October 14 2024

Emas Hijau Mampu Jana RM400K Per Ekar

Emas Hijau Mampu Jana RM400K Per Ekar - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Jamaludin Mat Rashid

Isu kekurangan kawasan untuk mengusahakan sesuatu tanaman sering kali menjadi penyebab sesuatu idea tertangguh. Sumber tanah sememangnya semakin terhad dan menjadi komoditi yang semakin mahal. Pengeluaran tanaman bernilai tinggi tetapi menggunakan kawasan yang sempit adalah jawapan bagi masalah ini. 

Antara yang hemat kawasan dan masih baru bagi petani di Malaysia tetapi telah bertahun-tahun diusahakan di negara jiran ialah tanaman Vanila. Ia juga disebut Vanilli atau Panilli, dari famili orkid atau Orchidacea dan nama saintifiknya Vanilia planifola. 

Walau bagaimanapun, vanila yang bernilai komersial hanyalah spesies Vanila planifolia Andrews dan Vanila tahitensis JW Moore. Vanila planifolia paling popular serta paling luas ditanami di seluruh dunia. Kultivar Vania 1 dan Vania 2 yang dikeluarkan oleh kerajaan Indonesia dan diagihkan kepada petani pada awal tahun 2000 adalah antara kultivar yang terbaik. 

Tanaman vanila di Malaysia masih di peringkat permulaan. Hanya segelintir petani cuba-cuba menanamnya. Ini mungkin kerana belum ada jaringan pembelian yang stabil membimbangkan petani untuk pergi lebih jauh. Lazim bagi petani di Malaysia bimbang dengan ketidakboleh pasaran produk pertanian mereka. Lain pula dengan petani di Indonesia. 

Dengan kecanggihan teknologi perhubungan masa kini, vanila kering boleh dipasarkan secara dalam talian tanpa sebarang masalah kepada pengguna di seluruh dunia. Malah di Malaysia, petani di Perlis berjaya memasarkan mangga harumanis secara dalam talian sehingga tidak cukup bekalan. Jadi tidak perlu memikirkan sangat soal pasaran tetapi patut mencari jalan bagaimana untuk mengeluarkan hasil yang bermutu. 

Kegilaan menanam durian untuk pasaran eksport menjadi trend terkini. Jangka masa 5 tahun diperlukan untuk mendapat hasil pertama. Sementara menunggu tempoh yang panjang itu, kawasan kosong antara pohon durian bolehlah dimanfaatkan dengan tanaman yang cepat memberi hasil. Antara yang dicadangkan ialah Longan Brazil dan avocado tetapi yang memberi hasil paling tinggi ialah vanila. Ia tidak berkongsi penyakit yang sama dengan durian malah memberi mikro klimat yang kondusif untuk tanaman durian membuatkan pohon durian cepat membesar dan berbuah lebih awal. 


Pokok vanila boleh ditanam di bawah struktur pelindung hujan (SPH).

 



Perosak tanaman vanila

 

Hidup Subur Dalam Iklim Tropika

Seorang penanam di Temerloh, Pahang, menanam 1,000 pokok vanila. Beliau menghasilkan anggaran 250 kg buah vanila segar, apabila dikeringkan dan melalui proses fermentasi, berat buah kering menjadi 40 kg. Buah vanila kering ini dijual dengan harga RM2,000/kg, beliau beroleh pendapatan sebanyak RM80,000 (40kg x @RM2000/kg) - suatu pendapatan sampingan yang lumayan bagi usaha separuh masa sahaja. 

Tanaman vanila menghasilkan buah seperti kacang soya yang panjang, setelah dikeringkan dan melalui proses fermentasi menghasilkan serbuk vanila yang digunakan secara meluas dalam industri aiskrim, pastri, minyak wangi dan minuman. Aromanya sangat harum dengan rasa yang sangat unik. Oleh kerana harganya yang mahal mencecah RM2000 per kilogram, ia digelar Emas Hijau, menduduki tempat kedua selepas Safron, rempah ratus termahal yang digunakan dalam masakan seperti biryani. 

Vanila hidup subur dalam iklim tropika seperti Malaysia. Ia telah menjadi tanaman ekonomi yang penting di Madagascar, India, China, Mexico, Papua New Guinea dan Indonesia. Ia memerlukan curahan hujan antara 1000-3000 mm setahun dan suhu udara optimal 20°C – 25°C dengan kelembapan udara sekitar 60%-80%. 


Keratan yang disemai dalam polibeg.

 


Sebagai tanaman dari jenis orkid, vanila tumbuh dengan pesat dan subur di bawah teduhan, kira-kira sebanyak 35 - 50%. Teduhan boleh datang dari para net jika ditanam dalam struktur lindungan hujan atau dari tumbuhan asli yang menjadi tanaman utama seperti durian, kelapa atau tanaman teduhan yang sengaja ditanam. Media tanaman boleh menggunakan bahan-bahan untuk tanaman orkid monopodial yang lain seperti arang, sekam bakar dan cocopeat yang mudah menyimpan kelembapan dan pH tanah 5.7 – 7. 

Mula Berhasil Pada Tahun Ketiga

Tanaman vanila memerlukan penyokong sebagai tempat memanjat, boleh dibuat dengan dawai jaring kotak 1cm x 1 cm berdiameter 4 - 6 cm setinggi 2 meter yang diisi cocopeat di dalamnya. Benih dari keratan tua dengan sekurang-kurangnya 8 - 10 ruas (inter-nod ) setinggi 30 - 40 cm meter diikat secara vertikal, 2 - 4 keratan tiap tiang secara bertentangan. Keratan akan dirembat dengan tali dengan rapat supaya akar dari ruas akan keluar dan memegang penyokong. 

Dua ruas paling bawah akan ditimbus di dalam media tanaman bagi perakaran. Tiang untuk vanila menjalar boleh juga menggunakan pokok hidup sebagai penyokong seperti pohon Glyrisidia maculata atau pun Dedap (coral tree) jika vanila ditanam di tanah. Pokok ini perlu ditanam lebih dahulu supaya dapat memberi lindungan nanti. Pokok penyokong perlu dibuat cantasan supaya memberi kadar naungan yang diperlukan. Cantasan perlu dibuat bagi membentuk percabangan yang banyak dan memudahkan berbunga. 


Mula berbunga di tahun ke 3 penanaman.

 


Vanila mula mengeluarkan hasil pada tahun ketiga apabila ia mula berbunga. Oleh kerana sifat bunga orkid yang sememangnya sukar dipolinasi oleh serangga secara semula jadi, vanila perlu dibuat pendebungaan berbantu. Kerja ini agak rumit dan memerlukan buruh mahir yang ramai jika penanaman berskala besar. Tanaman skala kecil kurang dari 2 ekar mencukupi dengan pengusaha sendiri untuk membuat pendebungaan. Pendebungaan yang baik akan memberi kelekatan buah sehingga 85%. 

Buah akan terbentuk dan membesar selepas 1.5 bulan pendebungaan berbantu dibuat dan akan matang 8- 12 bulan kemudian. Buah matang mengekalkan warna hijau zaitun (olive green) tetapi hujung buah mula bertukar menjadi ke warna kuning cerah. Sebanyak 80 – 100 buah diperlukan untuk mencapai berat satu kilogram. 

Penghasilan Vanila

Penghasilan vanila bergantung kepada umur pokok. Pokok berumur 3 tahun secara puratanya akan mengeluarkan buah sebanyak 250g/pokok, 4 tahun sekitar 500g, 5 tahun 750g dan mencapai 1kg sepokok selepas 6 tahun dan berlanjutan selama 15 tahun. Seekar boleh ditanam 2,000 pokok. 

Hanya buah yang cukup matang boleh dipetik kerana akan memberi hasil yang baik. Selepas dipetik buah perlu melalui proses yang rigid bagi memberi hasil yang tinggi kualiti ditentukan oleh aromanya. Bahan yang dipanggil Vanillin yang tinggi akan memberi aroma yang standard dan mendapat harga yang maksimum. 

Ramai calon pengusaha tanaman vanila takut dengan proses fermentasi vanila sehingga mereka berfikir berkali-kali untuk mengusaha tanaman vanila. Sebenarnya ia tidaklah sesukar mana dan akan menjadi biasa apabila dibuat berulang kali. 


Buah terbentuk selepas 1.5 bulan pendebungaan berbantu dan dituai 8 - 12 bulan kemudian.

 


Pemprosesan Pod Buah Vanila Selepas Dituai

1. Buah segar dicelur di dalam air panas bersuhu kurang dari 80°C selama 3-4 minit menggunakan raga yang boleh ditos dan diselerakkan dalam tray berlubang. 

2. Esoknya buah diserak atas alas kain dan dijemur di bawah sinar matahari selama 2 – 3 jam , selama 5 – 6 hari berturut-turut. 

3. Buah diserakkan di atas alas kain pada suhu bilik selama 1 bulan. Bau harum vanila sudah mula terhasil. 

4. Buah diikat dan dibungkus dengan kertas lilin dan disimpan dalam kotak kayu selama 3 bulan untuk fermentasi. Buah kering yang siap fermentasi mengeluarkan aroma vanila sejati dan siap untuk dijual apabila harga terbaik diperolehi. 

Vanila lebih bersifat sebagai produk pertanian pelaburan seakan-akan lada hitam di Sarawak. Oleh kerana ia boleh bertahan hingga bertahun-tahun, petani akan menyimpan vanila pada tempoh yang lama dan akan menjualnya hanya apabila ada keperluan kewangan atau harga naik pada paras yang tinggi. Tidak hairanlah jika ia digelar Emas Hijau.

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag