January 06 2025

Penternakan Tiram: Ekonomi dan Pemuliharaan

Penternakan Tiram: Ekonomi dan Pemuliharaan - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Wizilla Janti Joshua

Penternakan tiram di Malaysia semakin berkembang sebagai satu industri yang bukan sahaja menyokong ekonomi komuniti pesisir tetapi juga menawarkan faedah ekologi yang luar biasa. Dengan keupayaan semula jadi tiram untuk menapis air, penternakan ini menjadi pilihan mesra alam yang mampan. 

Tiram dikenali sebagai organisma unik dalam akuakultur kerana ia tidak memerlukan makanan tambahan, sebaliknya   memperoleh nutrisi dengan menapis plankton dan bahan organik dari air. Hal ini menjadikan kos   pengeluaran rendah dan bebas daripada   penggunaan bahan kimia, sekali gus mengurangkan pencemaran persekitaran. 

Menurut Prof. Dato’ Dr. Aileen Tan, Pengarah Pusat Pengajian Marin dan Kajian Pesisir Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia (USM), keupayaan tiram untuk menapis air bukan sahaja meningkatkan   kualiti air di sekelilingnya tetapi juga menyumbang kepada kelestarian kawasan paya bakau. 

Penyelidikan mengenai kitaran hidup tiram yang dijalankan oleh Prof. Aileen bersama dengan para pelajar di bawah penyeliaan beliau.

 


Selain itu, terumbu tiram yang terbentuk secara semula jadi memberikan pelbagai manfaat seperti: 

•    Menjadi habitat kepada spesies marin. 

•    Bertindak sebagai penampan hakisan pantai dan lonjakan ombak semasa ribut. 

•    Alternatif mampan untuk menggantikan struktur buatan manusia yang lebih mahal dan kurang lestari. 

•    Menyerap karbon dioksida dari air laut, membantu mengurangkan jejak karbon global. 

Kejayaan Penternakan Tiram di Merbok, Kedah

Merbok, Kedah, kini menjadi contoh kejayaan   penternakan tiram di Malaysia. Melalui inisiatif pasukan penyelidik yang diketuai Prof. Aileen,   inovasi pembiakan buatan berjaya   mempercepatkan tempoh larva tiram dari sebulan kepada tiga minggu. Kejayaan ini membuktikan   potensi besar tiram sebagai sumber pendapatan baharu serta pemulih ekosistem pesisir pantai. 

Projek ini bermula dengan latihan intensif   kepada komuniti setempat, membimbing mereka dari proses awal hingga tuaian. Usaha ini pada   awalnya menghadapi cabaran, tetapi dengan   bimbingan berterusan, penduduk kini mampu   mengusahakan penternakan t iram secara   komersial. Selain itu, mereka juga memperkayakan ekosistem semulajadi melalui pembentukan terumbu tiram yang menyokong biodiversiti marin. 

Di antara komuniti tempatan yang berjaya menternak tiram di bawah bimbingan Prof. Aileen.

 


Pemberdayaan Komuniti dan Peluang Eko-Pelancongan 

Projek penternakan tiram di Merbok turut memberi peluang kepada kaum wanita untuk terlibat dalam pemprosesan dan pemasaran produk tiram. Selain itu, wanita-wanita ini turut memainkan peranan penting dalam aktiviti eko-pelancongan dengan menawarkan pengalaman kepada pelancong untuk melihat proses penternakan tiram dan melawat   kawasan paya bakau. Aktiviti ini bukan sahaja   menyokong ekonomi tempatan tetapi juga   meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan   memelihara ekosistem paya bakau. 

Inovasi Frugal untuk Kelestarian dan Replikasi Projek

Konsep “inovasi frugal” yang diperkenalkan dalam projek ini menjadikannya mudah dan kos efektif   untuk diusahakan oleh komuniti kecil tanpa   memerlukan dana besar. Pendekatan ini   mengurangkan kos operasi sambil memastikan kaedah penternakan mudah difahami dan   diuruskan. 

Kejayaan di Merbok telah menginspirasi komuniti di kawasan lain seperti Johor, Negeri Sembilan, dan Sabah untuk memulakan projek penternakan tiram dengan sokongan pasukan Prof. Aileen. Melalui   latihan dan sokongan berterusan, komuniti- komuniti ini kini mampu menjadikan penternakan tiram sebagai sumber pendapatan stabil yang turut memelihara alam sekitar. 

Bakul tiram yang digunakan untuk menternak tiram di kawasan persisiran pantai.

 


Kesimpulan: Kelestarian dan Kualiti Hidup

Penternakan tiram di Malaysia adalah bukti bahawa inovasi sains dan teknologi mampu membawa perubahan positif kepada ekonomi dan alam   sekitar. Dengan kos rendah, faedah ekologi yang besar, serta sokongan kepada komuniti pesisir,   penternakan tiram menunjukkan potensi sebagai pemacu ekonomi yang lestari. 

Inisiatif ini juga mengukuhkan keyakinan bahawa inovasi yang sederhana tetapi berkesan dapat menjadi pemangkin kepada perubahan. Dengan pendekatan yang inklusif dan lestari, penternakan tiram bukan sahaja memperkasa komuniti   tempatan tetapi juga menyumbang kepada usaha global dalam menjaga kelestarian alam sekitar.  

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag