April 02 2024
oleh: Jamaludin Mat Rashid
Suatu ketika dahulu apabila kawasan hutan diterangi secara besar-besaran untuk tanaman kelapa sawit, selain gajah dan babi hutan yang menjadi musuh utama kelapa sawit, serangan landak juga tidak kurang hebatnya. Ancaman berlaku terutamanya di pinggir hutan.
Haiwan ini yang mengalami kekurangan makanan akibat dari pokok-pokok buah-buahan hutan diterangi untuk dijadikan ladang atau ditebang untuk pembalakan, beralih kepada sumber makanan baru berupa umbut anak sawit yang masih muda.
Dalam keadaan semula jadi landak makan serangga kecil seperti anai-anai, buah-buah hutan yang masak dan jatuh ke tanah seperti bacang, pauh kijang, petai, nering, kemian, temor, kelubi dan banyak lagi.
Landak juga boleh makan ubi yang memabukkan bagi manusia tanpa sebarang kesan kepadanya seperti ubi gadung. Giginya yang tajam mampu menebuk sebiji kelapa tua untuk makan isi di dalamnya. Jika merayau di huma, landak pasti mencari makanan kegemarannya iaitu labu (pumpkin). Kerana labu jugalah landak sering terkena perangkap pemburu haram yang menggunakan labu sebagai umpan.
Terdapat beberapa spesis landak di Malaysia. Selain landak raya (Hystrix brachyura) yang terbesar dalam Famili Hystricidea, terdapat landak padi (Trichys fasciculata) dan landak nibung (Atherurur macrourus). Landak dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). Akta ini melindungi haiwan liar tempatan dan haiwan yang disenaraikan di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Flora dan Fauna mengenai spesis terancam (CITIES). Landak Raya tersenarai sebagai hidupan liar yang dilindungi dalam Jadual 2 Bahagian II - Binatang Perburuan. Namun begitu, atas potensi untuk dikembangkan sebagai salah satu dari sumber daging eksotik dan mengurangkan tekanan ke atas sumber liar oleh pemburu haram bagi mendapatkan dagingnya, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) telah memberi legalisasi untuk memiliki dan memelihara landak berupa permit dan lesen di bawah program pembiakan komersial dengan pihak swasta semenjak tahun 2006 lagi.
Hanya landak raya diternak setakad ini kerana ia lebih besar di antara 3 spesis yang wujud di Malaysia, boleh menghasilkan daging antara 8 - 10 kg seekor pada umur 10 ke 12 bulan.
Harga daging landak yang diternak boleh mecapai RM100 ke RM180 per kilogram. Namun begitu, penternak komersial jarang mahu menyembelih dan menjual daging landak kerana rasa sayang dan ingin membiakkannya supaya menjadi lebih banyak. Hanya yang tua dan cedera dikorbankan untuk sumber daging. Kebanyakan daging landak raya dibeli oleh penggemarnya yang sudah lama tidak menikmati kemanisan daging landak dan pengusaha restoran menu ala kampung daging eksotik.
Antara resepi yang popular ialah masak lemak ciliapi daging landak salai, daging landak goreng kunyit, rendang dan pekasam daging landak yang digoreng dan dimakan dengan pulut kukus sebagai sarapan pagi.
Disuntik dengan Mikrocip Sebagai Pengenalan & Kawalan
Landak hidup untuk tujuan pembiakan hanya boleh dijual beli pada bulan Mei hingga Ogos sahaja setiap tahun mengikut Akta 716. Perhilitan harganya sekitar RM1600 sekor ataupun mencecah RM4800 sepasang. Tiap seekor akan disuntik dengan mikrocip sebagai pengenalan dan kawalan beserta dengan permit dan lesen untuk menternak. Landak yang diternak diberi makan daun-daun rumpai liar, semua jenis buah, dedak kambing, roti, nangka dan sayuran jenis buah dan ubi seperti labu, keledek dan timun.
Antara penternak berlesen yang dikenali ramai ialah En. Mahazir Abdul Hamid, mantan ADUN Jeneri dan pengasas Pusat Santuari Landak Raya Jeneri di Kampung Tala, Jeneri, Sik, Kedah. Encik Mahazir mula jatuh cinta dengan landak apabila membeli 3 ekor landak muda sebagai haiwan peliharaan anak-anaknya. Landak yang sudah diancam kepupusan dan rare ini menjadi daya tarikan masyarakat setempat terutama kanak-kanak untuk berkunjung melihat dan mengilhamkan Encik Mahazir untuk membina sebuah produk tarikan pelancong tempatan bagi kampungnya selain mencipta peluang pekerjaan bagi anak muda setempat. En Mahazir juga menyediakan kemudahan perkhidmatan ambulan dan skuad sukarela bagi membantu masyarakat setempat di waktu kecemasan seperti banjir dan ribut. Skuad ini sering kelihatan memotong pokok yang patah dan menghalang lalu-lintas di waktu angin kencang di sekitar Jeneri, Jeniang dan Sik.
Kunjungan ke Santuari Landak Raya Jeneri akan disambut oleh petugas yang ramah-tamah. Mengikut Cik Bibi Suynliana Md Odin yang menyelia pusat jualan produk berasaskan landak raya, pusat santuari tidak mengenakan sebarang bayaran masuk. Pendapatan mereka adalah dari jualan produk seperti pelbagai jenis minyak angin dan minyak urut, duri landak dan daging landak sejuk beku selain pendapatan dari perkhidmatan ambulan.
Cik Nur Hidayah Zakaria yang menjadi pemandu pelawat menunjukkan sangkar besar yang menempatkan kumpulan landak juvernil. Kandang ini dibina seakan-akan habitat semulajadi landak di alam dengan binaan batu granit membentuk gua-gua kecil sebagai tempat persembunyian untuk berehat dan tidur. Sebagai haiwan nokturnal yang aktif pada waktu malam, semasa kunjungan kebanyakan landak sedang tidur di dalam gua kecil mereka kecuali seekor dua yang dilepas untuk bergerak bebas di luar sangkar melayani pelawat dengan keletah mereka berebut makanan. Kanak-kanak boleh mengusap belakangnya yang berduri tanpa sebarang bantahan, membuktikan mitos landak dapat menembak durinya sebagai satu kisah dongeng dan salah-sangka terhadap landak.
Ibu Landak Diasingkan dengan Landak Jantan
Di kandang pembiakan terdapat 48 pasang landak ditempatkan dalam kandang secara berpasangan. 2 kandang mempunyai hanya ibu dan anak. Mengikut Cik Nur Hidayah ibu landak yang melahirkan anak akan diasingkan dari landak jantan. Dikhuatiri landak jantan akan memakan anaknya dari sifat kanibalisme yang terbawa-bawa dari alam liar. Landak biasanya akan melahirkan satu atau dua ekor anak tiap kali melahirkan biarpun pernah direkodkan sehingga tiga ekor bergantung kepada umur ibu, taraf kesuburan ibu/ bapa dan pemakanan yang diberikan. Bagi mengenalpasti jantina, landak akan dimasukkan ke dalam sangkar mudah-alih yang agak kecil dan diperiksa dari bawah. Pasangan yang produktif hasil dari keserasian pasangan akan dikekalkan untuk beberapa kelahiran sehingga fertiliti si ibu menurun dan si bapa akan diperkenalkan pula pada landak betina yang lebih muda.
Hempedu Landak Mampu Menawarkan Racun
Encik Shadat Salleh telah beberapa tahun berkhidmat di santuari ini sebagai pencari sumber makanan landak. Selain dari labu dan keledek yang dibeli olen Encik Mahazir dari ladang penduduk kampung sekitar Jeneri, tugas Pak Shadat ialah mengesan dan mencerut rumpai segar yang menjadi makanan landak. Tugas ini tidak boleh dipandang remeh kerana beliau perlu pasti rumpai yang hendak diambil tidak diracun oleh pekebun. Setiap pagi beliau akan meronda kampung sekitar dan pulang dengan bekalan rumpai yang menggunung di belakang motosikalnya untuk ration dedaun segar bagi landak.
Satu lagi mitos mengenai landak ialah keberkesanan hempedu landak atau batu landak untuk merawat penyakit tertentu terutama yang berkaitan dengan keracunan.
Kononnya landak mampu menawar racun apabila mampu makan tumbuhan yang memabukkan bagi manusia seperti ubi gadung. Menurut Cik Suynliana, En Mahazir ada memiliki batu landak ini, malangnya penulis tidak dapat melihatnya kerana ada dalam simpanan beliau yang berada di luar kawasan.
Batu landak tidak dipamerkan kerana sangat mahal harganya hingga berbelas ribu ringgit tiap seketul dan menjadi buruan pengamal perubatan tradisi Melayu dan sinseh Cina. Daging landak sejuk beku yang ditawarkan untuk jualan dengan harga RM90 bagi bungkusan setengah kilogram juga dipercayai dapat mengurangkan simptom penyakit lelah/astma dan rumatik sendi hanya dengan digoreng dan dijadikan lauk.
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.