October 01 2025
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
Perbincangan mengenai industri padi negara tidak dapat lari daripada perkembangan di Kedah sebagai jelapang padi utama. Keadaan terkini menyaksikan kilang padi bumiputra terakhir bakal ditutup ekoran kos operasi yang semakin tinggi. Jika 15 tahun lalu terdapat 20 buah kilang padi bumiputra di Kedah dan Perlis, kini yang terakhir ini juga bakal menghentikan operasi.
Menurut pemilik Kilang Padi Dibuk, Tuan Haji Marzhuki Othman, beliau terpaksa menggulung tikar syarikat miliknya setelah menanggung kerugian jutaan ringgit setahun.
Antara faktor utama ialah kenaikan kos bahan api, alat ganti, dan upah buruh.
Selain itu, kenaikan harga belian padi dan harga siling beras tempatan turut menyumbang kepada keputusan ini.
Apabila ditanya mengapa kilang milik bukan bumiputra mampu mengatasi isu-isu tersebut, Haji Marzhuki menjelaskan bahawa pemilik berkenaan sanggup melakukan apa sahaja demi keuntungan, sedangkan beliau sebagai seorang yang berpegang pada jati diri tidak sanggup berbuat demikian.
Beliau mendedahkan amalan manipulasi gred beras di mana pembungkus mencampurkan beras tempatan yang dikawal harga dengan beras import yang tidak tertakluk kepada harga siling, kemudian menjualnya pada harga beras import dengan margin keuntungan sekitar RM1 bagi setiap kilogram. Komen beliau telah menjadi topik perbahasan hangat dan mendapat pelbagai reaksi di media sosial.
Cadangan LZNK dan Sikap Skeptikal Masyarakat
Dalam kemelut kilang padi yang tidak mendapat keuntungan sewajarnya, timbul cadangan daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) untuk membeli kilang padi dan menjadi salah satu pengilang padi di negeri tersebut.
Namun, ramai pemerhati industri padi bersikap skeptikal dengan idea ini. Mereka mempersoalkan bagaimana pemain baru seperti LZNK mampu berjaya sedangkan pengusaha berpengalaman 30 tahun seperti Haji Marzhuki terpaksa menarik diri.
Stigma ini memang telah lama wujud dalam minda masyarakat petani kerana sejak zaman nenek moyang mereka, pemilik kilang padi dianggap sebagai “godfather” - tempat mereka meminjam wang ketika kehabisan belanja dapur, mendaftar anak ke sekolah berasrama penuh, membeli racun tambahan ketika serangan penyakit, malah untuk urusan pengebumian ahli keluarga.
Sistem Padi Kunca dan Eksploitasi Petani
Di sinilah lahirnya sistem padi kunca, di mana petani menjual padi yang masih di pokok melalui sistem kredit tanpa cagaran, tetapi tanpa pernyataan jelas mengenai peratus faedah yang dikenakan.
Peraturan yang telah lama dipahami oleh semua pihak menyatakan bahawa jika berhutang, padi wajib dijual hanya kepada kilang tertentu. Sekiranya dibantah, kadar faedah pinjaman akan berganda.
Akibat beban hutang, petani tidak berdaya untuk membantah kadar potongan yang dikenakan ke atas padi basah dan padi hampa ketika menjual hasil.
Monopoli kilang padi dalam pembelian padi di kawasan tertentu semakin meluas sehingga membentuk kartel yang mengawal petani miskin. Senario ini telah berlanjutan selama beberapa generasi dan masih wujud hingga kini dengan sedikit perubahan.
Profil Datuk Syeikh Zakaria Othman
Individu di sebalik idea pemilikan kilang padi oleh LZNK ialah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syeikh Zakaria Othman.
Beliau sering menjadi tumpuan bukan sahaja dalam kalangan asnaf dan pesawah, malah menimbulkan rasa cemburu dalam kalangan pesaing industri padi.
Datuk Syeikh Zakaria kerap muncul di televisyen dan akhbar membincangkan isu zakat dan wakaf. Kini, beliau juga aktif menghasilkan podcast di media sosial yang membicarakan masalah petani miskin dan usahawan bumiputera yang tertindas.
Ramai yang tertanya-tanya tentang identiti pemikir ini yang sentiasa melontarkan idea unik namun berpotensi merevolusikan industri padi. Setiap yang disentuhnya seolah-olah bertukar menjadi emas!
Visi LZNK dalam Industri Padi
Menurut Datuk Syeikh Zakaria, ekosistem industri padi tidak akan lengkap tanpa LZNK memiliki kilang memproses dan membungkus padi sebelum diedarkan kepada asnaf.
LZNK mensasarkan pembinaan kilang pemprosesan padi sendiri untuk memenuhi keperluan semasa dan meningkatkan nilai bantuan kepada semua asnaf di negeri ini.
Model Kos Rendah untuk Manfaat Asnaf
Lebih ramai asnaf dapat dibantu apabila setiap peringkat pengeluaran padi - dari membajak, membaja, menuai, mengangkut hingga memproses - dijalankan dengan kos minimum kerana tiada pengambilan untung oleh orang tengah.
Kilang bernilai RM12 juta ini akan memenuhi tuntutan fardu kifayah memandangkan ketiadaan kilang pemprosesan padi milik orang Islam.
Jika 15 tahun lalu terdapat lebih 20 kilang padi bumiputera Islam, kini yang terakhir pun bakal ditutup.
LZNK mengambil inisiatif mengumpul modal untuk mengambil alih sebuah kilang padi berhampiran projek Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB).
Semua padi dari Projek Smart SBB seluas 200 hektar di Yan akan diproses di kilang ini.
Kilang ini juga menawarkan perkhidmatan pemprosesan padi untuk petani sekitar secara telus mengikut syariat, tanpa potongan melampau untuk padi basah atau hampa seperti amalan kilang konvensional.
Padi yang diusahakan peserta asnaf dalam program Smart SBB akan diproses di kilang milik LZNK dan MAIK sebelum diagihkan kepada golongan asnaf melalui pusat agihan makanan di masjid-masjid.
Projek kilang padi berkonsepkan wakaf ini merupakan yang pertama seumpamanya di Nusantara malah di Asia Tenggara. Dikenali sebagai projek 'Hassan' - merujuk kepada projek kebajikan untuk meningkatkan ekonomi dan martabat umat Islam - ia bertujuan mewujudkan penjimatan, keadilan dan ketelusan dalam ekosistem industri padi di Kedah.
Matlamat Strategik Projek Hassan
Majoriti pembayar zakat di Kedah terdiri daripada petani padi, yang kebanyakannya hidup dalam kemiskinan. Selain membantu asnaf melalui zakat, projek ini bertujuan mencipta iklim industri padi yang sihat dan bebas daripada manipulasi orang tengah yang mengambil keuntungan besar daripada industri makanan asasi rakyat.
Tanggungjawab ini dipikul bersama oleh LZNK dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK).
Sebagai dua badan agama berautoriti, LZNK dan MAIK mengambil inisiatif mengumpul dana untuk membiayai projek memberi manfaat jangka panjang.
Harta wakaf yang diamanahkan akan dijadikan modal untuk menjana pendapatan mampan melalui pembelian kilang padi di Daerah Yan. Kerjasama ini bukan sahaja memudahkan kutipan dana malah menggalakkan masyarakat menyumbang melalui wakaf.
Model Pembiayaan Wakaf dalam Industri Padi
Projek yang dibiayai oleh institusi wakaf bukanlah perkara asing dalam dunia Islam.
Di Turkiye misalnya, konsep wakaf dilaksanakan dalam pelbagai projek - dari yang kecil seperti membiayai rumah anak yatim sehingga yang besar seperti menaja universiti.
Projek kilang padi LZNK ini dibiayai secara tunai, bermakna tiada pinjaman bank digunakan dan syarikat tidak menanggung kos kewangan.
Dengan kata lain, ia bebas riba dan tiada orang tengah yang mendapat keuntungan tanpa melakukan kerja produktif. Ini membuktikan perniagaan tanpa riba lebih diberkati.
Masalah dalam Ekosistem Industri Padi Konvensional Sebaliknya, ekosistem industri padi sedia ada berada di luar kerangka yang wajar, di mana pelaburan besar berfaedah tinggi digunakan untuk membeli jentera menuai, lori, dan membina kilang padi.
Dalam jangka panjang, majoriti margin keuntungan digunakan untuk membayar faedah bank.
Keadaan nampak selesa ketika mesin masih baharu, tetapi apabila nilai susut nilai mencapai paras book value, kos pembaikan dan penyelenggaraan menjadi sangat tinggi.
Punca Kegagalan Kilang Padi Bumiputera
Tanpa rizab simpanan yang mencukupi dan pengurusan kewangan yang mantap, perniagaan menghadapi risiko gulung tikar. Inilah jawapan mengapa kilang padi bumiputera di Kedah dan Perlis telah lenyap tanpa bekas.
Menurut Datuk Sheikh Zakaria, pembelian kilang ini akan membuka peluang pekerjaan kepada asnaf sekaligus memproses padi yang ditanam oleh golongan tersebut. Langkah proaktif ini berfungsi sebagai serampang dua mata yang mampu mempercepatkan proses keluar daripada kemiskinan melalui penyediaan pekerjaan atau peluang usahawan.
Penerima Zakat menjadi Pembayar Zakat
Terdapat ramai usahawan yang dahulunya penerima zakat, kini memiliki perniagaan sendiri sehingga mampu menggaji pekerja dari kalangan asnaf dan menjadi rakan zakat LZNK. Mereka kini bukan sahaja mengeluarkan zakat malah menyumbang kepada tabung wakaf bagi projek Hassan seperti kilang padi ini.
Inovasi Pengumpulan Dana Wakaf
LZNK memperkenalkan pendekatan moden dalam pengumpulan dana wakaf dengan menyediakan kod QR melalui media sosial dan media cetak. Penyumbang hanya perlu mengimbas kod tersebut untuk terus dihubungkan dengan akaun yang berkenaan.
Program 'Zakat On Job'
LZNK turut melancarkan Program 'Zakat On Job' untuk membantu golongan asnaf terutamanya penganggur mendapatkan pekerjaan di agensi pembayar zakat. Seramai 12,500 penerima zakat di negeri ini dijangka mendapat manfaat daripada program ini. LZNK menggalakkan asnaf dan penganggur tampil ke pejabat zakat daerah masing-masing untuk ditempatkan pada jawatan kosong mengikut kelayakan.
Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah) mengeluarkan kenyataan bahawa ramai pengusaha kilang padi bumiputera mengambil pinjaman daripada pemodal bukan bumiputera yang menguasai pengedaran beras sama ada sebagai pemborong atau peruncit.
Secara langsung, pemodal ini berkuasa menentukan harga yang akan diterima, menyebabkan pengusaha kilang kehilangan kuasa membuat keputusan dan tidak mampu bersaing dalam pasaran terbuka.
Menurut PeSawah, pemodal besar mampu membeli padi dengan harga lebih tinggi daripada yang ditetapkan kerajaan serta membayar kos pengangkutan melebihi kadar yang dibayar oleh BERNAS (Padiberas Nasional Berhad) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
Situasi ini menyebabkan bekalan padi tertumpu di kilang mereka kerana faktor harga yang menarik dan insentif kepada pengangkut.
Walaupun kos operasi tinggi menyebabkan margin keuntungan kecil atau sekadar pulang modal, pemodal tetap meraih keuntungan besar melalui manipulasi seperti menukar beras tempatan kepada beras import.
Buktinya, bekalan beras tempatan semakin berkurangan sedangkan beras import melimpah ruah. Kelemahan penguatkuasaan turut menyumbang kepada keadaan ini.
Mampukah Ubah Ekosistem Industri?
Persoalan timbul sama ada kilang padi yang dibina dengan dana wakaf seperti inisiatif LZNK mampu mengubah ekosistem industri padi menjadi lebih adil, jimat dan telus. Jawapannya hanya akan terbukti dengan peredaran masa.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.