January 12 2026
Oleh: Bernard Saw
Durian merupakan raja buah Malaysia yang bukan sahaja amat disukai oleh penduduk tempatan, malah menjadi salah satu daya tarikan unik yang memikat pelancong asing. Seiring dengan pertumbuhan permintaan pasaran yang berterusan, Kerajaan Negeri Sabah turut mengiktiraf durian sebagai tanaman pembangunan utama dan telah memasukkannya ke dalam “Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ 1.0)”.
Status Semasa Penanaman Durian
Pada tahun 2021, kawasan penanaman durian Musang King di Sabah telah mencecah 2,053 hektar. Berdasarkan Rancangan Malaysia Ke-12, sebanyak 660 hektar tanah tambahan dirancang untuk dimajukan khusus bagi penanaman varieti durian premium seperti Musang King dan Duri Hitam, dengan anggaran sebanyak 53,460 pokok akan ditanam di 20 daerah di seluruh negeri.
Menurut maklum balas kerajaan negeri di Dewan Undangan Negeri pada tahun 2022, berdasarkan pengiraan 81 pokok Musang King sehektar, dengan pengurusan yang baik, pendapatan tahunan dianggarkan mampu mencecah RM349,920.
Vincent Yong: fasiliti pusat pembelian mula beroperasi apabila musim durian tiba pada akhir tahun 2025.
Statistik daripada Jabatan Pertanian Sabah sehingga tahun 2023 menunjukkan bahawa pengeluaran durian Sabah telah melebihi tahap sara diri 100%, dengan keluasan penanaman mencecah 7,292 hektar. Daripada jumlah ini, sebanyak 2,149 hektar telah memasuki fasa berbuah, dengan hasil pengeluaran mencecah 15,052 tan.
Para pekebun di negeri ini juga giat mengembangkan penanaman dengan meningkatkan pengeluaran melalui penambahbaikan teknik dan corak penanaman. Walau bagaimanapun, industri masih menegaskan bahawa pasaran tempatan pada tempoh tertentu masih bergantung kepada bekalan dari Semenanjung Malaysia.
Ini juga bermakna, selagi pengeluaran terus meningkat, pembangunan industri hiliran dan melanjutkan rantaian nilai akan menjadi cabaran kritikal seterusnya bagi industri durian Sabah.
Memandangkan pengeluaran yang terus meningkat pada masa depan dan keperluan membangunkan produk bernilai tinggi, para pemain industri telah mula bersiap sedia dengan aktif merebut peluang dalam industri hiliran, termasuk membina pusat pembelian dan pemprosesan puri durian.
Peralatan pusat pembelian telah siap pada awal tahun dan akan mula beroperasi semasa musim durian pada akhir tahun.
Penubuhan Pusat Pembelian Durian
Pusat pembelian durian pertama di Sabah terletak di Kota Kinabalu dan telah bersedia untuk beroperasi selama setengah tahun. Vincent Yong, salah seorang daripada tiga rakan kongsi, mendedahkan bahawa beberapa tahun yang lalu, Duane Michael Evans, Presiden Persatuan Durian dan Buah Tropika Sabah (MaSDa), telah memberi amaran kepada para petani mengenai masalah lebihan pengeluaran dan kemunduran industri yang akan dihadapi pada masa hadapan.
“Beliau menyatakan bahawa durian dari Keningau akan menghadapi dilema pada masa depan, iaitu pengeluaran durian akan meningkat tetapi industri masih ketinggalan.
“Pandangannya begitu jauh, mengingatkan kami bahawa suatu hari nanti hasil buah mungkin tidak mempunyai pasaran yang baik. Seperti pada tahun 2023, apabila pengeluaran buah tiba-tiba meningkat mendadak, harga jatuh dan semua orang tergesa-gesa untuk menjual buah mereka semasa masih segar - situasi sebegini tidak sihat.”
“Para petani berharap menjualkan hasil buah mereka pada musim ini. Tanpa pusat pembelian, pengeluaran lebihan tidak mempunyai tempat untuk dipasarkan; dengan kewujudan pusat pembelian durian, keadaan menjadi jauh berbeza, dan inilah juga sebabnya saya mula menceburi industri ini.”
Vincent Yong mempamerkan peralatan di pusat pembelian, termasuk mesin pembungkusan vakum dan mesin pengisar isi durian, sebagai persediaan untuk pemprosesan hiliran.
Vincent Yong yang asalnya menjalankan perniagaan baja mempunyai hubungan jangka panjang dengan para petani dan sangat memahami dilema mereka yang perlu menunggu sehingga musim menuai untuk memperoleh pendapatan. Mereka telah mengadakan lawatan ke banyak tempat di Semenanjung Malaysia untuk memahami dengan lebih mendalam tentang ruang pembangunan industri hiliran.
“Kami mendapati bahawa melalui pemprosesan, pelbagai produk hiliran boleh dihasilkan, sekaligus memastikan usaha para petani tidak akan disia-siakan.”
Vincent Yong menyatakan bahawa fasiliti pusat pembelian sebenarnya telah siap pada awal tahun, dan hanya menunggu untuk mula beroperasi apabila musim durian tiba pada akhir tahun 2025.
“Kami mengambil masa setahun untuk membuat persiapan. Bilik penyejuk beku dan kilang pemprosesan telah siap pada awal tahun, dan proses dari pemilihan buah, pembelahan buah, sehingga pengagihan untuk dijadikan puri dan isi buah juga telah sedia.”
Berdasarkan anggaran, sekurang-kurangnya 100 tan metrik durian boleh dibeli setiap musim.
Apabila ditanya mengenai sebab kelewatan operasi pusat pembelian, Vincent Yong mengakui bahawa faktor cuaca merupakan penyebab utama. Pada suku tahun sebelumnya, pokok durian telah mengeluarkan banyak bunga dan dijangka menghasilkan hasil yang banyak pada pertengahan tahun, namun bunga tersebut banyak gugur akibat hujan yang berterusan.
“Pada masa itu, hasil yang tidak mencukupi menyebabkan petani sendiri kekurangan buah, jadi bagaimana mungkin mereka boleh membekalkan buah kepada kami? Akan tetapi, musim yang seterusnya dijangka akan menghasilkan lebih banyak buah."
Seiring dengan peningkatan pengeluaran durian, usahawan mula memberi tumpuan kepada pasaran pemprosesan hiliran dan meneroka peluang baru untuk melanjutkan rantaian nilai.
Beliau berpendapat bahawa pusat pembelian dapat meluaskan saluran pasaran untuk petani dan usahawan pemprosesan, sekaligus mengelakkan durian terbiar dan terpaksa dijual pada harga murah atau dibuang.
"Kami telah mengalami situasi sebegini, terutamanya bagi varieti yang kurang terkenal. Buah-buahan ini sebenarnya tidak kurang enaknya, namun sering diabaikan kerana kekurangan saluran pasaran.”
Selain membeli durian, mereka juga telah merancang saluran jualan sendiri dengan membuka sebuah kedai khusus durian di Kota Kinabalu.
“Kami akan membuka kedai khusus di kawasan pelancongan dan bekerjasama dengan sebuah kedai khusus yang sangat terkenal di Semenanjung Malaysia. Walaupun ketika tiada hasil buah, kami masih boleh membeli durian sejuk beku untuk dijual bagi memenuhi permintaan pelancong.”
Serentak dengan itu, beliau merancang untuk membeli durian hutan tempatan Sabah dan mengeksport buah yang mempunyai isi berwarna cerah ke kawasan seperti Semenanjung. Sama ada dijual dalam bentuk buah segar atau produk diproses akan bergantung kepada keadaan.
“Rakan kongsi kami di Semenanjung menunjukkan minat terhadapnya, dan setelah gambar-gambar dimuat naik ke internet, ramai yang telah membuat pertanyaan. Sekarang sudah t iba masanya untuk memperkenalkan varieti dan rasa durian-durian ini kepada mereka.”
Mulakan Perniagaan Sejuk Beku
Duane Michael Evans, seorang lagi rakan kongsi pusat pembelian, menjelaskan bahawa pusat tersebut akan membeli durian daripada pelbagai gred dengan penapisan yang teliti untuk memastikan kualiti memenuhi piawaian yang ditetapkan.
“Buat masa ini, kami merancang untuk membeli durian dari kawasan Keningau. Namun, kami belum menghebahkannya secara meluas jadi ramai yang masih belum mengetahui tentang kewujudan pusat pembelian ini.”
Beliau menambah bahawa pusat pembelian tersebut juga akan menjalankan perniagaan sejuk beku bagi memastikan penduduk tempatan dapat menikmati durian sepanjang tahun walaupun di luar musim.
Tee Tiong Lee menekankan bahawa usahawan sedang giat melaksanakan teknologi penyimpanan sejuk untuk membekalkan pasaran secara berterusan walaupun di luar musim durian.
Usahawan durian Sabah lebih cenderung menanam varieti premium seperti Musang King dan Duri Hitam untuk meningkatkan daya saing pasaran dan pendapatan.
Bagi meningkatkan keupayaan pengurusan dan promosi kedai khusus mereka, tiga pengurus muda telah dihantar ke cawangan rakan kongsi di Semenanjung untuk mempelajari model pengurusan, promosi dan jualan dalam talian bagi memastikan operasi kedai memenuhi keperluan pasaran selepas pembukaan.
Tingkatkan Nilai Tambahan
Syarikat di bawah Kumpulan Sri Jutaya milik ahli perniagaan terkenal dari Keningau, Liew Kuat Kiong, telah mula menyertai penanaman durian secara komersial sejak tahun 2018. Sehingga kini, kawasan penanamannya telah melebihi 700 ekar dan terus berkembang.
Eddy Yap, yang bertanggungjawab menguruskan kebun buah-buahan, berkata ketika ditemu bual: “Kami terutama menanam durian, kelapa, nangka, avokado dan limau bali.
“Kawasan penanaman pokok tua ialah 80 ekar, dengan pengeluaran durian mencapai 20 tan pada musim sebelumnya.”
Eddy Yap juga mendedahkan bahawa syarikat mereka telah merancang untuk membangunkan industri hiliran, termasuk menghasilkan produk berasaskan durian dan buah-buahan kering, bagi meningkatkan nilai tambah durian.
“Perkara utama masih tertumpu kepada pemeliharaan kebun dan kualiti durian terlebih dahulu.”
Duane Michael Evans (kiri) dan Eddy Yap bertukar pandangan mengenai pengurusan penanaman durian dan strategi pemprosesan hiliran.
Tiada Rancangan Eksport Buah Masa Ini
Pengarah Urusan Top Borneo Sdn Bhd, Tee Tiong Lee, yang mengusahakan kebun durian di Tawau, pantai timur Sabah, menyatakan bahawa bekalan tempatan masih tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan pasaran, justeru tiada rancangan eksport buat masa ini.
Beliau juga bersetuju bahawa peralatan penyejuk beku amat diperlukan kerana hanya dengan cara ini penduduk tempatan dapat menikmati durian sepanjang tahun.
Di luar musim durian, jualan boleh dilakukan pada harga yang lebih tinggi.
Beliau menjelaskan dengan lebih lanjut tentang sesetengah pekebun kecil membina peralatan penyejuk beku berskala kecil untuk mengelakkan harga diturunkan oleh pembeli.
“Mereka menyimpan durian dalam penyejuk beku dan menjual di pasaran secara beransur-ansur selepas musim tamat. Pelancong masih mempunyai permintaan, dan kami juga ingin merebut peluang ini. Semporna mempunyai kelebihan semula jadi dengan kedudukannya yang berhampiran Tawau, lalu mereka mengangkut durian ke Semporna untuk dijual.”
Berdasarkan pemerhatiannya, sebahagian durian yang dijual di Semporna masih perlu dibekal dari Semenanjung Malaysia bagi menampung kekurangan bekalan di kawasan sekitarnya.
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.