March 15 2024

Haiwan Eksotik Jadi Trend Penghobi Mutakhir

Haiwan Eksotik Jadi Trend Penghobi Mutakhir - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

oleh: Jamaludin Mat Rashid

Era Post-Covid 19 menunjukkan peningkatan mendadak aktiviti yang melibatkan hobi.

Masa lapang yang banyak semasa PKP berjaya menyemai minat mendalam untuk orang ramai mempraktik impian yang sekian lama tertangguh akibat dari kekangan masa dan kewangan. Perintah untuk tinggal di rumah membuatkan orang ramai tidak dapat melancong, baik di dalam negara mahupun ke luar negara. Mereka juga tidak dapat berbelanja dengan makan di luar. Belanja untuk bahan api juga dijimatkan kerana bekerja dari rumah. 

Akibat dari itu semua orang mempunyai lebihan perbelanjaan lalu wang ini dimanfaatkan kepada aktiviti hobi bagi mengurangkan kebosanan terpaksa berkurung di rumah. Ini dibukti dengan peningkatan jualan bagi segmen tertentu dalam perniagaan kecil seperti perniagaan nurseri pokok-pokok hiasan, kedai haiwan kesayangan, kedai menjual bahan kraftangan dan kedai menjual bahan untuk membuat kek dan pastri. Tidak kurang juga dengan kedai komputer dan aksesori permainan dalam talian. 

Walaupun era PKP telah lama berlalu, hobi yang tersemai akibat darinya tetap diteruskan. Antara yang paling signifikan ialah berkembangannya hobi memelihara haiwan eksotik.

Sudah wujud lama aktiviti memelihara haiwan kesayangan seperti kucing, anjing, burung dan ikan yang biasa-biasa. Kini minat itu berkembang kepada haiwan eksotik. Orang ramai kini sanggup berbelanja ribuan ringgit bagi membeli kura-kura Galapagos. Tidak kurang juga yang membeli burung kakaktua African Grey yang boleh meniru percakapan manusia dan memerlukan permit khas yang memakan belanja besar. Bagi yang lebih ekstrim memilih untuk memelihara Ular Sawa Burma Albino, biawak ala-Komodo Dragon, ikan Arowana Emas, Kucing Benggal malah buaya, rusa, landak dan kancil. Senarai ini tidak akan berhenti, saban bulan ada saja haiwan baru diperkenalkan.

Usahakan Ladang Biak Baka Sebagai Mata Pencarian

Kegilaan ini membuka ruang berupa peluang menternak dan membiak baka haiwan eksotik. Ramai usahawan yang belajar membiakkan haiwan eksotik sebagai mata pencarian. Antara yang paling mudah ialah mengusahakan ladang biak baka unggas dari burung keluarga paruh bengkok (parrot dan parakeet) hinggalah kepada ayam hiasan. Unggas lebih senang diperolehi kerana lebih mobil, pengimpot berlesen (malah penyeludup juga) boleh membelinya melalui dalam talian dan hanya telur berbenih sahaja yang dikirim dan ditetas di sini. Dengan kecanggihan sistem kurier masa kini yang menawarkan servis pintu ke pintu, bukan sahaja telur bernas boleh dikirim malah DOC bagi keluarga ayam juga boleh tiba ke ladang pengusaha dengan selamat.

Apabila bercerita tentang haiwan eksotik, tidak dapat terlepas dari membincangkan mengenai CITES (Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesis Flora dan Fauna Liar Terancam), satu perjanjian antarabangsa yang ditandatangani oleh 183 negara di dunia. Dalam konvensyen ini, negara-negara bersetuju untuk menghadkan atau melarang sepenuhnya aktiviti menangkap dan menjual haiwan eksotik untuk dijadikan haiwan kesayangan. Banyak negara melarang penjualan dan memiliki haiwan dari spesis terancam. NGO di seluruh dunia mengadakan kempen dan mendidik masyarakat betapa bahayanya memelihara haiwan liar kepada manusia bagi menutup permintaan dan perdagangan haiwan eksotik. Ini bukan sahaja memberi kesan kepada mereka yang terlibat dengan perdagangan bernilai berbilion ringgit ini tetapi kepada manusia dan binatang secara keseluruhannya. 


 


Wabak penyakit Ebola dan SARS yang berpunca dari haiwan liar telah mengancam keselamatan manusia sejagat. Wabak penyakit Eksotik Newcastle yang meletus di Amerika Syarikat pada tahun 1970-an membunuh 12 juta unggas dikesan berpunca dari burung kakaktua yang diseludup masuk dari Amerika Selatan.

Banyak lesen dikeluarkan bagi membiakan haiwan liar dalam kurungan untuk dijual sebagai haiwan peliharaan bagi mengimbangi tekanan terhadap populasi haiwan di alam liar. Hasil dari pembiakan dalam kurungan dibenarkan dijual dan dikawal dengan cip yang dimasukkan dibawah kulit. Walaupun begitu, masih terdapat aktiviti menangkap haiwan eksotik dari habitat asalnya dan dijual sebagai haiwan yang dibiakan di bawah lesen pembiakan dalam kurungan akibat dari amalan rasuah di kalangan badan penguatkuasa.

Sosial Media Mempopularkan Permintaan

Teknologi maklumat dengan website sosial media dan perniagaan elektronik mempopularkan permintaan terhadap haiwan eksotik. Pemilik haiwan eksotik menunjuk-nunjuk haiwan mereka melalui muat naik video dan menjadi viral, menaikkan permintaan terhadap sesuatu spesis dengan serta merta. Harga baginya naik mendadak meyebabkan pemburu haram beralih kepada haiwan liar di habitat asal bagi mengaut keuntungan segera. Satu video dalam Youtube pada tahun 1975 menunjukkan seekor kera duku (Slow Loris) makan nasi kepal dengan manja membuatkan haiwan itu diburu di seluruh dunia.

Dalam keghairahan memiliki haiwan eksotik yang comel, kita patut berpijak pada fakta supaya tidak berlaku penganiayaan terhadap haiwan. Dianggarkan 90 peratus haiwan liar yang ditangkap mati dalam perjalanan kepada pembelinya. Cukuplah berpuas-hati dengan apa yang boleh didapati dengan selamat.

 

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag