelihara di kampung secara terbuka, dan kos pengurusannya juga rendah.
3. Kambing Jamnapari berasal dari kawasan Jamnapari, India, dan boleh menghasilkan daging dan susu. Kambing ini mempunyai telinga panjang dan terjuntai, serta kaki yang tinggi untuk mengurangkan kesan haba tanah tropika. Bentuk mukanya cembung, dengan warna dominan putih dan tompok coklat atau hitam. Betina kambing ini boleh menghasilkan 2-3 liter susu sehari. Oleh kerana pengeluaran susunya tinggi, ia sesuai untuk penternakan susu secara komersial. Susunya berlemak tinggi dan boleh digunakan untuk menghasilkan keju atau yogurt.
4. Kambing Saanen berasal dari Switzerland, dan kegunaan utamanya adalah untuk hasil tenusu. Kambing ini berwarna putih atau krim tanpa tompok warna lain. Betina boleh menghasilkan antara 3-5 liter susu sehari. Jantan boleh mencapai 70-90 kg, dan betina antara 50-70 kg. Kambing ini tidak sesuai dibiarkan bebas secara terbuka kerana sensitif kepada cahaya matahari langsung. Ia memerlukan teduhan kerana kulitnya mudah terbakar. Walaupun berasal dari kawasan beriklim sejuk, Saanen boleh diternak di Malaysia jika diberi naungan mencukupi dan sistem pengudaraan yang baik.
5. Kambing Anglo-Nubian adalah hasil kacukan antara kambing Afrika dan India. Kegunaan utamanya adalah untuk daging dan susu. Kambing jantan boleh mencapai 80-100kg, dan susunya menghasilkan lemak 4-5%. Warna variasi termasuk hitam, merah, atau belang. Kambing Anglo-Nubian sesuai untuk tujuan daging dan susu, dan juga popular dalam program pembiakan untuk menghasilkan kacukan yang lebih produktif.
6. Kambing Kampung sesuai untuk menghasilkan daging. Berwarna hitam, putih, atau perang. Kambing ini tahan lasak dan boleh hidup dengan sumber makanan terhad. Kos penjagaannya juga rendah kerana tidak memerlukan makanan khusus. Kambing ini sesuai di kawasan luar bandar dan ramai penternak di kampung memelihara kambing jenis ini kerana ketahanan dan produktivitinya yang tinggi.
7. Kambing Savanna juga untuk pengeluaran daging. Berbulu pendek dan licin. Kambing ini tahan panas hasil evolusi padang savana Afrika yang membolehkannya hidup di suhu tinggi. Pertumbuhannya pantas, dan tahan penyakit kaki. Kambing ini semakin popular di Malaysia kerana keupayaannya meragut rumput kasar. Ia sesuai untuk ladang besar yang mengamalkan sistem ragut bebas.
Cabaran
Cabaran besar untuk penternak adalah mendapat makanan untuk haiwan peliharaan dan memastikan pengurusan ladang yang baik untuk mengelakkan penyakit. Dari masa ke masa, permintaan berubah-ubah, dan masa yang sesuai untuk menjual hasil ternakan juga penting untuk pulangan yang baik. Hasil pulangan ternakan kambing bergantung kepada tumpuan penternak dan penjagaan yang baik sepanjang tempoh ternakan.
Kesimpulan
Permintaan untuk daging dan susu kambing masih tinggi di Malaysia. Malaysia masih import keperluan daging dan susu, dan masa depan ternakan kambing adalah cerah. Namun, tumpuan dan penglibatan penternak adalah penting untuk menjamin bekalan. Walaupun kegigihan dan usaha penternak berterusan, hasil yang diperoleh adalah memberangsangkan. Keseimbangan kos permulaan perlu diberi perhatian untuk memastikan pulangan yang baik atas usaha ini.
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.