July 28 2025

Penanaman Halia di Bentong & Tanah Tinggi Pahang

Penanaman Halia di Bentong & Tanah Tinggi Pahang - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Bushral Karim Md Yusob

Halia (Zingiber officinale) merupakan salah satu rempah yang paling bernilai dalam industri pertanian Malaysia. Digunakan secara meluas dalam masakan, perubatan tradisional dan produk kesihatan, halia mempunyai pasaran yang kukuh baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa. 

Di Pahang, khususnya di daerah Bentong dan kawasan tanah tinggi bersuhu sejuk lain seperti Cameron Highlands, Raub dan Bukit Tinggi, tanaman halia semakin   menjadi tumpuan petani dan usahawan pertanian. Artikel ini akan membincangkan potensi, cabaran dan peluang perusahaan halia di kawasan ini serta langkah-langkah untuk memajukan industri tersebut. 

Kawasan Bentong dan Tanah Tinggi Pahang mempunyai suhu sederhana sejuk (18-25°C) serta kelembapan yang tinggi, yang sangat sesuai untuk pertumbuhan halia. Tanah di kawasan pergunungan ini juga subur dengan sistem saliran yang baik, sekaligus mengurangkan risiko akar halia menjadi busuk. Berbanding dengan kawasan rendah, halia yang ditanam di tanah tinggi mempunyai kandungan minyak pati yang lebih tinggi, menjadikannya lebih pedas dan   bernilai tinggi di pasaran. 

Keistimewaan Halia Pahang

Halia Pahang, terutamanya dari Cameron Highlands, terkenal dengan keharuman dan   kepedasan yang tinggi. Pertumbuhan yang perlahan disebabkan suhu rendah menghasilkan halia yang lebih padat dan kaya dengan rasa. Keistimewaan ini menjadikannya pilihan utama untuk industri makanan, minuman kesihatan, dan produk kosmetik. 

Produk Berasaskan Halia di Bentong

Di sekitar Bentong, Pahang, halia bukan sahaja dijual segar malah terdapat banyak kedai yang memasarkan hasil jeruk dan makanan sampingan berasaskan halia. Pengunjung ke Bentong sering membeli produk-produk berasaskan halia sebagai buah tangan atau bekalan makanan ringan dalam perjalanan. 

Produk-produk kesihatan berasaskan halia turut dihasilkan dalam pelbagai bentuk seperti jus halia bermadu, teh halia, dan ada yang dicampurkan dengan lemon sebagai penawar batuk. 


Halia Bentong siap untuk diedarkan kepada pemborong.

 


Dalam sektor kosmetik, terdapat produk seperti krim halia dan krim urut yang dihasilkan daripada pati halia. Kreativiti masyarakat setempat telah berjaya menambah nilai kepada halia, menjadikan Bentong bukan sahaja terkenal sebagai kawasan penghasil durian Musang King, tetapi juga sebagai pengeluar halia yang berkualiti. 

Pertumbuhan Permintaan Halia

Permintaan terhadap halia segar dan produk berasaskan halia semakin meningkat di Malaysia dan luar negara. Beberapa faktor yang mendorong pertumbuhan pasaran termasuk kesedaran orang ramai terhadap khasiat halia untuk melegakan keradangan, membantu pencernaan, dan menguatkan sistem imuniti. 

Semakin ramai yang mengambil halia sebagai makanan kesihatan melalui tonik halia.   Kandungan halia daripada herba semula jadi berbanding campuran kimia juga semakin   popular di pasaran. 

Potensi Eksport Halia Bentong

Halia yang dihasilkan di Bentong berpotensi untuk dieksport ke pasaran antarabangsa   terutamanya Singapura, Timur Tengah, dan Eropah. Halia segar dieksport untuk kegunaan restoran, manakala halia dalam bentuk serbuk pula dieksport untuk pelbagai kegunaan   termasuk dalam industri kosmetik dan produk kesihatan. 

Peluang Pelancongan Agro

Ladang halia di Bentong dan Tanah Tinggi Pahang berpotensi menjadi tarikan pelancongan. Aktiviti seperti lawatan ladang, program menuai halia sendiri, dan demonstrasi pemprosesan halia boleh menarik minat pelancong tempatan dan antarabangsa. 

Potensi ini belum sepenuhnya diberi perhatian kerana kebanyakan penanam halia masih menghadkan lawatan ke ladang untuk tujuan pelancongan. Proses mengawal kehadiran orang luar ke ladang diperketatkan bagi tujuan kawalan penyakit dan juga disebabkan permintaan yang belum cukup meluas. 

Tanah tinggi dan suhu yang sejuk adalah sesuai untuk tanaman halia.

 

Cabaran dalam Industri Halia

Walaupun mempunyai potensi besar, petani halia di Pahang menghadapi beberapa cabaran termasuk serangan penyakit, kereputan akar dan serangan serangga perosak. 

• Serangan Penyakit dan Kawalan 

Halia yang diserang bakteria akan mempamerkan daun kekuningan dan akar menjadi busuk. Pengusaha tanaman halia perlu segera mengeluarkan halia yang berpenyakit dan menggantikannya dengan tanaman sihat secepat mungkin. Kawalan ini perlu dilakukan untuk memastikan tanaman berpenyakit tidak merebak di ladang. 

• Masalah Kereputan Akar 

Kereputan akar juga boleh menjejaskan kualiti hasil halia. Kereputan ini biasanya berpunca   daripada kawasan tanah lembap yang tidak mempunyai saliran yang baik. Kereputan akar akan menjejaskan hasil pengeluaran. 

• Serangan Serangga Perosak dan Langkah Kawalan 

Halia juga boleh diserang oleh serangga perosak ataupun kutu. Serangga akan merosakkan daun dan batang. Untuk mengawal penularan serangga dan kutu, petani akan menggunakan racun organik yang sesuai. 

Pengusaha ladang halia memberikan perhatian kepada penggunaan baja organik, memastikan sistem pengairan yang baik dan mengamalkan Amalan Pertanian Baik (GAP). Langkah ini boleh mengurangkan penyakit dan meningkatkan hasil keluaran halia. 

Keperluan Benih Bermutu Tinggi dan Kos Pengeluaran

Untuk mendapatkan hasil yang tinggi, pengusaha perlu memastikan benih yang bermutu tinggi ditanam. 

Benih bermutu tinggi lebih mahal dan sedikit sebanyak merupakan kos kepada pengusaha tanaman halia. Pembekal benih terpaksa mengekalkan halia lebih lama di ladang untuk dijadikan benih. 

Hanya halia tua yang telah melengkapkan satu kitaran hayat boleh dijadikan benih, ada   kalanya sehingga berumur 18 bulan. Dengan keperluan benih yang tinggi dan harga yang   tinggi untuk menanam halia, ia dapat menggugat modal petani. 

Keperluan Tenaga Buruh

Penanaman halia dan penjagaannya juga memerlukan banyak tenaga buruh. Kesediaan penduduk tempatan untuk memenuhi keperluan buruh turut menjadi masalah kepada   pengusaha. Pada masa ini, pengusaha ladang halia yang besar masih membawa masuk buruh luar untuk menanam, menjaga dan mengawal ladang halia daripada serangan serangga dan penyakit. Adalah satu hakikat bahawa proses penanaman, penjagaan dan penuaian halia memerlukan banyak tenaga buruh. 

Penggunaan Teknologi Moden

Pengusaha ladang halia juga bergantung kepada teknologi pertanian moden, seperti jentera   penuaian, untuk mengurangkan kos, terutamanya pada peringkat penyediaan tapak dan batas halia serta semasa proses penyiraman dan penuaian. 

Persaingan Pasaran dan Strategi Penjenamaan

Pasaran halia juga terpaksa menghadapi saingan harga halia dari China, Indonesia dan   Thailand. Halia yang datang dari negara-negara ini sering dijual dengan harga yang lebih murah di pasaran tempatan, menyukarkan petani tempatan untuk bersaing. Hanya dengan   menjadikan halia tempatan sebagai produk premium dan memprosesnya menjadi hasil   nilai tambah dapat membantu meningkatkan harga halia tempatan. 

Usaha Kerajaan dan Swasta

Kerajaan turut memberikan sokongan kepada penanam halia dengan menyediakan benih halia berkualiti dan mempromosikan latihan serta teknik penanaman halia secara moden. Melalui MARDI, LPP dan FAMA, pelbagai latihan dan sokongan diberikan termasuk membantu   memasarkan dan mengedarkan hasil halia. 


Halia yang dituai, akan dibersihkan sebelum diedarkan.

 


Inisiatif Sektor Swasta

Beberapa syarikat telah melabur dalam industri halia dengan membangunkan produk bernilai tambah seperti halia kering, jeruk halia, minyak halia dan pelbagai makanan kesihatan. 

Melalui hebahan dalam media sosial, terdapat pelbagai produk yang mula mendapat perhatian masyarakat, terutamanya halia dan madu, halia lemon dan minyak halia. 

Pihak swasta juga telah memudahkan petani memasarkan produk melalui kontrak pertanian dan pembungkusan produk untuk dijual ke pasaran tempatan, pasaran eksport dan e-dagang. 

Peluang Masa Depan

Masa depan industri halia di Negeri Pahang, terutamanya di kawasan tanah tinggi   berhampiran Bentong, adalah cerah. Ramai pengusaha berjaya menjadikan halia sebagai sumber pendapatan. 

Produk-produk berasaskan halia boleh ditumpukan kepada makanan kesihatan, minuman fungsian atau produk kosmetik. Teknologi moden seperti penggunaan IoT boleh membantu memantau kelembapan tanah, mengawal sistem pengairan secara automatik dan menggunakan mesin pemproses halia yang canggih. 

Untuk memasarkan halia di peringkat antarabangsa, usaha-usaha perlu diteruskan bagi memenuhi permintaan yang tinggi di Jepun dan Korea. Pihak berkuasa dan pengusaha juga perlu mempelajari teknologi terbaik daripada negara China dan India untuk meningkatkan lagi kualiti pengeluaran halia tempatan. 

Kesimpulan

Industri halia di Bentong dan Tanah Tinggi Pahang mempunyai potensi besar untuk menjadi penyumbang utama ekonomi pertanian negeri. 

Dengan gabungan sokongan kerajaan, teknologi moden dan strategi pemasaran yang efektif, halia Pahang bukan sahaja dapat memenuhi permintaan tempatan tetapi juga bersaing di peringkat global. 

Usaha berterusan dalam meningkatkan kualiti, mengurangkan kos dan mempelbagaikan produk berasaskan halia akan memastikan industri ini terus berkembang dan memberi manfaat kepada petani serta usahawan tempatan.

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag