October 17 2025

Kebun Bandar Dalam Kawasan Masjid

Kebun Bandar Dalam Kawasan Masjid - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Bushral Karim Md Yusob

Kebun bandar bukan  sahaja terdapat dalam kawasan perumahan, malah boleh juga dilaksanakan di kawasan masjid. Terdapat ruang yang cukup dalam kawasan masjid di seluruh negara untuk dijadikan kawasan pertanian bagi mengeluarkan hasil sayur-sayuran, buah-buahan, dan keperluan pemakanan penduduk setempat.

Masjid Bandar Universiti di Seri Iskandar telah melaksanakan program kebun bandar sejak tahun 2019. Setakat tahun 2025, kebun bandar tersebut telah berjaya meraih pelbagai anugerah dan menjadi contoh terbaik untuk masjid-masjid lain dalam menjayakan program kebun bandar.

Masjid ini dipengerusikan oleh Arch. Hj. Azman Zainon Abidin, seorang pesara kakitangan kerajaan. Beliau bersama ahli-ahli  jawatankuasa kariah telah menggerakkan pelbagai aktiviti, dan kebun bandar merupakan salah satu aktiviti utama yang dilaksanakan. 

Masjid Bandar Universiti Seri Iskandar disiapkan pada tahun 2018, dan jawatankuasa  telah dibentuk dengan sebuah koperasi  diwujudkan pada 5 Mei 2021. 

Sebelum penubuhan koperasi, aktiviti pertanian  telah bermula dengan memperkenalkan kursus hidroponik kepada ahli kariah masjid. 

Atas inisiatif siak dan tukang kebun, program hidroponik dilaksanakan secara kecil-kecilan. Program ini kemudian berkembang apabila lebih ramai ahli kariah turut terlibat. 

Selepas penubuhan koperasi, pertanian dan perniagaan menjadi tunjang utama program kebun bandar. Bermula tahun 2020, projek Kebun Bandar  dimulakan dengan kerjasama yang amat memberangsangkan daripada ahli kariah masjid. 

Pada peringkat awal, penyediaan rak tanaman hanya melibatkan sayuran seperti sawi, bayam, dan kangkung. Namun, ia kemudian berkembang dengan penanaman pelbagai jenis sayuran lain.

Pembangunan Dan Kelestarian Masjid

Program kelestarian Masjid Bandar Universiti Seri Iskandar menekankan tujuh aspek utama: 

1. Cekap Penggunaan Tenaga

Kecekapan tenaga merujuk kepada penggunaan tenaga yang minimum untuk menghasilkan output yang sama atau lebih baik.  Ini bermakna mengurangkan pembaziran tenaga tanpa mengorbankan keselesaan atau produktiviti. Masjid ini memasang sistem  solar bagi penggunaan lampu dan juga pam bagi kawasan yang digunakan untuk kebun bandar. 

2. Cekap Penggunaan Air 

Pada peringkat awal pelaksanaan, sumber air diperoleh daripada takungan air hujan. Namun, oleh kerana perolehan air hujan tidak begitu konsisten, masjid masih perlu mendapatkan bekalan  daripada sumber Air Lembaga Air Perak (LAP). 

3. Tumpuan kepada Produk Hijau

Untuk memastikan pelaksanaan produk hijau, beberapa kriteria utama ditumpukan, termasuk penggunaan bahan yang  mudah terurai (biodegradable), tiada bahan kimia digunakan yang boleh membahayakan ekosistem, meminimumkan penggunaan jentera yang mengeluarkan karbon, dan mengurangkan plastik yang dibuang. 


Rak tanaman pada awalnya hanya menanam sawi, bayam dan kangkung, kemudian berkembang kepada pelbagai jenis sayuran lain.

 


4. Pengurusan Sisa Buangan yang Baik 

Bagi pengurusan sisa buangan, ahli-ahli kariah yang terlibat diterangkan tentang kepentingan pengasingan bahan buangan  sama ada kertas, plastik, botol, logam, atau sampah terurai. Penggunaan plastik yang dibuang perlu dikurangkan, sebaliknya digalakkan penggunaan plastik yang boleh dikitar semula. 

5. Mengamalkan Bumi Hijau

Dengan adanya kebun bandar di kawasan masjid, kawasan sekitar masjid akan lebih segar dengan tanaman dan  tumbuhan menghijau, sekaligus meningkatkan kualiti udara  dan alam sekitar. 

6. Mengawal Kualiti Udara

Amalan pembakaran terbuka adalah dilarang, dan sebarang bentuk pencemaran berlebihan menggunakan jentera juga perlu dikawal. 

7. Mengamalkan dan Memberi Tumpuan kepada Gaya Hidup Sihat

Melalui penglibatan ahli kariah, ramai yang mengamalkan  gaya hidup sihat melalui sesi gotong-royong dan rutin harian menjaga tanaman. Bahkan, penglibatan ramai ahli kariah mengeratkan silaturahim.

Kursus Dan Latihan

Pihak jawatankuasa masjid juga telah memberi tumpuan kepada pelbagai kursus dan latihan kepada ahli kariah masjid sejak  kegiatan kebun bandar dijalankan. 

Bermula pada tahun 2019, ahli jawatankuasa telah memberikan latihan hidroponik kepada ahli kariah, dan pada masa yang sama, program hidroponik dimulakan dalam kawasan masjid. 

Selepas bermula dengan latihan tanaman hidroponik, pelbagai lagi kursus, latihan, dan lawatan telah diadakan. 

Antaranya ialah mengikuti Pengenalan Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik dan Pensijilan Organik Malaysia di Cameron Highlands, mengikuti kursus pertanian bandar anjuran Jabatan Pertanian Titi Gantong, mengadakan lawatan sambil  belajar ke Joe Jalil Galeria di Kampung Kepayang dan beberapa lawatan muhibah ke KBRT yang berhampiran.


Beberapa orang ahli kariah menyediakan media dan baja untuk tanaman.

 


Dengan adanya peluang untuk menghadiri kursus, latihan, dan lawatan, semua ahli kariah  yang terlibat dapat melihat potensi kebun bandar, dan ada yang kemudiannya mempraktikkan amalan kebun bandar di rumah masing-masing. 

Pihak masjid juga telah menerima kunjungan daripada pelbagai organisasi lain untuk melihat program kebun bandar. 

Antaranya ialah kunjungan Koperasi Negeri Perak, pelajar-pelajar universiti, dan juga pelajar sekolah dari Negeri Perak. Ahli kariah masjid telah bekerjasama memberikan tunjuk ajar dan latihan yang bersesuaian kepada  pengunjung yang hadir.

Jenis-Jenis Tanaman

Pada masa ini, 34 jenis tanaman sayur dan herba diusahakan, termasuk tongkat ali, tembaga suasa, cekur batik, lidah buaya, temu kunci, setawar, selasih, ketumbar, dan pelbagai lagi herba. 

Terdapat juga 18 jenis pokok buah-buahan yang ditanam, termasuk ciku, kedondong, limau kasturi, mangga, durian belanda, nona, delima, jambu batu, lemon, avokado, dan kurma. 

Penjagaan dilakukan secara bergilir mengikut jadual setiap hari pada waktu pagi dan petang. Setiap giliran akan ada sekurang-kurangnya ……  orang yang melawat ke kebun bandar untuk memastikan kebersihan, pengaliran air, dan penjagaan lain dilaksanakan. 

Rutin ini tidaklah terlalu ketat, tetapi atas kesedaran dan tanggungjawab bersama, pelaksanaannya menjadi lebih mudah untuk semua pihak.

Proses Yang Dilaksanakan

Sepanjang pelaksanaan program Kebun Bandar, pelbagai sumbangan telah diterima daripada YAB Menteri Besar Perak, Jabatan Pertanian, dan orang perseorangan. 

Program ini bermula dengan penyediaan unit hidroponik linkage. Peserta daripada  ahli kariah tempatan akan menyediakan media tanaman yang sesuai. Media yang digunakan ialah cocopeat yang dicampurkan dengan tanah dan dimasukkan ke dalam pasu.

Seterusnya, biji benih dimasukkan ke dalam media tersebut dan disusun di atas unit hidroponik. Baja XY turut disediakan dan dimasukkan ke dalam pasu. Setiap hari, peserta yang bertugas akan menyiram tanaman dan mengawal  rumpai sepanjang tempoh pembesaran pokok. Penjagaan tanaman ini berterusan sehingga tiba masa sesuai untuk kutipan hasil. 

Saluran paip HLT juga diselenggara untuk memudahkan proses penyiraman dan pengairan  di kawasan tanaman. Apabila tiba masa kutipan hasil, tanaman akan dituai dan dibungkus untuk dijual kepada penduduk tempatan. Tanah daripada pasu yang telah digunakan akan dikeluarkan, dibersihkan daripada rumpai dan akar, supaya boleh digunakan semula.

Pemasaran Dan Jualan

Hasil tanaman daripada kebun bandar ini dijual terus kepada penduduk tempatan melalui hebahan atau semasa program jualan kepada  jemaah masjid. Harga jualan ditetapkan  lebih rendah daripada harga pasaran kerana dijual secara langsung tanpa orang tengah.  Hasil jualan tersebut akan dikutip oleh  Koperasi MBU dan menjadi sumber pendapatan yang memuaskan. 

Setakat ini, beberapa anugerah telah diterima oleh inisiatif Masjid Bandar Universiti Seri Iskandar termasuklah Tempat Ketiga dalam Pertandingan Urban Farming Community yang dianjurkan oleh Perbadanan Pertanian Negeri Perak. 

Masjid ini juga telah diiktiraf oleh Kerajaan Negeri Perak sebagai Pengurusan Masjid Terbaik. Selain itu, masjid ini telah memenangi Tempat  Pertama Masjid Lestari Negeri Perak yang dianugerahkan oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak serta menerima Anugerah Khas Program Pertanian Bandar daripada Jabatan Pertanian Perak Tengah.

Kesimpulan

Kebun Bandar merupakan usaha yang lestari untuk meningkatkan pengeluaran makanan negara dan sesuai dilaksanakan oleh penduduk yang tidak mempunyai kawasan luas untuk pertanian secara komersial. 

Kawasan masjid yang sememangnya mempunyai ruang yang lebih luas boleh dimanfaatkan untuk projek kebun bandar. Masjid Bandar Universiti Seri Iskandar merupakan salah satu contoh masjid yang memberi tumpuan kepada peningkatan pengeluaran hasil pertanian secara kebun bandar. 

Tidak terhad kepada masjid sahaja, manamana kawasan yang melibatkan komuniti setempat juga berpotensi untuk dijadikan  kebun bandar. Pelbagai manfaat boleh diperoleh melalui inisiatif ini, termasuk mengukuhkan  hubungan antara ahli komuniti, meningkatkan pengetahuan dalam bidang pertanian, serta menambah sumber pendapatan.

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag