November 24 2025

Palma Acai Tanaman Ekonomi Anti-oksidan

Palma Acai Tanaman Ekonomi Anti-oksidan - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Jamaludin Mat Rashid

Terdapat beberapa makanan yang dianggap sebagai superfood kerana faedah kesihatan kepada tubuh badan yang disumbangkannya, seperti chia seed, bayam, avokado, salmon, dan tuna. Antara yang terkini dalam senarai ialah acai beri. Sejak penemuannya sekitar  dan tuna. Antara yang terkini dalam senarai ialah acai beri. Sejak penemuannya sekitar  tahun 1990-an, permintaan terhadap acai beri meningkat sebanyak 16,000 kali ganda.

Sebelumnya, ia hanyalah rahsia yang ditutup rapat oleh kaum asli di Lembangan Amazon tentang kebaikan buah palma yang mampu menjadikan orang awet muda dan hidup sihat hingga ke usia tua.

Ya, acai beri bukanlah buah beri seperti blueberry atau cranberry seperti yang dibayangkan oleh orang Eropah, tetapi merupakan buah palma dari spesies Euterpe oleracea

Ia sekeluarga dengan kelapa sawit yang sering  diwar-warkan sebagai buah tropika yang penuh kesan negatif kepada kesihatan. Pokok acai beri tumbuh dari sebiji benih tetapi tumbuh berumpun seakan-akan pohon nibung, namun tanpa duri. 

Setiap batang menjadi pohon individu yang tidak terikat dengan pohon lain dalam rumpunnya, sama ada untuk berbuah atau berbunga. 

Jika pokok sawit tumbuh secara tunggal dalam barisan, pokok acai beri tumbuh dengan 4–6 batang sebesar batang pinang biasa pada setiap titik  tumbuh, dengan ketinggian mampu mencecah  25 meter. 

Daunnya berpelepah seperti pokok palma lain,  dengan daun yang kecil dan jarang-jarang, tidak ubah seperti pelepah rotan manau.

Kebaikan dan Khasiat Acai Beri

Kebaikan acai beri datang daripada kandungan antioksidan yang sangat tinggi di dalamnya, selain lemak tumbuhan yang menyihatkan dan serat larut air yang tinggi. 

Komposisi yang unik ini menjadikannya sebagai sumber semula jadi yang sangat tepat dalam formulasi makanan kesihatan bagi mengawal berat badan, menurunkan kandungan kolesterol dalam darah, mencegah diabetes, antikanser, dan mencegah penyakit-penyakit manusia moden yang lain. 

Pokok palma acai tumbuh subur di kawasan berpaya dan lembangan sungai Amazon, mampu mencapai ketinggian sehingga 25 meter.

 

Oleh kerana sifat itu, acai beri mendapat jolokan sebagai "Brazilian superfruit" dari Amazon, di mana ia menjadi makanan utama masyarakat di sana berupa krim ungu yang dimakan dengan ikan goreng dan kanji ubi kayu.

Ia mempunyai rasa seperti paduan antara buah beri dan coklat yang tidak manis. Ia menjadi kegilaan di seluruh dunia apabila terdapat tulisan saintis  yang menerangkan kebaikannya sebagai jawapan bagi masalah pemakanan kini. 

Penghasilan Puri Acai Beri 

Puri dari pulpa acai beri dihasilkan daripada buah palma yang dilerai dari tangkai dan direndam dalam air bagi melembutkannya. Setelah  perikarpnya lembut, ia digosok sesama sendiri  di dalam penapis yang menghasilkan puri di dalam  besen yang ditadah di bawahnya. 

Hanya 5% puri dihasilkan dan 95% lagi ialah biji palma yang ditinggalkan dalam penapis sebesar ibu jari. Ia dibilas dan dibuang sahaja walaupun kilang besar menggunakan biji-biji ini sebagai sumber bahan api untuk mendidihkan dandang bagi janakuasa kilang, sama seperti operasi kilang sawit. 

Puri yang berwarna ungu gelap ini mempunyai hayat yang sangat pendek. Untuk pasaran yang lebih luas, misalnya untuk pasaran eksport, ia diproses menjadi tepung dengan teknik spray dry, jus yang diperah, atau puri yang dibekukan. 

Pengusaha produk kesihatan akan mengadun salah satu daripada bentuk keluaran acai beri ini untuk menghasilkan produk mereka, biasanya dalam bentuk jus sedia untuk diminum. 

Kandungan antioksidan yang tinggi menyebabkan hanya sedikit bahan acai beri diperlukan, menjadikannya sangat ekonomik untuk  menghasilkan produk kesihatan yang boleh dijual dengan harga yang mahal. 

Permintaan Global 

Bermula dengan pendedahan cerita makanan yang pelik dari Lembangan Amazon di bahagian Brazil, acai beri menjadi superfood yang diburu hasil darip ada penyelidikan dan tulisan-tulisan penyelidikan sejak tahun 1990-an. 

Sejak dari itu, puri yang disangka sebagai buah beri yang penuh khasiat menjadi kegilaan dunia. Setiap produk makanan di para-para pasar raya  berlumba-lumba ingin dilabel sebagai mengandungi acai beri—baik minuman bergas, kordial, aiskrim, dan ketulan coklat berenergi.  

Permintaan untuk eksport acai beri dari Brazil ke Amerika Syarikat, Jepun, dan Australia naik beribu-ribu kali ganda. Ada yang menganggarkan pertumbuhan setinggi 16 ribu kali ganda. 

Palma Acai (disebut ah-ssah-ee/ahh-saii) adalah dari keluarga palma yang berasal dari Paraguay, Brazil, dan Argentina. Buahnya sebesar ibu jari tangan, berwarna ungu gelap, dan isinya berwarna kekuningan. 

Terdapat biji yang keras di tengahnya seperti kebanyakan buah palma. Tumbuhan ini tumbuh dengan subur di Lembangan Amazon yang sering basah, kadangkala dilimpahi banjir.

Ciri-Ciri Pertumbuhan dan Penuaian

Mayang buah terbit di bawah pelepah dengan mayang tergantung ke bawah pada ketinggian 15–25 meter dari aras tanah, menjadi satu situasi yang  mencabar untuk memetiknya. Setiap mayang mempunyai jejari di mana 600–1000 buah  melekat padanya. Biasanya, pohon acai beri  dipanjat atau menggunakan galah panjang bagi menurunkan mayang dengan buah yang masak. 

Kerja memanjat dibuat dengan kaedah tradisional yang unik, menggunakan tali sekelit (peconha dalam istilah tempatan) dari upih pohon acai sendiri. Upih yang lembut dikoyak menjadi selebar tiga jari dan dipintal menjadi tali, disimpul menjadi gelung kira-kira 16 inci diameter, lalu diletakkan antara dua tapak kaki untuk menjadi penyangga pada batang palma ketika memanjat. 

Pada kedudukan tertentu, pemanjat dapat  melonjak dengan mudah menuju puncak menggunakan kekuatan kaki dan tangan. Sangat bersahaja bagi mereka yang berpengalaman. 

Risiko dan Cabaran 

Jika terdapat lebih daripada satu mayang yang boleh dipetik dalam satu rumpun yang padat, pemanjat akan bergerak dari satu batang  ke batang yang lain tanpa turun ke tanah pada ketinggian 25 meter dengan gaya akrobatik yang menggelikan tapak kaki. Batang acai beri yang kecil (10–18 cm) berkemungkinan patah berhampiran pucuk kerana bahagian atas  lebih muda dan lembut. 

Kejadian pemanjat jatuh bukanlah perkara asing kerana setiap pemanjat terpaksa memanjat antara 30–40 pokok dalam sehari. 


Puri acai yang berwarna ungu gelap dihasilkan daripada perikarp buah, kaya dengan antioksidan.

 


Pasaran dunia bagi acai beri dianggarkan sebesar USD 1,500 juta pada tahun 2023, dengan pertumbuhan tahunan sebanyak 9.80% setahun antara tahun 2024 hingga 2033. Pasaran dunia dijangka mencecah USD 3,800 juta menjelang  tahun 2033. Peningkatan yang begitu tinggi ini berpunca daripada permintaan yang besar  bagi pembuatan produk kesihatan. 

Tren pengguna dunia yang beralih kepada makanan kesihatan tinggi antioksidan untuk kawalan berat badan, merendahkan kolesterol, antidiabetes, dan antikanser menyokong permintaan acai beri yang mempunyai nilai pemakanan yang sangat tinggi dan ekonomik.

Potensi Penanaman di Malaysia

Malaysia yang mempunyai iklim tropika dan taburan hujan yang tinggi sangat sesuai dengan tanaman ini, lebih-lebih lagi di kawasan berpaya dan kawasan yang tinggi paras air tanah (water-logged dan high water-table area). Dengan harga yang baik dan permintaan yang melebihi bekalan, penerokaan ke atas tanaman ini haruslah dibuat terutama oleh agensi penyelidikan. 

Dikhabarkan sudah ada pengusaha yang menanam acai beri di Sabah seperti Bayu Farm di Tamparuli. Penang Tropical Fruits Farm di Teluk Bahang, Pulau Pinang juga sudah mempunyai pokok yang telah  pun menghasilkan buah. 

Ladang-ladang tempatan ini boleh dijadikan pusat kajian awal bagi tanaman, terutama mengenai kesesuaian terhadap cuaca tempatan dan potensi serangan penyakit sebelum penyelidikan yang  lebih besar boleh dijalankan. Sumber benih juga boleh diperoleh dari sini bagi tujuan pembaikbiakan tanaman. 

Malaysia telah berjaya menjadikan dua tanaman dari Lembangan Amazon, iaitu getah dan kelapa sawit, sehingga menjadi tanaman industri.  Mungkinkah acai beri akan menjadi tanaman yang berikutnya?

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag