August 12 2024

Kesan EI Nino Pada Tanaman Kelapa Sawit

Kesan EI Nino Pada Tanaman Kelapa Sawit - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Jamaludin Mat Rashid

Seluruh dunia merungut mengenai fenomena turunnya hasil pertanian akibat dari gejala El Nino dan La Nina. Cuaca di merata pelosok dunia menjadi tunggang langgang akibat dari perubahan musim yang tidak menentu. Menjalankan aktiviti pertanian tidak semudah seperti di zaman nenek moyang dahulu. Walaupun mereka terpaksa membanting tulang empat kerat mengerjakan tanah, cuaca di zaman itu sangat mudah difahami. Hanya perpandukan pokok-pokok tertentu bagi mengesan perubahan musim untuk menentukan bila hujan akan turun dan bermulanya musim menanam yang baru. 

El Nino adalah fenomena iklim berpunca dari pemanasan suhu permukaan laut di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik yang beriklim tropika. Pemanasan laut ini memberi kesan yang sangat besar terhadap cuaca dunia dan mempengaruhi penghasilan bahan makanan untuk penduduk dunia. Hasil pertanian menurun, negara-negara pengeluar bahan makanan terutama beras, gandum dan jagung mengurangkan eksport dengan drastik bagi menjamin makanan dalam negara sendiri. Ditambah dengan beberapa peperangan, semua negara di dunia bercakap mengenai keterjaminan makanan bagi negara masing-masing. 

Fenomena El Nino dan lawannya La Nina membawa dua situasi berbeza di mana kejadian El Nino membawa kemarau yang panjang hingga dapat membunuh majoriti tanaman manakala La Nina membawa hujan yang sangat lebat hingga menyebabkan banjir besar, menenggelamkan kawasan pertanian di kawasan rendah. Keduadua ekstrem ini memberi kesan yang sangat buruk kepada bidang pertanian. Hasil pertanian menurun, tanaman diserang wabak penyakit dan serangga manakala petani terpaksa mengubah jadual tanaman mengikut corak cuaca terkini kadang kala lebih merosakan dari menambahkan hasil. 

Bagi tanaman semusim, kesan kemarau melampau dari El Nino sedikit sebanyak masih dapat diatasi dengan sistem pengairan yang berkesan. Namun bagi tanaman kekal seperti kelapa sawit kejatuhan hasil hanya akan diketahui seawalnya 6 bulan kemudian dari tempoh berlakunya kekeringan dan pokok sendiri yang menentukan sama ada akan mengeluarkan bunga jantan (bermaksud tiada buah akan terhasil) atau bunga betina yang akan membentuk buah. Tiada kawalan dapat dibuat ke atasnya. Sejak dari dulu lagi penentu putaran pembentukan bunga betina dan bunga jantan bagi tanaman kelapa sawit menjadi teka-teki bagi penyelidik. 

Seperti diketahui umum, tanaman kelapa sawit dapat mengeluarkan hasil optima pada kawasan yang mendapat curahan hujan yang tinggi melebihi 2000mm per tahun. Taburan hujan pula mestilah sekata sepanjang tahun tanpa bulan-bulan yang kering di bawah keperluan pokok dengan suhu udara di antara 32-35°C. Curahan hujan mestilah diterima sekurang-kurangnya 150mm sebulan bagi menampng jumlah air yang hilang ke udara melalui proses pengewapan yang tinggi ketika kemarau. 

Faktor persekitaran yang memberi kesan langsung terhadap hasil kelapa sawit ialah faktor iklim dan keadaan tanah. Faktor iklim melibatkan antaranya intensiti cahaya matahari, suhu, curahan hujan dan kelembapan udara manakala faktor tanah melibatkan aspek fizikal tanah dan sifat kimia tanah. Kelapa sawit menyukai kawasan tropika basah dengan ketinggian 0-500 meter dari aras laut, mendapat sinar matahari 5-7 jam per hari atau 1600 jam setahun. Apabila berlakunya kurang sinar matahari akibat dari jerebu atau sinar matahari dihalang oleh asap gunung berapi misalnya, pertumbuhan lambat, nisbah bunga betina berbanding bunga jantan akan berkurang manakala serangan kulat dan perosak akan meningkat. 


Anak benih sawit yang baru ditanam tetapi tidak mendapat hujan. FB: Alab Motor Senagang

 

Pengurangan Hasil Akibat EI Nino Tahap Berlainan

Situasi iklim yang memberi kesan langsung kepada tanaman kelapa sawit ialah kesan akibat dari kekurangan air, kelebihan air dan stres akibat dari suhu melampau (suhu udara). Kemarau akan menyebabkan FFB berkurang dan dapat dilihat kesannya di antara 7 hingga 11 bulan kemudian. 

Pengurangan hasil akibat dari El Nino memberi tahap yang berbeza-beza mengikut keadaan pokok seperti umur pokok ketika berlakunya musim kemarau teruk, keadaan fizikal tanah dan berapa seriusnya situasi kemarau berkenaan. Kajian yang dilakukan pada musim kemarau paling teruk sekitar 2015 menunjukkan pokok muda kurang terkesan dengan kemarau berbanding pokok dewasa (sehingga berumur 20 tahun), manakala pokok tua mengalami kesan yang serius dengan pembentukan bunga betina paling sedikit dan kejadian pelepah patah sangat tinggi. 

Tahap seriusnya sesuatu tempoh kemarau itu berlaku diukur dengan kekurangan air berbanding keperluan sebenar pokok. Punca kekurangan air ini mungkin berpunca dari sebaran hujan yang tidak sekata sepanjang tahun walaupun jumlah minima hujan tahunan mencukupi. Mengikut beberapa kajian pengurangan air hujan antara 200 - 300mm setahun akan memberi pengurangan hasil FFB sehingga 20 - 30 peratus, manakala defisit air melebihi 500mm setahun akan memberi pengurangan hasil sehingga 65%. 


Nisbah bunga betina yang rendah akibat kekurangan air lebih dari enam bulan terdahulu. FB: Mohd Nizam Pora

 


Ini memberi jawapan kepada soalan kenapa hasil kelapa sawit di utara Semenanjung bermula dari utara bandar Sungai Petani di Kedah hingga ke Padang Besar di Perlis sangat rendah walaupun pohonnya kelihatan subur. Musim kemarau yang nyata (dry-spell dengan hujan kurang dari 100mm/ bulan) selama 100 hari bermula pertengahan Disember hingga April setiap tahun di negeri-negeri utara memberi kesan kepada pokok dengan mengeluarkan bunga jantan untuk tempoh yang panjang 3 - 4 bulan sehingga membentuk musim melawas 7 bulan kemudian dan berlangsung selama 4 bulan. 

Bagi mengatasi masalah tingginya nisbah kejadian bunga jantan lebih tinggi dari bunga betina, pemberian pengairan adalah jalan langsung bagi mengatasinya tetapi bukanlah mudah dan murah. Ianya perlu diberikan pada 3 - 4 bulan dalam setahun di mana kekurangan air sangat ketara. Ianya mestilah mengikut kesesuaian topografi sesuatu kawasan dan pertimbangan kos dan pulangan yang munasabah. Antara yang boleh dilakukan ialah: 

1. Peningkatan paras air tanah (water table) dengan binaan ban kecil:

Bagi ladang di tanah yang beralun dengan lurahlurah kecil, empangan kecil boleh diwujudkan dengan membina ban kecil pada tempattempat strategik untuk menampung air dari larian permukaan pada waktu tengkujuh dan disimpan sehingga musim kemarau. 

Ini meningkatkan paras air tanah yang dapat digunakan oleh pohon sawit yang semula jadi mempunyai akar yang panjang. 

Konsep ini mengaplikasi teknik menuai air hujan (rain havesting) dan digabungkan dengan konsevasi tanah. Alur limpah (spill way) mestilah dibuat bagi mengelakkan ban tanah pecah di waktu hujan lebat. 

Beberapa binaan ringkas seperti control bank dan grass waterway boleh dibina bagi mengarahkan air ke empangan kecil. Aktiviti sampingan boleh dibuat di sekitar kolam tadahan ini seperti menternak ikan air tawar yang mudah dijaga seperti sepat siam, puyu dan tilapia. 

Bagi ladang yang mengintergrasi dengan ternakan, kolam tadahan ini menjadi tempat minuman ternakan. Permukaan kolam yang luas juga dapat menyejukkan persekitaran dan menjadi tempat berlindung serangga semula jadi yang membantu pendebungaan kelapa sawit. 

Tanaman yang lemah akibat kemarau terdedah kepada serangan serangga dan penyakit. FB: Amiruddin Omar

 

2. Pengairan Alur (Furrow Irrigation):

Teknik ini adalah mengaplikasi pembinaan alur/ furrow sedalam 1 - 1.5 meter yang digali mengikut kontur tanah bagi 2 barisan atau lebih pokok sawit untuk memerangkap air hujan. Pembinaan parit ini mestilah mengambil kira kemudahan menuai dan lorong untuk mengatur pelepah serta jalanjalan untuk mengangkut FFB. Teknik ini boleh digabungkan dengan teknik 1 di atas. 

Air dari kolam tadahan bolehlah dipam menggunakan pam yang dijana oleh tenaga disel, solar ataupun kincir angin (windmill) ke suatu titik yang tinggi dan mengalir mengikut graviti dari satu alur ke alur di bawahnya hingga kembali semula ke kolam. Teknik ini sememangnya perlu pembiayaan tetapi masih boleh diusahakan oleh pekebun kecil ketika harga sawit berada pada paras yang tinggi. Ianya bukanlah suatu yang baru kerana penulis pernah melawat sebuah estet mengaplikasinya di Jelebu, Negeri Sembilan sejak tahun 2000-an. 

3. Sungkupan:

Sungkupan menggunakan bahan semula jadi dan murah seperti tandan buah kosong (EFB), sekam padi, tinja ayam dapat memerangkap kelembapan dengan lebih lama dan membekal bahan organik kepada tanah. Ianya sedikit sebanyak dapat membantu tanah menyimpan kelembapan di musim kering dan dapat mengawak pertubuhan rumpai. 

4. Tanaman Penutup Bumi:

Konsep tanaman penutup bumi menggunakan tumbuhan yang kurang bersaing dengan kelapa sawit dan membekal bahan organik telah lama diaplikasi. Tanaman kekacang pengikat nitrogen memberi nilai tambah kepada penutup bumi selain mengawal rumpai, mengurangkan hakisan tanah dan mengekalkan kelembapan tanah. 

Kekacang Mucuna bracteata menjadi pilihan kerana bekalan biji benih yang mudah diperolehi, mudah dikawal dan tahan naungan. Paku-pakis seperti Neprolepis biserrata yang merupakan rumpai lembut sesuai juga dijadikan sebagai tanaman penutup bumi dan untuk mengekalkan kelembaan di musim kemarau. 

5. Baja yang meningkatkan kecekapan penggunaan air:

Terdapat beberapa formulasi baja yang baru dirumus oleh MPOB dikatakan dapat membantu sawit melalui tempoh kemarau dengan meningkatkan penggunaan air yang efektif.

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag