September 05 2024
Oleh: Wizilla Janti Joshua
Harumanis merupakan sejenis buah mangga yang bermusim, berbuah setahun sekali dan tidak asing lagi di Malaysia. Permintaan yang tinggi dalam kalangan pencinta buah harumanis membuatkan harga buah ini melambung tinggi di pasaran tempatan.
Melalui temu bual dengan Presiden Persatuan Gabungan Pekebun Buah-buahan Malaysia, Dato Lawrence Ting, harga penanaman semasa dan potensi buah ini telah diuraikan dengan lebih lanjut.
Keadaan harga dan pasaran harumanis berfungsi untuk menentukan kebolehpasaran buah ini. Menurut informasi yang dikongsikan oleh Dato Lawrence, pasaran tempatan untuk harumanis terbahagi kepada empat kategori pembeli, iaitu individu, peniaga pasar, restoran atau hotel dan juga pembeli dalam talian.
Menurut beliau, harga harumanis yang terkini di pasaran tempatan adalah di antara RM30 hingga RM40 per kilogram dan ianya telah meningkat berbanding dengan harga pada tahun lepas iaitu RM25 hingga RM35 per kilogram. Manakala harga untuk pasaran antarabangsa adalah di antara USD 15 hingga USD 20 per kilogram pada tahun ini mengikut pasaran dan juga permintaan antarabangsa.
Potensi harumanis di pasaran antarabangsa dapat dilihat melalui aktiviti penjualan yang dijalankan oleh peniaga buah import, kedai runcit premium dan juga pembelian dari pengguna-pengguna global dari negara jiran seperti Singapura, Jepun dan negara-negara Timur Tengah yang menghargai buah-buahan tropika yang berkualiti tinggi.
Perubahan pada harga harumanis dapat diperhatikan terutamanya semasa musim kemuncak pengeluaran harumanis iaitu pada bulan April hingga Jun. Bekalan buah harumanis yang dituai dapat dilihat meningkat pada dua bulan tersebut.
Namun begitu, permintaan pasaran yang tinggi dari pembeli terutamanya dari kawasan bandar telah memainkan peranan penting dan mampu meningkatkan harga harumanis tanpa mengira musim kemuncak ataupun musim akhir buah tersebut. Ini telah menimbulkan senario di mana wujud harga jualan yang tidak konsisten dan stabil serta pasaran yang tinggi, melebihi bekalan yang dituai.
Dato Lawrence turut menyatakan bahawa terdapat perbezaan pada nilai harga harumanis yang dijual di pasar segar berbanding dengan pasaran lain seperti di kedai-kedai premium dan jualan dalam talian. Harga harumanis di pasar segar mungkin dijual pada harga yang lebih rendah kerana pembeli berpeluang untuk tawar menawar harga dengan pembeli dan kos untuk penghantaran dan pembungkusan adalah rendah.
Manakala, untuk kedai-kedai premium dan jualan dalam talian, harga jualan adalah lebih tinggi kerana kos pembungkusan dan penghantaran adalah antara faktor yang diambil kira. Kualiti perkhidmatan dengan jaminan buah yang kualiti tinggi juga menjadi titik jualan dan memainkan peranan dalam menentukan harga harumanis di kedai premium dan jualan dalam talian.
Tiada Kawalan Harga Ketat
Dato Lawrence juga berkongsi bahawa buat masa kini, tiada kawalan harga yang ketat untuk pasaran harumanis kerana ianya bergantung dengan permintaan pasaran dan mekanisme penawaran harga.
Walau bagaimanapun, beliau berpendapat bahawa program atau inisiatif dari pihak kerajaan mungkin dapat membantu untuk menstabilkan dan mengawal harga harumanis di pasaran.
Keadaan ini telah mewujudkan persaingan yang kuat dalam kalangan para pengusaha, lebih-lebih lagi ketika musim kemuncak harumanis. Ini kerana elemen seperti keunikan rasa, kualiti yang premium dan eksklusiviti buah bermusim setahun sekali telah mempengaruhi nilai buah ini di pasaran tempatan dan juga pasaran antarabangsa.
Oleh itu, para pengusaha atau penanam buah harumanis berusaha dan bersaing untuk menghasilkan harumanis yang berkualiti tinggi untuk mendapatkan harga terbaik di pasaran.
Berbanding dengan beberapa tahun yang lalu, dari segi promosi dan pasaran, pelbagai inisiatif telah dilakukan oleh para pengusaha termasuklah aktiviti memasarkan harumanis di media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok, platform e-dagang dan penyertaan aktif dalam pameran buah-buahan.
Di samping itu, Dato Lawrence turut berkongsi bahawa usaha untuk mendapatkan pelanggan tetap atau pelanggan jangka masa yang panjang adalah penting untuk para pengusaha buah ini.
Sementara itu, Dato Lawrence juga mendedahkan bahawa setakat ini, terdapat lebih kurang 1000 pengusaha komersial dan pekebun-pekebun kecil yang berdaftar di bawah Persatuan Gabungan Pekebun Buah-buahan Malaysia yang bergiat dalam penanaman harumanis terutamanya di Perlis. Terdapat pertambahan dari segi bilangan ahli yang berdaftar di bawah persatuan ini yang bergiat dalam penanaman harumanis berbanding dengan tahun yang sebelum ini.
Berharap Hasil dan Kualiti Ditingkatkan
Ketika ditanya mengenai potensi bekalan harumanis secara berterusan sepanjang tahun di Malaysia, Dato Lawrence berpendapat bahawa ianya mungkin sukar kerana harumanis adalah buah yang bersifat bermusim dan faktor seperti iklim, cuaca dan teknik penanaman khusus haruslah diambil kira. Beliau turut berkongsi bahawa walaupun bekalan harumanis sepanjang tahun mungkin sukar untuk dicapai, ianya adalah sesuatu yang mungkin boleh diubah pada masa hadapan dengan penggunaan dan capaian teknologi yang baru melalui teknik pertanian moden seperti rumah kaca.
Pihak kerajaan dan universiti tempatan boleh memainkan peranan yang mustahak dalam usaha untuk membangunkan industri tanaman harumanis di Malaysia. Penggunaan teknologi seperti pengairan pintar, kawalan perosak secara efisyen dan mesra alam serta teknik penanaman cara moden juga mungkin dapat meningkatkan hasil dan kualiti buah pada masa hadapan.
Menggalakkan Ahli Usahakan Industri Harumanis
Buat masa kini, Persatuan Gabungan Pekebun Buah-buahan Malaysia juga memberi dorongan yang positif dan signifikan kepada ahli-ahli persatuan untuk menanam harumanis dengan memberikan kursus latihan dan bengkel Pendidikan mengenai teknik penanaman, kawalan perosak dan pengurusan tanaman harumanis.
Persatuan ini juga memberi bantuan dari segi promosi dan pemasaran melalui pameran, ekspo dan kempen pemasaran untuk meningkatkan pendedahan terhadap permintaan harumanis. Ini adalah termasuk ekspo seperti Harumanis Agro Expo 2024 yang diadakan pada bulan April yang lalu. Ianya telah menarik banyak pengusaha harumanis.
Ekspo tersebut adalah bertujuan untuk mempromosikan harumanis sebagai produk tempatan dan menjadi platform untuk membina rangkaian kepada para pengusaha, pekebun, pembeli dan juga pakar-pakar pertanian. Selain itu, ianya menjadi jaringan untuk perkongsian ilmu mengenai teknologi penanaman harumanis yang terkini dan juga kawalan penyakit. Ini telah membuka peluang perniagaan untuk para pengusaha harumanis.
Menurut Dato Lawrence, bekalan harumanis yang dijual di ekspo ini adalah produk dari negeri Perlis dan Kedah. Dato Lawrence juga berkongsi nasihat kepada individu-individu yang ingin menceburi industri tanaman harumanis dengan melakukan kajian pasaran terlebih dahulu untuk memahami permintaan, harga dan juga persaingan dalam pasaran harumanis.
Selain itu, pemahaman dari segi kualiti dan konsistensi juga penting untuk menghasilkan buah berkualiti tinggi sepanjang masa. Inisiatif untuk menggunakan jaringan dan kerjasama dengan pengusaha lain, persatuan pertanian dan agensi kerajaan juga penting untuk mendapatkan sokongan, pengetahuan dan peluang pemasaran buah ini.
Akhir sekali, beliau menyatakan bahawa para pengusaha atau individu yang berminat dalam industri ini haruslah bersikap inovatif sepanjang masa dan terbuka untuk mencipta kelainan dalam proses pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran harumanis untuk membina persaingan yang sihat dan untuk menambah nilai pada produk harumanis yang dikeluarkan pada setiap musim.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.