March 25 2024
oleh: Jamaludin Mat Rashid
Pelancong dari Semenanjung Malaysia yang pertama kali melawat pasar tamu di Sabah dan Sarawak sekitar bulan Disember dan Januari akan terpegun dengan buah-buahan yang ditawarkan untuk jualan oleh penjaja di sana. Setiap pelosok tamu dipenuhi dengan aroma dan rupa pelbagai jenis buahan-buahan eksotik.
Ada durian pelbagai rupa dan warna, dabai, bambangan, buah tarap dan pelbagai buah-buahan yang tidak pernah dilihat sebelumnya. Namanya saja sudah begitu unik, apatah lagi rasanya. Hanya yang pernah berkunjung ke pasar Borneo di Semenanjung seperti di Seri Kembangan, Bangi, Seremban, Pasir Gudang dan di Sungai Udang, Melaka mungkin pernah melihat kelibat buah-buahan ini. Itu pun dalam kuantiti yang kecil, warnanya yang sudah pudar dan rupa yang tidak lagi sesegar di tempat asalnya. Penggemar durian pula pasti ingin merasa durian isi merah Sabah yang sering menghiasi brosur pelancongan Sabah dan Sarawak.
Kata orang kalau ada satu buah yang boleh menggerakkan penggemarnya untuk menggembara beratus kilometer bagi menikmatinya, tentulah dia bermaksud dengan Raja Buah si buah durian. Majoriti mengenali durian kampung atau durian klon yang kini berada di puncak populariti iaitu Musang King (D197) dan Duri Hitam (D200). Kedua-dua jenis dikenali secara saintifik sebagai Durio zibethinus namun terdapat beberapa spesis lagi dalam keluarga Malvacea ini. Kebanyakan masih tumbuh liar di dalam hutan di Kepulauan Borneo tetapi baru-baru ini peminat alam botani terkejut dengan penemuan durian kura-kura spesis Durio testudinarius di Raub, Pahang (Ikuti cerita penuh Durian Kura-kura Pahang).
Di Johor juga terdapat satu spesis endemik di sana dikenali sebagai Durio johoricus.
Antara 5 spesis durian hutan di Sabah dan Sarawak, ada di antaranya diklasifikasi sebagai NT ( Near Threatened ) oleh Kesatuan Antarabangsa Konservasi Alam Semulajadi (IUCN ) bermaksud di ambang kepupusan.
1. Durian Kura-Kura (Durio testudinar)
Durian Kura-kura atau Tortoise durian adalah durian hutan yang endemik kepada kepulauan Borneo dan hampir pupus serta sukar ditemui lagi akibat dari penebangan hutan untuk pembalakan dan pembukaan ladang sawit secara berleluasa.
Durian kura-kura menjadi sangat unik kerana berbunga dan berbuah di pangkal pokoknya seakan-akan pokok Canonball Tree yang banyak ditanam di taman botani. Spesis ini bersifat cauliflory dalam istilah botani bermaksud berbunga dan berbuah di benjolan-benjolan di batang pokok. Unik bagi durian kura-kura kerana benjolan ini berada pada paras tanah dan naik tidak melebihi paras kepala orang dewasa. Pengumpul durian kura-kura di hutan akan menutup buahnya dengan daun-daun palma bagi mencegah dirosak haiwan liar seperti tupai dan monyet dan akan memeriksa dari masa ke masa bagi mendapatkan buah yang masak.
Dipercayai hanya pokok yang berumur 50 tahun ke atas akan mula berbuah dan pusingan berbuah setiap 10 tahun sekali, bukan setahun sekali seperti durian kampung. Ini menjadikan ia sangat sukar berkembang biak dan menjadi spesis yang langka (rare).
Tidak seperti lazimnya buah durian dengan bau yang kuat dan menyengat, durian kura-kura berbau lembut seperti keju dan beraroma seperti air mani apabila bertambah ranum. Buahnya berwarna kuning pucat dan keperang-perangan dan isinya pula berwarna kuning. Isi durian ini dikatakan kurang manis berbanding dengan durian-durian spesis lain.
Dipanggil durian kura-kura kerana buahnya berbentuk seperti kura-kura kecil dan disukai kura-kura apabila ranum dan pecah kerana berbuah rendah di paras tanah. Biji berwarna gelap dan banyak yang kesep.
2. Durian Isu (Durio oxleyanus)
Durian Isu juga dikenali dengan nama durian Nisa di Sarawak, durian Kerantungan di Kalimantan, durian Sukang di Brunei dan Sabah, durian Beludu dan durian Daun di Sumatra.
Durian Isu kebanyakannya dikutip dari pohon liar di hutan. Ia merupakan durian yang terbaik dari kumpulan durian hutan.
Terdapat 4 pangsa sahaja dalam sebiji durian Isu berbanding 5 pangsa dalam durian moden seperti durian kampung dan durian klon (Durio zibethinus).
Durian Isu diklasifikasi sebagai spesis yang hampir terancam di masa akan datang (NT) oleh IUCN.
Spesis ini dianggap spesis yang bernilai tinggi oleh pembalak kerana batangnya yang besar, lurus dan jarang berlubang. Ia dikelaskan sebagai kayu keras ringan.
Kadangkala buahnya hanya sebesar penumbuk tetapi ada yang mencapai sebesar bola sepak. Pembeli yang tidak biasa dengan durian Isu akan tertipu dengan tampak luaran buahnya. Duri yang halus panjang dan melengkung menjadikannya nampak besar dan banyak isi, sebaliknya apabila dibuka hanya ada seulas, dua atau tiga ulas maksimum.
Ketika masih muda kulitnya berwarna hijau cerah dan bertukar jadi hijau kekuningan apabila masak dan gugur. Isi ulasnya berwarna kuning-jingga dengan tekstur yang halus, kurang beraroma dan agak nipis berbanding durian kampung. Ketika dimakan ia seakan-akan bergas yang mungkin pelik bagi peminat durian kampung.
3. Durian Kulit Merah (Durio dulcis)
Durian kulit merah dikenali dengan panggilan tempatan sebagai lahong, lahung, tutong ataupun marangang. Dipanggil begitu kerana sememangnya mempunyai kulit merah keunguan seperti sebiji pulasan yang bersaiz bagak.
Isinya berwarna kuning dengan 5 pangsa seperti durian kampung. Mempunyai rasa dan aroma seakan-akan buah salak yang masak ranum. Ada yang menyebutnya seperti aroma nanas, glu dan bahan pelarut cat turpentine. Apabila makan rasanya seperti makan roti putih dengan rasa dan bau yis. Durian kulit merah mempunyai warna isi seperti durian biasa.
Mengikut satu video dari Beluti, Kalimantan, lahong atau dipanggil durian Dayak oleh pendududk tempatan mempunyai isi berwarna kuning. Ia mempunyai pangsa namun agak sukar dibelah mengikut pangsa kecuali apabila ranum dan pecah sendiri. Untuk menikmati isinya, penduduk tempatan biasanya memotong dua secara melintang dan ulasnya dikorek dengan jari untuk dimakan. Isinya agak tipis, penggemar durian Lahong boleh memakan sehingga 10 biji seorang kerana isi ulasnya agak nipis.
4. Durian Isi Merah (Durio graveolens)
Durio graveolens dikenali dengan nama tempatan sebagai durian Dalit, Otak Udang Galah, Simpor atau Anggang.
Durian yang isinya berwarna merah ini banyak terdapat di Kepulauan Borneo khususnya di Sarawak, Sabah, Brunei dan Kalimantan. Durian isi merah terkenal kerana gambarnya berulas merah darah sering menghiasi brosur-brosur pelancongan Borneo menjadikannya kerap diburu pelancong tempatan dan antarabangsa. Harga durian isi merah lebih mahal daripada buah durian klon terkenal seperti Musang King atau Duri Hitam.
Durian Isi Merah atau Durio graveolens lebih sinonim dengan negeri Sabah sehingga dipanggil Durian Merah Sabah ini hanya muncul setahun sekali sekitar bulan Oktober - Disember.
Bentuk fizikalnya menyerupai durian Isu dan durian Pakan, tetapi isi ulasnya berwarna merah darah, warna yang dipercayai boleh membawa tuah bagi sesetengah orang.
Durian ini mempunyai rasa manis dan lemak. Untuk menikmati kelazatannya, durian merah dimakan segar begitu sahaja atau dimasak bubur bersama beras. Ia juga dibuat tempoyak dengan kaedah fermentasi bersama dengan sedikit garam.
5. Durian Pakan (Durio kutejensis)
Durian Pakan juga dikenali dengan nama durian Nyekak, Ukak, Lukak dan durian Lai oleh penduduk tempatan.
Kulitnya berwarna kuning-jingga dengan duri yang lebih pendek berbanding durian Isu dan permukaan duri yang lebih lembut. Isi berwarna jingga pekat dan agak nipis jika dibanding dengan durian kampung. Teksturnya tidak lembik, lebih manis dan berlemak dengan sedikit rasa pahit. Ia tidak bergas dengan aroma lembut dan tidak membuatkan pemakannya berasa panas walau dikonsumsi dengan jumlah yang banyak.
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.