July 04 2024

Masalah Pendebungaan Mengurang Hasil Sawit

Masalah Pendebungaan Mengurang Hasil Sawit - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Jamaludin Mat Rashid

Sektor pertanian mengalami kekurangan pengeluaran hasil berpunca dari masalah pendebungaan yang tidak sempurna. Pendebungaan menjadi proses yang kritikal dalam pertumbuhan buah-buahan, sayuran, bijirin untuk memberi hasil tinggi dan pembentukan biji benih bagi kelangsungan generasi seterusnya. 

Mengikut Food and Agriculture Organization (FAO), pengurangan kadar pendebungaan mungkin disebabkan oleh perubahan suhu dunia, hilangnya habitat serangga pendebungaan, penggunaan racun makhluk perosak dan berkurangnya agen pendebungaan. 

Sebagai usaha untuk mengatasi masalah ini, FAO mencadangkan tindakan-tindakan bagi meningkatkan usaha untuk meningkatkan populasi agen pendebungaan, mempraktik pertanian lestari dan mampan yang membantu pendebungaan. FAO berpendapat dengan meningkatnya kadar pendebungaan, hasil aktiviti pertanian akan bertambah dan keterjaminan makanan akan meningkat untuk generasi akan datang. 

Di Malaysia, pada tahun 2020 purata kadar perahan nasional bagi kelapa sawit (OER) telah berkurang dari 20.21% kepada 19.92%. Pengurangan kadar perahan ini didapati berpunca dari kurangnya kualiti Buah Tandan Segar (FFB). Hasil dari penyelidikan mendapati turunnya kualiti FFB berpunca dari peratusan tinggi buah yang tidak terbentuk sempurna akibat dari pendebungaan yang tidak sempurna. Ini membawa kepada persoalan apa yang telah terjadi pada populasi Elaeidobius kamerunicus, agen pendebungaan biologi bagi kelapa sawit.

Elaeidobius komerunicus Serangga Agen Pendebungaan Terpenting

Elaeidobius kamerunicus, adalah sejenis kumbang belalai (weevil) yang menjadi serangga agen pendebungaan yang terpenting bagi perladangan kelapa sawit di Malaysia dan Indonesia. Ia telah diperkenalkan di sini pada tahun 1981, lebih 40 tahun yang lalu. Kumbang belalai ini berasal dari Cameroon, Afrika Barat. Sebelum kumbang belalai E. kamerunicus menjadi serangga pendebungaan bagi kelapa sawit di Malaysia, teknik pendebungaan manual telah diaplikasi di estet-estet besar milik syarikat Eropah dengan meluas. Debunga dari bunga jantan yang mekar dikumpul, dicampur dengan talk powder dan disembur pada bunga betina yang tengah mekar di waktu pagi. Kerja ini sangat rumit dan menjadi rutin harian di ladang. Ramai tenaga manusia diambil bekerja untuk tugas ini terutama di kalangan wanita. Mujurlah pada era tersebut rata-rata ladang mempunyai pokok yang masih rendah dan tenaga kerja bukanlah masalah. Pendebungaan manual ini dihentikan apabila populasi E. kamerunicus merebak ke seluruh negara dan pembentukan buah menjadi sempurna. 

Kumbang belalai Elaeidobius kamerunicus adalah spesis sinonim sebagai kumbang pendebungaan sawit. Bersaiz 4 x 1.5 mm peranannya sebagai agen pendebungaan sawit yang efektif tidak boleh disangkal. Malaysia mempunyai spesis endemik lain sebagai agen pendebungaan seperti Thrips hawaiiensis dan Phyrodesces tetapi tidak dapat menandingi kumbang belalai ini dalam mengangkut debunga dari bunga jantan kepada bunga betina. E. kamerunicus membiak dalam mayang bunga jantan sawit. Kumbang betina akan bertelur pada mayang dan larva yang menetas akan makan tisu mayang bunga jantan sehingga menjadi dewasa. Kumbang dewasa akan mencari mayang jantan baru tertarik dengan baunya seperti jintan manis pada waktu petang dan terbang untuk minum madu pada bunga betina yang kembang pada waktu pagi. Aktiviti pergi balik antara bunga jantan dan betina ini membuat pendebungaan berlaku. Dengan jumlah kumbang yang banyak pendebungaan tiap calon bunga betina berlaku dan membentuk buah yang sempurna, seterusnya menghasilkan tandan buah segar (FFB) yang bermutu. 

Terdapat pelbagai cara lain untuk meningkatkan hasil sawit tetapi sedikit usaha tetapi membawa kesan yang besar ialah meningkatkan kadar keberkesanan pendebungaan. Pendebungaan yang berkesan akan membuatkan peratusan bunga yang disenyawa mencapai tahap tertinggi. Ini membentuk buah yang banyak dan sihat lalu menghasilkan FFB yang besar tandannya dan berkualiti. Ada beberapa faktor yang membuatkan hasil meningkat melalui pendebungaan yang baik. Pendebungaan yang baik membuatkan bunga membentuk buah yang sihat perikap buah menjadi tebal bagi tiap biji, membentuk mayang yang besar dan berat. Punca berkurangnya E. kamerunicus dalam ladang komersial sawit adalah berpunca dari kemusnahan habitat melalui kerja-kerja membersih dan membakar hutan semasa membuka ladang baru atau tanam semula. E. kamerunicus kehilangan tempat membiak yang baik, mencari makan dan mengganggu kitaran hayat populasi. Pembentukan biji terhasil dari pendebungaan yang baik. Biji yang terbentuk sempurna mempunyai isirung yang besar dan berat. Biji yang banyak dan berat secara langsung meninggikan hasil. Kualiti buah yang baik ialah buah membesar sekata, kandungan minyak yang banyak dan pertumbuhan yang baik. Pendebungaan silang antara pokok membentuk genetik yang beragam dan meningkatkan hibrid vigor, menghasilkan hasil tinggi dan wujudnya resilien tanaman. 

Racun Serangga Mengancam Perkembangan E. kamerunicus

Penggunaan racun serangga dan racun rumpai secara langsung memusnah serangga berfaedah yang membantu berkembangnya populasi E. kamerunicus. Amalan menanam sawit secara monokultur juga mengurangkan populasi agen pendebungaan ini di mana kurangnya diversiti tumbuhan dalam kawasan yang luas. Perubahan cuaca yang ekstrem seperti gejala El Nino mengganggu kitaran hayat kumbang belalai ini. Wujudnya spesis baru atau predator baru yang memberi saingan atau menjadi pemangsa kepada E. kamerunicus.

Kelapa sawit sebagai tumbuhan monosis mempunyai dua jantina bunga berasingan pada pokok yang sama. Walaupun tidak menjadi masalah untuk bunga jantan mendebunga bunga betina dari pokok yang sama tetapi mereka masih bergantung kepada pendebungaan silang antara dua pokok kerana ia akan membentuk buah yang lebih baik dan hasil yang lebih tinggi. Kebiasannya kedua jantina bunga pada pokok yang sama akan mencapai anthesis pada masa yang berbeza. Kebergantungan kepada agen pendebungaan sangatlah besar bagi menentukan pendebungaan berlaku dengan baik.

Belum ada klon kelapa sawit yang bersifat pendebungaan sendiri. Penyelidik masih mencari klon sebegini yang dapat merubah landskap industri perladangan sawit. Fokus penyelidikan sawit masih tertumpu kepada mencari klon yang memberi penghasilan tinggi, tahan terhadap penyakit dan klon yang sesuai dengan cuaca tertentu bukannya kepada sawit yang bersifat pendebungaan sendiri. Perkembangan dalam teknologi pembiakan dan teknologi genetik terus memandu kepada perkembangan klon yang lebih dinamik bagi perladangan yang mampan. Walaupun kemungkinan mendapat klon yang boleh melakukan pendebungaan sendiri masih ada, buat masa ini eloklah ditumpukan perhatian bagi mendapat pendebungaan sempurna melalui agen pendebungaan semula jadi seperti E. kamerunicus.

Telah wujud pusat penyelidikan di Kalimantan yang menetaskan E.kamerunicus dalam kurungan dan menyebar ke ladang. Aktiviti ini telah berlangsung sekian lama dan didapati menghasilkan FFB yang sangat bermutu dan hasil yang tinggi, mencecah 35mt per hektar per tahun. E. kamerunicus disebarkan dengan 2 cara. Pertama melalui kaedah tradisional dengan melepaskan kumbang belalai yang diberi debunga pada titik yang dirancang di dalam ladang. Kedua adalah dengan meletakkan kumbang yang membawa bersamanya debunga dalam tangki dron dan dilepaskan mengikut jarak tertentu di atas kanopi sawit. Penggunaan dron didapati sangat efektif dan murah walaupun memberi kesan yang sama. 

Penyebaran Melalui Dron Tidak Digalakkan

Penggunaan dron dalam menyebarkan serangga agen pendebungaan ini mungkin praktikal tetapi bukanlah teknik yang disyorkan. Sebagai serangga yang hidup dan mempunyai kitaran hidup yang tertentu, penyebarannya dengan dron mungkin mengganggu sifat-sifat semula jadi hidupnya dan interaksinya dengan pokok sawit. Adalah lebih baik bergantung kepada populasi semula jadi kumbang belalai ini dengan mewujudkan persekitaran yang membantunya untuk berkembang biak. Sebarannya dengan dron mungkin boleh digunakan untuk tujuan memperkenalkan di kawasan baru tetapi tidak mampan dan mengganggu ekologi dalam jangka masa panjang. 

Lebih baik memberi perhatian kepada menyediakan habitatnya yang kondusif, mengurangkan penggunaan racun kimia dalam ladang dan melaksanakan tindakan yang lebih semula jadi seperti mengurangkan predator bagi menstabilkan populasi serangga mustahak ini di dalam ladang.

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag