November 21 2025

Kelapa SGG Kampung Lebu Subur Ubah Nasib Pengusaha

Kelapa SGG Kampung Lebu Subur Ubah Nasib Pengusaha - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Nik Sukry Ramli

Bermula dengan benih yang mahal, hasil yang lambat serta serangan tupai dan kumbang, seorang pengusaha kelapa di Kampung Lebu, dekat FELDA Mempaga, Bentong tidak  pernah menyangka tanaman kelapa jenis Sungai Gulang-Gulang (SGG) mampu mengubah hidupnya.

Abu Hassan Abulah, 62, berkata, dia mula menanam kelapa jenis itu sejak 2018, namun berdepan dengan pelbagai dugaan apabila hasil tidak menjadi, buah rosak dan terpaksa menanggung kos pagar serta penjagaan yang tinggi. 

Kelapa varieti SGG itu berasal dari Sekinchan, Selangor, dan dibawa ke Kampung Lebu selepas dia melihat potensi tanaman itu.

Kejayaan Kini Dinikmati

“Awal-awal memang susah. Benih mahal, pokok tinggi, tupai tebuk buah, kumbang serang  pucuk."

Tapi saya sabar, belajar dan usaha ikut  tunjuk ajar persatuan,” katanya ketika ditemui  baru-baru ini. 


Abu Hassan menunjukkan kepala jenis SGG yang saiz lebih besar, mempunyai isi tebal dan air yang manis.

 


Dia yang juga ahli Persatuan Usahawan Kelapa Malaysia bagaimanapun mengakui sudah mampu tersenyum apabila tanaman kelapa SGG diusahakan di atas tanah seluas 7 ekar (2.83 hektar) itu mula membawa pulangan yang lumayan. 

Kini, hasil 500 pokok kelapa di atas tanah yang diusahakan itu, dia boleh menjual lebih 7,000 biji seminggu dan memperoleh pendapatan sehingga RM13,000 sebulan. 

“Saya buat sendiri air kelapa, jeli, coconut shake dan jual terus kepada pelanggan termasuk di sebuah restoran yang terletak di laluan utama Jalan Lebu - Raub. "Dulu saya jual pada kawankawan... sekarang semua saya urus sendiri,” katanya lagi.

Keunikan Kelapa SGG

Abu Hassan Abdullah menjelaskan, keunikan kelapa SGG ialah saiznya lebih besar berbanding kelapa biasa, isinya tebal dan airnya juga manis. 

Dalam kebun ini ada juga pokok kelapa pandan, ia untuk menambahkan lagi aroma rasa kelapa SGG yang menjadi tanaman utama dalam kebun saya,” jelasnya. 

Dia yang dibantu isterinya, Suhaida Mat Yusof, 50, berkata kejayaan dikecapi kini hasil kesabaran mereka berdua mengharungi pelbagai dugaan, termasuk kekurangan modal pada peringkat awal.


Pokok kelapa varieti SGG tidak terlalu tinggi dan memudahkan pengusaha memilih dan memetik buah yang sudah matang.

 


Berkongsi Ilmu dan Bekalan

“Saya juga bantu kawan-kawan lain. Jual benih, kongsi ilmu dan bantu mereka mula menanam." Kalau saya tak cukup bekalan, saya ambil daripada mereka,” katanya. Dia memaklumkan, penggunaan baja organik dan garam kasar untuk tempoh setiap tiga bulan diamalkan sebagai langkah kawalan serangga. 

Selain itu, dia juga mengelak penggunaan racun berbahaya bagi memastikan rasa asli air kelapa yang diusahakan tidak terjejas.

“Bagi saya, tanaman kelapa ini ada masa depan. Kalau kita serius, usaha betul-betul, hasilnya sangat berbaloi,” tambahnya. 

Selain menjadi tumpuan penduduk setempat, kebun kelapa milik Abu Hassan Abdullah  turut dikunjungi usahawan muda serta pelajar pertanian dari serata negeri, termasuk dari Sabah dan Sarawak. 


Kelapa SGG menghasilkan antara tiga hingga lima biji pada satu tandan dan menguntungkan pengusaha.

 


Mereka biasanya datang untuk belajar cara penanaman kelapa SGG. "Ada juga yang sanggup menempuh perjalanan jauh semata-mata mahu menimba ilmu secara terus di kebun ini, selepas melihat kejayaan dikongsi di media sosial." 

Bila tengok ramai datang, saya rasa bersemangat nak bantu. Saya kongsi pengalaman supaya orang lain tak lalui kesilapan sama. "Kalau mereka berjaya, itu juga satu kepuasan bagi saya,” katanya sambil berharap lebih ramai belia menceburi bidang pertanian moden.

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag