July 23 2024

Rezeki Di Pohon Sawit

Rezeki Di Pohon Sawit - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Jamaludin Mat Rashid

Ramai yang tidak perasan batang sawit tua berlainan rupanya dengan pohon yang muda. Sisa pelepah yang menempel pada batang sawit akan mereput dan gugur ke tanah apabila pohon sawit mencapai usia tua, kelihatan licin seakan-akan pohon kelapa. Semasa umur inilah akan muncul dengan banyaknya pelbagai jenis pohon tumpang ataupun epifit. Jenis yang biasa kelihatan ialah Paku Langsuir/Bird Nest Fern (Asplenium nidus) dan beberapa spesis epifit lagi yang kurang dikenali. 

Di celah-celah paku pakis yang biasa-biasa inilah terdapat permata yang lebih bernilai seperti fern Mata Gergaji (Huperzia phlegmaria), Blue Fern (Huperzia goebelii), Cat Tail Fern (Huperzia squrrosa) dan Shoestring Fern (Lycopodium scandens). Jenis paku-pakis inilah yang diburu oleh Nur Fauziah binti Osman atau lebih mesra disapa Kak Zie, usahawan pokok hiasan dan aksesori laman yang berniaga dan mempunyai laman facebook atas nama Zie’s Fern Nursery.


Pelanggan Kak Zie bukan sahaja dari orang tempatan, tetapi pelawat asing juga meminati paku-pakis dan lumut yang dikutipnya.

 

 Kak Zie mempunyai sebuah tapak semaian tetap di Kampung Sungai Manik, Batu 20, Batu Kurau, Perak. Selain menjadi tempat mengasuh pohonpohon paku-pakis dan lumut yang dikutipnya, tapak ini menjadi tempat jualan tetapnya. 

Semasa aktif membuat jualan dalam talian, di sinilah Kak Zie membuat jualan secara live tetapi kini jualan di dalam talian tidak lagi dibuat kerana kekurangan masa dan kakitangan untuk membungkus dan membuat kiriman dengan kurier. 

Kini Kak Zie lebih senang menyertai ekspo jualan dan pameran pokok-pokok kerana lebih mudah menjual terus kepada pelanggan secara bersemuka dan pokok dapat dijual dengan banyak dalam masa yang singkat walaupun Kak Zie terpaksa meninggalkan rumah berhari-hari. Jualan ekspo juga membuatkannya dapat ramai kawan baru, kadang-kadang dari luar negara. 

Pelanggan yang pernah membeli ole-ole dari Kak Zie biasanya akan berhubung lagi untuk mendapat bekalan pokok baru atau membeli untuk kawankawan yang tertarik dengan pokok yang unik di rumah mereka. 

Jumpa Clump Baik Bergantung kepada Nasib

Walaupun pekerjaan yang dibuat Kak Zie kadangkala dipandang rendah oleh segelintir ahli masyarakat, Kak Zie teruskan juga demi mencari rezeki untuk anak-anak. Apakan tidak, setiap hari menunggang motosikal bersendirian dengan galah teleskopik dan parang di pinggang meronda ladang kelapa sawit mencari pokok paku-pakis, lumut dan kayu hanyut. Pendek kata apa yang terpijak dan boleh menjadi wang akan diangkut balik dengan motosikal buruknya. 

Tapi kayu hanyut Kak Zie terpaksa membeli dari orang kampung yang mencarinya. Maklumlah kudrat seorang wanita hendak membongkar kayu dalam sungai, kadangkala memerlukan gergaji berantai dan trektor untuk menarik keluar. Kalau dahulu di sekitar rumahnya sahaja boleh mendapat clump paku-pakis yang besar dan cantik, kini Kak Zie perlu pergi ke kawasan pedalaman yang jauh dan sunyi. 

Bukan semua pokok sawit tua ada paku-pakis istimewa ini. Kadang-kadang Kak Zie perlu mendongak dan mengintai hampir seribu pokok sawit baru terjumpa satu dua clump yang baik. Kalau bernasib baik, ia berada pada paras yang dapat dicapai galah dengan bahan organik tempatnya menempel yang lembut dan mudah jatuh. Kalau nasib tidak baik, ia berada tinggi dan terpaksa mencari buluh buat menyambung galah. 

Ada kalanya pula pokok jatuh tetapi putus tanpa akar dan tidak boleh digunakan kerana akan mati selepas seminggu. Seringkali juga sekadar menjadi rezeki mata kerana terlalu tinggi dan mustahil untuk dikait. Kak Zie redah sahajalah, biar ia menjadi induk dan membebaskan spora untuk membiakan generasi baru.

Sesaat di Hutan Semasa Mencari Orkid

Pernah Kak Zie bersama tiga orang kawan masuk ke kawasan hutan untuk mencari orkid. Oleh kerana terlalu asyik mengait mereka terlalai dan suasana sudah gelap baru mereka bergerak keluar. Malangnya mereka tidak dapat mencari lorong yang mereka masuk tadi dan jalan berpusing-pusing dalam satu bulatan di tempat yang sama. Mujurlah seorang kawan datang bersama suaminya, seorang pesara polis. Beliau membuat keputusan untuk meminta bantuan pihak berkuasa sebelum bateri telefonnya kehabisan. 


Dapat rezeki besar hari ini !!

 



Senjata penting untuk mencari rezeki.

 


Dipendekkan cerita selepas menjamu nyamuk dan pacat dengan darah selama lebih dari enam jam di hutan, mereka diselamatkan selepas tengah malam oleh pasukan Pencari dan Penyelamat, Pasukan Bomba. Esoknya terpampang di dada akbar kisah “4 orang Pencari Orkid Sesat di Hutan”. Lucu pun ada, malu pun ada tetapi Kak Zie teruskan juga pekerjaan ini demi minat dan pendapatan.

Mesti Diproses Sebelum Kering dan Mati

Kerja mencari paku-pakis dan lumut tidak berakhir dengan pencarian sahaja tetapi ia perlu diproses sebaik sahaja tiba di rumah untuk mengelakkan dari kekeringan dan mati. Paku-pakis mesti dipotong bahagian-bahagian yang tua dan disiang dari pohon tumpang lain yang turut balik bersamanya. 

Ia kemudian dibungkus dengan sphagnum moss kering yang telah direndam air terlebih dahulu dan dimasukan ke dalam pasu gantung. 


Mos diletakkan dalam pasu kecil untuk mudah dijual.

 


Bagi clump yang besar dan cantik, calon menjadi masterpiece (dan boleh dijual mahal tentunya) akan dilekatkan kepada kepingan paku gajah (fern slab) atau kayu hanyut (driftwood) bersama dengan mos kering supaya kelihatan lebih antik. Pohon gaya klasik ini mendapat perhatian pengumpul tumbuhan unik bagi menghiasi banglo mewah mereka dan bakal menjadi perhatian dan bahan kekaguman tetamu yang berkunjung. 

Mereka sanggup membayar harga yang tinggi asalkan penjual mahu berpisah dengan masterpiecenya. Kak Zie pernah menjual clump besar fern mata gergaji dengan harga RM500 dan Sim Blue dengan harga RM1400. Beliau mempunyai beberapa pelanggan orang Eropah yang bermastautin di sini dan sudah menganggap Kak Zie sebagai anak angkat mereka walaupun sukar berkomunikasi seperti ayam dengan itik.

Mos Mendapat Sambutan Baik di Bandar

Untuk mos pula biasanya Kak Zie akan letak dalam bakul plastik besar secara mendatar dan pelihara dahulu sehingga subur. Menjelang ekspo besar, kepingan mos akan dipotong dan diletak dalam bekas plastik supaya mudah dijual. 

Peminat mos biasanya membeli bagi dilekatkan pada pangkal fern gantung supaya nampak semula jadi dan menjaga kelembapannya. Ada juga yang tempel pada pasu bonsainya, membuat bola gantung dari mos, menanam dalam balang sebagai terrarium dan tanam pada batu air terjun miniatur.

Mos mendapat sambutan semasa Kak Zie membuat jualan di kawasan bandar seperti Penang dan Shah Alam. Penduduk bandar yang mempunyai kawasan terhad menggunakan mos untuk membuat taman hijau di kediaman mereka. 

Untuk bergerak ke destinasi jualan di bandar dengan stok yang banyak dan kenderaan yang daif bukanlah mudah. Sewa juga mahal, mencecah RM1500 bagi event 3 - 5 hari. 

Jika tidak mampu meyewa tapak penuh, Kak Zie berkongsi separuh dengan kawan-kawan dalam bidang yang sama. Kak Zie bernasib baik mempunyai kawan-kawan yang prihatin dan sentiasa membantu, majoritinya lelaki. 

Walaupun sempit dan tidak selesa, mereka gagahi juga demi minat berniaga dan permintaan rakanrakan media sosial yang ingin membeli. Tidak mampu menyewa hotel terpaksalah tidur dalam kereta dan menggunakan tandas awam untuk mandi-manda. Pendapatan dari menyertai ekspo lebih baik dari tunggu pembeli datang ke rumah yang terhad kepada pelanggan yang berdekatan sahaja. 

Selepas tolak sewa tapak, belanja menjual dan kos pengangkutan cukuplah untuk belanja dalam tempoh mencari fern dan mos sehingga ekspo dan event seterusnya. Walaupun begitu, Kak Zie tidak akan pernah serik dan berputus asa dengan gaya hidupnya sebagai pengait paku-pakis.  

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag